Diceritakan bahawa Enrico Fermi sedang makan tengah hari bersama rakan-rakannya, sewaktu dia bertanya soalan ini – “Mana mereka?”
“Mereka” di sini merujuk kepada makhluk asing.
Fermi merupakan saintis yang hebat. Dia adalah antara tokoh penting dalam proses pengenalan bom atom kepada manusia. Namun soalan Fermi itu, bukanlah benda baru, sebaru bom atom yang dia cipta. Namun soalan itu adalah soalan lama yang kemudian Fermi cuba olah supaya boleh dibicarakan dari sudut sains dengan lebih terperinci.
Soalan Fermi tu sendiri tidaklah aneh. Kalau diikutkan, ada berjuta bintang di langit. Katakan setiap bintang tersebut mempunyai planet mereka sendiri, maka akan ada banyak planet yang barangkali mampu menampung hidupan – sama seperti Bumi.
Tapi, berdasarkan pemerhatian kita sehingga ke hari ini, masih tiada lagi cubaan dari makhluk dari angkasa untuk cuba menghubungi kita.
Kenapa?
Itulah Paradoks Fermi. Kenapa mereka tak berhubung dengan kita, sedangkan kebarangkalian untuk mereka turut hidup di semesta yang luas ini ada?
Dalam usaha kita untuk mencari tanda-tanda kehadiran makhluk lain seperti kita di luar sana, kita tubuhkan Search for Extraterrastrial Intelligence (SETI) untuk cuba menghubungi dan mencari mereka melalui gelombang radio, dengan data paling menarik yang pernah kita dapat pastinya data “Wow” dari satu sudut angkasa yang kita tidak pasti sumbernya.
Kalau kau bertanya kepada 10 orang ahli kaji angkasa, mana makhluk asing, aku percaya kau akan dapat 10 jawapan yang berbeza.
Hal ini disebabkan oleh hakikat bahawa kajian terhadap kewujudan makhluk asing ini adalah terhad, semacam kita duduk di Malaysia dan tanya kalau-kalau ada orang duduk di kawasan Indonesia tanpa pernah pergi ke tempat itu sendiri. Satu-satunya cara untuk kita semak kalau-kalau ada makhluk hidup di Indonesia adalah dengan cara pasang unggun api, dan hantar isyarat asap ke sebelah sana.
Tu contohlah tapi…
Kita di Bumi, dan kita cuba mencari kalau-kalau ada makhluk lain yang wujud nun jauh di galaksi belah sana. Agak janggal pula. Bukan?
Jadi, apa yang kita mampu buat hanyalah sekadar ber-teori dan ber-retorik, kita boleh cakap mungkin seperti ini, mungkin seperti itu, tapi tiada siapa yang mampu mengesahkan hal terbabit, meskipun orang tersebut adalah penulis buku Konspirasi Alien.
Berikut adalah antara anggapan/hipotesis terkini bagi membincangkan Paradoks Fermi – kenapa makhluk asing tak pernah cuba menghubungi kita, sedangkan kebarangkalian untuk mereka wujud itu tinggi.
1. Down The Rabbit Hole.
Pernah tengok filem Matrix? Tak pernah? Cuba tengok sekali. Matrix merupakan antara francais filem pertama yang bermain dengan kebarangkalian bahawa alam yang kita diami ini sebenarnya hanyalah simulasi komputer. Dalam filem tersebut, Neo merupakan antara manusia terpilih yang “tersedar” dari alam simulasi tersebut, hanyalah untuk menyedari bahawa alam tersebut dikawalselia oleh robot.
Down the rabbit hole sebenarnya mengambil aspirasi dari topik yang sama. Baru-baru ini, kelihatan semakin ramai saintis yang mula meneroka kebarangkalian bahawa alam ini adalah hologram. Jadi kalau dah alam ni hologram, makhluk asing yang sebenar, yang ingin kita jumpa pastinya bukan di alam ini, sebaliknya di alam di sebelah sana.
Bagaimana kita nak jumpa mereka? Pilihlah sama ada pil merah atau pil biru.
2. They Are Already Here.
Ini mungkin jadi kegemaran tahi konspirasi. “Dah ada banyak lah sebenarnya tanda bahawa makhluk asing tu pernah sampai ke Bumi. Kau tengok piramid tu. Tak jin, makhluk asing la yang buat tu.” jerit Pak Abu dengan lantang.
Hipotesis ini sebenarnya agak sukar untuk diterima, salah satu faktornya adalah kerana anggapan bahawa makhluk asing sebenarnya dah berada di Bumi ni seperti tidak mempunyai apa-apa kesan yang ketara.
Yang selalu dipertikaikan mengenai kehadiran makhluk asing di Bumi ni sebenarnya lebih kepada tempat di mana mereka sering kelihatan – di negara-negara Barat. Bahkan geng konspirasi sendiri percaya ada kesepakatan antara kerajaan untuk menutup kes-kes berkaitan makhluk asing, ala-ala filem Man In Black.
Cuma satu jer nak tanya, kalau betul makhluk asing dah ada di Bumi. Apa gunanya kau bersembunyi di Bumi, sedangkan kau lebih pertama mampu untuk sampai ke Bumi? Kenapa tak kolonisasi je Bumi ni, dah alang-alang teknologi kau canggih?
3. Our Wires Are Crossed
Pada waktu sekarang, kita sedang cuba untuk mengesan kewujudan makhluk asing dengan cara menghantar gelombang radio ke udara. Antara agensi terkenal yang mempelopori hal ini adalah Search for Extraterrestial Intelligence (SETI).
Bagaimana kalau cubaan kita itu sia-sia, kerana kita menggunapakai gelombang radio, sedangkan makhluk asing tersebut menggunakan gelombang inframerah?
Kita sendiri tidak tahu kalau itu yang sedang terjadi, kerana sama ada betul atau salah, kita tidak akan menerima apa-apa isyarat dari atas sana.
4. They Live In Unlikely Place
Di mana sebenarnya kita nak cari makhluk asing ni? Salah satu model yang boleh kita gunakan, pastinya adalah Bumi. Di Bumi, selain manusia, kita juga ada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Kepelbagaian biodiversiti ini terjadi akibat dari keadaan Bumi itu sendiri, ia mempunyai air dan oksigen, jadi saintis sekarang lebih fokus untuk mencari planet dengan ciri-ciri seperti Bumi.
Namun bagaimana pula kalau mereka (makhluk asing) tidak tinggal di planet seperti Bumi? Sebaliknya, mereka tinggal di planet yang penuh dengan gas karbon dioksida, dan mereka mempunyai insang, bagi menapis pernafasan mereka?
Eh, mereka bernafas ke?
Disebabkan kita sendiri pun tak tahu apa sebenarnya bentuk makhluk asing yang ingin kita cari, ada kemungkinan bahawa planet-planet yang kita anggap tidak sesuai untuk hidupan tumbuh mungkin berpenghuni.
5. Earth Is A Fishbowl
Hipotesis ini turut dikenali sebagai Zoo Hypothesis. Secara mudahnya, kalau anda pernah tonton filem Star Trek, salah satu benda yang Federation buat adalah mereka melarang mana-mana anggota mereka untuk berinteraksi dengan makhluk di planet yang belum maju.
Kemajuan planet ni ada beberapa jenis, diambil daripada Kardashev Scale. Kita ada 3 jenis kemajuan peradaban, iaitu Type-I civillization, di mana makhluk di planet tu boleh guna semua sumber yang ada di planet tersebut dengan sepenuhnya. Type-II civillization pula, penduduk di planet tersebut dah mampu menggunapakai tenaga dari bintang berhampiran mereka, dan untuk Type-III, mereka dah mampu menggunapakai tenaga dari keseluruhan sistem galaksi mereka.
Agak-agaknya, kita di Bumi ni peradaban ke berapa?
Ya, kita masih lagi belum melepasi peradaban pertama (anggaran peradaban kita adalah peradaban 0.77), dan disebabkan kita masih belum layak untuk mengembara ke luar sana, mungkin sebab itu mereka tidak mengganggu kita.
6. They Use Tech To Spy
Manusia pernah pergi ke Bulan atau tidak? Ok, aku tak peduli jawapan kau, tapi kita sendiri telah berkali-kali menghantar objek ke Bulan. Jangan jadi ejen konspirasi dan geng bumi leper sangat nak cakap semua tu konspirasi Yahudi, sebab selain geng Yahudi, baru-baru ni, saintis dari China dah berjaya daratkan probe dekat Far Side of The Moon. Jangan cakap China, Jepun pun dah pergi. India, mereka masih dalam perancangan kalau tak silap.
Kalau perasan, space exploration ni kita selalunya tak hantar objek bernyawa, kerana kita tahu risiko bahawa objek tersebut mungkin tidak selamat. Jadi, ada kebarangkalian bahawa makhluk asing, seandainya wujud, tidak menghantar diri mereka sendiri, sebaliknya menghantar teknologi-teknologi mereka yang kita tidak tahu apa bentuknya, untuk mencari kita.
Mungkin mereka hantar meteor sahaja untuk spy kita?
Aicewah.
7. Space Is Too Vast.
Selepas Big Bang, alam semesta mengalami fasa perluasan. Hatta sewaktu anda sedang membaca ini pun, alam sedang berkembang dalam keadaan memecut (semakin cepat). Ingat tak tadi kita diberitahu bahawa kita menggunapakai gelombang radio untuk mencari makhluk asing? Mungkin juga, sewaktu kita sedang mencari mereka, mereka juga sedang menjauh dari kita.
Aduh, mungkinkah itu suratan takdir?
8. Destroy or Be Destroyed.
Ok, aku tahu kau berminat nak berjumpa dengan makhluk asing, tapi ada jaminankah kalau-kalau makhluk asing tu sendiri berminat nak jumpa dengan kau?
Kalau kita tengok balik kitaran makanan di Bumi, segalanya bermula dengan tumbuhan, dan selalunya ia akan berakhir dengan manusia sebagai pemangsa terakhir.
Belajar daripada alam kita sendiri, setiap spesis mempunyai naluri untuk berada dalam keadaan selamat, dan barangkali salah satu sebab kenapa mereka diam sehingga sekarang adalah kerana itu – mereka takut adanya penambahan baru pada rantaian makanan.
9. Life is Rare.
Hipotesis ini juga dipanggil sebagai Rare Earth Hypothesis. Hipotesis ini mendapat agak banyak pengikut dari kalangan saintis, kerana mereka berpandangan bahawa untuk melahirkan hidupan, ia perlu ciri-ciri yang amat spesifik.
Benda hidup di Bumi terdiri dari Carbon-based, jadi kita perlu mencari sebuab planet dengan jumlah karbon yang tinggi di dalamnya. Selain itu, untuk hidupan seperti kita lahir, planet tersebut perlu berada di Goldilock Zone, zon di mana planet tersebut tidak terlalu dekat dengan bintangnya, kalau dekat sangat, nanti planet tu akan panas, tandus dan kering. Planet tersebut juga tak boleh terlalu jauh, atau dia akan jadi terlampau sejuk.
Selain dua ciri di atas, planet yang mampu menampung hidupan juga perlu ada medan magnet yang tersendiri, kerana medan magnet berfungsi untuk melindungi planet tersebut dari ribut angkasa. Selain medan magnet, planet tersebut tidak boleh berputar terlalu laju, dan kecondongan planet tersebut juga perlu berada pada tahap minima. Kalau planet tu terlampau condong, akan berlaku pertukaran musim yang ekstrim, sekejap bahagian hemisfera utara musim panas, tak sampai sebulan tiba-tiba musim sejuk.
Ha, nampak tak leceh sebenarnya nak cari planet yang betul-betul sebijik macam Bumi? Jadi sebab itulah ada saintis berpandangan bahawa Bumi ni unik, dan salah satu sebab kenapa “mereka” tak datang ke Bumi, sebab “mereka” tu sendiri pun tak wujud.
We are alone bebeh.
Jadi, hipotesis mana yang anda rasa betul? Atau, makhluk asing tak wujud?
Wallahualam.
P/s:
1. We Are The Alien tak diulas sebab tak best. Ada ke patut dia nak cakap kita ni cucu cicit tinggalan alien?
2. Ini bukan artikel sains, lebih kepada sains fiksyen. Perbincangan mengenai Paradoks Fermi pun sebenarnya lebih kepada persoalan-persoalan sekitar ini juga, kenapa itu, kenapa ini. Kita tak ada bukti yang konklusif, jadi semua ini hanyalah untuk borak-borak di kedai makan sahaja.
Kredit gambar:
Ten Solutions to the Fermi Paradox. https://www.reddit.com/r/Futurology/comments/3n5z5m/ten_solutions_to_the_fermi_paradox/
Bacaan lanjut:
Webb, Stephen (2015). If the Universe Is Teeming with Aliens… Where Is Everybody? Seventy five Solutions to the Fermi Paradox and the Problem of Extraterrestrial Life (2nd ed.). Copernicus Books. ISBN 978-3-319-13235-8.
Ward. P., Brownlee. D. E. (2000). Rare Earth: Why Complex Life Is Uncommon in the Universe.
Kardashev, N. (1997). “Cosmology and Civilizations”. Astrophysics and Space Science. pp 25–40. doi:10.1023/A:1000837427320.
Virk, Rizwan. “The Simulation Hypothesis: An MIT Computer Scientist Shows Why AI, Quantum Physics, and Eastern Mystics All Agree We Are In a Video Game.”
Ball, John A. (Jul 1973). “The Zoo Hypothesis”. Icarus. 19 (3): 347–349. doi:10.1016/0019-1035(73)90111-5.
Galaxy Simulations Offer a New Solution to the Fermi Paradox
Wow! mystery signal from space finally explained
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih