Tanggal 28 Ogos tahun 2020, dalam suatu sidang media Abe Shinzo mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Jepun. Beliau mengakui bahawa beliau bergelut dengan masalah kesihatannya yang semakin memburuk. Beliau menghidapi penyakit ulcerative colitis – sejenis penyakit yang tidak boleh diubati yang menyebabkan usus perutnya mengalami keradangan serta ulcer dan boleh sampai tahap berdarah.

Beliau menegaskan bahawa taraf kesihatannya yang tidak berapa baik itu tidaklah sepatutnya membawa kepada pertimbangan dan keputusan politik yang salah. Kalau Abe jenis yang pentingkan diri, baik beliau diam dan teruskan saja kerjanya sebagai PM. Gaji pun lumayan. Kerana penyakitnya itu tidaklah sampai tahap tubuhnya lumpuh atau fikirannya tidak boleh berfungsi dengan baik. Namun atas rasa kebertanggungjawabannya itulah, beliau berbuat demikian walaupun penggal beliau masih berbaki.

Kata beliau, “Memandangkan saya tidak lagi dapat memenuhi jangkaan dan mandat rakyat Jepun, maka saya telah memutuskan bahawa saya tidak perlu kekal sebagai perdana menteri. Jadi saya memutuskan untuk undur diri.” (Denyer & Crawshaw, 2020). Penyakit yang beliau hidapi ini bukanlah baru, tetapi telah ditanggungnya sejak zaman sekolah menengah lagi. Malah, ini bukan pertama kali beliau meletakkan jawatan PM kerana pada tahun 2007, beliau turut mengundurkan diri atas sebab yang sama.

PM Abe Shinzo tunduk hormat semasa sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya
(Pool photo: Franck Robichon).

Walaupun telah bersara, sebagai veteran dan mentor politik yang sangat berpengaruh Abe masih aktif dalam memberikan ceramah-ceramah politik dan tunjuk ajar kepada pemimpin-pemimpin dalam parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP). Bak kata orang, dah lama makan garam. Boleh dikatakan bahawa sokongan rakyat terhadap LDP masih utuh kerana beliaulah. Nak harapkan pengganti beliau seperti Suga Yoshihide tempoh hari… terlalu banyak kritikan terhadap pentadbiran Suga sehingga mencacatkan reputasi LDP.

Apa-apapun, selepas bersara kehidupan Abe tampak lebih santai. Contohnya kita boleh perasan banyak gambar yang dikirim di akaun Instagramnya adalah gambar buah-buahan. Seronok Abe bergambar dengan buah oren, mangga, pisang kaki dan nenas. Ada buah yang diterimanya sebagai buah tangan dari orang ramai. Memang begitulah peribadinya, selamba dan tidak kekok dengan rakyat.

Namun siapa yang boleh jangka, ajalnya datang juga tetapi bukan disebabkan penyakit perutnya itu. Seperti yang telahpun tercatat dalam suratan takdir, 8 Julai menyaksikan seluruh dunia terkesima dengan berita Abe telah ditembak oleh seorang lelaki, bekas tentera laut (Japan Maritime Self-Defence Force) berumur lingkungan 40-an yang menggunakan sejenis senjata semacam shotgun, buatan sendiri. Motif tembakan masih dalam siasatan polis.

Abe ditembak di bandar Nara ketika berkempen. Nara menempatkan kompleks kuil Buddha yang terkemuka dan Nara juga pernah menjadi ibu kota Jepun lebih 1300 tahun yang lalu. Nara mungkin terkenal sebagai bandar yang membuddhakan Jepun tetapi selepas insiden ini, Nara juga akan lebih dikenali ramai untuk sebab yang lain.

Pemergian yang memedihkan. (Eugene Hoshiko/The Associated Press)

Merah mata PM Kishida ketika melaporkan kepada media keadaan Abe ketika itu. Merah menahan air mata. Beberapa jam selepas itu, pada pukul 5:03 petang waktu Jepun, Abe disahkan meninggal dunia selepas kehilangan darah yang terlalu banyak. Mendiang berusia 67 tahun. Sungguh kematian beliau tidak disangka-sangka, bagi sebuah negara yang sangat ketat undang-undang pemilikan senjata api seperti Jepun. Abe meninggalkan seorang balu bernama Matsuzaki Akie. Mereka tiada zuriat.

Dari Timur hingga ke Barat, tidak putus-putus ucapan takziah yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin global. Ratu Elizabeth, Emmanuel Macron, Boris Johnson, Tsai Ing-Wen, Vladimir Putin, Jacinda Ardern, Donald Trump, Yoon Suk Yeol, Justin Trudeau, YDPA Sultan Abdullah dan YAB PM Ismail Sabri – sekadar memetik beberapa nama yang terlintas. Tidak kurang juga daripada orang kebiasaan. Ucapan takziah yang penuh rasa dukacita dan hiba ini membanjiri sosial media seperti Twitter, Instagram, Facebook dan LINE.

Para pemimpin politik di Jepun, termasuklah pemimpin pembangkang dan pengkritik tegar mendiang, turut melahirkan rasa dukacita dan menyelar sekeras-kerasnya tindakan tersebut sebagai “gasar” dan “tidak boleh dimaafkan”. Sejurus mendapat khabar kematian Abe, PM Kishida “tidak mampu menzahirkan kekesalannya dengan kata-kata” dan menyifatkan doanya sia-sia (Schilling, 2022).

Memandangkan kejadian ini juga berlaku ketika hangat kempen pilihanraya Upper House Jepun sedang berlangsung, ramai yang mengecam insiden ini sebagai suatu serangan terhadap demokrasi itu sendiri. Disebabkan insiden ini juga, LDP menang lebih daripada 125 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan besar pakatan LDP-Komeito menunjukkan bahawa impian Abe untuk memperkukuh dan meningkatkan bajet untuk angkatan tentera Jepun, diterima awam (Al Jazeera, 2022).

Abe Shinzo, Keakrabannya Dengan Malaysia dan Warkah Terakhir di UIAM

Malaysia dan Jepun mempunyai suatu hubungan yang agak istimewa jika dibandingkan dengan negara-negara Asia yang lain. Hubungan itu amat akrab sehinggakan kerajaan Malaysia bawah Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu) melaksanakan dasar khas yang dipanggil Dasar Pandang Ke Timur (LEP) pada tahun 1982.

Pelaksanaan dasar ini melibatkan Menteri Luar Negeri Jepun ketika itu, iaitu Abe Shintaro, ayah kepada Abe Shinzo. Dikatakan juga bahawa Kishi Nobusuke merupakan pemimpin asing pertama yang menjejakkan kaki di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, sejurus selepas merdeka (Dzulkifli Abdul Razak, 2022). Siapa Kishi Nobusuke? Datuk kepada Abe Shinzo.

Walaupun dinamakan pandang ke Timur, tetapi yang sebenarnya apa yang Malaysia pandang bukanlah Timur. Malaysia pandang ke arah Jepun, itu yang utamanya. Tidak perlu berkias lagi. Sebagai negara yang pesat membangun dan lebih maju daripada beberapa buah negara Barat sendiri, Jepun bolehlah dijadikan contoh teladan kepada Malaysia dalam meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta (Azlina & Rohaini, 2018).

Lagi pula zaman itu, Malaysia mula beralih angin daripada meneruskan polisinya yang anglosentrik dengan beberapa pendekatan berani dan luar jangka seperti Dasar Buy British Last. Selama Dasar Pandang Ke Timur berkuatkuasa, kesan yang sangat memberangsangkan dapat dilihat dengan peningkatan pelaburan dan perdagangan di antara kedua-dua negara, peluang dalam bidang pendidikan yang bertambah dengan drastik, penerapan etika kerja menerusi sistem pengurusan ala Jepun dan sebagainya (Azlina & Rohaini, 2018).

Tahun 2022, genaplah 40 tahun Dasar Pandang Ke Timur telah terlaksana. Maka atas dasar hormat dan semangat setiakawan yang tinggi, diuruskan suatu rangka lawatan khas ke Malaysia dari 10 Mac sehingga 12 Mac 2022 bagi mantan PM Jepun itu (Bernama, 2022). Di Malaysia, selain pertemuannya dengan YAB PM Ismail Sabri, mendiang Abe juga sempat menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pertemuan Abe Shinzo dengan YDPA di Istana Negara (首相官邸ホームページ/CC-BY 4.0.)

Menurut akaun rasmi Istana Negara, dalam pertemuan tersebut YDPA telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada mendiang sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Penganugerahan ijazah kehormat itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada hubungan baik kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi yang membawa limpahan manfaat kepada dunia akademia (Hakim Mahari, 2022).

Penganugerahan itu juga dibuat selepas mengambil kira jasa dan peranan penting yang dimainkan mendiang dalam bidang ekonomi dan politik antarabangsa. Ini bukanlah kali pertama mendiang Abe menerima ijazah kehormat PhD kerana pada tahun 2015 misalnya, beliau dianugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Hubungan Antarabangsa dari Universiti Jawaharlal Nehru, India. Sebagai lambang penghormatan oleh masyarakat dunia, beliau juga pernah menerima beberapa darjah kebesaran dari Serbia, India, Amerika Syarikat, Brazil, Argentina, Sepanyol, Filipina, Saudi Arabia dan sebagainya.

Di UIAM, mendiang Abe sempat menyampaikan Syarahan Perdana Profesor (Professorial Lecture) yang bertajuk Lecture Commemorating the 40th Anniversary of the Look East Policy. Video syarahannya itu boleh diakses di sini. Memulakan syarahannya itu, Abe menyatakan betapa beliau berasa serasi dengan Malaysia kerana beliau, bapanya dan datuknya, ketiga-tiga mereka pernah berurusan terus dengan Malaysia.

Abe turut menyentuh tentang kisah Allahyarham Abdul Razak iaitu bapa kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli, Rektor UIAM. Kata beliau, Allahyarham Abdul Razak merupakan pelajar Malaysia yang diberikan peluang belajar di Universiti Hiroshima semasa Perang Dunia Kedua dan menariknya, Allahyarham terselamat daripada serangan bom atom di Hiroshima. Abe kemudiannya memuji Allahyarham Abdul Razak sebagai individu yang banyak menyumbang kepada kejayaan LEP.

Abe juga menekankan bagaimana LEP berjaya membuka ruang kepada kira-kira 26,000 orang pelajar Malaysia untuk menimba ilmu dan pengalaman berharga di Jepun. Dan lebih ramai lagi alumni Malaysia didikan Jepun ini telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan negara dalam pelbagai bidang. Pujian Abe terhadap Malaysia tidak berhenti di situ, malah mendiang turut melahirkan rasa kagum dengan menara-menara pencakar langit yang baru dibina di Malaysia. Bagi beliau, pembinaan bangunan-bangunan mencecah langit itu menandakan potensi pembangunan Malaysia di masa hadapan.

Dalam ucapan itu, selebihnya Abe menyentuh antara lainnya berkenaan kolaborasi ekonomi Malaysia-Jepun pascapandemik COVID-19, pendigitalan infrastruktur, kerjasama berterusan dalam bidang pendidikan, peri pentingnya isu perubahan iklim, minat anak muda terhadap manga dan anime yang wajar disemarakkan lagi, kerjasama dalam merealisasikan “Free and Open Indo-Pacific” serta gesaan untuk menghayati konsep wasatiyyah seperti yang diajarkan dalam Islam. Abe turut membayangkan bahawa ada persamaan di antara nilai-nilai Islam dengan nilai-nilai ke-Jepun-an. Diakhiri dengan “Ribuan Terima Kasih”, kiranya inilah “warkah terakhir” mendiang Abe kepada Malaysia.

Patriotisme, Perkara 9 dan Abe Shinzo Sebagai Jaguh Politik Antarabangsa

Populariti Abe Shinzo dapat diterjemahkan juga dengan keputusan pilihanraya umum Jepun 2012, 2014 dan 2017. Dalam ketiga-tiga PRU ini, LDP menang bergaya dengan majoriti yang agak besar. Yang demikian itu adalah referendum rakyat Jepun yang umumnya menyokong dan meraikan dasar kerajaan dan kepimpinan Abe selama beliau menjadi PM. Walaupun Abe nampak semacam boleh diterima rakyat Jepun, namun beliau tidak terlepas daripada kontroversi, sama ada dalam negara atau luar negara. Walaupun sebenarnya, kontroversinya itu bukanlah sesuatu yang buruk tetapi lebih kepada sengaja ditokok tambah dan diburuk-burukkan oleh musuh politiknya.

Sebagai contoh, Abe sendiri memang dikenali sebagai seorang pemimpin Jepun sayap kanan yang konservatif, nasionalis dan pro-monarki. Dan fikrahnya ini sudah tentu mempengaruhi polisi kerajaan bawah kepimpinannya itu. Tahun 2014, dalam sesi temubual dengan wartawan majalah TIMES, wartawan bertanyakan kepada beliau apa yang beliau fikirkan tentang patriotisme. Apa itu patriotisme? Patriotisme boleh difahami sebagai rasa kasih, cinta dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air. Seseorang yang patriotik akan sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan negara.

Tanpa segan silu Abe menjawab, “Saya seorang patriot.” Bagi Abe, beliau percaya bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan untuk menghapuskan mentaliti ‘hamba’ dan inferiority complex yang sudah sekian lama bersarang dalam kepala rakyat Jepun, sejak kalahnya Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Ada sesuatu yang perlu dilakukan supaya ‘semangat’ Jepun kembali pulih.

Sumber: TIME

Usah takut dengan bayang-bayang sendiri dan sampai bila pula perlu mereka memegang watak ‘jahat’? Tanpa menafikan kekejaman yang pernah dilakukan negara itu, yang dilakukan oleh nenek moyang mereka dan bukannya mereka, pada masa yang sama, bangsa yang tersekat dalam sisi sejarahnya yang gelap semata-mata, tidak akan mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Peribahasa Jepun sendiri ada yang menyebut, “Jatuh 7 kali, bangkit 8 kali.”

Lagi pula, China sangat agresif dalam meluaskan pengaruh dan wilayah mereka di Indo-Pasifik dan ancaman seperti ini tidak boleh dipandang ringan Abe. China tidak hiraukan undang-undang antarabangsa. Di Laut Natuna (Laut China Selatan), Malaysia juga tidak ketinggalan diceroboh kapal milik China yang lengkap bersenjata. Bukan sekali dua, tetapi berpuluh-puluh kali.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 menyatakan bahawa perairan negara diceroboh sebanyak 89 kali antara 2016-2019 (Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, 2022). Insiden tahun lepas masih mekar dalam ingatan tatkala rakyat Malaysia digemparkan dengan pencerobohan 16 pesawat tentera China berhampiran Borneo (Ahmad Suhael Adnan, 2021).

Selama bertahun-tahun, Jepun juga sering digertak dan diugut China dalam isu pertikaian wilayah yang melibatkan Kepulauan Senkaku (atau Diaoyu). Taktik serupa juga diguna pakai China dengan menceroboh kepulauan Senkaku menggunakan kapal perang. Bulan lepas, China sekali lagi menceroboh perairan Senkaku tetapi lebih merisaukan kerana pencerobohan kali ini, buat julung-julung kalinya dibuat bersama-sama kapal perang milik Rusia (Mari Yamaguchi, 2022).

Jika tiada negara seperti Jepun yang mampu untuk memainkan peranan check and balance terhadap China, maka bermahajalelalah China sesuka hati dengan pendekatannya yang membuli itu. Abe memandang serius kebangkitan China dengan cara meletakkan Jepun sebagai sekutu paling rapat Amerika Syarikat di Asia. Suka atau tidak, itu belakang kira kerana “enemy of my enemy is my friend”.

Tidak cukup dengan Amerika Syarikat, Abe turut mengemukakan gagasan “Asia’s Security Diamond” dalam bentuk QUAD yang turut melibatkan India dan Australia (Ayman Rashdan Wong, 2022). Ini selaras dengan visi Abe untuk memperjuangkan suatu wilayah Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka atau Free and Open Indo-Pacific (FOIP). Indo-Pasifik di sini merujuk kepada Laut Hindi, Laut Pasifik dan kawasan perairan di antara kedua-duanya.

Langkahnya ini membuatkan Jepun semakin sohor dalam arena politik antarabangsa. Kalau sebelum ini orang tidak mengenali siapa PM Jepun, tapi zaman Abe orang kenal. Keberanian mendiang berdepan dengan ancaman China wajar dipuji. Tidak hairanlah jika Abe disifatkan sebagai “hawkish” dan “domineering” kerana beliau bukanlah jenis pemimpin yang suka diinjak-injak. Polisi ekonominya seperti Abenomics juga memberi kesan positif kepada pemulihan ekonomi Jepun.

Menurut beberapa tinjauan pendapat, Jepun menjadi negara yang paling boleh dipercayai di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan (Green & Szechenyi, 2020). Tatkala ada negara yang penduduknya majoriti Muslim tidak berani untuk bersuara tentang penindasan etnik Uyghur oleh rejim Xi Jinping, Abe pula konsisten mengkritik China dalam isu itu (World Uyghur Congress, 2022). Cara Abe yang kelihatan agak keras terhadap China ini memang menimbulkan rasa kurang senang rakyat republik itu.

Walaupun Presiden Xi Jinping sendiri mengucapkan takziah dengan insiden yang berlaku terhadap Abe, namun rakyat China ada yang bergembira dan berpesta sakan seperti video yang tular baru-baru ini. Rakyat China mungkin menentang pendekatan nasionalisme Abe namun rakyat China sendiri lupa bahawalah kebiadapan China lah yang sebenarnya menyumbang kepada bertambahnya angka nasionalis di Jepun. Meluat dengan keangkuhan yang dizahirkan Beijing.

Video yang menunjukkan sebuah kelab malam di China menghina kematian Abe Shinzo

Ancaman China (selain Korea Utara) ini jugalah yang memaksa Abe untuk memacu usaha untuk meminda Perkara 9. Perlembagaan Jepun dan segala peruntukan di dalamnya dirangka oleh geng “si pemenang” yang diketuai Jeneral MacArthur selepas Jepun kalah Perang Dunia Kedua.

Salah satu peruntukan yang agak ganjil dan bersifat punitif adalah Perkara 9. Perkara 9 tidak membenarkan Jepun memiliki pasukan tentera sendiri yang mempunyai potensi untuk perang. Pasukan tenteranya tidak dipanggil tentera per se, tetapi lebih kepada angkatan bersenjata yang dipanggil Japan Self-Defense Forces (JSDF).

Perkara 9 hanya membenarkan Jepun untuk bertahan dan tidak boleh menyerang. Perlu tunggu diceroboh, diserang, dilanyak dan diranapkan dulu. Serahkan tengkuk sahaja. Jika Jepun satu-satunya negara yang dihalang untuk berperang, tiada maknanya juga jika semua negara lain tidak berkongsi objektif yang sama.

Peruntukan ini turut menghalang Jepun daripada menghulurkan bantuan ketenteraan kepada sekutunya dalam konflik yang tidak melibatkan Jepun secara langsung. Malah, golongan pasifis di Jepun mentafsir Perkara 9 sebagai peruntukan perlembagaan yang mengharamkan JSDF secara total. Bagi mereka, tidak perlu langsung apa-apa tentera atau pasukan keselamatan.

Abe mengkritik Perkara 9 kerana peruntukan ini seolah-olah memandulkan Jepun daripadanya haknya yang semula jadi, iaitu hak untuk mempunyai pasukan pertahanan yang boleh berfungsi sepenuhnya. Bawah Perkara 9, peranan JSDF sebenarnya kabur dan boleh menimbulkan kekeliruan. Peruntukan ini juga menghalang Jepun daripada memiliki peluru berpandu sendiri.

Kritikan Abe terhadap Perkara 9 menunjukkan bahawa golongan pasifis dan sebahagian besar masih tidak cakna akan ancaman yang memuncak dari China dan Korea Utara. Kalau China dengan pendekatannya yang suka menyondol, Korea Utara pula dengan tindakan bravado melulu seperti melancarkan peluru berpandu ke laut Jepun. Abe sendiri pernah terlibat dalam isu Korea Utara yang suka menculik rakyat Jepun, tahu benarlah dia dengan perangai Korea Utara.

Ancaman depan mata seperti ini gagal diteladani golongan pasifis anti-tentera di Jepun. Selama lebih 70 tahun Perkara 9 tidak pernah dipinda (Duncan, 2016). Ini menunjukkan bahawa Perkara 9 tidak suai zaman. Dan jika diperhatikan semula, Jerman dan Itali juga kalah Perang Dunia Kedua, tetapi tidak pula ada dipaksakan peruntukan seperti ini dalam perlembagaan mereka.

Maka impian Abe ini ada asasnya juga. Abe bukan militaris, cuma Abe berpijak di bumi yang nyata. Berpijak di bumi sendiri yang sekiranya tersalah langkah, boleh jadi milik orang. Walaupun Abe tidak dapat merealisasikan pindaan Perkara 9 semasa beliau masih bernyawa, namun PM Kishida telah memberikan bayangan bahawa kerajaan pimpinan beliau akan meneruskan usaha untuk meminda perlembagaan yang bolehlah dianggap lapuk itu (Al Jazeera, 2022).

Masa depan Jepun nampaknya lebih kelam dan sukar untuk diramalkan memandangkan tiada sebarang petanda yang mana-mana pemimpinnya hari ini komited untuk meneruskan aspirasi dan menyambung legasi Abe. Jika ada mana-mana pemimpin Jepun yang boleh buat lebih baik daripada Abe, ataupun sekurang-kurangnya setaraf Abe, maka itulah yang diharapkan. Akhir kata, matinya Abe Shinzo bukan bermakna Abe Shinzo saja yang mati. Tetapi matinya Abe Shinzo bermakna matilah separuh Jepun itu sendiri…

Sayonara, Abe-san.


Artikel penghargaan kepada mendiang Abe ini dikarang bersama oleh Fariz Fadzilah dan Waqqas Zulfiquer, kedua-duanya penulis buku berjudul Kitab Tamadun Jepun. Link pembelian: https://mall.shopee.com.my/The-Patriots-Kitab-Tamadun-Jepun-i.238336777.17556954102

RUJUKAN

Ahmad Suhael Adnan. (2021). Malaysia hantar nota bantahan 16 pesawat China ceroboh ruang udara. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/823368/malaysia-hantar-nota-bantahan-16-pesawat-china-ceroboh-ruang-udara

Al Jazeera. (2022). Japan ruling bloc sweeps upper house election after Abe’s killing. Retrieved from https://www.aljazeera.com/news/2022/7/11/japans-ldp-sweeps-upper-house-election-after-abes-killing

Ayman Rashdan Wong. (2022). Antara legasi terpenting… Retrieved from https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/pfbid0LmTzB1TgLMCtwdeMAmxDLKJeixB7dbFfixTJsDWtjSoAubzf8nRvq3sTmTQtM78tl

Azlina Endut & Rohaini Amin. (2018). PELAKSANAAN DASAR PANDANG KE TIMUR DAN IMPAKNYA TERHADAP PEMBANGUNAN KOMUNITI DI MALAYSIA. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Retrieved from http://conference.kuis.edu.my/pasak3/images/eprosiding1/PASAK3_1124.pdf

Bernama. (2022). Japan’s former PM Shinzo Abe on special visit to Malaysia. Retrieved from https://www.nst.com.my/news/nation/2022/03/778994/japans-former-pm-shinzo-abe-special-visit-malaysia

Denyer, S. & Crawshaw, D. (2020). Japanese Prime Minister Shinzo Abe resigns, citing health reasons. Retrieved from https://www.washingtonpost.com/world/asia_pacific/shinzo-abe-japan-prime-minister-resign-ill-health/2020/08/28/1e20d8a8-e8ed-11ea-bf44-0d31c85838a5_story.html

Duncan, G. (2016). Reforming Japan: Measuring the Success of the Allied Occupation’s Economic Educational and Constitutional. Retrieved from https://digitalworks.union.edu/cgi/viewcontent.cgi?article=1143&context=theses

Dzulkifli Abdul Razak. (2022). Celebrating Malaysia-Japan shared values 40 years on. Retrieved from https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2022/03/780044/celebrating-malaysia-japan-shared-values-40-years

Green, M. J. & Szechenyi, N. (2020). Shinzo Abe’s Decision to Step Down. Retrieved from https://www.csis.org/analysis/shinzo-abes-decision-step-down

Hakim Mahari. (2022). Honorary Doctorate in Political Economy for Shinzo Abe. Retrieved from https://news.iium.edu.my/?p=163089

Mari Yamaguchi. (2022). Japan sights China, Russia warships near disputed islands. Retrieved from https://abcnews.go.com/International/wireStory/japan-sights-china-russia-warships-disputed-islands-86177724

Mohamad Hafiz Yusoff Bakri. (2022). Kapal China ceroboh Malaysia lagi? Retrieved from https://www.utusan.com.my/nasional/2022/02/kapal-china-ceroboh-malaysia-lagi/

Schilling, M. (2022). Japan Expresses Anger and Sorrow Over ‘Barbaric’ Shinzo Abe Assassination. Retrieved from https://variety.com/2022/politics/global/shinzo-abe-assassination-japan-1235311787/

World Uyghur Congress. (2022). PRESS RELEASE: THE WUC MOURNS THE DEATH OF FORMER JAPAN PM SHINZO ABE. Retrieved from https://www.uyghurcongress.org/en/press-release-the-wuc-mourns-the-death-of-former-japan-pm-shinzo-abe/

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Leave A Reply