Pada zaman dahulu, tonggak utama pemerintahan China sudah tentulah maharaja. Tetapi kekuatan sebenar jentera pemerintahan kerajaan itu bukan terletak di tangan para pegawai istana dan jeneral tentera. Sebaliknya, kunci sebenar pemerintahan dipegang oleh sekelompok individu yang berada di Istana Larangan (kediaman rasmi Maharaja China) yang kita kenali sebagai sida.

Sida atau individu bukan lelaki secara ringkasnya merupakan khadam di istana atau lebih tepat sebagai hamba (secara tak rasmi). Maharaja China sudah diketahui mempunyai khadam yang telah dibuang alat sulitnya pada abad kelapan SM. Tetapi sejarawan percaya sida secara rasmi muncul dalam sejarah semasa era Maharaja China dari Dinasti Han Timur, Han Huan Di (146-167 Masihi).

Disebabkan peranannya sebagai khadam, sida menjalankan pelbagai tugas seperti memasak, membasuh pakaian, menjadi pemandu, mengawal keselamatan dan menjaga kesihatan penghuni-penghuni istana termasuk harem diraja. Sekali pandang, banyak tugas yang perlu dipikul seseorang sida. Tetapi mereka boleh dipercayai kerana tanpa alat kelamin mereka, mereka tidak boleh mengganggu wanita di situ termasuk menghamilkan mereka.

Dan itu membawa kepada tugas paling penting sida di harem diraja: merekodkan pergerakan gundik ke kamar diraja. Sekiranya seseorang maharaja itu mahukan seseorang gundik di kamar diraja, baginda akan memberi label yang mengandungi nama gundik terpilih kepada sida yang menunggu. Sida yang bertanggungjawab menguruskan harem diraja (jawatan rasmi Ketua Kamar Diraja) kemudiannya menghantar label itu kepada gundik yang dipilih.

Sida-sida China.

Dari situ, si gundik akan dibawa menerusi tandu oleh sida-sida ke ruang diraja. Bagi setiap gundik yang pergi ke kamar diraja, mereka hanya akan mengenakan pakaian berbulu. Selepas tiba di ruang diraja, si gundik merangkak masuk ke kamar diraja sebelum digauli oleh maharaja. Sebelum fajar menjelang, si gundik akan dibawa kembali ke harem diraja.

Peristiwa berkenaan kemudiannya direkodkan dalam satu buku khas dengan nama gundik dan tarikh lawatan ke  kamar diraja direkodkan. Setiap catatan ini kemudiannya mendapat tandatangan maharaja. Catatan ini akan dijadikan sebagai bukti sekiranya si gundik mengandung dan memberi pilihan kepada maharaja sama ada baginda mahukan gundiknya itu menyimpan kandungannya atau tidak. Perkara sama turut menjadi bukti kesahihan status seseorang putera/puteri dan amat dijaga rapi oleh sida bertanggungjawab.

Terdapat beberapa sebab seseorang sida terpilih untuk berkhidmat di istana. Sesetengahnya yang berstatus penjenayah bekerja di istana selepas diberi pengampunan sebagai ganti kepada hukuman mati yang dijatuhkan kepada mereka. Dekri ini pertama kali dibuat oleh Maharaja Guangwu dari Dinasti Han (57-25 SM) dan diteruskan oleh maharaja-maharaja selepasnya.

Sesetengah penjenayah China boleh terselamat daripada hukuman mati sekiranya mengikut dekri Maharaja Guangwu dari Dinasti Han. Menerusi dekri itu, penjenayah yang terselamat daripada hukuman berkenaan akan ditukar menjadi sida.

Ada juga yang memilih menjadi sida kerana didorong oleh kerelaan sendiri seperti dipaparkan dalam filem The Last Eunuch of China. Walaupun dipandang negatif oleh masyarakat kerana membuang alat sulit mereka, sida menikmati kehidupan selesa di istana dan mempunyai pengaruh dalam kalangan pegawai istana dan kerabat diraja.

Jadi, bagi sesetengah individu ini, ia bukan sekadar peluang untuk lari daripada belenggu kemiskinan. Malah, ini juga peluang bagi mereka menempa nama dalam sejarah dan membina kehidupan selesa untuk diri dan ahli-ahli keluarga mereka. Bagi mereka, semua ini berbaloi walaupun ini bermakna terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada simbol kejantanan mereka.

Disebabkan alasan sama, sesetengah keluarga sanggup menjadikan anak mereka sebagai sida. Kebiasaannya, ibu bapa yang menyerahkan anak mereka untuk tujuan ini akan diberi sagu hati yang banyak. Pada masa sama, mereka berharap dengan menjadikan cahaya mata mereka itu sida, ia akan menjamin kehidupan yang mewah dan selesa buatnya.

Bagi mana-mana individu yang mahu menjadi sida, mereka perlu menjalani proses membuang alat sulit terlebih dahulu. Kebiasaannya, ia akan dibuat di sebuah pondok kecil berhampiran Istana Larangan yang dipanggil Ch’ang tzu. Seorang pakar yang digelar daozi jiang akan menyelia proses ini termasuk proses pemulihan. Daozi jiang biasanya dibantu oleh beberapa perantis semasa menjalankan proses pembuangan alat sulit.

Daozi jiang kemudiannya membalut bahagian abdomen dan peha si polan yang menjalani proses ini dengan kain kasa. Ini bertujuan untuk mengelak si polan mengalami kehilangan darah yang banyak selepas alat sulitnya dibuang. Bagi melancarkan lagi proses pemotongan, alat sulit si polan akan dikebaskan menggunakan sos cili pedas. Selepas alat sulitnya dipotong, ia akan dicuci menggunakan air yang dicampur serbuk lada hitam sebanyak tiga kali.

Sebelum proses pembuangan alat sulit dibuat, tiga orang individu (berkemungkinan perantis) akan memegang posisi si polan. Seorang akan memegang kedua-dua kaki individu itu dengan dua lagi memegang tangan dan pinggangnya. Ini bagi memastikan si polan tidak berganjak dan membuat pergerakan mengejut semasa proses pembuangan dijalankan.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Daozi jiang kemudiannya akan menghampiri bakal sida ini dengan sebilah pisau melengkung kecil. Sebelum proses pemotongan bermula, si polan akan ditanya soalan cepumas, “Adakah kamu akan menyesal dengan keputusan kamu (membuang alat sulit) atau tidak?” Jika si polan memberi jawapan tidak atau menunjukkan keraguan pada air mukanya, proses pembuangan alat sulit akan dihentikan. Tetapi jika bakal sida ini tetap dengan keputusannya, maka proses tersebut diteruskan.

Setelah alat sulit bakal sida ini dipotong, luka tempat tersebut akan ditutup dengan kain yang dicelup dengan air sejuk. Selepas ia dicuci dan dibalut, pembantu-pembantu daozi jiang akan memapah si polan dan berjalan dalam bilik selama tiga jam. Setelah itu, barulah bakal sida ini dapat dibaringkan atas katil bagi membolehkannya berehat.

Bahagian alat sulit yang dipotong ini ditutup dengan spigot. Dalam tempoh tiga hari, bakal sida akan mengalami kehausan kerana ditegah daripada minum air oleh daozi jiang selepas pembedahan. Selepas itu, barulah mereka dibenarkan minum dengan tujuan menguji sama ada air kencing mereka lancar atau tidak. Sekiranya lancar, proses tersebut dianggap berjaya.

Tetapi jika itu tidak berlaku, maka kematian menanti si polan yang menjalani proses tersebut. Luka proses pembuangan alat sulit selalunya mengambil masa 100 hari untuk sembuh. Setelah itu, barulah bakal sida ini dibenarkan melapor diri ke istana. Mereka membawa bersama apa yang dianggap harta paling penting mereka semasa di istana: alat sulit yang disimpan dalam sejenis bekas air kecil yang ditutup rapat dipanggil bao.

Bao yang bermaksud tiga harta berharga – merujuk kepada testikel dan penis (komponen utama alat sulit lelaki). Bao akan disimpan di bahagian atas rak dan hanya diambil untuk dua sebab: pengebumian dan pemeriksaan oleh ketua sida.

Sekiranya mana-mana sida mahu mendapatkan kenaikan pangkat dalam istana, pastikan bao ada bersama mereka pada hari ia diperiksa oleh ketua sida. Jika tidak, lupakanlah hajat mendapat kenaikan pangkat yang diingini. Dalam situasi sebegini, yang untung ialah daozi jiang.

Ini kerana sida-sida yang cuai ini pasti berusaha mendapatkan bao yang ada dalam simpanannya bagi membantu mereka lulus dalam pemeriksaan berkenaan. Justeru, tidak hairanlah wujud laporan sesetengah sida sanggup membeli, meminjam atau menyewa bao-bao yang disimpan daozi jiang sekiranya bao asal mereka hilang.

Seterusnya, jika si sida mati, maka bao dalam simpanannya akan dikebumikan bersamanya. Dan jika mereka tiada bao, maka bersedia sajalah dapatkan bao daripada daozi jiang walaupun itu memakan kos kewangan yang banyak. Sebabnya mudah, mereka mahukan mayat dalam keadaan lengkap semasa dikebumikan. Jika tidak, raja alam barzakh China Jun Wang akan menukar individu sebegini kepada keldai betina – satu prospek yang amat ditakuti oleh ramai sida.

Yang pasti, proses pemotongan alat sulit yang diharungi sida-sida ini memberi kesan besar kepada fizikal mereka bergantung kepada usia proses tersebut dijalankan. Dari segi suara misalnya, sekiranya proses pembuangan dibuat semasa muda, maka suara mereka mirip suara wanita muda.

Mereka juga tidak akan mempunyai janggut dan kerap kencing atas katil atau dalam pakaian mereka. Disebabkan perkara sebegini, maka ia membawa kepada peribahasa China bau busuk macam sida (merujuk kepada perbuatan sida terkencing atas katil atau dalam pakaian mereka). Mereka bukan saja menjadi terlalu lemah untuk aktiviti-aktiviti fizikal tetapi mudah terdedah kepada ekspresi emosi yang melampau.

Berdasarkan rekod sejarah, terdapat 10,000 orang sida pada abad ke-15 dengan angka tersebut naik kepada 70,000 orang pada 1644. Selepas Dinasti Qing berkuasa selepas menyingkirkan Dinasti Ming, bilangan mereka berkurangan kepada 3,000 orang. Ini kerana dinasti itu merasakan bilangan sida yang terlalu ramai berpotensi mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan dan seterusnya mampu menjatuhkan mereka.

Semasa era dinasti itu, sida-sida ini dibahagikan mengikut 48 jabatan dengan tugas-tugas tertentu. Setiap jabatan akan mempunyai ketua jabatan dengan ketua sida berperanan sebagai penyelia untuk semua jabatan. Gaji setiap sida berbeza-beza iaitu sekitar dua hingga empat tahil perak (RM202.50 hingga RM408). Tetapi jika bernasib baik, ada yang memperoleh gaji setinggi 12 tahil perak (RM1,224).

Kebanyakan jabatan ini terletak dalam lingkungan bandar diraja yang berperanan sebagai sistem sokongan kepada istana termasuk pengurusan makanan dan bahan mentah. Memandangkan pejabat-pejabat kerajaan ini terletak di luar lingkungan bandar diraja, bohonglah kalau pegawai-pegawai kerajaan tidak merasa terancam dengan sida-sida ini. Atas sebab itu, ada yang sanggup bersaing dengan sida-sida demi memastikan kedudukan mereka tidak terancam.

Antara jabatan sida yang wujud ialah Jabatan Cop Diraja, Sekolah Istana (sebuah sekolah khas untuk para sida) dan Jabatan Khadam Istana. Jabatan Cop Diraja bertanggungjawab menjaga 17 cop diraja kerajaan dan semua dokumen kerajaan termasuk dekri yang dibuat oleh maharaja. Sementara Sekolah Istana bertanggungjawab mendidik sida-sida terpilih dengan 200 hingga 300 orang dipilih menyertai sekolah berkenaan. Manakala Jabatan Khadam Istana bertanggungjawab menguruskan aspek pembinaan dan penyelenggaraan Kota Larangan.

Seperti orang lain, sida juga boleh dihukum jika didapati melakukan kesalahan. Antara kesalahan yang biasa dilakukan sida di istana ialah lari daripada tugas dan mencuri. Ya, mencuri. Ingatkan ada duit banyak, sida tak perlu mencuri. Tapi sida juga manusia biasa yang tidak boleh lari daripada sifat tamak.

Kebiasaannya, jika ada sida yang cuba lari, tugas mengesan dan menangkap mereka diserahkan kepada pasukan polis khas. Pasukan ini hanya mempunyai satu tujuan iaitu memburu sida yang lari dari istana. Dalam kebanyakan kes, sida yang lari berjaya ditangkap semula. Hanya segelintir saja yang berjaya melepaskan diri dan membina kehidupan baru jauh daripada pengetahuan pihak istana.

Sida yang didapati bersalah kerana lari dari tugas buat kali kedua akan dipakaikan cangue dengan nama dan kesalahannya dipaparkan pada cangue berkenaan.

Sida yang ditangkap buat kali pertama akan dipenjarakan selama dua bulan dan disebat sebanyak 20 kali. Sekiranya si polan mengulangi kesalahannya buat kali kedua, maka dia akan dipakaikan canque (sejenis kolar kepingan kayu yang besar yang memaparkan nama dan jenayah yang dilakukannya). Disebabkan saiz canque yang besar, pesalah memerlukan bantuan orang lain bila makan.

Tetapi jika sida yang sama masih tak makan saman, hukuman terakhir ialah dibuang negeri ke Mukden (kini Shenyang) selama dua setengah tahun. Pada akhir setiap hukuman, si sida akan kembali berkhidmat di istana dengan harapan perkara sebegini tidak berlaku lagi. Bagi kes kecurian, mereka juga dikenakan hukuman buang negeri ke Mukden. Tetapi jika mereka didapati mencuri barang berharga atau mana-mana objek kesayangan maharaja, maka si pelaku akan dibawa ke satu kawasan di luar Beijing dan dihukum mati.

Bagi kesalahan kecil seperti malas atau meninggalkan kerja, hukuman bagi sida ialah memukul tumit mereka dengan buluh sebanyak 80 hingga 100 kali. Selepas hukuman selesai dijalankan, luka pada bahagian tumit mereka akan diperiksa oleh doktor sida sebelum dibalut. Bagi menjadikan hukuman tersebut lebih berat, tumit si pesalah akan dipukul lagi buat kali kedua selepas tiga hari.

Dengan sejarah pemerintahan diraja China yang panjang sehingga tahun 1924, terdapat ramai sida yang menempa nama mereka dalam sejarah sama ada kerana jasa kepada negara atau menyalahgunakan kedudukan mereka. Bagi kategori kedua, terdapat ramai sida yang menyeleweng atau memanipulasi maharaja atau maharani demi menjaga kedudukan mereka.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Salah seorang daripada mereka ialah Liu Teng, seorang sida yang hidup pada zaman Dinasti Wei Utara. Liu Teng dikenali kerana mempunyai lidah bercabang dan mampu mengkhianati sesiapa saja. Atas sebab itu, mana-mana pemerintah Wei ketika itu dikawal beliau sekaligus membolehkannya mentadbir China secara proksi.

Tetapi beliau membuat satu kesilapan dengan memerangkap Perdana Menteri kerajaan Wei ketika itu, Yuan Yi yang membawa kepada kematiannya. Ini kerana Yuan Yi merupakan kekasih kepada Maharani Balu Hu. Apabila Liu Teng meninggal dunia pada usia 60 tahun, kuasa pemerintahan kembali di tangan baginda.

Murka dengan tindakan sida berkenaan yang membunuh kekasihnya itu, Maharani Balu Wu mengarahkan kubur Liu Teng digali semula dengan mayatnya dicampak ke kawasan hutan. Baginda turut mengarahkan 40 orang anak angkat sida berkenaan ditangkap dan dibunuh.

Laksamana Cheng Ho/Zheng He. Sumber: hassan saeed/CC BY-SA 2.0

Untuk kategori pertama pula, contoh paling mudah sudah pastinya Laksamana Cheng Ho/Zheng He. Anak jati Yunnan, China, beliau diberi kepercayaan mengetuai misi diplomatik Dinasti Ming ke pelbagai wilayah dari rantau Nusantara termasuk Melaka hinggalah Semenanjung Tanah Arab dan Afrika. Walaupun jasanya dipandang sepi oleh maharaja-maharaja Ming seterusnya, ia memberi kesan besar dari segi sejarah dunia maritim hari ini.

Menjelang abad ke-20, bilangan sida di istana berkurangan kepada 470 orang pada 1912. Sistem sida kemudiannya dimansuhkan secara rasmi pada 5 November 1924. Sida terakhir diraja China, Sun Yaoting menghembuskan nafas terakhir pada Disember 1996. Kisah Sun Yaoting ini menjadi inspirasi kepada filem Last Eunuch in China.


Sesiapa yang ingin meluaskan pengetahuan tentang Tamadun Cina boleh beli buku Ayman Rashdan Wong melalui pautan dibawah:
https://shopee.com.my/Kitab-Tamadun-Cina-Ayman-Rashdan-Wong-i.238336777.21315812272

RUJUKAN

China.org.cn. Top 10 eunuchs in ancient China.

Cartwright, M. (2017, 27 Julai). Eunuchs in Ancient China. World History Encyclopedia.

Duhalde, M. (2018, 23 Julai). How an army of eunuchs ran the Forbidden City. South China Morning Post.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply