Sebut saja Elixirs of Life atau Air Maulihayat, ramai membayangkan air yang dikatakan boleh memanjangkan hayat seseorang. Subjek ini disentuh dalam banyak filem seperti Harry Potter and The Philosopher Stone, The Myth dan The Mummy: T0mb of the Dragon Emperor. Tapi apa sebenarnya kisah Air Maulihayat ini?
Sepanjang lipatan sejarah, ceritanya banyak berubah mengikut uruf setempat tetapi ia selalunya berkisar tentang cecair atau makanan yang berupaya menjadikan seseorang itu hidup lama. Antara bahan yang dikatakan popular ialah madu, sulfur, merkuri dan besi. Malangnya, kebanyakan bahan yang digunakan untuk memanjangkan hayat manusia itu sebenarnya merupakan bahan toksik dan ber4cvn.
Bila ditanya obsesi manusia terhadap keabadian, Profesor Dr Dagmar Wujastyk dari Universiti Vienna berkata, “Kenapa orang percaya pada benda yang mereka tidak boleh buktikan atau tidak logik? Kita tidak akan tahu sebabnya. Dakwaan keabadian tidak pernah dibuktikan sebagai benar.”
Terdapat banyak versi Air Maulihayat mengikut tamadun-tamadun antikuiti. Dalam mitologi Yunani, terdapat satu bahan yang dipanggil ambrosia atau minuman dewa-dewi. Orang Yunani percaya bahan ini merupakan sumber keabadian dewa-dewi Yunani yang bersemayam di Gunung Olympus. Ia dikatakan diambil daripada tanduk Amalthea, seekor kambing yang juga bonda angkat Zeus.
Sesiapa yang mengambil ambrosia akan mendapat manfaat seperti lvka cepat sembuh, menyembuhkan peny4k1t dan menghidupkan orang yang telah m4t1. Sejarawan yang mengkaji kisah ambrosia ini mendakwa ia merujuk kepada madu. Tetapi dakwaan ini disangkal oleh sasterawan Yunani, Ibycus yang mendakwa ia lebih manis sembilan kali ganda berbanding madu.
Dalam Tamadun China pula, Maharaja Qin Shi Huang bukan sekadar maharaja China pertama dalam sejarah. Malah, baginda juga merupakan orang yang percaya kepada kewujudan Air Maulihayat ini. Kisah ini menjadi asas plot filem The Mummy: T0mb of the Dragon Emperor dengan Jet Li memegang peranan sebagai Maharaja Han (diinspirasikan daripada Maharaja Qin Shi Huang).
Menurut satu artikel yang diterbitkan oleh Chemistry World, baginda percaya dengan mengambil sinabar atau merkuri sulfida, baginda akan hidup abadi. Malangnya, seperti ramai sedia maklum, merkuri merupakan antara bahan paling ber4cvn dan bertanggungjawab mengakibatkan kemangkatan Qin Shi Huang pada usia 39 tahun.
Selain sinabar, mitologi China penuh dengan imej Ling Zhi, sejenis spesies cendawan yang banyak muncul di Asia. Cendawan ini dirujuk sebagai cendawan keabadian dan digunakan dalam perubatan tradisional China selama lebih 2,000 tahun.
India juga tidak terlepas daripada fenomena alkimia menerusi ayurvedic rasayana atau sains merkuri. Menurut Prof Wujastyk, selain merkuri, Tamadun India turut memanfaatkan amla (sejenis buah sama seperti gusberi) sebagai bahan utamanya. Sementara dalam mitologi India, sesiapa yang meminum soma (sejenis susu yang menjalani proses penapaian) akan hidup kekal.
Mitologi Kristian terutama dari Zaman Pertengahan turut menyentuh subjek ini. Misalnya, sesiapa yang minum Holy Grail (cawan yang dikatakan digunakan Nabi Isa a.s sebelum baginda kononnya disalib) akan hidup abadi, menyembuhkan semua peny4k1t dan mencerahkan minda. Subjek ini turut disentuh panjang lebar dalam filem Indiana Jones and the Last Crusade.
Sebut saja Philosopher Stone atau Batu Filsuf, ramai membayangkan batu yang digunakan oleh Nicolas Flamel dalam francais Harry Potter. Tetapi tidak ramai tahu, Batu Filsuf mempunyai hubungan kuat dengan Air Maulihayat. Batu ini dikatakan diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti serbuk merah, cecair emas dan biji benih emas.
Bukan sedikit orang mencuba menghasilkan Batu Filsuf ini tetapi semua percubaan berakhir dengan kegagalan. Salah seorang cendekiawan yang berminat terhadap usaha ini ialah Sir Isaac Newton menerusi satu dokumen abad ke-17 yang diperoleh oleh Yayasan Warisan Kimia Amerika Syarikat.
Dokumen ini pada asalnya ditulis oleh seorang cendekiawan alkimia bernama Eirenaeus Philalethes yang menyentuh falsafah merkuri yang dilihat sinonim dengan Air Maulihayat. Untuk mendapatkan Batu Filsuf, si pembuat perlu menyuling bijih dan membersihkan logam-logam lain untuk menghasilkan bahan yang boleh menukar logam asas kepada emas.
Dalam era moden, masih ada yang mencuba menghasilkan mana-mana versi baru Air Maulihayat. Pada tahun 2009, staf-staf sebuah rumah rahib abad ke-14 di Yorkshire, England berusaha menghasilkan resepi cecair Chartreuse atau ubat ajaib.
Ubat ini pernah dihasilkan pada abad ke-16 tetapi selepas diketahui oleh pihak gereja, rahib-rahib yang mengusahakannya telah diusir. Walaupun resepi cecair ini telah hilang ditelan zaman, staf-staf tempat bersejarah itu cuba menghasilkannya semula dengan menubuhkan sebuah kebun herba khas yang dipanggil Air Maulihayat Abadi.
Di Rusia pula pada tahun 2015, sekumpulan saintis telah menyuntik tikus-tikus dengan bakteria yang berusia 3.5 bilion tahun dan ditemui dalam permafrost Siberia. Pemerhatiannya mendapati tikus-tikus ini bukan saja kelihatan baik tetapi berupaya untuk beranak.
Salah seorang daripada mereka turut menyuntik dirinya dengan bakteria sama dan melaporkan kesan positif terhadap dirinya. Bagaimanapun, semua dakwaan ini masih belum disahkan oleh komuniti saintifik.
Yang pasti, idea Air Maulihayat ini akan sentiasa hidup sama ada melalui medium fiksyen atau golongan yang masih percaya kepada kuasa ilmu alkimia. Tetapi bagi penulis, manusia yang mengejar keabadian terlupa bahawa keabadian itu hanya milik Dia kerana Dialah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.
RUJUKAN:
Fantozzi, J. (2017). Elixirs of Life: A History. Huffington Post.
Gannon, M. (2017). China’s First Emperor Ordered Official Search for Immortality Elixir. LiveScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih