Persatuan Teratai Putih (diromanisasikan sebagai ‘Bai Lian Jiao’) merupakan sebuah gerakan yang wujud dalam pemerintahan diraja Cina. Sebagai sebuah pergerakan keagamaan, ajaran-ajaran yang disebarkan oleh Persatuan Teratai Putih secara umumnya bersandarkan dari tradisi Buddhisme walaupun terdapat juga beberapa elemen Taoisme dan amalan-amalan asli Cina yang diterapkan ke dalamnya.
Selain itu, Persatuan Teratai Putih turut dikembangkan menjadi sebuah gerakan politik dan mengambil bahagian dalam beberapa buah pemberontakan penting dalam sejarah Cina.
PERMULAAN
Persatuan Teratai Putih mempunyai akar-akar keagamaan yang tumbuh daripada Sekolah Tanah Suci Buddhisme. Cabang daripada Buddhisme-Mahayana ini diasaskan oleh Huiyuan pada kurun ke-4 Masehi di Gunung Lu, Wilayah Jiangxi.
Ajaran-ajaran Huiyuan ini mula disebarkan di Kuil Dongjon yang dibangunkan sendiri oleh beliau. Menjelang masa pemerintahan Dinasti Song Utara (antara kurun ke-10 hingga kurun ke-12), ajaran-ajaran tersebut sudah pun tersebar sehingga ke selatan Cina.
Walau bagaimanapun, Persatuan Teratai Putih hanya ditubuhkan pada pertengahan kurun ke-12 oleh seorang sami Buddhisme yang bernama Cizhao. Sebahagian dari amalan persatuan ini adalah pemujaan Amitabha Buddha, penerapan lima disiplin utama Buddhisme, dan penyebaran ajaran-ajaran Buddhisme menerusi lukisan atau gambaran.
Ajaran-ajaran yang disampaikan oleh persatuan ini sangat ringkas dan mudah untuk difahami. Malah, penggunaan imej dan lukisan menjadikan ajaran Buddhisme sesuai untuk penerimaan semua lapisan masyarakat. Sebagai kesan susulan, ramai orang menjadi pengikut Persatuan Teratai Putih.
PERUBAHAN-PERUBAHAN DALAM PERSATUAN TERATAI PUTIH
Mungkin disebabkan oleh kepopulariti yang diraih oleh gerakan keagamaan ini, maka pihak autoriti Cina mula memasang syak-wasangka ke atas Persatuan Teratai Putih. Lantaran itu, mereka tidak memperakui gerakan tersebut secara rasmi. Walau bagaimanapun, situasi mula berubah sejak penubuhan Dinasti Yuan pada lewat kurun ke-13 Masehi.
Para pemerintah Monggol di Cina memperakui kedudukan Persatuan Teratai Putih. Bahkan dalam beberapa keadaan, mereka turut memberikan dana kepada mereka. Hal ini membuatkan ajaran-ajaran tersebut semakin tersebar luas dan membolehkan Persatuan Teratai Putih meraih capaian yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat, sekaligus menjadikannya sebagai sebuah cabang Buddhisme yang amat penting.
Gambaran Shizu, atau lebih dikenali sebagai Kublai Khan sebagaimana penampilannya pada 1260an |
Pun begitu, seiring peredaran masa, ajaran-ajaran Persatuan Teratai Putih mula mengalami perubahan terutama apabila orang-orang awam mula membangunkan kefahaman tersendiri berkenaan aliran agama berkenaan. Salah satu perubahan paling penting adalah kepercayaan bahawa Buddha akan turun dari Kayangan untuk membawa keselamatan kepada manusia.
Dalam erti kata lain, Persatuan Teratai Putih mula menerapkan pengaruh yang menjurus kepada ajaran agama Kristian, atau apa yang disebut sebagai millenarian. Aspek millenarian pada gerakan ini semakin menjadi-jadi apabila pihak kerajaan melemah dan semakin korup, yang mana perkara-perkara sebegitu menimpakan penderitaan yang beramatan kepada orang awam.
PASUKAN TENTERA KEAGAMAAN DALAM PEMBERONTAKAN SERBAN MERAH
Para pengikut Persatuan Teratai Putih yang berpegang kepada aspek millenarian pada ajaran tersebut berhasrat untuk mempercepatkan kehadiran Amitabha Buddha / Maitreya Buddha dengan cara menumbangkan Dinasti Yuan.
Lantaran itu, mereka pun mula melancarkan pemberontakan menentang kerajaan. Susulan daripada tindakan tersebut, Persatuan Teratai Putih pun diharamkan oleh Dinasti Yuan pada tahun 1308 dan pengharaman tersebut hanya ditarik semula beberapa tahun kemudian.
Pun begitu, gerakan ini sekali lagi diharamkan pada tahun 1322 berikutan meningkatnya jumlah pemberontakan yang melibatkan, atau malah diketuai oleh para pengikut Persatuan Teratai Putih.
Kemudian, Dinasti Yuan ditumbangkan sebagai susulan dari Pemberontakan Serban Merah yang berpanjangan dari tahun 1351 hingga 1368 Masehi. Ajaran-ajaran Persatuan Teratai Putih dijadikan sebagai asas-asas keagamaan dalam menyokong pemberontakan tersebut. Malah, kebanyakan pemimpin yang mengetuai pasukan-pasukan pemberontak berkenaan adalah pengikut Persatuan Teratai Putih.
Salah seorang daripada mereka adalah Han Shantong, yang diambil-alih peranannya oleh anaknya sesudah kematian beliau. Kemudian, kedudukan anaknya itu digantikan pula oleh seorang panglima yang pada asalnya merupakan seorang petani, iaitu Zhu Yuanzhang. Beliau menjadi individu yang bertanggungjawab menewaskan Monggol dan menubuhkan Dinasti Ming.
PEMBERONTAKAN TERATAI PUTIH
Terdapat sebuah lagi pemberontakan penting yang dilancarkan oleh ahli-ahli Persatuan Teratai Putih, iaitu Pemberontakan Teratai Putih. Pemberontakan ini berlangsung pada zaman pemerintahan Dinasti Qing dan berpanjangan dari tahun 1796 hingga 1804 Masehi. Namun, pemberontakan ini tidak meraih kejayaan sepertimana Pemberontakan Serban Merah lantaran kerajaan Qing berupaya menundukkannya.
Walau bagaimanapun, ia tetap berhasil mendedahkan kelemahan pentadbiran Qing, melemahkan kuasa dinasti dan menghabiskan perbendaharaannya. Impak-impak ini dapat dilihat menerusi Kod Sah Qing Agung yang mengandungi seksyen beerikut, di mana perundangan ini digunapakai sehingga tahun 1912:
“[Semua] persatuan yang menggelarkan pertubuhan mereka sebagai Teratai Putih, komuniti-komuniti (yang percaya terhadap) Buddha Maitreya, atau agama Ming ts’un (Manichaean), atau sekolah (aliran) Awan Putih, dsb, berserta mereka yang menjalankan amalan-amalan menyeleweng, atau mereka yang berada di tempat-tempat rahsia dan yang menyebarkan risalah dan lukisan, mereka yang menghimpnkan orang ramai dengan membakar setanggi, mereka yang membuat pertemuan pada waktu malam dan bersurai pada waktu siang, mereka yang mengacau dan memperdaya orang ramai sehingga menganggap kononnya mereka pejuang keadilan, mereka semua ini perlu dihukum.”
Salah seorang figura yang paling menarik dan paling berkuasa semasa berlangsungnya Pemberontakan Teratai Putih adalah Wang Cong’er, seorang pemimpin wanita dari salah sebuah cabang Persatuan Teratai Putih di zamannya. Beliau mengamalkan taktik perang gerila ketika memerangi kerajaan Qing dan berhasil meraih sejumlah kemenangan dengan strategi tersebut.
Walaupun dianggap sebagai pemberontak oleh kerajaan Qing di zamannya, Wang Cong’er dikenang sebagai seorang perwira oleh beberapa sumber di zaman moden. Sebahagian daripadanya malah membandingkan beliau dengan pahlawan wanita legenda Cina, Hua Mulan.
DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:
Wu Mingren. (15 Ogos 2019). The White Lotus Secret Society and the Demise of Mongol Rule in China. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/white-lotus-society-and-demise-mongol-rule-china-008182
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih