Pesawat pengintip merupakan antara alat pengintipan yang digunakan agensi perisikan untuk mengintip kedudukan musuh atau melihat apa yang cuba dirahsiakan sesetengah negara. Dalam kes pesawat pengintip U-2, pesawat ini bukan saja mempengaruhi dasar luar Amerika Syarikat melalui maklumat yang diperolehinya. Tetapi pada masa sama, ia juga tidaklah boleh diharap seperti yang disangkakan seperti ditunjukkan dalam kes juruterbang Francis Gary Powers. Kisah Powers diadaptasi dalam filem Bridge of Spies yang diarahkan oleh Steven Spielberg dengan menampilkan Tom Hanks sebagai peguam, James B. Donovan yang mengaturkan pertukaran Powers dengan perisik Soviet, Rudolf Abel (Mark Rylance).
Semasa berucap di Fulton, Missouri pada 5 Mac 1946, Perdana Menteri Britain Winston Churchill memberi ingatan kepada Barat bahawa Kesatuan Soviet sudah membina tirai besi di Eropah Timur. Ucapan berkenaan sebenarnya turut memberi petunjuk Perang Dingin sudah bermula. Untuk mendapat apa-apa kelebihan ke atas Soviet, perisikan Amerika Syarikat berusaha menghantar pesawat-pesawat pengintip untuk mengambil gambar tetapi sedar usaha mereka pasti akan dipatahkan oleh jet-jet Soviet seperti MiG yang dibantu oleh radar, ironinya disumbang oleh Uncle Sam kepada Moscow semasa Perang Dunia Kedua (WWII).
Kepimpinan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) berpandangan satu cara untuk mengelak dikesan radar ialah terbang pada altitud tinggi. Ini kerana radar Soviet hanya mempunyai kemampuan mengesan setakat 67,000 kaki. USAF cuba mengubahsuai 20 pesawat RB-57D yang mempunyai kemampuan terbang altitud tinggi tetapi dianggap masih tidak boleh terbang tinggi dalam jarak sukar dicapai pesawat-pesawat MiG. Pada tahun 1953, pereka legenda Lockheed Kelly Johnson membentangkan pelan pesawat CL-282 kepada USAF di mana ia mempunyai rekaan seperti pesawat peluncur, fiuslaj yang panjang dan sayap yang besar. Pesawat ini amat ringkas sehinggakan ia tidak mempunyai tayar untuk mendarat dan perlu mendarat menggunakan bahagian bawah pesawat.
Tetapi idea berkenaan tidak mendapat sambutan dari USAF tetapi menarik minat Agensi Perisikan Pusat (CIA). CL-282 menjadi asas kepada pesawat U-2 yang kita kenali hari ini. Untuk memastikan pesawat ini kekal rahsia, pesawat ini diklasifikasikan sebagai utiliti atau U, biasanya diberi kepada pesawat ringan. Dan di pihak Lockheed pula, mereka memberitahu U2 merupakan pesawat cuaca altitud tinggi.
Selepas pesawat tersebut siap dan bersedia untuk diterbangkan, USAF tidak mahu mengambil risiko menghantar juruterbang mereka melakukan penerbangan pengintipan ke atas Soviet. Ini mendorong campur tangan veteran WWII dan Presiden Amerika Syarikat, Dwight D. Eisenhower kerana sedar idea sebegitu boleh memberi kesan buruk dari segi politik. Ini membawa kepada operasi bersama USAF-CIA dipanggil Dragon Lady dengan CIA mengambil juruterbang yang tamat perkhidmatan dari USAF sebagai ‘pemandu’ U-2.
U2 mempunyai fiuslaj yang panjang dan kurus serta sayap yang mempunyai 80 kaki yang membantunya terbang pada ketinggian 72,000 kaki, lebih daripada jangkauan radar Soviet. Dan memandangkan ia terbang pada ketinggian dengan keadaan seperti di angkasa lepas, juruterbang perlu memakai sut tekanan. Mereka boleh hilang berat badan sebanyak enam paun untuk misi penerbangan selama lapan jam walaupun mereka dibekalkan dengan makanan berbentuk cecair melalui tiub yang bersambung pada topi keledar.
U-2 boleh terbang dengan kelajuan 430 batu sejam, menyamai kelajuan pesawat P-51 Mustang semasa WWII. Dan bila pesawat itu ditambahbaik dari segi enjin, ia berkemampuan terbang pada ketinggian 75,000 kaki tetapi ini juga memaksa juruterbang sentiasa berjaga-jaga kerana ia boleh mengalami pegun semasa terbang dengan laju. Pada awalnya, pesawat ini hanya dilengkapi dengan kamera dengan lensa fokal 180 inci untuk mengambil gambar-gambar resolusi tinggi. U-2 kemudiannya dilengkapi semua peralatan mengumpul maklumat perisikan.
Tidak seperti CL-282, ia boleh mendarat dengan tayar di bawah muncung dan ekor pesawat tetapi daya angkat luar biasa terima kasih kepada sayapnya yang panjang menyukarkan mana-mana juruterbang untuk mendaratkan U-2. Dan situasi tersebut tidak dibantu dengan darjah penglihatan yang kurang elok dari kokpit, memaksa krew lapangan atau padang terbang memandu kereta di landasan sebagai panduan kepada juruterbang untuk mendarat. Walaupun bermasalah dari segi pendaratan, kombinasi altitud dan daya angkat pesawat berkenaan membolehkannya terbang secara jarak jauh. Ada satu kisah membabitkan pesawat ini di mana seorang juruterbang melaporkan mengalami masalah enjin. Dia meluncurkan pesawatnya sejauh 300 batu sebelum berjaya mendarat di sebuah pangkalan USAF di New Mexico.
Walaupun kebimbangan Eisenhower bersebab, operasi bersama Dragon Lady digerakkan dengan penerbangan pertama untuk mengintip Eropah Timur bermula pada 20 Jun 1956 disusuli penerbangan mengintip Soviet pada 4 Julai tahun sama. Dan walaupun pesawat berkenaan berjaya dijejak oleh radar Soviet, jet-jet MiG-15 dan MiG-17 tidak dapat memintas berikutan ia terbang pada altitud tinggi. Amerika Syarikat turut meminjamkan pesawat berkenaan untuk kegunaan Tentera Udara Diraja (RAF) sebagai bayaran menggunakan pangkalan tentera udara di United Kingdom dan meningkatkan lagi lebih banyak aliran maklumat perisikan.
Tetapi bagi CIA, mereka sedar U-2 saja tidak mencukupi. Ini mendorong pihak agensi melancarkan Projek Pelangi (Project Rainbow) untuk menaiktaraf pesawat U-2 untuk meningkatkan peluang ia tidak dikesan radar. Tetapi projek tersebut tidak berhasil dan mendorong Lockheed meneruskan projek berkenaan pesawat A-12, pesawat yang akhirnya membawa kepada pesawat ikonik SR-71 Blackbird. Antara kejayaan yang dibawa U-2 ialah mendapat maklumat Soviet tidak meletakkan pesawat pengebom jarak jauh M-4 di pangkalan utamanya dan memantau operasi tentera Britain dan Perancis semasa Krisis Suez. Maklumat yang diperoleh digunakan Eisenhower untuk menekan London untuk membatalkan campur tangan mereka di situ.
Walaupun sedar nilai strategik yang dibawa U-2, ia masih dianggap berisiko. Maka, bukan sekali dua Eisenhower membatalkan dan memberi kebenaran semula kepada Dragon Lady untuk terbang pada penggal keduanya sebagai presiden. Kebimbangan bekas jeneral tentera Bersekutu itu ada asasnya kerana pada akhir dekad berkenaan, Soviet sudah membangunkan peluru berpandu darat ke udara (SAM) yang berkemampuan menembak jatuh pesawat U-2, satu fakta yang turut diakui Langley.
Tetapi ada satu perkhabaran yang dibawa Presiden Kesatuan Soviet, Nikita Khrushchev yang membuatkan Pentagon gelisah. Khrushchev mendakwa negara berkenaan berkemampuan membina peluru berpandu antara benua (ICBM), satu khabar yang mendorong Eisenhower meluluskan siri pengintipan baru U-2 untuk menilai sejauh mana ancaman ICBM Soviet ke atas Amerika Syarikat.
Dan keputusan ini yang membawa kepada kisah Powers yang diadaptasi oleh Spielberg dan Coen bersaudara untuk filem mereka, Bridge of Spies. Powers menerbangkan pesawat U-2 dari Pangkalan Udara Incirlik, Turki untuk misi pengintipan biasa Soviet dan ini berlaku pada 1 Mei 1960 yang juga cuti umum Kesatuan Soviet. Pesawatnya berjaya dikesan oleh radar Soviet dan ini menyebabkan mereka melancarkan tiga peluru berpandu SA-2 untuk memusnahkan pesawat berkenaan. Satu peluru berpandu terkena pesawat MiG-19 Rusia yang mengakibatkan juruterbangnya terbunuh, satu tidak mengenai sasaran dan satu lagi meletup berhampiran pesawat U-2. Powers berjaya keluar dan U-2 terhempas dalam keadaan ia masih elok. Dan seperti kita sedia maklum, Powers kemudian ditahan agensi perisikan Soviet, Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) di Lubyanka dan disoal siasat selama beberapa bulan.
CIA dan Washington menyediakan cerita bahawa pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat cuaca yang hilang. Soviet dan Khrushchev membiarkan Eisenhower menggunakan alasan berkenaan selama seminggu sebelum Moscow mendedahkan cerita sebenar berkenaan Powers, sesuatu yang memalukan Eisenhower dan mengakibatkan sesi perbincangan Moscow-Washington kecoh dan terpaksa dibatalkan. Bagi Langley, ia merupakan satu kejutan yang tidak disangka-sangka kerana menyangka mana-mana juruterbang U-2 yang ditembak jatuh takkan terselamat.
Dan seperti apa yang digambarkan dalam Bridge of Spies, Powers dan seorang pelajar Amerika bernama Frederic Pryor berjaya ditukar dengan Abel pada 10 Februari 1962. Operasi pengintipan U-2 di Soviet ditamatkan tetapi itu tidak menghalang Lockheed meneruskan proses penaiktarafan U-2. Pesawat U-2A dan U-2C dinaiktaraf kepada U-2E dan U-2F yang berkemampuan mengisi minyak semasa di udara dan boleh terbang dengan jarak 9,200 batu. Amerika Syarikat turut cuba melancarkan U-2 dari kapal pengangkut pesawat untuk mengurangkan kebergantungan pada pangkalan udara luar. Tetapi setakat artikel ini ditulis, walaupun pelancaran dari kapal pengangkut dianggap berjaya, tiada sebarang misi pengintipan dijalankan dari kapal-kapal pengangkut.
Walaupun operasi pengintipan U-2 di Soviet sudah ditamatkan, perhatian CIA kini terarah kepada musuh baru Uncle Sam yang menubuhkan rejim komunis di Cuba, Fidel Castro. Pada 14 Oktober 1962, pesawat U-2 yang diterbangkan Mejar Richard Heyser berjaya mendapatkan gambar-gambar berkualiti yang menunjukkan pihak Soviet mendirikan kemudahan peluru berpandu jarak sederhana di Cuba, yang membawa kepada Krisis
Peluru Berpandu Cuba. U-2 sekali lagi menjadi pemain penting dalam hubungan luar Moscow-Washington bukan saja kerana foto-foto itu tetapi tindakan Moscow menembak jatuh pesawat U-2 yang dipandu Mejar Rudolf Anderson melalui peluru berpandu SA-2. Kematian Anderson hampir-hampir mencetuskan Perang Dunia Ketiga tetapi Khrushchev dan pengganti Eisenhower, John F. Kennedy memutuskan untuk mematikan semua bentuk tindakan agresif sekaligus menamatkan krisis berkenaan.
Selepas insiden Anderson yang ditembak jatuh, USAF mengambilalih semua unit U-2 daripada CIA dan mengklasifikasikannya semula sebagai Skuadron Pengintipan Strategik. Untuk dekad berikutnya, unit-unit ini dihantar ke India, Thailand, Jepun dan Filipina untuk mengambil gambar kubu pertahanan tentera Vietcong di Vietnam Utara, pergerakan tentera Indonesia dan Korea Utara dan struktur sempadan di China. Kadangkala, USAF turut menghantar pesawat U2 ke Timur Tengah untuk memantau perkembangan konflik Arab-Israel. Pada awal tahun 1960-an, Amerika turut melancarkan operasi bersama dengan Taiwan melalui Detasmen H dengan pembentukan Skuadron Black Cat. Juruterbang-juruterbang ROC menerbangkan pesawat hingga ke tanah besar China dari Lanzhou hinggalah Kunming. Bagaimanapun, apa yang berlaku ke atas Powers kembali berlaku kepada juruterbang-juruterbang ROC. Dalam 104 misi pengintipan yang digerakkan ROC, lima pesawat U-2 ditembak jatuh. Selepas hubungan Amerika-China kembali baik semasa era Richard Nixon, pesawat-pesawat ini dihentikan operasi pada tahun 1974.
Sebanyak 104 pesawat U-2 dihasilkan di mana pesawat terakhir dihasilkan pada tahun 1989. Kebanyakan unit U-2 hari ini diambil dari model U2-R di mana saiz fiuslaj ditambah sebanyak 30%, panjang sayap ditambah kepada 100 kaki dan kapasiti minyak ditambah. Pada tahun 1981, ada satu pesawat U2-R baru diperkenalkan dengan pod perisikan istimewa di bawah sayap dan radar perisikan taktikal. Hari ini, U-2 dan TR-1 tidak lagi dihantar untuk mengintip kawasan merbahaya kerana tugas berkenaan diserahan kepada satelit tanpa mengancam nyawa para juruterbang. Walau bagaimanapun, U-2 masih tetap digunakan untuk misi pengintipan dengan syarat kawasan berkenaan bebas daripada SAM dan jet-jet pejuang moden di mana ia membekalkan gambar-gambar berkualiti berbanding yang disediakan satelit.
Selepas tamat Perang Dingin, U-2 dan TR-1 dinaiktaraf kepada model U2-S dengan 31 unit masih beroperasi sehingga kini. Unit ini mampu terbang dengan kelajuan 500 batu sejam dan ditambah dengan sistem kedudukan global (GPS) dan penderia yang ditambahbaik. Dan pada tahun 2012, pesawat berkenaan turut diubahsuai di bawah program CARE yang mempunyai tekanan kabin rendah dan pengumpul air kencing yang lebih jelas bagi memberi pengalaman yang lebih selesa kepada juruterbang. Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, pesawat-pesawat U-2 dari Sayap Pengintipan Kesembilan telah digerakkan untuk misi pengintipan di Iraq dan Afghanistan dengan durasi misi sebanyak 12 jam untuk mengesan kedudukan pejuang Taliban dan ISIS.
USAF sedang berkira-kira sama ada menamatkan khidmat U-2 dan menggantikannya dengan dron RQ4 Global Hawk. Tetapi pesawat berkenaan dilihat mempunyai penderia yang lebih canggih berbanding RQ-4 dan kos penerbangannya masih lagi berpatutan. Tambahan pula, USAF berpandangan RQ-4 mungkin mengambil masa sedekad untuk menyediakan liputan sama yang disediakan oleh U-2. Dan memandangkan kempen perang yang dilaksanakan Amerika Syarikat untuk memerangi ISIS, kos operasi U-2 sudah disediakan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2019.
Lockheed ketika ini dalam proses kajian dan pembangunan (R&D) untuk pesawat pengintip TR-X di mana rekaannya diambil dari U2. Syarikat pengeluar pesawat itu berpandangan lebih elok ia dijadikan sebagai dron bagi membolehkannya terbang di kawasan-kawasan berisiko tinggi. Pentagon sedang berkira-kira sama ada hendak mengeluarkan kos pelaburan $4 bilion untuk 30-40 dron pengintip yang boleh bertahan lama tetapi boleh dikesan pada radar. Buat masa ini, Dragon Lady terus beroperasi di lapangan. Walaupun rangkanya dilihat sudah lama tetapi penderianya yang ditambahbaik membolehkan U-2 terus beroperasi dan menyediakan maklumat apa yang berlaku di bawah dari angkasaraya.
SUMBER
Roblin, Sebastian. (2016). National Interest. America’s U-2 Spy Plane: Still Spying on America’s Enemies (At Almost 60 Years Old). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/americas-u-2-spy-plane-still-spying-americas-enemies-almost-18223/page/0/2
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih