Rantingnya dicabut, dahannya dipotong dan kulit kayunya dikopak untuk dibawa pulang sebagai cenderamata dan tanda kenang-kenangan – itulah kesengsaraan yang dialami oleh sebatang pokok yew berusia antara 3000-5000 tahun di Scotland angkara perbuatan tidak bertanggungjawab pelancong-pelancong yang melawat pokok berkenaan.
Tindakan-tindakan tersebut dikecam oleh kebanyakan media antarabangsa yang membuat liputan sekitar hujung bulan Mei lalu. Mana tidaknya? Perbuatan tersebut mengakibatkan pokok yang dikenali sebagai Fortingall Yew ini dijangka ‘mati’ dalam tempoh 50 hingga 300 tahun akan datang.
NILAI KHAZANAH POKOK FORTINGALL YEW
Terletak di dalam perkarangan Fortingall Churchyard, Glenlyon Estate, Perthshire, usia pokok Fertingall Yew dianggarkan antara 3000 – 5000 tahun sekaligus meraihkannya status sebagai pokok paling tua yang masih hidup di United Kingdom, dan berkemungkinan juga di seluruh Eropah. Jika dilihat daripada angka umurnya, pokok ini berkemungkinan telah pun hidup dan tumbuh membesar sekitar masa Piramid Agung Giza (2580-2560SM) dan binaan ajaib Stonehenge (3001SM) didirikan sebagaimana yang ditulis di dalam blog rasmi Royal Botanic Garden of Edinburgh.
Menyebut tentang kepentingan pokok ini, Catherine Lloyd, penyelaras Tayside Biodiversity Community Partnership berkata, “Dengan melihat pokok ini, kita pasti akan mengenang betapa ia telah berdiri di situ selama paling kurang 3000 tahun, jauh sebelum Rom memasuki Scotland.”
Bahkan Ashley Cowie di dalam Ancient Origins turut menyatakan bahawa selama hampir dua abad lamanya, pokok ini menjadi tumpuan penganut agama Kristian yang memandang pokok ini sebagai mercu tanda agama tersebut. Menurutnya, pokok ini pernah menjadi tempat berteduh kepada Pontius Pilate semasa beliau sedang dilahirkan di kampung berkenaan. Pilate juga sempat bermain-main di bawah pokok ini semasa usia kecilnya sebelum tumbuh mendewasa dan terlibat dalam penyaliban menyalib Jesus Christ.
Walaupun naratif ini mungkin palsu (hoax) sebagaimana yang didakwa oleh Sir Donald Currie, saudagar kaya yang membeli Glenlyon Estate pada tahun 1885M, namun wujudnya kepercayaan seperti itu mengisyaratkan bahawa pokok ini amat dihormati dan dipandang tinggi.
LAYANAN BURUK TERHADAP WARISAN ALAM INI
Pokok Fortingall Yew yang kini bersaiz sekurang-kurangnya 52 kaki lebar dan 23 kaki tinggi telah pun dipagari dengan tembok batu dan besi yang tinggi sejak zaman Victoria lagi (pertengahan abad ke-19M). Namun, kewujudan tembok pelindung tersebut tidak memaksudkan bahawa pokok ini bebas daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab.
Neil Hooper, individu yang menggalas tugas menjaga pokok tersebut memaklumkan bahawa para pelancong yang melawat Pokok Fortingall Yew ini seringkali bertindak memotong dahan, mencabut ranting dan mengkopakkan kulit kayu untuk dijadikan sebagai cenderamata dan tanda kenang-kenangan.
Lebih daripada itu, ada juga yang memanjat tembok yang memagari pokok berkenaan dengan tujuan untuk menggantungkan kalung dan riben pada dahannya. Tindakan tersebut mencapai tahap melampau dan ekstrim hinggakan plak logam yang dipasang oleh pihak berautoriti sebagai papan tanda bagi pokok terbabit habis terjatuh.
Menurut Neil Hooper, tindakan-tindakan seperti ini boleh menjejaskan keadaan pokok tersebut secara fizikal. Catherine Lloyd juga tidak menafikan hakikat itu. Ujarnya, “mereka (para pelancong) menyerang pokok ini dan ia (Fortingall Yew) sengsara akibat perbuatan tersebut. Kami tidak tahu apakah tindakan-tindakan kasar sebegitu merupakan punca merudumnya tahap kesihatan pokok ini.”
Tambah Lloyd lagi, layanan kasar yang diberikan oleh para pelancong terbabit bukanlah yang terburuk pernah diterima oleh pokok Fortingall Yew. Terdapat catatan sejarah yang menyebutkan bahawa pada suatu masa dahulu, sebuah perayaan unggun api pernah diadakan di bawah pokok tersebut. Dalam kes lain pada abad ke-19M, kulit-kulit kayunya dicabut dengan tujuan untuk menghasilkan cawan. “Manusia telah melayan pokok itu dengan buruk sejak berkurun-kurun lamanya,” keluh Lloyd.
POKOK FORTINGALL YEW YANG SUDAH UZUR
Berikutan keadaan kesihatan pokok ini yang semakin memburuk, Catherine Lloyd berkata, “Pada suatu hari nanti, pokok yew dari zaman purba ini akan tersungkur menyembah bumi dan hal itu mungkin akan berlaku dalam masa 50 atau 300 tahun akan datang.”
Jika dilihat pada gambar, pembaca dapat melihat bahawa batang pokok yew ini tumbuh secara terpisah. Bahkan pada empat tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2015, para saintis di Scotland mengumumkan bahawa pokok ini ‘mengalami perubahan jantina’.
Selama ini, Fortingall Yew sedia maklum merupakan sebatang pokok berjantina jantan. Namun pada tahun 2015, ia mengeluarkan buah beri – suatu ciri yang hanya berlaku pada pokok yang berjantina betina. Lebih menghairankan, perubahan jantina ini hanya berlaku pada sebahagian dahannya sahaja.
USAHA PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN FORTINGALL YEW
Bertindak-balas atas isu ini, sebuah projek bernama The Church Yew Tree dilancarkan dengan kerjasama Royal Botanic Garden Edinburg. Projek ini ditubuhkan dengan tujuan untuk mencambahkan lebih banyak anak pokok yang baru. Mereka turut menyasarkan untuk mengedar dan menanam anak-anak pokok itu ke sekitar 20 buah perkarangan gereja menjelang tahun 2020.
Sama-sama kita berharap supaya usaha ini berjalan dengan lancar dan berhasil mencapai tujuannya, memandangkan Fortingall Yew merupakan khazanah purba yang harus dipelihara dan disayangi dengan sebaiknya.
SUMBER
Ashley Cowie.
(28 Mei 2019). Brainless Tourists Slaughter 5000-Year-Old Sacred Scottish Tree.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/fortingall-yew-0011980
Jimmy Nsubuga.
(28 Mei 2019). A 5000-year-old tree could die because tourists keep ripping off
its branches. Metro.Co.UK.
https://metro.co.uk/2019/05/28/5000-year-old-tree-die-tourists-keep-ripping-off-branches-9708168/
Natasha Ishak.
(25 Jun 2019). Handsy Tourists Are Destroying The Oldest Tree In The U.K. And
Potentially All Of Europe. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/fortingall-yew
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih