Selalunya, bila sebut gladiator, kita membayangkan gladiator lelaki yang dilakonkan Russell Crowe dalam filem Gladiator (2000).
Tetapi hakikatnya, gladiator perempuan juga wujud semasa era Rom. Seperti gladiator lelaki, mereka juga turun ke gelanggang dan berlawan dengan pelbagai jenis senjata atas nama hiburan awam. Tetapi ia tidaklah seganas pertarungan gladiator biasa.
Berdasarkan rekod sejarah, wanita mula berlawan sesama mereka sebagai hiburan pasca-makan malam pada abad pertama SM. Menjelang era Nero, Titus dan Domitian, gladiator wanita turun bertanding di gelanggang dan berlawan dengan binatang buas, orang kerdil dan gladiator wanita lain. Malah di kota Pompeii, wanita juga turut tampil sebagai gladiator.
Menurut Profesor David S. Potter dari Universiti Michigan, penyertaan wanita Rom sebagai gladiator bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana ia disertai oleh wanita pelbagai lapisan masyarakat dari golongan atasan hinggalah golongan hamba. Selain itu, ia juga peluang untuk menjana pendapatan tambahan bagi mereka.
Tambah Prof Potter lagi, wanita Rom sememangnya digalakkan aktif dalam sebarang acara sukan. Ia bukan sekadar membantu mereka menjaga bentuk badan masing-masing. Malah, ia dikatakan mampu membantu mereka tahan lasak apabila melahirkan anak.
Bagi yang ada kemampuan dari segi kewangan dan masa, mereka boleh saja berbuat demikian. Malah, jika ada yang cemerlang beraksi dalam acara gusti, sesetengah pengurus kumpulan gladiator menggalakkan mereka mencuba nasib. Sudahlah mendapat hadiah kewangan lumayan, malah mereka mendapat sanjungan dalam kalangan penonton di amfiteater.
Bagaimanapun, pihak Senat yang agak malu melihat kelibat wanita kelas atasan dan pertengahan beraksi sebagai gladiator memilih menggubal satu undang-undang pada 11 dan 19 Masihi. Menerusi dua undang-undang ini, wanita dua kelas sosial ini tidak dibenarkan menyertai acara gladiator. Tetapi itu tidak menghalang ramai wanita berbuat demikian untuk dua abad berikutnya.
Buktinya, artifak ukiran timbul yang menonjolkan dua imej gladiator wanita yang ditemui sekitar Halicarnassus, Turki. Ukiran timbul ini menunjukkan kedua-duanya bertarung menggunakan pedang, perisai dan pelindung kaki. Kedua-duanya turut diberi nama Amazon dan Achillia bersempena dua figura terkenal dalam mitologi Yunani. Kini, artifak ini dipamerkan di Muzium British.
Penulis-penulis Rom turut menceritakan anekdot gladiator wanita dalam catatan mereka. Cassius Dio merekodkan Nero mengarahkan lelaki dan wanita bertarung sebagai gladiator pada 59 Masihi dengan sesetengah bertarung dalam keadaan terpaksa. Tujuh tahun kemudian, gladiator wanita bertarung di gelanggang sebagai cara memperingati bonda Nero, Agrippina Si Muda (Agrippina the Younger) yang dibunuh atas titah baginda.
Di sebalik semua ini, masyarakat Rom memandang hina penglibatan wanita dalam arena gladiator. Malah, setiap kali mereka mendapat tahu wanita berkahwin turun ke gelanggang sebagai gladiator, suami wanita-wanita ini akan dikecam sebagai dayus dan pengecut. Atas sebab inilah, Maharaja Septimius Severus mengharamkan semua bentuk gladiator wanita pada 200 Masihi.
RUJUKAN
Beck, M. (2022, 16 Mac). Did Women Fight as Gladiators in Ancient Rome?. History.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih