Tabal Jin? Apa tu?

 

Adat istiadat Tabal Jin ni masih diamalkan sehingga kini dalam Kesultanan Perak.

 

Beberapa pengubahsuaian dilakukan agar tak bertentangan ajaran Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh Mufti Perak.

 

Istiadat ni dah ditapis sebaiknya dan hanya adat-adat yang tak bertentangan dengan Islam je yang masih diamalkan.

 

Kesultanan Perak ni sangat unik kerana sultan mereka dipercayai mempunyai pendamping dalam kalangan jin Islam.

 

Perak satu-satunya negeri yang ada Pawang Diraja yang antara tugasnya ialah untuk menjaga jin kerajaan Perak.

 

Sejak Sultan Muzaffar Syah ingin ditabalkan di Perak, sudah ada jin yang ganggu pelayaran baginda semasa menuju ke tanah besar Perak.

 

Kesultanan Perak bermula apabila Tun Saban dan Nakhoda Kasim pergi ke Kampar untuk mengadap Sultan Mahmud Shah Melaka meminta salah seorang putera baginda dirajakan di Perak.

 

Sultan Mahmud Shah arahkan puteranya, Raja Muzaffar berangkat ke Perak bersama dengan alat kebesaran kerajaan Melaka.

 

Pelayaran berjalan sangat lancar sehinggalah kapal mereka tiba di Beting Beras Basah.

 

Tiba-tiba angin kuat melanda dan kapal Raja Muzaffar tidak boleh bergerak. Buat apa pun, semuanya tak jadi.

 

Raja Muzaffar akhirnya sedar ni mungkin perbuatan jin, lalu baginda berseru:

 

“Selilit tanah Minangkabau,

Selengkung Pulau Perca,

Dilengkung ular saktimuna,

Sebenarnya aku keturunan raja,

Jauhkan segala malapetaka,

Perpisahan aku di Selat Melaka,

Jika Sah Beta Raja berdaulat,

Lepaslah sekalian malapetaka.”

 

Tiba-tiba muncul seekor jin setinggi awan berkata, “Sekiranya tuanku nak bersemayam dan memerintah Negeri Perak, hendaklah tuanku buangkan mahkota tuanku ke laut.”

 

Baginda membuang mahkota kerajaan ke laut. Laut yang bergelora sebelum ini akhirnya menjadi tenang. Kapal baginda pun sudah boleh berlayar seperti biasa.

 

Rombongan tersebut mudik ke Beting Beras Basah dan disitulah baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.

 

Sejak daripada tu, ia jadi adat bagi setiap Sultan Perak datang ke Beting Beras Basah untuk lengkapkan Istiadat Tabal Pusaka serta bersiram tabal yang disempurnakan oleh Pawang Diraja.

 

Pawang Diraja ni bukan hanya terdiri daripada bomoh-bomoh dalam kalangan rakyat, tetapi ada juga Pawang Diraja yang terdiri daripada kerabat diraja.

 

Antaranya ialah Raja Ahmad yang merupakan putera kedua Sultan Abdul Malek Shah.

 

Dengan kebolehan yang dimilikinya itu, kekandanya Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Perak memerintahkannya untuk menjaga jin kerajaan negeri Perak.

 

Menurut Jahid Sidek di dalam bukunya Berpawang dan Bersahabat dengan Jin, jin kerajaan dikatakan berada di Pulau Pangkor manakala jin kerajaan Perak pula berada di Beting Beras Basah.

 

Semasa Raja Lumu datang ke Perak untuk ditabalkan sebagai Sultan Selangor pertama, Sultan Perak iaitu Sultan Muhammad Syah bawa baginda ke Pulau Pangkor untuk upacara mandi balai kerana dipercayai tempat tinggal jin kerajaan.

 

Bermulanya dari kisah Raja Muzafar di Beting Beras Basah itu juga, upacara tabal jin telah dilakukan oleh istana Perak secara turun-temurun.

 

Kini, Istiadat Tabal Jin itu dah ditukar nama kepada Istiadat Tabal Pusaka.

 

Isitiadat ni dilakukan pada waktu malam di Balairong Seri dan Panca Persada disaksikan oleh kerabat raja yang terdekat serta pembesar-pembesar dan pemimpin Perak.

 

Pada zaman dahulu, sebelum bermulanya upacara ini, pawang diraja akan memuja perkakas kerajaan selama tujuh hari tujuh malam.

 

Pada malam terakhir, Panca Persada akan diletakkan dua buah kerusi khas untuk istiadat bersiram diraja sebelum ditabalkan menjadi raja dalam siri perayaan istiadat tabal raja.

 

Panca Persada dahulunya dibina di kawasan tengah Sungai Perak, namun kini ia hanya dibina di perkarangan istana Iskandariah.

 

Malam kemuncak upacara, Sultan dan Permaisuri akan bersemayam di Panca Persada dan nobat akan dimainkan.

 

Kini upacara ini hanya dilakukan selama tiga hari sahaja. Selepas selesai upacara, baginda dan permaisuri akan turun dari istana dan akan mengelilingi Panca Persada sebanyak kali.

 

Selepas selesai mengelilingi Panca Persada sebanyak tujuh kali, Sultan dan Permaisuri akan naik ke Panca Persada dan akan disiramkan.

 

Selepas selesai, mereka berdua kembali ke istana untuk menyalin pakaian dan kemudiannya akan bergerak ke Balairong Seri untuk bersemayam di singgahsana dengan iringan nobat.

 

Semua yang dilakukan ini tak lebih daripada adat istiadat semata-mata dan langsung tiada kaitan dengan jin mahupun jembalang.

 

Oleh: Azizul Farhan

 

___

 

Tertarik nak baca banyak lagi cerita-cerita berkenaan Raja-raja Melayu? Dapatkan KISAH KLASIK TAMADUN MELAYU. Dapatkan segera di Shopee kami:

https://shope.ee/6zuOAQYyBR


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply