Sering saya jelaskan, dalam mengkaji peristiwa sejarah, kita perlu bergantung pada kepelbagaian pakar dengan tafsiran masing-masing. Itu adalah perkara paling utama sekali, selagi mana orang awam bukan pakarnya. Kecuali anda telah lama mengkaji, membaca dan menganalisis daripada pelbagai sumber. Atau anda sudah menerbit atau menghasilkan tesis yang telah dipertahan dengan ukuran peer review, viva voce, pembentangan dan sebagainya. Maka kita harus berhati-hati jika ada pandangan sejarah daripada seorang bukan pakar kerana kandungannya penuh keraguan.
Jangan peduli siapa penulisnya dalam media sosial ini. Selagi bukan pakar, orang tersebut bukan orang yang tahu – apatah lagi boleh dipercayai. Lagi-lagilah kalau rujukan hanya sekadar satu atau dua sumber untuk merungkaikan sejarah. Tidak kisah jika sumber tersebut diangkat setaraf “malaikat” (paling suci) sekalipun. Tetap tidak cukup. Kalau anda pelajar sejarah, anda tahu markah selayaknya apabila rujukan hanya dua sumber sahaja.
Dalam kes peristiwa kejatuhan Melaka, banyak yang sembang pasal isu kepimpinan, perpecahan politik, kekebalan kubu dan persenjataan, teknologi dan strategi, kejahatan raja dan pembesar, dan isu pengkhianatan. Bab ini patut dikaji dengan teliti. Kena ada pelbagai sumber. Tidak lengkap kalau bergantung pada sumber asal penjajah semata-mata, seperti catatan Tome Pires, Araujo atau Afonso D’Albuquerque – apatah lagi jika guna dokumen-dokumen rasmi dan peribadi yang mesti dibandingkan dengan kajian lebih luas.
Bimbang betul tengok fenomena sejarah bersumber dokumen sebegini. Tidak kisahlah daripada pihak mana, biarpun Portugis, British atau Jepun. Malah kita tidak boleh bergantung pada sumber Melayu seperti Sulalatus Salatin sepenuhnya kerana bagi saya ada elemen berat sebelah. Kalau sumber Melayu kena berhati-hati, macam mana kita boleh percaya terus pada sumber penjajah yang sememangnya senget dengan sikap berat sebelah?
Dorongan Berat Sebelah Dalam Bacaan Moden
Sikap berat sebelah zaman sekarang memang padu dari segi dakyahnya. Zaman sekarang lagi banyak dakyahnya. Tengok saja sumber seperti The Rocket atau Malaysia Kini. Silap-silap kalian telan bulat-bulat tafsiran Ramasamy atau Ranjit tu. Tidakpun Hishammudin Rais, dengan tafsiran komunisnya yang ternyata kelabu asap. Kalau boleh percaya terus, semua nama ini wajar dijulang sebagai ahli sejarah. Sedangkan dalam bidang sendiri, mereka sudah jauh menyimpang.
Apabila mengkaji kisah sejarah Melaka, sumber yang ada bukan lagi mengejutkan kecuali untuk orang baru belajar. Dokumen-dokumen Portugis disusun pelbagai pihak, sekali gus bukan lagi sumber baharu. Untuk ahli sejarah, semua dokumen ini sudah jadi macam makanan. Mereka sekadar merujuk, takkan sesekali terpegun atau terpengaruh. Mereka tahu mempertimbang maklumat ikut disiplin sejarah yang kena soal habis supaya penilaian tiada prasangka prejudis.
Bab pengadilan moral sebegini sangat penting supaya naratif objektif tidak separuh masak. Mereka yang rujuk satu dua sumber memang pandang mudah bab ini. Itu tandanya mereka kurang membaca dan cepat terkejut beruk apabila jumpa sumber tinggalan berzaman. Masalahnya segelintir dalam kalangan orang kita pun sama. Cakap pasal Melaka, mesti simpulkan bab pengkhianatan dan pembelotan. Begitu mudah orang kita buat kesimpulan yang sangat mengaibkan. Lagi-lagi apabila mereka berasa ini tafsiran baharu.
Perbincangan Tentang Kejatuhan Melaka
Kes kejatuhan Melaka ini unik. Faktor kononnya Melaka runtuh atau ditawan kerana kekejaman Sultan Mahmud sukar nak dipertahankan secara langsung. Kena berputar lidah menyebut itu dan ini sebagai kaitannya. Kerana kaitannya amatlah tidak jelas. Nak mendakwa wujud perpecahan dalam politik Melaka? Soalnya, politik mana tiada perpecahan? Hampir setiap masa dan dalam setiap kerajaan ada perpecahan. Maka tidak boleh huraikan secara tuntas ini faktor langsung kejatuhan Melaka. Tambah pula Melaka serba serbinya masih kuat dari segi ekonomi dan keutuhan pertahanan. Bahkan kerajaan Melaka memiliki askar – armada sendiri dan upahan – yang ramai. Tak timbul kenapa Melaka mesti bergantung kepada askar upahan, anda ingat British tu berperang dengan tentera sendiri semasa menakluk tanah jajahan?
Apa yg paling wajar sudah tentulah mengamati saat Melaka diserang, itulah faktor langsung yang boleh menjadi premis asas dalam penghujahan. Hanya faktor langsung saja relevan. Faktor tidak langsung banyak merepek, dicipta tanpa logik sampai ada yang cakap Melaka dilaknat Tuhan. Cuba tengok “Teori Ibnu Khaldun” yang entah apa sahaja, sampai habis fakta sejarah terbelit dan dibelitkan dengan teori mana halah yang bukan berunsur sejarah.
Kembali kepada isu kejatuhan Melaka. Panjang saya cerita pasal penghujahan faktor. Satu-satunya kita kena fokus sekarang adalah: “kenapa dan bagaimana Melaka kalah?” Soalan mudah ini akan bertambah luas kerana timbul pula soalan-soalan seperti:
- Apa Portugis buat semasa menyerang Melaka?
- Apa peranan pedagang di Melaka?
- Apa tindakan orang dalam Melaka?
- Apa senjata digunakan kedua-dua pihak?
- Kenapa kubu Melaka mudah tembus?
- Apa strategi Melaka dan Portugis?
Ini yang harus didebatkan dengan menggunakan pelbagai sumber termasuk teks peribumi sendiri. Banyak saja kajian yang merungkaikan bab ini – tetapi sengaja kita menjadi alpa dan memburu kelentongan. Lain yang patut kita baca tetapi sengaja kita memilih sumber penjajah semata-mata dan dengan berlagaknya cakap inilah fakta sejarah.
Dalam mengamati peristiwa kejatuhan Melaka, ada satu sisi sejarah yang mungkin sangat sensitif untuk difahami kita semua. Sisi ini melibatkan peranan kelompok beragama Islam dan Hindu dalam kalangan Tamil di Melaka. Bagi saya, sisi ini sangat munasabah keranan peranan dimainkan keluarga Tun Ali dan Tun Mutahir. Fikir balik mana datangnya watak-watak seperti “Naina Chatu”, “Kitul” dan “Raja Mendeliar” yang bercerita pasal pedagang berebut kekayaan, saling bermusuhan dan cemburu antara satu sana lain.
Elemen ini tidak dibincangkan langsung, habis kena tinggal seolah-olah kita berapologetik dan malu ekoran perkaitannya dengan isu sosial semasa. Walhal kisah ini sangat penting kerana dari sinilah timbul unsur dendam terhadap suku-sakat Tun Mutahir. Dari sini juga timbul isu kesungguhan pedagang Gujarat untuk berperang. Timbul lagi kesungguhan pedagang asing lain yang membekalkan maklumat penting seperti rahsia kubu Melaka. Mereka juga menyekat bekalan beras ke Melaka dan menyediakan kapal dagang kepada pihak Portugis. Mereka juga bernasihat supaya jangan guna haluan diplomasi.
Semua faktor di atas kena pula dengan kesilapan strategi Sultan Mahmud yang pergi berundur. Itu semua faktor langsung yang harus diutamakan. Kenapa isu-isu ini dipinggirkan semata-mata untuk kita buang masa berbincang pasal isu perpecahan (kononnya wujud)? Apatah lagi isu kelemahan pembesar, kekejaman Sultan Mahmud, kelompangan kuasa serta cemburu Sultan pada Tun Fatimah. Padahal kalau fikir balik, mana mungkin kepimpinan yang jadi punca kejatuhan sedangkan Melaka bukan main stabil pada masa itu?
Tidak timbul bab perpecahan, pemberontakan, atau persaingan. Malah tiada keserabutan pun apabila Tun Mutahir itu dijatuhi hukuman mati. Portugis mendakwa Tun Mutahir seorang kaki rasuah dan sedang berkomplot menjatuhkan Sultan untuk angkat dirinya sebagai Sultan baharu. Namun dakwaan Portugis diperolehi daripada kelompok pedagang, sekali gus bersifat buah mulut (hearsay) sahaja.
Artikel ini dinaikkan selepas mendapat persetujuan Dr Azmi.
Kesultanan Melayu Melaka. Sebuah kerajaan Melayu yang dikenang sampai hari ini. Namun sayang sekali, ramai tercari-cari macam mana untuk belajar tentang kerajaan ini secara mendalam. Maka kami sediakan kepada anda sebuah buku yang mengumpul semua sumber sedia ada untuk ditulis dalam bentuk mudah difahami semua. Dengan hanya satu pembelian, anda akan merentas masa dan kembali ke zaman keagungan Melaka terdahulu. Link pembelian: https://shopee.com.my/The-Patriots-Tasjil-Anis-Salatin-Rahsia-Agung-Melaka-i.238336777.3439494308?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih