Berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar mengerti akan maksud dan manhaj yang dibawakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam penulisan beliau tentang ‘Fiqh Aulawiyat’? Berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar menerapkan konsep ‘Maqasid Syariah’ dalam kehidupan seharian? Apabila gagal memahami perkara yang lebih penting, maka akan gagal juga dari segi pelaksanaannya. Akhirnya, diri sendiri yang menjamah ‘nikmat’ kebinasaan.
Mutakhir ini, kita dikagetkan dengan satu isu yang menjadi polemik dan dibicarakan dengan begitu hangat dalam kalangan masyarakat. Isu pendakap gigi palsu atau ‘fake braces’ sudah menjadi cerita kedai kopi yang popular. Ironinya, pengamal ‘pergigian’ yang menawarkan pemasangan pendakap gigi ini ialah mereka yang diiktiraf oleh Google atau Youtube.
Perkara ini bukan sahaja mengundang padah kepada masyarakat, malah menconteng arang pada muka pengamal pergigian profesional yang diiktiraf secara sah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurut bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S. Subramaniam, budaya memakai dan membeli ‘fake braces’ dari pasaran gelap akan mengundang pelbagai risiko kesihatan. Menurut beliau, perkara ini merupakan fesyen yang menggusarkan dan perlu ditegah.
PANDANGAN ISLAM.
Rasulullah SAW pernah bersabda mafhumnya,
“Allah melaknat wanita yang membuat tatu dan yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu pada wajahnya dan wanita yang meluaskan jarak di antara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa-apa yang telah Allah ciptakan.”
Imam al-Nawawi telah memberi komentar terhadap hadis tersebut. Kata beliau, “Meluaskan jarak gigi akan jatuh hukum haram sekiranya yang dilakukan adalah bertujuan untuk kecantikan. Walau bagaimanapun, bagi merawat masalah gigi, maka itu tidak salah.”
Dr. Yusuf al-Qardhawi pula menyebutkan dalam ulasan Shaykh al-Bahi al-Khuli, “Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, misalnya ada lebihan-lebihan yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah dosa untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Hal ini demikian kerana, Allah tidak menjadikan agama untuk kita dengan penuh kesukaran.”
APA ITU PENDAKAP GIGI?
Secara mudahnya, pendakap gigi atau ‘braces’ ialah rawatan yang digunakan dalam bidang ortodontik bertujuan untuk menyelaraskan dan meluruskan kedudukan gigi serta membantu memposisikan gigitan seseorang dengan betul. Pendakap gigi atau ‘braces’ yang sebenar – pendakap gigi tradisional – terdiri daripada keluli tahan karat dan ada sesetengahnya yang dikombinasikan dengan bahan titanium.
Pendakap gigi tradisional adalah antara jenis pendakap yang sering digunakan. Pendakap ini mempunyai logam dengan tali elastik atau tali getah yang memegang wayar ke kurungan logam. Ada banyak jenis pendakap seperti pendakap seramik yang bahannya lebih transparen dan perkembangan terkini, ialah pendakap ‘self-ligating’ bracket’ yang dapat berfungsi tanpa gelang getak elastik. Penggunaan ‘archwire’ pendakap gigi sebenar diperbuat daripada bahan anti-karat dan reaktif serta tidak aktif terhadap air liur, makanan dan minuman.
Pendakap gigi atau ‘braces’ merupakan satu jalan alternatif yang digunapakai bertujuan memperbetul kedudukan gigi seseorang individu bagi menghalang sebarang bentuk komplikasi yang lebih teruk berlaku. Tambahan pula, pemakaian ‘braces’ juga digunapakai bagi rawatan maloklusi; gigitan ‘crossbite’, gigitan terbuka, gigitan mendalam dan komplikasi rahang.
Rawatan ortodontik juga boleh diberikan kepada pesakit yang mengalami jenis maloklusi seperti gigi jongang dan gigi jarang. Kebiasaannya, pesakit akan mengalami kesukaran untuk bertutur kerana susah menyebut perkataan yang bermula daripada huruf ‘S’ dan ‘T’, mengunyah mahupun menutup mulut. Sudah pasti, perkara ini akan menjadi satu perkara yang mengaibkan sekaligus dapat merendahkan moral seseorang di samping menyukarkan kehidupan seharian individu tersebut.
BAGAIMANA DENGAN PENDAKAP GIGI PALSU?
Perkara ini jelas menjadi kontradiksi kepada pendakap gigi atau ‘braces’ palsu. Bahan-bahan yang digunakan tidak diiktiraf dan tidak diketahui sama ada selamat atau tidak terhadap kesihatan pergigian. Bahan yang tidak dinyahkuman atau disanitasi boleh menyebabkan jangkitan atau infeksi kepada mulut. Bahan yang digunakan juga amat reaktif dan boleh berkarat yang akhirnya akan mencalarkan dan menghakis enamel gigi. Manakala saduran besi yang digunakan akan menjejaskan tubuh badan dan boleh menyebabkan kanser usus.
Kalau di klinik yang diiktiraf atau mana-mana fasiliti pergigian yang sah, sudah pasti akan disediakan sebuah mesin yang dipanggil autoclave yang digunakan untuk menyahkuman segala macam barang pergigian yang digunakan. Mesin ini mampu membunuh kuman dan spora bakteria dengan sangat efektif bagi menjamin keselamatan pesakit dan doktor serta mengelakkan jangkitan silang berlaku. Cuba bayangkan, ‘doktor’ yang menawarkan perkhidmatan atau rawatan sekadar di rumah atau hotel, adakah mereka mempunyai mesin ini? Adakah keselamatan dan kesihatan akan terjamin? Silap haribulan boleh terkena jangkitan HIV Aids pula.
Antara faktor utama atau penyumbang kepada penggunaan ‘fake braces’ yang bermaharajalela ialah harga pasaran yang sangat murah. Boleh didapati dengan harga serendah RM10 hingga RM20 di samping penggunaan pendakap kurungan (bracket braces) yang disertakan dengan gelang getah yang berwarna-warni. Terdapat juga laporan tentang risiko kematian yang dikaitkan dengan bahan berbahaya seperti plumbum.
Penggunaan ‘fake braces’ akan mendatangkan pelbagai komplikasi yang memudaratkan penggunanya. Ada beberapa yang telah dituliskan dalam perenggan yang sebelumnya. Di samping itu, pengguna juga berisiko menghidap penyakit seperti masalah gusi, ulser mulut dan jangkitan kuman. Malahan, penggunaan pendakap gigi palsu ini juga boleh menyebabkan saraf dan saluran darah pada gigi mati serta menyebabkan gigi longgar. Akhirnya, akan lebih banyak kehilangan gigi yang berlaku.
Walaupun penggunaannya amat menarik mata kerana pelbagai reka bentuk dan warna, penggunaan alat yang tidak dinyahkuman akan menyebabkan komplikasi yang teruk. Alahan kepada bahan yang digunakan atau tertelan komponen-komponen kecil yang tercabut juga mungkin berlaku.
Sehubungan dengan itu, sebagai seorang muslim yang beriman dan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita sewajarnya bijak dalam menangkis segala anasir jahat yang datang. Dalam konteks ini, kita seharusnya peka terhadap perkembangan perubatan atau pergigian agar tidak mudah terpedaya dengan berita-berita yang menggiurkan. Dalam pada itu, kerjasama dengan pihak berautoriti juga harus dipergiat misalnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kita mudah untuk melaporkan kegiatan-kegiatan yang tidak bertauliah ini.
Tambahan pula, kita seyogianya belajar dan memahami ilmu fiqah tentang perubatan dan pergigian agar segala perbuatan kita selari dengan syariat Islam. Di samping itu, konsultasi bersama doktor pakar atau pakar ortodontik yang sah dan diiktiraf perlulah dititikberatkan. Jika ada dalam kalangan kita yang sudah terjebak dengan ‘fake braces’ dan doktor gigi Youtube, tanggalkan dan tinggalkanlah. Lakukan pemeriksaan penuh yang sewajarnya terhadap gigi kita.
KESIMPULAN.
Islam merupakan agama yang penuh dengan rukhsah iaitu kemudahan. Islam tidak pernah menyukarkan umat-umatnya hatta dalam urusan solat sekalipun, kita masih dibenarkan menggunakan lirikan mata sahaja andai dalam keadaan yang amat uzur. Islam agama rahmat yang memenuhi fitrah dan menjaga kemaslahatan seluruh umatnya dalam semua aspek, termasuklah kesihatan.
Sebagai seorang muslim dan muslimah yang ada pegangan syahadah dalam dada, kita sewajarnya menjaga dengan sebaik mungkin agama ini kerana Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat mewariskannya dengan derita yang penuh mehnah dan darah. Sehubungan dengan itu, kita haruslah memanjat setinggi-tinggi kesyukuran atas semua nikmat barulah timbul kesedaran dalam benak jiwa untuk menjaga sosok tubuh badan kita dengan baik.
Wallahu Ta’ala A’lam.
RUJUKAN:
- “Ke Arah Memahami Fiqh Aulawiyat”, Cetakan Kedua, Disember 2012, Ahmad Kamal Mansor, Mohd Farid Yahaya, Muhamad Hafiz Abdullah, Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- “Fiqh Pergigian Menjawab Keraguan Anda, 21 Soal Jawab Mengenai Hukum dan Isu Dalam Rawatan Pergigian” Cetakan Pertama, 2016, Dr. Aspalilah Alias, Dr. Nurjehan Mohamed Ibrahim, Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Penerbit USIM Press (Universiti Sains Islam Malaysia).
- Persembahan Presentasi (Slideshow), ‘Fake Braces and Supplement’, Nor Ain Amaliya binti Norazmisam, Mahasiswi Pergigian, Universiti al-Azhar.
- “Bahana Pendakap Gigi Palsu”, Harian Metro, Rabu 4 Mac 2015.
- https://en.m.wikipedia.org/wiki/Dental_braces.com
- https://orthodonticassoc.com/braces/best-material-braces/
- myhealth.gov.my/fake-braces/
- imedik.org/pemakaian-pendakap-gigi-atau-braces/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih