Ahad, 8 November 20268 Nov 2026
Alam Melayu

Bukti Islam Terjulang Di Bumi Pahang Sejak Ratusan Tahun Yang Lalu

Sejak
Islam tiba di rantau Nusantara beratus-ratus tahun yang lalu, peranan
penyebarannya bukan saja digalas oleh para daie, ulama dan pedagang asing sama
ada Arab, India atau Parsi tetapi juga digerakkan oleh para pemerintah kerajaan
Melayu. Keadaan ini membolehkan Islam bukan saja tersebar ke setiap ceruk
negeri atau empayar bahkan menjadi teras utama sesebuah kerajaan. Dan antara
kerajaan yang menyokong usaha ini ialah Kesultanan Pahang.

Sejarah Kesultanan Pahang

Kesultanan Melayu Pahang telah diasaskan oleh Kesultanan Melayu Melaka (KMM) menerusi sultan pertamanya iaitu Sultan Muhammad Shah. Sultan Mansur Shah telah menghantar anakandanya iaitu Sultan Muhammad Shah untuk ditabalkan sebagai pemerintah Pahang pada tahun 1470. Baginda kemudiannya bersemayam di Tanjung Langgar dan telah berkahwin dengan Puteri Kelantan bernama Puteri Mayang Mengindera.

Perkahwinan baginda dan pemaisurinya itu telah menghasilkan tiga orang putera iaitu Raja Ahmad, Raja Abdul Jamil dan Raja Mahmud. Selepas kemangkatan Sultan Muhammad Shah pada tahun 1475 dan dimakamkan di Kampung Dusun Pinang, Pahang Tuan, Pekan, Sultan Abdul Jamil diangkat sebagai penggantinya. Selepas itu, Pahang terus berada di bawah taklukan KMM dan kemudiannya Kesultanan Johor.

Tetapi
pada tahun 1617, Acheh menyerang Pahang dan menjadikan ia sebahagian daripada
jajahan takluknya sebelum kemudian jatuh semula ke tangan Johor pada tahun 1639
dengan Sultan Abdul Jalil Shah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Johor dan
Pahang. Sejak itu, Pahang terus kekal di bawah pentadbiran kesultanan itu
hingga tahun 1824. Tahun 1824 merupakan tahun pemeteraian Perjanjian
British-Belanda yang membenarkan dua kuasa asing itu membahagikan pengaruh
mereka sekaligus menyebabkan Kesultanan Johor-Riau berpecah.

Keadaan ini mengakibatkan pemisahan pemerintahan antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang ini kemudiannya bermula dengan Bendahara Wan Ahmad selepas terjebak perang saudara dengan saudaranya, Wan Mutahir.

Selepas saudaranya itu berjaya dikatakan, beliau kemudian ditabal dengan gelaran Sultan Ahmad al-Mu’adzam Shah pada tahun 1882. Setelah berakhirnya pemerintahan baginda pada tahun 1914 Masihi, maka berlangsunglah dengan legasi kesultanan Melayu berikutnya hingga ke hari ini.

Hubungan erat Sultan dengan para
ulama

Bagi
para daie dan ulama, mereka tahu sokongan pemerintah diperlukan bukan saja
berkenaan soal dakwah tetapi juga penyebaran ilmu dalam kalangan rakyat dan
pembesar yang dahagakan ilmu. Justeru tidak hairanlah dalam mana-mana sejarah
kerajaan-kerajaan Melayu, hubungan kedua-dua pihak amat penting dalam
mengembangkan syiar Islam. Justeru tidak hairanlah dalam lipatan sejarah
Kesultanan Pahang, negeri itu bukan saja menyambut mesra ulama luar tetapi
turut melahirkan ulama-ulama tempatan dan berwibawa.

Contohnya, kehadiran Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Hamzah Fansuri telah datang ke Pahang dan berkelana ke Lubuk Pelang untuk mendalami ilmu hakikat dan tasawuf. Pusat pengajian ini terletak di Bukit Ketupat, Jerantut dan telah menjadi pusat pengajian tumpuan sekitar tahun 1490 hingga 1640 dalam bidang tasawuf.

Semasa Pahang berada di bawah taklukan Acheh, Nuruddin al-Raniri pernah menetap di Pahang. Di Pahang jugalah beliau meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan menulis kitab satu kitab yang bertajuk al-Sirat al-Mustaqim iaitu pada tahun 1044 Hijrah/sekitar 1634 Masihi dan selesai penulisannya pada tahun 1644 Masihi.

Daripada kehadiran dua orang ulama besar ini, ini menjelaskan bahawa kedudukan Islam diterima dan sentiasa berkembang di Pahang. Kehadiran mereka berdua juga tidak mendapat tentangan mahupun halangan dari pihak istana. Keterbukaan inilah yang telah membuka ruang perkembangan Islam dalam masyarakat di Pahang.

Antara ulama tempatan yang lahir di bumi Pahang ialah Haji Uthman Senik. Beliau merupakan seorang yang mendalami ilmu agama dan hikmah. Berikutan keilmuan dan kemasyhuran beliau sebagai ulama, ini mendorong ramai orang untuk berguru dengannya. Sehinggakan Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad juga berkenan melantik beliau sebagai Mufti Kerajaan Pahang Darul Makmur.

Beliau telah menjadi orang terkemuka dalam kerajaan Pahang, mengajar kaum keluarga diraja Pahang di istana dan mengajar orang awam. Selain itu, Haji Uthman juga merupakan guru kepada ramai tokoh besar Pahang seperti Mat Kilau, Haji Mat Daud Zainal Abidin dan Lebai Yusof.

Beliau menjadi Mufti Negeri Pahang selama 20 tahun sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1918. Beliau berkhidmat sebagai mufti di bawah tiga sultan iaitu Sultan Ahmad, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah. Hubungan seperti inilah telah menonjolkan peranan Sultan dalam memberi perhatian terhadap ilmu agama Islam di Pahang.

Selain
Haji Uthman Senik, Habib Syed Hassan al-Attas juga merupakan antara ulama yang
terkenal di Pahang. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat dan
Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Pahang ketika itu. Berikutan hubungan baik itu,
ia menjadi antara satu faktor yang memudahkannya mendirikan Madrasah al-Attas
di Pekan, Pahang dan Madrasah al-Attas di Kuala Tekal (kini nama madrasah itu
ialah Madrasah al-Islah). Madrasah yang ditubuhkan Habib Syed Hassan masih
berfungsi sehingga hari ini sebagai pusat pengajian agama Islam di negeri
Pahang.

Hukum Kanun Pahang

Sebelum kedatangan Islam, undang-undang yang diamalkan di negeri-negeri Melayu adalah undang-undang adat. Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, undang-undang Islam telah diserap masuk di samping undang-undang adat. Terdapat banyak penulisan undang-undang di Tanah Melayu antaranya Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Kedah, Hukum Kanun 99 Perak dan Hukum Kanun Melaka. Hukum Kanun Melaka dikatakan teks perundangan tertua di Tanah Melayu.

Mengenai
Hukum Kanun Melaka, ia bukan saja merupakan satu penulisan perundangan tetapi
juga bukti pengaruh Islam ke atas masyarakat Melayu. Hukum Kanun Melaka ini
secara jelas telah diresapi dengan unsur-unsur Islam yang bercampur aduk dengan
sistem adat tempatan. Motif utama penulisan hukum kanun ini ialah mengatur
kelangsungan masyarakat zaman itu agar dapat hidup dengan tenteram seperti yang
digambarkan sebagai sebuah empayar maritim Melayu yang cukup kompleks.
Kepentingan hukum kanun ini amat terserlah apabila kandungannya kemudiannya
disalin oleh negeri-negeri lain di Tanah Melayu termasuk Pahang untuk tujuan
sama.

Hukum Kanun Pahang telah digubal berasaskan Hukum Kanun Melaka dan sebahagian daripada fasal-fasal kanun itu turut diambil daripada Undang-Undang Johor. Hukum Kanun Pahang telah dijadikan sebagai perlembagaan negeri itu sejak tahun 1592 semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (Sultan Pahang Ke-12 yang mempunyai darah keturunan Sultan Melaka).

Lanjutan darpada itu juga, Pahang kemudian diisytiharkan sebagai Dar al-Islam (sebuah negara Islam) oleh Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah pada tahun sama. Hukum Kanun Pahang merupakan hukum kanun yang berkembang dan mendapat pengaruh besar undang-undang Islam jika dibandingkan dengan undang-undang adat Melayu dalam peruntukan-peruntukannya. Sepertimana Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang telah banyak menerapkan ajaran serta hukum Islam terutamanya dalam hukuman jenayah.

Wujudnya
serapan undang-undang Islam dalam Hukum Kanun Pahang yang menunjukkan peranan
sultan dalam mengaplikasikan ajaran Islam kepada masyarakat. Hukum Kanun Pahang
turut membuktikan kecenderungan sultan dalam mengatur hidup masyarakat
bersandarkan lunas-lunas hukum adat dan hukum syarak agar membolehkan negeri
bukan saja aman dan makmur tetapi juga rakyatnya hidup bahagia dan tenteram.

RUJUKAN:

Rosele, Muhammad Ikhlas, Abd Rahim, Rahimin Effendi dan Wan Ali, Wan Zailan Kamaruddin. (2018). PERANAN SULTAN DALAM PERKEMBANGAN ISLAM DI NEGERI PAHANG. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 29. Muka Surat 51-76.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet