Sebut saja pertubuhan rahsia, tak sah kalau ia menjadi mainan geng teori konspirasi. Sebutlah nama organisasi seperti Knight’s Templar atau Freemason, tak sah jika dikaitkan dengan apa saja peristiwa yang dikatakan mengubah sejarah dari pembunuhan dan sabotaj hinggalah memanipulasi masyarakat hari ini.
Di India, wujud satu pertubuhan rahsia yang disyaki memanipulasi trend sosial dan politik untuk meneruskan agenda mereka serta telah wujud sejak 2,000 tahun lalu. Pertubuhan ini dikenali sebagai Sembilan Lelaki Tidak Dikenali (Nine Unknown Men).
Pertubuhan ini dikatakan wujud pada tahun 226 SM oleh Maharaja Asoka dari Dinasti Maurya. Cucunda kepada maharaja legenda yang menyatukan India iaitu Chandragupta, sudah pasti wujud keinginan untuk mengekalkan legasi nendanya itu dan meneruskan dominasi Empayar Maurya.
Salah satu kempen yang digerakkan ialah kempen peperangan terhadap Kalinga yang mengakibatkan 150,000 orang terbvnuh dan 100,000 lagi orang awam diusir keluar dari Kalinga. Walaupun kempen tersebut membantu meluaskan Empayar Maurya, Asoka yang merasa sedih melihat apa yang berlaku bersumpah untuk tidak terjebak dengan keganasan lagi.
Sejak itulah, baginda memilih memeluk agama Buddha dan menyebarkan agama tersebut secara damai ke merata tempat termasuk Tanah Melayu, India dan Sri Lanka. Usaha ini membawa kepada kemunculan agama Buddha di China, Nepal, Tibet dan Mongolia.
Asoka juga merupakan seorang vegetarian (pemakan sayur-sayuran dan buah-buahan) tetapi tidak pernah memaksa sesiapa mengikut tabiat baginda. Asoka juga turut menunjukkan sifat toleransi terhadap kumpulan-kumpulan agama lain tetapi menegah pengambilan alkohol.
Paling penting, baginda menolak integrasi secara paksa terhadap pemberontak sebaliknya integrasi dibuat dengan memenangi hati mereka dengan mematuhi undang-undang tanggungjawab dan ketaatan. Ini kerana menurut Asoka, semua makhluk bernyawa seharusnya menikmati keselamatan, keamanan, kegembiraan dan peluang untuk hidup dengan bebas. Untuk menunjukkan komitmennya terhadap misi ini, Asoka dikatakan memfokuskan usaha pengumpulan, pemeliharaan dan penyimpanan semua bentuk ilmu agar ia tidak digunakan pada jalan dosa.
Tetapi tugas ini tidak boleh dilakukan oleh baginda secara berseorangan ditambah dengan tanggungjawab lainnya sebagai pemerintah Empayar Maurya. Justeru untuk menjayakan usaha ini, Asoka memanggil sembilan cendekiawan yang paling bijak di India ketika itu.
Untuk mengelak diri mereka dari menjadi sasaran terutama kerajaan-kerajaan pesaing, identiti cendekiawan-cendekiawan ini tidak pernah didedahkan. Mereka kemudiannya bersama-sama menubuhkan organisasi Sembilan Lelaki Tidak Dikenali.
Matlamat penubuhan organisasi tersebut ialah mengumpul semua maklumat saintifik dari sains alam hinggalah fisiologi dan biologi. Bimbang jika maklumat ini jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, hanya Sembilan Lelaki Tidak Dikenali sahaja yang dibenarkan membuat kajian dalam pelbagai disiplin ilmu.
Untuk memastikan usaha mereka ini berhasil, setiap seorang daripada mereka ditugaskan untuk satu buku di mana mereka menambahbaik, menyemak dan memastikan ilmu yang direkodkan itu sempurna.
Apabila salah seorang daripada mereka tidak dapat menyelesaikan tugas akibat masalah kesihatan, bersara atau mati, tugas itu diberi kepada pengganti yang dipilih. Ini bagi memastikan terdapat sembilan ahli dalam organisasi berkenaan. Mungkin atas sebab itulah, Sembilan Lelaki Tidak Dikenali ini dikatakan sudah wujud selama 2,000 tahun.
Tidak diketahui apa jenis buku yang dikumpul oleh organisasi berkenaan. Tetapi penulis British, Talbot Mundy yang menerbitkan buku The Nine Unknown Men pada tahun 1923 berpandangan terdapat sembilan buku yang dikumpul oleh ahli organisasi itu. Buku-buku Sembilan Lelaki Tidak Dikenali ialah:
1. Propaganda: propaganda dan teknik perang psikologi.
2. Fisiologi: fisiologi manusia dan bagaimana seseorang itu boleh membunuh dengan hanya menyentuh urat tertentu. Dikatakan sukan judo lahir dari kebocoran dari buku kedua ini.
3. Mikrobiologi: mikrobiologi dan teknologi.
4. Alkimia: alkimia dan penukaran besi kepada bahan berharga seperti emas.
5. Komunikasi: semua bentuk komunikasi sama ada di langit atau di bumi.
6. Graviti: rahsia pengapungan dan bagaimana menghasilkan kenderaan terbang seperti Vimana dalam kitab Vedik.
7. Kosmogoni: kosmogoni dan semua perkara berkaitan alam semesta.
8. Cahaya: semua aspek berkaitan cahaya termasuk kelajuan dan penggunaannya sebagai senjata.
9. Sosiologi: peraturan dalam mengenalpasti perubahan masyarakat dan cara meramal kemerosotan mereka.
Tetapi apakah Sembilan Lelaki Tidak Dikenali ini wujud? Berdasarkan rekod, Asoka berkemungkinan meminta sembilan cendekiawan tidak dikenali untuk mengumpul pengetahuan saintifik termasuk aplikasi peperangan. Era tersebut dianggap era yang mencabar dan tidak mustahil pemerintah-pemerintah lain pada zaman-zaman terkemudian turut melakukan perkara sama.
Antara pengetahuan yang dicari ialah taktik peperangan, kaedah pembuatan senjata dan pengendalian haiwan sebagai kenderaan peperangan. Tetapi menguasai dan mengawal masyarakat selama 2,000 tahun tanpa sebarang bantuan teknologi dan kemudahan terkini seperti didakwa sesetengah pihak? Itu memang mengarut!
RUJUKAN:
Sullivan, Kerry. (2016). The Mysterious Secret Society of Ancient India and The Nine Unknown Men of Ashoka. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/mysterious-secret-society-ancient-india-and-nine-unknown-men-ashoka-006714
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih