7 Disember 1941 merupakan satu tarikh yang pasti tidak akan dilupakan oleh seluruh warga Amerika Syarikat. Ini kerana inilah tarikh yang mengejutkan Amerika akan realiti Perang Dunia Kedua (WWII) dan ancaman Jepun yang membawa kepada penyertaan mereka dalam perang tersebut. Namun tahukah anda, 37 tahun sebelum itu, Jepun sebenarnya telah membuat taktik serangan hampir sama ke atas satu lagi pesaing berkenaan pengaruh di Asia Pasifik iaitu Rusia? Taktik ini dilakukan ke atas bandar pelabuhan Port Arthur, Manchuria di mana pada ketika itu, bandar tersebut masih di bawah kawalan Rusia.

Bagaimana semua ini boleh berlaku? Kita lihat dulu pertembungan dua kuasa besar ini. Pada akhir abad ke-19, kedua-dua kuasa besar ini sudah meletakkan sasaran untuk menjadi kuasa ulung di Pasifik. Dan kedua-duanya bukan saja memfokuskan kepada Manchuria yang kaya dengan bahan mentah tetapi juga akses kepada seluruh wilayah Timur Jauh seperti China dan Semenanjung Korea. Rusia sudah menunjukkan niatnya dengan membina Landasan Keretapi Trans-Siberia yang menghubungkan Moscow dengan bandar pelabuhan Vladivostok dan memaksa China menyerahkan pelabuhan Port Arthur kepada mereka pada 1895.

Begitupun, Jepun juga tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan ini. 50 tahun sebelum itu, pahlawan-pahlawan samurai mengangkat pedang mereka sebagai tanda kecewa gagal menghalang kehadiran kapal-kapal perang Amerika yang berlayar ke Teluk Tokyo, sekaligus memecahkan dasar pemencilan yang diamalkan Jepun sebelum ini. Enggan membenarkan kesilapan sama berulang, dengan keazaman dan sumber yang ada, Jepun berjaya membina tentera darat dan laut yang kuat dan moden. Bukti kepada kehebatan mereka ialah kejayaan Tokyo mengalahkan China pada Perang China-Jepun Pertama yang berlaku antara 1894 hingga 1895.

Kedua-dua kuasa besar sebenarnya sudah cuba menggunakan saluran diplomatik untuk menetapkan pengaruh mereka di Asia Pasifik. Dalam satu mesyuarat pada tahun 1903, Jepun bersedia menggugurkan tuntutannya ke atas Manchuria dan membiarkan ia di bawah kawalan Rusia dengan syarat Moscow mengiktiraf pendudukan mereka di Semenanjung Korea. Namun tawaran Tokyo ditolak kerana delegasi Moscow menyifatkan Jepun seperti monyet yang cuba menandingi kuasa-kuasa Barat lain. Sekiranya Jepun mengugut untuk berperang, maka Moscow bersiap sedia menggerakkan jentera perangnya untuk menghapuskan ancaman yang didatangkan Tokyo.

Menyedari jalan damai yang dipillih bukan lagi satu pilihan, Jepun memutuskan untuk memberi satu pukulan hebat kepada Moscow dengan menyerang terlebih dahulu. Walaupun empayar Tsar Rusia dilihat tidak cekap, mereka masih mampu membina kekuatan tentera di Timur Jauh dan perkembangan ini membimbangkan Tokyo. Sasaran mereka ialah Port Arthur di mana pelabuhan tersebut menempatkan tujuh kapal perang dan enam kapal kruiser. Serangan akan dilancarkan oleh satu skuadron penyerang diketuai oleh Laksamana Heihachiro Togo di mana beliau bertindak berani menghampiri pelabuhan tersebut walaupun sedar Port Arthur dilindungi oleh unit-unit artileri yang kuat. Tindakan Togo ini kemudian ditiru oleh seorang pegawai bawahannya yang kemudian menjadi perancang serangan Pearl Harbor, Laksamana Isoroku Yamamoto.

Figure 1: Laksamana Heihachiro Togo, perancang operasi berani Tokyo ke atas Port Arthur.

Togo tidak mahu membahayakan kapalnya. Sebaliknya, beliau menggerakkan 10 kapal pemusnah untuk melancarkan serangan torpedo ke atas kapal-kapal Rusia yang berlabuh pada waktu malam. Dan seperti dijanjikan Tokyo, pada pukul 10.30 malam, kapal-kapal pemusnah ini bertembung dengan sebuah kapal Rusia yang segera berpatah balik untuk memberi amaran akan serangan ke atas Port Arthur. Tatkala armada tentera laut Jepun menghampiri Port Arthur, kebanyakan tentera Rusia masih dalam mood gembira kerana pada malam yang sama, mereka meraikan hari lahir isteri seorang laksamana. Selepas selesai keraian, ramai mengambil keputusan untuk tidur tetapi di sinilah semuanya berubah. Mereka dikejutkan dengan bunyi torpedo menghentam kapal mereka dan cahaya di lautan pada waktu malam. Ada menyangka itu hanyalah bunga api sebagai meraikan hari lahir isteri pegawai atasan mereka tetapi itu sebenarnya isyarat bermulanya Perang Rusia-Jepun.

Pada jam 12.30 pagi 9 Februari 1904, flotila pemusnah Jepun ini melancarkan 16 torpedo ke arah kapal-kapal Rusia. Hanya tiga saja mengenai sasaran ia merosakkan dua kapal perang iaitu Tsarevich dan Retvisan serta satu kapal kruiser, Pallada. Tiga jam selepas serangan berlaku, Tsar Nicholas II menerima deklarasi perang rasmi dari Tokyo. Jika diamati taktik berani Togo ini, objektif untuk menenggelamkan kapal-kapal Rusia dilihat tidak tercapai. Kebanyakan kapal masih utuh dan apabila mereka berlayar keluar dari Port Arthur lewat hari tersebut, mereka bertempur dengan flotila Jepun yang menyaksikan kerosakan pada kapal-kapal kedua-dua belah pihak sebelum armada Togo berundur. Namun bila kita merenung nasihat Napoleon Bonaparte iaitu moral itu tiga kali ganda lebih penting daripada bahan, apa yang dilakukan Togo sebenarnya memberi tamparan hebat kepada ego Moscow dan menyebabkan mereka sentiasa ke belakang dalam permainan perang ini. Kegagalan Rusia untuk bertindak pantas dan ketidakcekapan jeneral-jeneralnya dalam menangani strategi Jepun menyumbang kepada kekalahan mereka pada akhir perang.

Tindakan berani Togo mengejutkan Rusia dan mengagumkan dunia. Akhbar Times of London misalnya mengisytiharkan, “Tindakan berani Tentera Laut Jepun dengan operasi berani yang meletakkan namanya sebahagian daripada sejarah tentera laut.” Pengisytiharan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana tentera laut Jepun sebenarnya protege kepada Tentera Laut Diraja Britain. Dan tentera laut Britain ini juga turut bertindak berani bila berlayar ke Copenhagen pada tahun 1807 untuk menawan atau menenggelamkan kapal tentera laut Denmark. Dan pertempuran yang membawa kepada kekalahan Rusia ialah Pertempuran Selat Tsushima pada 27 Mei 1905.

Sebagai tindak balas kepada tindakan Jepun, Tsar Nicholas II menggerakkan armada tentera lautnya ke Selat Tsushima untuk melancarkan serangan balas. Kebiasaannya, mana-mana kapal boleh melalui Terusan Suez untuk menjimatkan masa perjalanan tetapi Britain enggan membenarkan armada Rusia berlayar melalui Suez. Ini memaksa armada tersebut berlayar dari Eropah ke Asia dan apabila mereka akhirnya tiba, mereka kehabisan sumber dan moral tentera dalam keadaan paling rendah. Ini disusuli pula dengan ramalan Togo yang berpangkalan di Busan melihat armada ini pasti akan berlayar ke Tsushima untuk bergabung dengan angkatan tentera laut Rusia di Vladivostok. Pertempuran Selat Tsushima ini menyaksikan Rusia tewas di tangan Jepun, sekaligus menjejaskan usahanya memutuskan talian hayat maritim yang membekalkan tentera dan bekalan diperlukan Tokyo ke Manchuria. Berikutan itu, Jepun bukan saja mengalahkan tentera darat Moscow tetapi juga berjaya menawan bandar pelabuhan Port Arthur pada Januari 1905 selepas satu kepungan berdarah ke atas pelabuhan tersebut.

Bermula dari tahun 1905 hingga 1945, dunia menyaksikan Jepun sebagai kuasa baru dinamik dan agresif di Pasifik. Kekalahan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun ini merupakan satu detik memalukan dalam sejarah mereka dan merosakkan prestij Tsar mereka. Berikutan kekalahan ini jugalah membawa kepada kejatuhan Tsar Nicholas II dan revolusi berdarah yang membawa kepada kemunculan rejim baru di bawah pimpinan Vladimir Lenin. Ironi di sebalik kemaraan pihak Bolshevik ke puncak kekuasaan ialah laluan mereka disediakan oleh bayonet-bayonet Jepun.

Sementara di Barat pula, kuasa-kuasa ini yang menanggung malu. Mana pernah dalam sejarah kuasa-kuasa ini dikalahkan atau lebih spesifik, diserang sebegitu rupa di Port Arthur? Namun itulah alasan yang digunakan Amerika Syarikat selepas serangan Tokyo ke atas Pearl Harbor. Selepas insiden tersebut, ramai menyalahkan kegagalan Pearl Harbor menyediakan pertahanan yang baik atau kegagalan mendapatkan maklumat perisikan Jepun lebih awal. Seperti mana pihak Rusia gagal menjangka kehadiran flotila Jepun di Port Arthur, begitu juga dengan kegagalan pihak Amerika menjangka ‘tsunami’ mengejut yang dilancarkan oleh Yamamoto ke atas mereka. Jika ada yang menjangka, pasti kelasi-kelasi Rusia yang terlibat semasa serangan ke atas Port Arthur. Dan pesara-pesara ini secara serentak pasti akan mengatakan, “Kami sudah cakap!” kerana kegagalan pihak Amerika mengambil pengajaran dari insiden Port Arthur.

SUMBER

Peck, Michael. (2017). National Interest. FACT: There Was a Pearl Harbor Style Attack (Before Pearl Harbor). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/fact-there-was-pearl-harbor-style-attack-before-pearl-harbor-22661?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply