Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Mutiara Islam

Al-Quran Dan Sejarah

Al-Quran merupakan kitab suci umat
islam. Ia merupakan sumber perundangan yang utama sebagai pendukung kepada
setiap mereka yang beragama Islam. Sebagaimana yang diketahui, Al-Quran
diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. secara beransur-beransur selama 23
tahun. Proses penurunannya bermula dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah Di langit
dunia. Kemudian dari baitul izzah kepada Nabi secara beransur-ansur kepada Nabi
Muhammad S.A.W. melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Antara keistimewaan
Al-Quran adalah dari aspek keunikan dan keajaiban yang terdapat di dalamnya
kerana isi kandungan yang kekal relevan sepanjang zaman. Ianya masih terus
dikaji sehingga ke hari ini oleh bukan sahaja umat Islam, bahkan oleh orang
bukan Islam juga. Atas maksud keunikan tersebut, ramai golongan mula melakukan
interaksi dengan Al-Quran. Impaknya, lahir sebahagian golongan yang melihat Al-Quran
sebagai ayat syifa’ (ayat penawar), solusi kepada sekian banyaknya penyakit
yang tidak ditemui penawar. Sebahagian melihat Al-Quran sebagai kitab sains dan
teknologi. Wujud juga sebahagian yang melihat Al-Quran sebagai kitab bahasa.
Tak terlepas juga, ada golongan yang melihat Al-Quran sebagai kitab sejarah.

Bagaimana
perkara sebegini boleh berlaku? Hal ini kerana intipati dan isi kandungan Al-Quran
mengandungi kesemua elemen yang disebutkan tadi. Adakah perkara ini
bertentangan dan salah? Tidak, namun harus kita sedar dan fahami bahawa adakah
ianya sekadar terhenti di situ? Adakah sekadar apabila kita sudah mendapat
sekian-sekian manfaat, maka ianya sudah tidak relevan. Sedang, Al-Quran disebut
sebagai “hadiah” dan petunjuk yang akan sentiasa bermanfaat sama ada kita
merasakan ianya perlu untuk kita atau tidak. Kerana yang lebih mengetahui apa
yang kita perlukan itu adalah kita atau Tuhan kita?

Tambahan,
tahukah anda bahawa 1/3 daripada isi kandungan Al-Quran adalah elemen sejarah,
yakni menceritakan kisah-kisah Para Nabi, kisah tokoh-tokoh dan kisah lampau.
Kenapa terlalu banyak sehingga 1/3 daripada isi kandungan Al-Quran adalah
elemen sejarah? Mari kita lihat apa itu sejarah sehingga ia dimuatkan dan
dirakamkan dalam Al-Quran.

Sejarah adalah
sebuah disiplin ilmu yang dipelajari secara amnya untuk mengetahui tentang
peristiwa dan kejadian masa lampau secara kronologi ataupun tidak dengan pelbagai
bentuk ungkapan dan perumpamaan. Ia bertujuan membantu memahami hal ehwal
kemanusiaan, keadaan bentuk perubahan, bagaimana kerajaan atau dinasti-dinasti
tertentu memperluas wilayahnya dan bagaimana mereka memakmurkan bumi sehingga
waktu mereka telah tiba untuk melakukan suatu perjalanan yang jauh. Namun
adakah sejarah sekadar itu?

Kata Ibn Khaldun
dalam karya agungnya, Mukadimah: hakikat sejarah itu dengan kata lainnya,
mengandungi penelitian dan usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang
halus tentang sebab dan asal sesuatu; pengertian dan pengetahuan tentang
substansi, esensi dan pengetahuan tentang bagaimana dan sebab terjadinya
peristiwa-peristiwa. Ia adalah sebuah kritikan dan kajian terhadap apa yang
pernah berlaku, dan bagaimana untuk mengambil pelajaran dan pengajaran
daripadanya. Itulah sejarah.

Maka, kita
fahami betapa besar sebenarnya nilaian sejarah. Nilaian sejarah bukan sekadar
mengenal karakter dan tokoh,kronologi peristiwa dan tarikh bahkan ia lebih
besar daripada itu. Ia merupakan sebuah asas dan tapak dalam memahami pelbagai
cabang falsafah yang terwujud. Justeru, penting untuk kita tahu dan sedar
bahawa sejarah itu termasuk dalam kandungan Al-Quran kerana pelajaran dan
pengajaran penting yang seharus kita ambil berat daripadanya. Bukan untuk kita
jadikan ia sebagai kitab sejarah. Ia lebih besar daripada itu. Kerana manusia
itu hakikatnya akan berulang dan sama pada sikap dan karakter walaupun lain
pada bangsa dan nama.

Al-Quran menggunakan elemen sejarah bukan terhenti untuk menceritakan kisah. Kerana itu kisah dalam Al-Quran sangat tidak mengikut prosedur dan rukun sebagaimana metode penceritaan dan penulisan manusia. Ianya adalah metode penulisan Tuhan yang sangat indah dan puitis untuk capaian akal manusia yang dahagakan sebuah perasaan tahu. Al-Quran dengan keajaiban dan keistimewaannya menggunakan sejarah untuk memberi pelajaran dan pengajaran kepada seluruh umat manusia.

Artikel dikirimkan oleh Fakhrul Islam untuk The Patriots.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet