Kemakmuran ekonomi Korea Selatan hari ini amat bertepatan dengan statusnya sebagai sebuah negara Asia yang maju. Tetapi tidak ramai tahu, kemakmuran ini disumbang oleh satu kelompok jutawan dan ahli perniagaan yang dikenali sebagai chaebol. Dan kemakmuran ini suka atau tidak, diasaskan oleh ketidaksaksamaan pendapatan, penipuan, penindasan dan rasuah.

Secara ringkas, chaebol ialah syarikat-syarikat yang dimiliki dan diuruskan oleh keluarga-keluarga dan mempunyai anak-anak syarikat dalam pelbagai bidang. Bagi membolehkan anak-anak syarikat ini dapat dikawal dengan mudah, chaebol biasanya meletakkan ahli keluarga sebagai pemilik atau orang penting dalam struktur pengurusan.

Jadi, bagaimana chaebol ini timbul? Seorang individu yang patut dipersalahkan – presiden pertama Korea Selatan, Syngman Rhee. Rhee yang terdesak mendapatkan wang untuk membiayai pasukan tentera Korea Selatan bagi menghadapi Perang Korea bersetuju menjual banyak aset milik kerajaan termasuk syarikat-syarikat kepada sekumpulan peniaga.

Harga bagi setiap aset ditentukan melalui rundingan rahsia dan bukan melalui sesi lelongan terbuka. Seperti kumpulan zaibatsu yang muncul di Jepun pra-Perang Dunia Kedua (WWII), kumpulan peniaga yang memiliki aset-aset ini kemudiannya menjadi chaebol.

Para chaebol menyangka nasib mereka menjadi malang susulan rampasan kuasa yang digerakkan Park Chung-hee pada 1961. Susulan itu, ramai chaebol ditahan atas tuduhan mengumpul kekayaan dengan cara tidak sah.

Tetapi tidak lama selepas itu, Chung-hee mengadakan perbincangan secara rahsia dengan mereka. Beliau mahu Seoul mengikut jejak langkah Jepun menjadi negara maju melalui dasar perindustrian. Para chaebol pada dasarnya bersetuju menyokong polisi Chung-hee termasuk dari segi import dan eksport. Sebagai tukaran, Seoul bersedia memberi pinjaman mata wang asing kepada mereka pada kadar  faedah di bawah pasaran.

Bagi memastikan beliau sentiasa bergantung kepada mereka, para chaebol turut menyumbang wang sebanyak AS$200 juta kepada kempen pemilihan presiden Chung-hee. Ia dalam bentuk kadar komisyen pinjaman sekitar 10 hingga 15% – nama lain untuk rasuah.

Kuncinya di sini ialah para chaebol perlu menjaga hubungan baik dengan para politikus bagi memastikan kelebihan yang dinikmati tidak ditarik balik. Semasa era Chung-hee, beliau mempunyai hubungan erat dengan Chung Ju-young (Hyundai), Lee Byung-chul (Samsung) dan Kim Woo-jung (Daewoo).

Chung Ju-young (kiri) dan Lee Byung-chul (kanan). Kedua-duanya antara penerima manfaat hubungan chaebol-kerajaan pimpinan Park Chung-hee. Sumber: Korea Times.

Bilangan rasuah yang diberi juga bertambah setiap tahun. Kerajaan Chung-hee menerima sumbangan sebanyak 800 juta won sebelum tahun 1972 daripada para chaebol. Bilangan tersebut kemudiannya berubah kepada 1.5 bilion won selepas 1972. Disebabkan hubungan baik kedua-dua pihak, polisi kerajaan disokong sebagai tukaran kepada semua kelebihan yang dinikmati untuk tempoh 20 tahun seterusnya.

Salah satunya ialah pada 1971. Pada tahun tersebut, para chaebol mula berpeluh-peluh selepas melihat syarikat yang diusahakan berdepan masalah kewangan. Lantas, mereka meminta pihak kerajaan untuk campur tangan dan membantu mereka keluar daripada situasi tersebut. Pada akhirnya, Seoul campur tangan tetapi mengakibatkan banyak peminjam wang swasta berdepan masalah kewangan.

Tetapi semua ini berubah apabila junta tentera diketuai Chun Do-hwan merampas kuasa pada 1980. Menjelang tempoh tersebut, chaebol telah menyumbang 20% daripada KDNK Korea Selatan. Sementara 8.6 perusahaan perindustrian atau 20-40 buah syarikat perindustrian dikawal oleh chaebol pada tempoh sama.

Akibatnya, peratusan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) Korea Selatan hanya tumbuh 10% dalam tempoh 1976 hingga 1986. Tetapi dari segi saiz firma, ia meningkat kepada 176% dalam tempoh sama. Ini sama sekali berbeza dengan Taiwan yang mencatat pertumbuhan IKS sebanyak 150% dan saiz firma sebanyak 29% dalam tempoh sama.

Dengan saiz kekayaan yang berkali ganda lebih banyak daripada warga biasa, tidak hairanlah mengapa rakyat Korea Selatan bengang dengan chaebol. Benar, mereka mendapat gaji yang tinggi. Tetapi mereka mahukan lebih daripada itu seperti aspek kebajikan dan persekitaran tempat kerja ditambahbaik. Akibat tekanan daripada rakyat, kerajaan mula memperkenalkan pelbagai peraturan untuk mengawal chaebol.

Tetapi ini satu realiti yang perlu dihadapi warga Korea Selatan. Tidak kira siapa di atas, mereka amat memerlukan wang untuk memperjuangkan aspirasi politik mereka. Baik Chung-hee hinggalah bakal presiden Yoon Suk-yeol memerlukan sumbangan politik chaebol untuk meneruskan perjuangan mereka.

Do-hwan dikatakan menerima antara 15 hingga 22 bilion won sebagai derma politik oleh pihak chaebol. Sementara penggantinya, Roh Tae-woo pula menerima 21-25 bilion won daripada pihak sama.

Apabila Korea Selatan mengadakan pilihan raya bebas dan adil pada akhir 80-an, ramai menyangka ia merupakan permulaan pengakhiran chaebol. Tetapi hakikatnya, parti-parti politik dan politikus kesempitan wang untuk semua aktiviti politik mereka termasuk kempen pilihan raya. Akibatnya, ramai terpaksa berpaling kepada chaebol dan terpaksa tunduk kepada syarat-syarat mereka.

Contoh paling mudah, 1988. Pada tahun tersebut, Daewoo mempengaruhi ahli politik Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly/Parlimen versi Korea Selatan) untuk menggubal satu undang-undang untuk memaksa kerajaan menyelamatkan anak syarikat mereka, Daewoo Shipbuilding Company.

Selain itu, mereka turut memaksa politikus memberi akses kepada pelbagai reformasi pasaran termasuk akses pinjaman mata wang asing. Pinjaman ini bukan sekadar membantu mereka berkembang maju. Malah, ia juga menjadi pencetus kejatuhan mereka terutama apabila rantau Asia dilanda krisis kewangan 1997.

Di samping itu, mereka juga turut mempengaruhi politikus mewujudkan undang-undang yang membenarkan mereka mempunyai pegangan minoriti dalam institusi-institusi kewangan swasta. Ini bagi membantu menyembunyikan saiz sebenar syarikat mereka di khalayak awam.

Contohnya, konglomerat Samsung yang dikawal oleh keluarga Lee. Mereka mempunyai pegangan saham minoriti dalam banyak anak syarikat milik Samsung. Tetapi menerusi pegangan itulah, mereka mengawal seluruh operasi anak-anak syarikat konglomerat berkenaan.

Disebabkan struktur pemilikan syarikat yang rumit, tiada siapa tahu syarikat mana yang untung dan syarikat mana yang rugi. Anak-anak syarikat yang untung diarah menyokong anak-anak syarikat yang bermasalah. Ini menyumbang kepada ketidakcekapan di pasaran dan terlalu banyak syarikat dalam sektor ekonomi yang sama.

Pasca-krisis kewangan 1997, pentadbiran Presiden Kim Dae-jung dan Roh Moo-hyun memperkenalkan pelbagai reformasi terhadap chaebol. Ini bagi memastikan kesilapan polisi sebelum ini tidak berulang sekaligus membawa kepada masalah kewangan negara itu. Antara reformasi yang diperkenalkan ialah mengehadkan kapasiti hutang dan meringkaskan struktur pemilikan merentasi syarikat.

Walaupun sesetengah polisi ini berjaya, ia meninggalkan kesan kepada chaebol yang terkesan. Bagi mematuhi had hutang setakat 200%, syarikat perkapalan Hanjin terpaksa menjual dan menyewakan kapal-kapal mereka bagi memastikan mereka terus kekal beroperasi.

Tindakan meringkaskan struktur pemilikan merentasi syarikat turut membantu meningkatkan keuntungan pelabur minoriti dari 2.2 trilion won (2001) kepada 10.8 trilion won pada 2006.

Krisis kewangan 1997 dan reformasi kerajaan turut mendorong para chaebol beralih arah kepada pasaran luar. Dengan Seoul memeterai banyak perjanjian dagangan bebas (FTA) pada dekad 2000, pasaran luar menjanjikan lebih banyak keuntungan kepada mereka. Samsung misalnya mendapati 80% pendapatan mereka datang daripada pasaran antarabangsa.

Keputusan ini membantu merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi Korea Selatan terutama dari segi eksport. Dari 1998 hingga 2010, purata kadar pertumbuhan ekonomi Seoul ialah sekitar 5%. Tetapi hakikatnya, hanya segelintir – lebih tepat kelompok 1% yang menikmati laba pertumbuhan. Bagi rakyat biasa, ketidaksaksamaan pendapatan mereka pula terus melebar dari tahun ke tahun.

Dalam sektor perindustrian misalnya pada 2013, syarikat-syarikat chaebol menyumbang 50% kepada pendapatan dan output industri berkenaan. Tetapi hanya 20% yang direkrut untuk bekerja di sektor berkenaan oleh syarikat-syarikat ini.

Ini disebabkan oleh kompromi kedua-dua pihak pasca-krisis kewangan 1997. Sebagai tukaran kepada lebih banyak keuntungan bagi membantu mereka menyelesaikan hutang kewangan akibat krisis berkenaan, pihak chaebol mahu diberi lebih banyak kelonggaran dari segi perlepasan pekerja.

Disebabkan persetujuan Seoul, bukan sedikit pekerja dilepaskan sekaligus mengakibatkan mereka berdepan masalah mencari pekerjaan tetap. Ini memaksa mereka mencari pekerjaan sambilan untuk menyara kehidupan. Sementara kadar kemiskinan warga emas empat kali ganda melepasi purata kadar sama OECD.

Akibat isu ini, ramai berharap pemilihan Lee Myung-bak sebagai presiden pada 2007 dapat mengatasi isu ini. Myung-bak mempunyai keinginan untuk mengembalikan Korea Selatan kembali ke era kemakmuran yang dinikmati semasa era Chung-hee.

Tetapi tidak seperti presiden itu, beliau gagal memujuk para chaebol untuk mengubah cara mereka termasuk melabur dalam industri-industri baru seperti tenaga angin dan komputer kuantum. Pada akhirnya, Myung-bak bukan saja gagal merealisasikan janjinya itu. Malah, pada 2018, beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan penipuan cukai, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pada 2012, rakyat Korea memilih Park Geun-hye sebagai pengganti Myung-bak. Walaupun merupakan anak kepada Chung-hee, platform kempen beliau ialah memberi penekanan kepada aspek kebajikan rakyat. Tetapi malangnya, beliau tidak menyatakan sokongan kepada cukai keuntungan modal (CGT) yang lebih tinggi – kunci untuk merapatkan jurang kekayaan rakyat Korea Selatan.

Akibat gejala rasuah yang berleluasa membabitkan chaebol dan agensi-agensi kerajaan, rakyat merasa penangan ‘buah larangan’ ini. Pada 2014, Korea Selatan dikejutkan dengan insiden karamnya feri MV Sewol. Insiden tersebut mengakibatkan 304 orang terbunuh termasuk 250 pelajar Sekolah Tinggi Anwon (Ansan City).

Imej Feri MV Sewol yang karam pada 16 April 2014.

Ramai berpandangan insiden ini berlaku disebabkan oleh tindakan agensi kerajaan memandang sepi kesalahan yang dilakukan oleh chaebol – dalam kes ini Chonghaejin Marine. Kegagalan agensi kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka menjadi pencetus tragedi tersebut. Tragedi MV Sewol turut menjadi batu asas kepada kejatuhan Geun-hye pada Disember 2016.

Walaupun penggantinya, Moon Jae-in cuba mengawal chaebol menerusi kadar cukai lebih tinggi dan reformasi perniagaan, ia langsung tidak memberi kesan kepada mereka. Situasi pandemik Covid-19 turut mengakibatkan Seoul terpaksa memperlahankan usaha menekan chaebol.

Kini dengan Suk-yeol bakal menggantikan Jae-in tidak lama lagi, ramai berharap agenda ini dapat direalisasikan. Tetapi dengan pendedahan salah laku calon-calon presiden Korea Selatan semasa kempen mereka tidak lama dahulu, ramai merasakan usaha menentang chaebol ibarat mencurah air ke daun keladi.

Tetapi pada masa sama, sampai bila hal ini akan berterusan? Selagi pemimpin Korea tidak mempunyai hati kering untuk merealisasikan agenda ini termasuk membebaskan diri daripada pengaruh chaebol, selagi itu ia bersifat angan-angan Mat Jenin.

Nota kaki

hati kering – tiada belas kasihan

OECD – akronim untuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi

zaibatsu – konglomerat-konglomerat Jepun yang mengawal ekonomi negara itu sejak era Pemulihan Meiji sehinggalah akhir WWII

RUJUKAN

Asianometry. (2022, 18 Mac). How the Rich Ate South Korea

Sumber gambar: Koji Uema/Monthly Review


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply