Setiap kali menonton filem genre kecurian/rompakan (heist), protagonis sentiasa mengingatkan krewnya bahawa kelajuan merupakan kunci kejayaan setiap rompakan. Baik Inception hinggalah Ocean’s Eleven dan Fast & Furious 5, elemen ini amat ditekankan. Tetapi ia gagal difahami dengan baik oleh para panglima Alexander the Great.
Susulan kemangkatan pemerintah Macedon itu pada 323 SM, tiada siapa mengetahui siapa pengganti baginda yang seterusnya. Alexander mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Tetapi bagi ramai individu berkepentingan, inilah juga peluang untuk mengukuhkan tuntutan mereka terhadap takhta empayar yang luas itu.
Salah seorang yang mengintai peluang ialah Perdiccas, jeneral tentera Alexander. Beliau berharap dengan menyempurnakan upacara pemakaman baginda sekitar Anatolia, ia cukup untuk mengukuhkan tuntutannya mengambil alih takhta. Anatolia dipilih kerana itu merupakan pusat pemerintahan tidak langsung Perdiccas.
Tetapi salah seorang pesaingnya kurang senang dengan idea Alexander dimakamkan di situ. Bagi pengasas Dinasti Ptolemy dan Gabenor Macedon Mesir, Ptolemy, lebih baik baginda dimakamkan di Mesir. Selain bertujuan mengukuhkan kedudukannya, ia juga wilayah yang menempatkan kota yang diasaskannya iaitu Iskandariah.
Lantas, Ptolemy berpakat dengan Jeneral Arrhidaeus yang mengetuai rombongan membawa keranda emas Alexander agar mengalihkan perjalanan ke Memphis, Mesir setibanya mereka di utara Syria. Tetapi satu halangan menyukarkan rancangan ‘rompakan’ ini: pergerakan 64 ekor keldai yang perlahan.
Hal ini disedari oleh Perdiccas selepas mendapat tahu rombongan Arrhidaeus bergerak ke arah Memphis. Bagi menyekat pergerakan mereka, satu pasukan kecil digerakkan bagi memintas mereka. Malangnya, Ptolemy turut mendapat idea sama bagi membantu rombongan Arrhidaeus tiba di Mesir.
Lantas, beliau menggerakkan ketumbukan tentera Yunani yang besar untuk ‘menyambut’ rombongannya di selatan Damsyik. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Ptolemy beralasan ia dilihat sesuai dengan status Alexander sebagai pembina empayar.
Sedar pasukan mereka tidak boleh menandingi angkatan Ptolemy, angkatan kecil Perdiccas berangkat pulang. Sementara rombongan Arrhidaeus meneruskan perjalanan ke Mesir dan menyempurnakan upacara pemakaman di Memphis.
Tetapi itu bukan bermakna pertarungan merebut jasad Alexander sudah berakhir. Pembesar-pembesar Macedon yang ingin merebut kuasa kemudiannya terlibat dalam kempen perebutan kuasa yang dikenali sebagai Perang Pewaris (War of the Successors).
RUJUKAN
Barrett, C. (2022, 1 Oktober). THE SLOWEST HEIST IN HISTORY: THE HIJACKING OF ALEXANDER THE GREAT’S BODY. HistoryNet.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih