Pada kurun ke-5SM, sejarawan Yunani yang bernama Herodoutus menulis tentang budaya-budaya dan tradisi-tradisi yang beliau saksikan ketiba berada di Babylon. Salah satu tradisi yang paling kontroversi dalam laporan beliau adalah pasar perkahwinan Babylon, di mana ia melibatkan gadis-gadis jelita dikumpulkan di sebuah tempat lapang. Lalu, seorang ‘jurulelong’ meminta setiap wanita untuk berdiri, seorang demi seorang. Kemudian, si jurulelong tersebut mengiklankan mereka untuk dijual.

Tulisan Herodotus ini memberikan inspirasi kepada seorang pelukis British kurun ke-19, Edwin Long untuk menghasilkan karya seninya yang masyhur, berjudul ‘Pasar Perkahwinan Babylon’. Lukisan tersebut mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan.

Ia dirasmikan dalam pameran musim panas yang dilangsungkan di Akademi Diraja pada tahun 1875. Pada tahun berikutnya, lukisan itu dijual pada harga 6000 guineas, yang mana pada masa itu, ia merupakan amaun terbesar yang pernah dibayar untuk sekeping hasil karya ciptaan seniman yang masih hidup.

Antara lukisan lain Long (kiri) Queen Esther (1878) dan (kanan) The Finding of Moses (1886)

Lukisan Pasar Perkahwinan Babylon memberikan gambaran tentang gadis-gadis yang dilelong sebagai pengantin perempuan (bukan dijual sebagai hamba). Long mendapatkan inspirasi bagi menghasilkan lukisan tersebut daripada Histories karya Herodotus, atau lebih spesifik, ‘Book 1’ bagi karya berkenaan.

Pada penghujung ‘Book 1’, Herodotus menulis:

“Kini, saya berikan tumpuan pada budaya-budaya mereka yang menurut hemat saya, ia turut diamalkan oleh kaum Illyria. Sekali setahun, di setiap kampung, budaya inilah yang mereka lazim amalkan. Kebiasaannya, mereka akan mengambil kesemua gadis yang telah cukup umur untuk berkahwin lalu membawa mereka semua ke sebuah tempat. Kaum lelaki kemudiannya akan mengerumuni dan mengelilingi mereka.

Kemudian, seorang jurulelong akan meminta setiap wanita untuk berdiri, seorang demi seorang, sebelum dia mengiklankannya untuk dijual. Jurulelong tersebut kebiasaannya akan memulakan dengan gadis yang paling menawan. Apabila gadis tersebut Berjaya mendapatkan tawaran harga yang sesuai dan dibeli oleh seorang lelaki, dia akan mengiklankan pula gadis kedua yang paling menawan. 

Mereka-mereka ini dijual untuk dijadikan sebagai isteri, bukannya hamba. Lelaki-lelaki kaya di Babylon yang menginginkan isteri akan hadir dan bersaing dengan pembida-pembida lain untuk mendapatkan gadis yang rupawan. Sementara itu, lelaki marhaen yang mahukan isteri dan tidak berminat pada rupa paras pula lazimnya akan memperolehi gadis yang kurang menawan dan sedikit wang yang masih tersisa.”

Cebisan daripada ‘Histories’ tulisan Herodotus

Sambil itu, Franklin Edson Belden di dalam Historic Men and Scenes (1898) menulis:

“Masyarakat Babylon bersifat rakus pada tahap yang melangkaui akal. Apa sahaja perkara yang boleh menghasilkan wang akan dijual. Bahkan, nilai-nilai peribadi juga dicampak ketepi untuk meraih kepuasan. Setiap wanita dalam kalangan mereka pasti pernah sekali seumur hidup muncul di khalayak ramai di hadapan kuil Beltis, di mana pada perhimpunan tersebut, orang-orang asing digamit perhatian untuk mengunjungi kota Babylon.

Sering juga gadis-gadis dihimpunkan dan dilelong, sehingga menarik perhatian putera-putera kaya dari wilayah-wilayah jiran. Ayah-ayah dan abang-abang, membawa anak atau saudara perempuan masing-masing dan bersiap-sedia untuk menukarkan mereka dengan wang. 

Segala sesuatu yang menyumbang kepada kepuasan dalam hal perhiasan, selera makan dan syahwat dipenuhi dan digauli sebanyak mungkin. Malah, dewan-dewan istana dijadikan sebagai harem, tempat melampiaskan berahi.”

Selain daripada tulisan Herodotus, Long juga mendapatkan sumber inspirasi dan ilham daripada artifak-artifak purba. Pada masa-masa itu, sejumlah ekspedisi arkeologi dijalankan di Mesopotamia. Artifak-artifak yang ditemukan di rantau berkenaan dibawa pulang ke London.

Memandangkan beliau berhasil meraih akses untuk melihat artifak-artifak Assyria di Muzium British, Long berupaya mendapatkan perincian-perincian yang mendalam bagi menghasilkan lukisannya itu. Hal ini membolehkan Long memberikan gambaran yang sehampir mungkin tepat berkenaan situasi Babylon yang sebenar.

Lukisan ini boleh dilihat menerusi beberapa kacamata. Antaranya, terdapat sebilangan yang memandang lukisan tersebut sebagai cerminan kepada pasar perkahwinan versi Victorian. Disebutkan bahawa tahun berlangsungnya pameran yang merasmikan lukisan ini merupakan masa-masa di mana ‘pasar perkahwinan’ British bergiat agak aktif. Pada waktu itu, kebanyakan masyarakat menghadiri perkumpulan-perkumpulan di mana lelaki dan wanita dipasang-pasangkan. 

Lukisan tersebut kini disimpan di Royal Holloway College. Hasil seni itu turut dilihat pada kacamata tersendiri oleh sebuah institusi pendidikan yang bermula sebagai sebuah kolej wanita. Menurut perspektif institusi berkenaan, lukisan tersebut berperanan sebagai pemangkin kepada perdebatan tentang peranan baharu wanita dalam kalangan masyarakat, kedudukan undang-undang mereka dan juga perundangan perkahwinan yang melibatkan mereka.

Thomas Holloway, dermawan kurun ke-19

DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:

Wu Mingren. (21 Julai 2016). The Babylonian Marriage Market: An Auction of Women in the Ancient World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/babylonian-marriage-market-auction-women-ancient-world-006315


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.