Segala puji bagi Allah, yang telah mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan tahun ini, dan segala puji bagi Allah juga yang telah memberi ilham kepada saya untuk menulis artikel ini untuk dikongsi kepada semua. Pejam celik, pejam celik, sedar tak sedar, sudah 17 hari kita bersama dengan bulan mulia Ramadhan pada tahun ini, dan menjalankan ibadah puasa dan ibadah sunat yang lainnya. Sama sama kita mempertingkatkan amalan ibadah dan tahap ketakwaan kita di bulan mulia ini.

Tentu pada tarikh 17 Ramadhan 1435 Hijrah ini, ramai di kalangan kita yang bercuti (terutamanya sekitar Wilayah Persekutuan), kerana hari ini ialah hari cuti umum sempena Nuzul Quran. Pada hari ini, selain daripada kita menyambut 17 Ramadhan untuk mengenang peristiwa turunnya wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w buat kali pertama di Gua Hira’, ada SATU LAGI PERISTIWA BESAR yang berlaku pada tarikh keramat 17 Ramadhan ini, yang kita selalu TERLEPAS PANDANG.

Ya, kepada sesiapa yang tahu, peristiwa itu tidak lain dan tidak bukan melainkan peristiwa Pertempuran Badar yang berlaku di luar kota Madinah pada tarikh 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, bersamaan tarikh 13 Mac 624 Masihi.

Apa Istimewanya Pertempuran Badar?

Kepada sesiapa yang belajar sejarah ketamadunan Islam, terutama sekali dalam Sirah Nabawiyah, tentu anda tahu betapa signifikannya peristiwa Pertempuran Badar ini.

Pertempuran Badar adalah pertempuran pertama dalam sejarah Islam. Pertempuran ini berjaya membuka mata kebanyakan kabilah yang tinggal di sekitar Semenanjung Arab bahawa satu agama kebenaran baru akan muncul di mana tunjang kekuatan mereka bukanlah angkatan tentera yang ramai dan persenjataan yang lengkap, tetapi ketakwaan yang tinggi dan kekuatan akidah dan tauhid yang kental.

Kemenangan umat Islam dalam pertempuran ini juga adalah isyarat daripada Allah kepada Rasulullah s.a.w untuk menyambung dan meneruskan kesinambungan dakwah Islam. Ini berdasarkan doa Nabi s.a.w dalam pertempuran tersebut dan Allah akhirnya memakbulkan doanya;

“Ya Allah, Andainya kelompok hamba-hambaMu ini MUSNAH PADA HARI INI, maka tiada lagi orang yang akan MENYEMBAH MU LAGI di muka bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. ”

Persediaan Mempertahankan Madinah

Setelah sekian lama umat Islam di Makkah dizalimi dan ditekan oleh kaum Musyrikin Quraisy, akhirnya melalui wahyu yang diturunkan oleh Allah, Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan para pengikutnya supaya berhijrah ke kota Yathrib dan mencari perlindungan di sana. Tambahan pula Rasulullah s.a.w dan umat Islam Makkah juga dijemput oleh kaum Arab yang tinggal di Yashtrib, yang telah ramai memeluk Islam susulan Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat oleh Rasulullah dan umat Islam beserta suku kaum Aus dan Khazraj.

Umat Islam secara beransur-ansur berhijrah ke Yathrib secara sembunyi, dengan sehelai sepinggang sahaja meninggalkan segala harta benda dan sanak saudara di Makkah. Kemuncak peristiwa Hijrah ini disusuli oleh Rasulullah s.a.w ditemani oleh rakan karibnya, Saidina Abu Bakar r. a. Baginda akhirnya tiba dengan selamat di kota Yathrib pada 16 Rabiulawal tahun 001 Hijrah bersamaan 2 Julai 622 Masihi.

Rasulullah s.a.w kemudiannya menguatkan asas perpaduan umat Islam di sana dengan mendamaikan suku kaum Aus dan Khazraj, kemudian mempersaudarakan orang Islam Makkah (Muhajjirin) dan penduduk Islam Madinah (Ansar). Baginda juga menukarkan nama kota Yathrib kepada Madinah, mengikat perjanjian dengan kaum Yahudi dan mendirikan sebuah masjid di sana. Setelah itu, beliau menggubal perlembagaan Islam berteraskan wahyu Allah dan sunnah Nabi sebelum mengasaskan kerajaan Islam pertama berpusat di Madinah.

Dalam masa 2 tahun, Rasulullah s.a.w berjaya meletakkan asas akidah dan teras perpaduan yang kukuh kepada umat Islam di Madinah. Perpaduan umat dan kekuatan pegangan akidah adalah amat penting untuk meletakkan batu asas kepada sebuah negara Islam di Madinah.

Namun, kejayaan Rasulullah s.a.w mendirikan sebuah negara Islam di Madinah menimbulkan kecemburuan dan dengki kepada orang Musyrikin di Makkah yang sentiasa berharap usaha Rasulullah s.a.w itu tidak berjaya. Oleh itu, mereka kemudiannya menyediakan kelengkapan untuk menyerang Madinah.

Rasulullah sebagai ketua negara Islam tahu, bahawa bila-bila masa sahaja orang Musyrikin Quraisy boleh menghantar tenteranya ke Madinah, maka persediaan telah dibuat dengan melatih para sahabat dan umat Islam Madinah dengan ilmu pertempuran. Sesudah semuanya sudah bersedia, baginda menghantar tentera bersenjata untuk meronda di sekitar Madinah.

Percubaan Menyerang Kafilah Dari Makkah

Pada satu hari, Rasulullah s.a.w mendapat tahu yang sebuah kafilah perdagangan yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb, sedang dalam perjalanan ke wilayah Syam, membawa 1000 ekor unta sarat dengan harta benda kaum Muslimin yang ditinggalkan di Makkah untuk dijual di sana. Rasulullah segera berangkat ke Zatul Asyirah, mengetuai 313 orang tenteranya untuk menyekat rombongan kafilah itu dengan tujuan untuk melemahkan ekonomi Makkah serta menuntut ganti rugi atas penjualan harta-harta peninggalan mereka di Makkah.

Walau bagaimanapun, Abu Sufian dan kafilahnya berjaya meloloskan diri mereka daripada bertembung dengan tentera Islam. Selang beberapa lama kemudian, apabila rombongan kafilah tersebut kembali dari Syam menuju ke Makkah, Abu Sufian menghantar wakil kepada ketua-ketua musyrikin Makkah tentang kemungkinan rombongan mereka akan disekat oleh Madinah dan meminta dihantar bantuan untuk melindungi kafilah mereka.

Makkah menghantar sebanyak 1300 orang tentera yang diketuai oleh Umar bin Hisham (Abu Jahal) untuk melindungi kafilah mereka. Rombongan tentera Musyrikin Quraisy kemudiannya tiba di Juhfah, apabila mendapat berita bahawa rombongan kafilah Abu Sufian kini telah selamat tiba ke Makkah dari lembah Yanbu, dan mengarahkan rombongan tentera Abu Jahal supaya pulang semula.

Sementara itu, rombongan Nabi s.a.w telah mendirikan khemah dan bermalam di sebuah sumur bernama Badar, yang terletak kira-kira 130 kilometer dari selatan Madinah.

Mengorak Langkah Ke Sumur Badar

Walau bagaimanapun, Abu Jahal sebagai ketua tentera Musyrikin berdegil untuk pulang ke Makkah. Dia mengarahkan rombongan tentera Makkah menuju ke Badar untuk bertembung dan memusnahkan tentera Rasulullah di sana, dengan harapan dapat pulang ke Makkah sebagai hero kepada orang Quraisy.

Tetapi, Bani Zuhrah dan Bani Adi’ yang menjadi sebahagian dari pasukan Quraisy, enggan menyertai serangan ini dan terus bergerak pulang ke Makkah. Ini menyebabkan jumlah tentera Musyrikin Quraisy berkurangan kepada 1000 orang sahaja. Abu Sufian dan sesetengah pemimpin Quraisy Makkah yang selamat sampai kemudian bergerak sekali lagi ke luar Makkah untuk menyertai rakan-rakan mereka menuju ke Badar.

Apabila mendapat tahu bahawa rombongan bala tentera Quraisy sedang mengorak langkah menuju ke Badar, baginda Rasulullah s.a.w kemudiannya bermesyuarat dan mengadakan perbincangan dengan para sahabatnya samada bersetuju menggunakan jalan pertempuran atau tidak. Pada mulanya, para sahabat Muhajirrin seperti Abu Bakar r.a dan Umar r.a membuat keputusan untuk tidak berperang.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar pemuda kaum Muhajjirin dan Ansar dengan semangat yang berkobar-kobar mahu berperang supaya mereka dapat menentang tentera Musyrikin yang selama ini selalu berlaku jahat kepada Rasulullah dan agama Islam. Seorang sahabat pemimpin kaum Ansar, Saad bin Ubadah bangun lalu memberi ucapan;

“Wahai Rasulullah, teruslah maju berdasarkan apa yang telah dinampakkan oleh Allah padamu! Kami akan selalu bersamamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana Bani Israel berkata kepada Musa,  **”Pergilah kamu bersama Allah,  dan berperang kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menunggu di sini saja!”

**(cerita Bani Israel yang menyindir Nabi Musa supaya pergi berperang bersama Allah ada tercatat dalam Surah al Maidah ayat 22~24)

“…Akan tetapi,  pergilah engkau bersama Rabbmu dan berperanglah Sesungguhnya kami akan berpertempuran bersama kamu berdua. Demi Dzat Yang mengutusmu dengan kebenaran, andai engkau bawa kami menuju ke dalam laut dengan kuda-kuda kami sekalipun nescaya kami akan berperanglah bersamamu hingga engkau mencapainya!”

Rasulullah terharu dengan sokongan yang tidak berbelah bagi oleh umatnya lalu bersetuju dengan mereka. Baginda bersama para sahabat mengatur strategi pertempuran dan mengarahkan tentera Islam mendirikan khemah dan menguasai tempat strategik yang mempunyai punca air di sekitar sumur Badar.

Allah juga telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w yang membenarkan mereka untuk berperang;

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri dan berilah pertempuransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani).  Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu dan (ingatlah) Allah itu amatlah besar kekuatanNya dan amatlah berat azab seksaNya. ”

(Surah an Nisa:ayat 84)

Pertolongan ALLAH Kepada Tentera Islam Sebelum Pertempuran

Selepas mendirikan khemah di kawasan yang agak strategik di Badar, baginda mengarahkan tentera Islam supaya mengalirkan semua air dari punca-punca air di Badar ke dalam kolam air milik tentera Islam lalu menutup semua sumber air tersebut, seperti yang dicadangkan oleh seorang sahabat, Hubab bin al-Mundzir r. a.

Tidak lama kemudian, tentera Quraisy Makkah akhirnya tiba di Badar. Utbah bin Rabiah yang melihat kekuatan tentera Islam mendapati mereka hanya berjumlah sekitar 300 orang sahaja, namun mereka mempunyai semangat juang yang tinggi. Mereka juga marah melihat kesemua sumber air di situ diambil tanpa tinggal sisa oleh tentera Islam.

Utbah nyaris-nyaris ingin berundur namun ditegah dengan keras oleh Abu Jahal dan mencabar Utbah bin Rabi’ah supaya tidak digelar pengecut.  Oleh itu,  pertempuran ini tetap akan diteruskan.

Malam sebelum pertempuran, Allah SWT telah menurunkan hujan menyebabkan pasir menjadi padat dan keras.  Ini memudahkan pergerakan tentera Muslimin dan tidak mengganggu pandangan.  Mereka juga diserang oleh rasa mengantuk menyebabkan mereka tertidur dan dapat berehat untuk persediaan pertempuran esok.

Allah telah berfirman;

“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu) dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). ”

(Surah al Anfal:ayat 11)

Dalam malam yang hujan lebat itulah, Rasulullah s.a.w tidak putus-putus berdoa dengan khusyuknya kepada Allah memohon kemenangan kepada tentera Islam.

“Ya Allah, Andainya kelompok hamba-hambaMu ini MUSNAH PADA HARI INI, maka tiada lagi orang yang akan MENYEMBAH MU LAGI di muka bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. ”

Abu Bakar r. a yang menemani baginda pada malam itu turut mengaminkan doa baginda lalu berkata kepada Rasulullah s.a.w dalam keadaan sayu.

“Wahai Rasulullah, cukuplah Tuan bermunajat kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan janji-Nya kepada Tuan.”

Pertarungan Berani Mati Tiga Lawan Tiga

Mengikut tradisi pertempuran Arab pada zaman lampau, sesebuah pertempuran itu harus dimulakan dengan pertarungan berani mati satu lawan satu antara pahlawan dari kedua-dua belah pihak. Hal seperti ini juga berlaku dalam Pertempuran Badar.

Maka pada tarikh yang dijanjikan iatu pada tarikh 17 Ramadhan tahun 002 Hijri, kesemua tentera dari kedua-dua belah pihak telah berkumpul menghadap antara satu sama lain di sebuah kawasan lapang di sumur Badar. Pihak tentera Musyrikin mencabar tentera Islam menghantar wakil pahlawan terhebat mereka untuk berentap dengan pahlawan hebat mereka.

Pihak Musyrikin Quraisy diwakili oleh tiga orang pahlawan hebat mereka, Utbah bin Rabi’ah bersama adiknya, Syaibah bin Rabi’ah dan anaknya, Al-Walid bin Utbah. Dengan angkuhnya mereka mencabar tentera Islam menghantar wakil mereka untuk mencabar mereka.

Tentera Islam menyahut cabaran mereka dengan menghantar tiga wakil juga iatu Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib r. a (bapa saudara Rasulullah), Saidina Ali bin Abu Talib (sepupu Rasulullah s.a.w) dan Ubaidah bin al Haris r. a. Ketiga-tiga mereka dipilih oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Pertarungan terbuka tiga lawan tiga pun berlaku dengan dahsyatnya sambil diperhatikan oleh kesemua tentera dari kedua-dua belah pihak. Wakil pahlawan Islam yang berjuang berpaksikan iman dan keyakinan yang tinggi menunjukkan keberanian dan kehebatan mereka bermain senjata menentang wakil pahlawan kaum Musyrikin.

Tentera Islam melaungkan takbir dengan gembiranya apabila Utbah bin Rabi’ah berjaya ditikam oleh pedang Hamzah bin Abdul Mutalib r. a, manakala Saidina Ali r. a juga berjaya membunuh dan mengalahkan Al-Walid bin Utbah. Sementara itu pula, Ubaidah bin al Haris r. a cedera teruk ketika menentang asakan yang dibuat oleh Syaibah bin Rabi’ah, namun Ubaidah berjaya membunuh Syaibah. Ubaidah yang sedang cedera parah diusung kepada Rasulullah s.a.w dan kemudian syahid menghembuskan nafas yang terakhirnya, di hadapan baginda.

Apabila melihat ketiga-tiga pahlawannya mati dibunuh, Abu Jahal yang marah terus meniupkan semboyan pertempuran dan mengarahkan tentera Musyrikin agar menyerang tentera Islam. Tentera Islam yang kecil jumlahnya itu bagaikan harimau kelaparan apabila mereka menerkam musuh mereka dengan tangkas dan pantas sehingga berjaya memecahkan benteng pertahanan hadapan tentera Musyrikin.

Lihat! Jibrail Sedang Datang Dengan Kudanya!

Ketika pertempuran, Nabi s.a.w sedang berada di belakang barisan tentera Islam bersama sama Abu Bakar r. a. Baginda tidak putus-putus berdoa memohon kemenangan tentera Islam pada hari itu. Lalu, baginda terlelap seketika;

Pada masa itulah, Allah telah memberi wahyuNya kepada Nabi Muhammad;

(Ingatlah),  ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. ”

(Surah al Anfal:ayat 9)

Sesudah itu baginda bangun dan mendongak ke atas langit. Baginda menunjukkan sesuatu ke atas langit kepada Abu Bakar lalu berkata;

“Bergembiralah wahai Abu Bakar! Pertolongan Allah telah pun datang. Itu JIBRIL. Dia memegang tali kekang kudanya sambil menunggangnya di tengah-tengah debu yang berterbangan!”

Sambil mengambil seketul batu kerikil dan meniupnya lalu baginda melontarnya ke arah tentera Qurasiy. Sambil melontar, baginda berkata;

“Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tangan-Nya, sesiapa yang melawan mereka pada hari ini lalu dibunuh dalam keadaan sabar dan mengharapkan keredhaan Allah, dalam keadaan mara dan tidak berundur (untuk melarikan diri), nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga!”

“ITU ABU JAHAL, MARI KITA BUNUH DIA!!”

Diriwayatkan ketika Abdul Rahman bin Auf r. a sedang berada di barisan tentera Islam menahan serangan yang dibuat musuh, tiba-tiba ada dua orang belia datang di kiri dan kanan bahunya seraya berbisik kepada beliau;

“Wahai pakcik,  tunjukkan Abu Jahal kepada saya. ”

“Wahai anak saudaraku,  apa yang engkau hendak lakukan?”

“Aku telah berjanji kepada Allah,  jika aku nampaknya,  aku akan membunuhnya atau aku akan mati kerana hendak membunuhnya!”

Kedua-dua anak muda itu sebenarnya ialah anak-anak kepada al Harith, seorang Ansar dari suku kaum Khazraj. Mereka selalu mendengar cerita mengenai Abu Jahal yang sering menzalimi dan menyakiti hati Nabi s.a.w dan agama Islam. Sejak itu, mereka berazam mahu membunuhnya dan mereka tidak melepaskan peluang mereka mengejar cita cita mereka di Badar.

Mereka berdua lalu meluru ke arah kuda Abu Jahal lalu menjatuhkannya dari atas kudanya. Abu Jahal menentang asakan dari mereka berdua dengan marah sekali dan berjaya membunuh kedua-dua adik beradik suku Khazraj itu. Namun, Abu Jahal NYAWA-NYAWA IKAN dikerjakan oleh kedua-dua anak muda itu yang kini sudahpun menempah syahid. Tentera Quraisy berpecah dan bertempiaran lari selepas Abu Jahal tumbang.

Abdullah bin Mas’ud r. a lalu berhampiran tempat mayat-mayat mereka yang terbunuh,  lalu menemui Abu Jahal yang masih nyawa-nyawa ikan.  Beliau memijak dada Abu Jahal yang terkutuk itu untuk menamatkan riwayatnya.

Di samping Abu Jahal, pemuda Quraisy yang turut terbunuh ialah Ummayah bin Khalaf yang dibunuh oleh bekas hambanya sendiri, Saidina Bilal bin Rabah r. a. Semasa menjadi hambanya, Bilal diseksa dengan teruk oleh Ummayah dengan cara menjemurnya di tengah panas sambil meletakkan batu besar di atas dadanya namun Bilal tetap berkeras untuk tidak meninggalkan ajaran Islam walaupun diseksa tuannya.

Penderitaan Bilal r. a berterusan sehinggalah Saidina Abu Bakar r. a berjaya menebus dan memerdekakan Bilal. Dan dalam medan peprangan Badar ini, Bilal akhirnya berjaya membalas kezaliman yang dibuat oleh bekas tuannya kepada dirinya dengan cara membunuhnya.

Kemenangan Akhirnya Di Pihak Kebenaran

Barisan tentera Musyrikin menjadi lemah di bawah tekanan dan tentangan ketinggian iman yang zuhud kepada nikmat kehidupan dunia. Mereka juga gerun kepada Nabi s.a.w yang telah turun sendiri ke medan pertempuran sambil bertarung habis-habisan bersama para sahabat. Lalu kekuatan mereka patah dan mereka diserang rasa takut. Akhirnya tentera Muslimin berjaya melumpuhkan kekuatan musuh dan mereka mengalami kerugian yang besar.

Pertempuran Badar, yang merupakan pertempuran pertama dalam sejarah Islam, akhirnya dimenangi oleh umat Islam sendiri. Kesudahannya, 70 orang Musyrikin mati dalam keadaan hina, kebanyakan mereka adalah pemuka dan pemimpin Makkah dan 70 orang lagi telah ditawan. Selain daripada itu telah lari bertempiaran.

Manakala pihak Muslimin seramai 14 orang syahid, 6 orang dari kalangan Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Anshar. Inilah kemenangan yang dijanjikan Allah SWT kepada kaum Muslimin. Firman Allah;

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam pepertempuranan Badar,  sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat pertempuran).  Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?. Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing, ”

(Surah Aali-‘Imran:123-125)

Rasulullah s.a.w mengarahkan agar kesemua mayat tentera Musyrikin dicampak ke dalam sebuah perigi kering lalu dikambus. Pada tengah malam selepas pertempuran tamat, Rasulullah s.a.w telah pergi ke perigi tua tersebut dan berkata dengan kuat;

“Wahai isi dalam perigi, wahai ‘Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Abu Jahal bin Hisyam, adakah kamu semua telah mendapati apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu itu benar? Adakah janji Allah itu benar? Sesungguhnya aku telah mendapati apa yang dijanjikan Tuhanku kepadaku itu benar.”

Para sahabat yang memerhatikan tindakan Rasulullah s.a.w lalu bertanya;

“Wahai Rasulullah, adakah Tuan menyeru orang-orang yang di dalam perigi itu, sedangkan mereka telahpun menjadi bangkai?”

Rasulullah s.a.w menjawab;

“Sesungguhnya mereka lebih mendengar kata-kataku berbanding kalian sendiri, tetapi mereka tidak mampu menjawab pertanyaanku. ”

Rasulullah saw tinggal di Badar selama 3 hari kemudian berangkat balik ke Madinah bersama tawanan pertempuran dan harta ghanimah. Baginda saw telah menghantar ‘Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithah r.a untuk memaklumkan kemenangan mereka kepada penduduk Madinah.

Implikasi Dan Pengajaran

Pertempuran Badar telah memberi isyarat berjaga-jaga dan kegerunan kepada kabilah-kabilah lain di Semenanjung Arab pada masa itu, bahawa sebuah agama baru dan kuasa besar baru sedang bangkit di Semenanjung Arab. Pertempuran ini membuka jalan atau dengan kata lain, menjadi batu loncatan kepada penyebaran Islam secara besar-besaran kepada orang Arab, dan seterusnya ke seluruh pelusuk dunia.

Pertempuran ini berjaya menaikkan imej umat Islam dan menonjolkan kekuatan Islam serta menimbulkan ketakutan orang kafir dan musyrik untuk membuat sebarang penindasan terhadap umatnya. Suku Arab tempatan mula memeluk Islam dan berpakat dengan Muslim dari Madinah dan dengan demikianlah perkembangan Islam bermula.

Kemenangan umat Islam dalam pertempuran ini juga adalah isyarat daripada Allah kepada Rasulullah s.a.w untuk menyambung dan meneruskan kesinambungan dakwah Islam. Ini berdasarkan doa Nabi s.a.w dalam pertempuran tersebut dan Allah akhirnya memakbulkan doanya;

“Ya Allah, Andainya kelompok hamba-hambaMu ini MUSNAH PADA HARI INI, maka tiada lagi orang yang akan MENYEMBAH MU LAGI di muka bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. ”

Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan tentera Islam yang memang sedikit dari jumlah tetapi tidak dari semangat. Mereka tidak dapat mengalahkan tentera Islam walaupun jumlah yang sedikit bahkan sekalipun pepertempuranan di BULAN RAMADHAN kerana semangat juang tentera Islam begitu kukuh kerana Rasulullah telah berjaya menjalin silaturrahim yang kuat sesama Islam.

Pertempuran ini jelas menunjukkan kebolehan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pentabdir yang berkaliber dan pintar mengendalikan taktik dan strategi pertempuran. Orang Islam mempunyai pegangan iaitu berjaya di dunia atau mati syahid.

Di sini, kami akan memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w dan umat Islam pada masa itu dapat memenangi pertempuran Badar walaupun jumlah mereka agak kecil, atas sebab-sebab tertentu, yang jika umat Islam dapat mempraktikkan cara mereka terutamanya di kalangan masyarakat, In sha Allah, kejayaan itu dalam tangan sahaja.

  1. Sifat istiqamah yang kental dalam melakukan pekerjaaan dengan syarat NIAT ATAS NAMA ALLAH
  2. Ikatan ukhuwah sesama kaum Muslimin yang sangat kuat, ibarat ikatan simpul mati yang tidak mungkin akan ditanggalkan.
  3. Sentiasa berbincang apabila membuat satu keputusan dan apabila berlakunya konflik antara ahli masyarakat.
  4. Strategi yang terancang, teratur dan efisien. Ini dibuktikan dengan kehebatan strategi Rasulullah s.a.w yang berjaya menguasai sumber air sebelum ketibaan pihak Quraisy.
  5. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah apabila kita telah berusaha sepenuhnya. Bak kata pepatah, habis akal barulah tawakkal.

Sekian wallahualam.

-RAD-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

Leave A Reply