Anjing kerap digelar sebagai ‘sahabat baik’ manusia. Kalau lihat statistik, ia memang unggul sebagai haiwan peliharaan paling digemari. Dalam satu tinjauan ke atas 27,000 responden dari 22 negara, didapati 57% mereka memiliki haiwan peliharaan. 33% daripadanya membela anjing. Disusuli 23% untuk kucing, 12% ikan, dan 6% burung.

Kalau lihat Statista tahun 2018 pula, jumlah anjing peliharaan sedunia mencecah 470 juta – seratus juta lebih banyak berbanding kucing. Tentunya, ini bergantung pada negara. Sebagai contoh di Switzerland, Austria, dan Turki, kucingnya tiga lagi lebih digemari berbanding anjing.

Mengimbau sejarah, hubungan antara manusia dan anjing sememangnya sudah terjalin lama. Iaitu sejak 20-30,000 tahun lagi, dengan kubur anjing terawal yang ditemui setakat ini berusia 14,200 tahun.

Selain menjadi menjadi teman dan peliharaan, anjing juga merupakan santapan manusia. Setidak-tidaknya sejak 9,400 tahun lalu (Morgan, 2011). Hal ini disahkan menerusi ujian DNA ke atas satu fragmen tulang anjing yang dijumpai di Texas.

Fragmen tersebut sebenarnya ditemui secara tidak sengaja pada 2011 – saat Samuel Belknap III (graduan bidang antropologi dari Universiti Maine) meneliti sebuah gua di barat daya Texas.

Gua tersebut memang sejak 1970-an lagi diketahui menyimpan satu najis manusia purba. Dalam najis itulah fragmen tulang tadi dijumpai dan seterusnya diuji – lantas mengesahkan yang anjing sudah menjadi diet manusia di Amerika Utara sejak 9,400 tahun lalu.

Fragmen tulang anjing berusia 9,400 tahun

Di Eurasia, tabiat sama turut diamalkan sekurang-kurangnya lima ribu tahun kemudian (Surugue, 2017). Kesimpulan tersebut dicapai selepas David Anthony (dari Kolej Hartwick) dan pasukannya meneliti 2,770 fragmen tulang milik 64 ekor anjing dan serigala yang dijumpai di pekan Krasnosamaraskoe, Russia.

Hasil penelitian mendapati tulang-belulang tersebut berusia sekitar 3,700-3,900 tahun. Ia turut memiliki kesan dipotong secara seragam, dan ujian DNA mengesahkan yang ia berjantina jantan di samping berusia matang dan sihat. Hal ini mengisyaratkan bahawa haiwan-haiwan itu bukan sahaja dipelihara dengan baik. Tetapi ia juga dikorban, disiang, dipanggang, dan dimakan dalam satu upacara.

Anthony menudingnya sebagai upacara akil baligh. Kerana dalam teks purba Indo-Eropah, Yunani, dan Celt memang ada disebut tentang upacara sebegitu – satu ritual wajib sebelum seseorang dibenarkan menyertai perang.

Berbicara tentang ritual, masyarakat Aztec juga mempunyai tradisi makan anjing. Khususnya apabila datang musim kemarau. Setiap kali hujan lama tidak turun, mereka akan adakan jamuan (Maldonado, 2018). Dalam jamuan itu, anjing dikorbankan lalu dipersembahkan kepada Tlaloc (dewa hujan).

Anjing Xoloitzcuintli

Biasanya, anjing Xoloitzcuintli menjadi pilihan kerana ia baka mulia (bagi Aztec); dinamakan bersempena Xolotl – dewa kematian persis Anubis dalam masyarakat Mesir Purba. Kononnya, ia mampu menyembuhkan penyakit dan menuntun roh ke alam akhirat (seumpama Charon dalam mitos Yunani).

Bagi tamadun China pula, rekod terawal manusia memakan anjing adalah pada kurun ke-4 SM (Wangyun, 2018). Yakni pada era Musim Bunga dan Musim Luruh (770-476 SM).

Mungkin kalangan pembaca pernah dengar pedang bernama Goujian (Sword of Goujian). Goujian (496-465 SM) itulah raja yang dicatatkan gemar memberi dua balang arak dan daging seekor anjing kepada mana-mana ibu yang melahirkan anak lelaki sebagai hadiah.

Tabiat memakan anjing di China berterusan pada dinasti-dinasti berikutnya. Tetapi memasuki Dinasti Sui dan Tang, ia mula berkurangan. Hal ini dipercayai ada kaitan dengan kemasukan Buddhisme dan Islam – dua agama yang melarang penganutnya memakan haiwan tertentu, termasuk anjing.

Walaupun tabiat itu mula dianggap taboo, ia masih tidak pupus. Bahkan berterusan hingga ke zaman moden. Contohnya di bandar Yulin (wilayah Guangxi), terdapat satu pesta khusus untuk memakan anjing. Ia dikenali sebagai Pesta Laici dan Daging Anjing.

Pesta tersebut mula diadakan sejak 2009, dan berlangsung pada setiap 21-30 Jun. Sepanjang sepuluh hari itu, ribuan ekor anjing akan dijual bersama daging kucing, arak, dan laici segar. Tentu sahaja, pesta itu mengundang kritikan – baik dari populasi dunia, rakyat China, mahupun warga bandar itu sendiri.

Suasana di sebuah pasar bandar Yulin

Tinjauan 2017 mendapati tiga perempat dari penduduk Yulin tidak menjamah pun daging anjing yang dijual/dihidang (Ahluwalia, 2020). Laporan tahun sebelumnya pula mendedahkan yang 69.5% rakyat China tidak pernah makan anjing dan 64% mereka ingin pesta di Yulin itu dihentikan.

Namun berikutan tiada akta diperuntukkan oleh kerajaan yang melarang aktiviti menjual dan memakan daging anjing, maka Majlis Perbandaran Yulin tidak dapat berbuat apa-apa. Pesta itu pun terus diadakan seperti biasa. Pada 2019, kira-kira 3,000 ekor anjing dihidangkan dalam pesta berkenaan.

Keadaan hanya berubah selepas koronavirus meletus di Wuhan enam bulan kemudian. Semenjak itu, barulah pengharaman dilakukan – diterajui oleh bandar Shenzhen dan Zhuhai. Namun, perubahan itu sama sekali tidak memadam nama China sebagai pengguna daging anjing terbesar di dunia; iaitu sekitar 10 juta ekor setahun (tidak termasuk 4 juta ekor kucing).

Jirannya di timur juga tidak ketinggalan. Korea Selatan dilaporkan memakan sejuta ekor anjing setiap tahun (Petras, 2019). Ini, berlaku di saat Taiwan sudah pun mengharamkan perbuatan itu sejak 2017 – negara Asia pertama berbuat demikian.

Sama seperti di China, majoriti rakyat Korea Selatan sebenarnya membantah tabiat pemakanan eksotik tersebut. Tinjauan tahun 2017 oleh Humane Society International misalnya mendapati 70% rakyat Korea enggan makan anjing.

Sebilangan pula terpaksa makan kerana tekanan keluarga dan generasi tua. Bagi golongan tersebut, mereka anggap daging anjing sebagai penambah tenaga – dihidang sebagai sup bosintang atau gaesoju.

Ikutkan, kritikan terhadap tabiat memakan anjing di Korea Selatan sudah pun berbangkit lama. Sejak ia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1988 dan Piala Dunia 2002 lagi. Isu itu kembali mendapat perhatian menjelang temasya Olimpik 2018 di Pyeongchang.

Terutama apabila seorang pelumba ski bernama Gus Kenworth mengambil seekor anak anjing dari sebuah ladang pembiakan anjing di Korea Selatan sebagai haiwan peliharaan – sekali gus mendorong penutupan ladang itu dan menyelamatkan kesemua 90 ekor anjing yang ada di situ.

Gus Kenworthy

Ladang tersebut sebenarnya hanyalah satu dari 17,000 ladang yang ada di negara terbabit – yang secara keseluruhan, membiakkan sehingga 2.5 juta ekor anjing setahun.

Apa yang sadis, aktiviti pembiakan tersebut dijalankan secara kejam; kesemua anjing itu bersesak dalam sangkar, tanpa penjagaan rapi, diberi pula makan bangkai dan najis, sebelum dimatikan (biasanya) dengan cara direndam lalu direnjat dengan elektrik.

Rentetan itu, kritikan hebat dilemparkan ke atas Korea Selatan. Dan mujur, ia diambil serius. Empat bulan selepas tamat Olimpik 2018, Akta Perlindungan Haiwan terus sahaja dipinda. Kemudian pada 21 Jun, mahkamah negara mengesahkan aktiviti mengedar dan memakan daging anjing sebagai satu jenayah.

Lima bulan berikutnya (pada 22 November), Seoul menghentikan operasi rumah penyembelihan anjing terbesar di Seongnam – sekali gus mendorong penutupan Pasar Moran, pengedar daging anjing terbesar di Korea Selatan.

Penguatkuasaan sama turut dilakukan oleh Amerika Syarikat pada tahun itu. Sebelum 2018, membunuh dan memakan anjing tidak dianggap jenayah di 43 buah negeri di AS (Clark, 2017). Hanya California, Georgia, Hawaii, Michigan, New Jersey, New York, dan Virginia sahaja mengharamkannya.

Sebab itu, ramai individu bebas melakukan aktiviti berkenaan. Contohnya pada 2003, seorang lelaki di Pennsylvania ditahan atas tuduhan mengabaikan kebajikan terhadap 150 ekor anjing jindo (baka biasa di pasar daging Korea Selatan), bukan atas jenayah mengedar dan memakan anjing. Justeru, dia tidak dikenakan hukuman berat.

Ilustrasi kedai menjual pelbagai jenis daging, termasuk anjing semasa Paris dikepung pada 1871

Laporan sebegini mengisyaratkan yang permintaan terhadap daging anjing di AS sentiasa ada – walaupun kecil. Setakat carian, tiada rekod tentang berapa banyak anjing dimakan di negara berkenaan. Tetapi, ia semestinya cukup besar sehingga memaksa Kongres untuk meminda Dog and Cat Meat Trade Prohibition Act pada 2017.

Menerusi akta itu, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi $2,500 (RM10,500), atau kedua-duanya. Ikutkan, ia agak ringan berbanding hukuman di Taiwan – iaitu denda sebanyak £6,000 ($7,856). Setahun kemudian, Presiden Donald Trump meluluskan akta sama untuk dikuatkuasakan di seluruh negara.

Amerika Syarikat bukan satu-satunya negara barat yang ada sejarah makan anjing. Restoran-restoran di Paris juga pernah menghidangkan juadah sama pada 1870-1871, saat bandar itu dikepung oleh Jerman dalam Perang Perancis-Prussia.

Era moden, Switzerland menjadi negara Eropah yang paling sinonim dengan tabiat makan anjing. Terutama di kawasan pinggir bandar seperti Lucerne, Appenzell, Jura, dan Bern – di mana, daging anjing dan kucing dijadikan hidangan wajib menjelang Krismas.

Fakta ini justeru menepis stigma yang  mengehadkan tabiat tersebut pada negara membangun seperti Vietnam, Kemboja, dan Indonesia sahaja – walau tidak dinafikan, tiga negara ASEAN itu memang banyak mengambil daging anjing; iaitu sekitar 10 juta setahun.

Salah sebuah ladang anjing di Korea Selatan

Indonesia sendiri mengenal pasti Jakarta, Yogyakarta, dan Bali sebagai wilayah paling banyak mengambil daging anjing. Masing-masing pada kadar 400 ekor sehari, 215 ekor sehari, dan 70 ribu ekor setahun.

Selain kerana melihatnya sebagai protein murah (satu hidangan berharga RP75), daging anjing juga dianggap berkhasiat – mampu  menguatkan tenaga batin dan merawat asma. Sebab itu, sebahagian restoran selamba saja menghidangkannya dalam menu menggunakan kod B1 atau RW.

Namun menyusuli negara-negara lain, Indonesia turut mengetatkan undang-undang. Misalya pada Oktober lepas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda 150 juta rupiah ke atas seorang penjual daging anjing di Yogyakarta.

Penguatkuasaan undang-undang sebegitu sememangnya amat diperlukan. Ini supaya dunia secara bergandingan dapat mengurangkan pengambilan daging anjing – yang malangnya, meningkat dari 27 juta ekor setahun pada 2014 kepada 30 juta ekor setahun pada tahun kebelakangan. Kita tidak mahu timbul wabak baru akibat tabiat pemakanan yang bukan-bukan.

RUJUKAN:

Ahluwalia, Ravneet. (2020, 19 June). Yulin Dog Meat Festival: What is it, how did it start and will activists ever manage to get it banned? Independent.

Clark, Mike. (2017, 30 March). It’s Still Legal to Eat Dogs in the United States – And Yes, it Happens. Dog Time.

Maldonado, Devon VanHouten. (2018, 8 April). The Mexican Hairless Dog Worshipped and Eaten by the Aztecs. Ozy.

Morgan, Patrick. (2011, 21 January). 9,000 Years Ago, North Americans Tamed – and Ate – Dogs. Discover Magazine.

Petras, George. (2019, 7 March). South Koreans eat more than 1 million dogs each year – but that’s slowly changing. Here’s why. USA Today.

Surugue, Lea. (2017, 10 August). Ancient Russian men sacrificed and ate dog as a rite of passage into adulthood. IB Times.

Wangyun, Dai. (2018, 15 February). 7,000 Years of Dog: A History of China’s Canine Companion. Sixth Tone.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply