P.Ramlee miskin di akhir hayatnya. Itulah persepsi masyarakat dewasa ini apabila merujuk kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Perkara ini bermula setelah sebuah dokumentari berkaitan sejarah hidup seniman agung itu ditayangkan pada tahun 2010.

Bagi membetulkan dakwaan tersebut kami memperlihatkan segala hujah dan fakta untuk menyangkal dakwaan tersebut. Di dalam dokumentari berkenaan ada beberapa individu yang ditemubual sebagai sumber primer bagi menguatkan lagi dakwaan P.Ramlee itu miskin di penghujung hayatnya.

Bagi pendapat peribadi saya P.Ramlee tidak miskin dari sudut kewangan dan kehidupannya. Tetapi jika kerjaya seninya mengalami zaman suram saya percaya. Perkara ini berlaku adalah disebabkan beberapa faktor seperti kemunculan televisyen pada ketika itu. Disamping masyarakat ketika itu sudah beralih kepada muzik Pop Yeh Yeh yang sangat mendominasi.

Faktor filem-filem luar versi warna juga menjadi salah satu faktor kejatuhan filem-filem Melayu pada ketika itu bukan filem P.Ramlee sahaja. Perkara ini turut menjejaskan perkembangan filem Melayu di Singapura sehingga berlaku penutupan studio Jalan Ampas pada tahun 1967. Disebabkan P.Ramlee itu satu nama yang besar pada ketika itu ia akan lebih menonjol dan sering dikaitkan.

P.Ramlee tidak miskin? Ya, P.Ramlee tidak miskin. Sejak mengarah filem Bujang Lapok pada tahun 1957, P.Ramlee dibayar sebanyak 30 ribu ringgit untuk mengarah sebuah filem. Bayaran ini berlarutan sehingga P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa gagal. Perkara ini tidak berlaku kepada pengarah lain di Shaw Brothers baik di Singapura atau di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur P.Ramlee mempunyai 2 buah rumah. Satu di Jalan Bunga Kantan dan satu lagi di Jalan Dedap (sekarang Pustaka Peringatan P.Ramlee).

Rumah di Jalan Bunga Kantan P.Ramlee sewakan kepada Salleh Ghani setelah berpindah ke Jalan Dedap. P.Ramlee pada ketika itu turut mempunyai syarikat miliknya Rumpun Melayu bersama H.M Shah. Beliau juga memiliki Pawagam P.Ramlee di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saloma pula pada ketika itu masih mempunyai kontrak menyanyi di Kelab Malam. P.Ramlee dan Saloma memiliki kereta masing-masing. P.Ramlee juga masih mampu menyekolahkan anak-anak angkatnya. Menurut Sazali, sepanjang hidup bersama P.Ramlee di Kuala Lumpur, belum pernah lagi “daddynya” itu gagal memberi makan minum dan keperluan kepada anak-anaknya.

Menurut Dato’ Ahmad Nawab yang sering bersama P.Ramlee ketika di Kuala Lumpur turut menyangkal dakwaan yang P.Ramlee miskin di penghujung hayatnya. Ahmad Nawab boleh dikatakan seringkali menemui P.Ramlee bagi bersama-sama berkarya mencipta lagu. Malah, P.Ramlee juga boleh dikatakan setiap minggu makan tengah hari di Restoran Kudu yang terletak berhadapan dengan Bangunan UMNO lama. Jadi, celah mana dikatakan beliau miskin sedangkan beliau mampu untuk makan di luar setiap minggu?

Walaubagaimanapun, ada juga kebenarannya dari apa yang diperlihatkan melalui dokumentari berkenaan yang menyatakan P.Ramlee mengalami tekanan disebabkan beberapa faktor seperti menerima perintah mahkamah disebabkan beliau pernah menjadi menjamin seorang hamba Allah atas tujuan pinjaman bank. Selepas menerbitkan 6 Jahanam, para wartawan juga seringkali memulaukan beliau dan menjadikan filem tersebut sebagai bahan untuk menghentam karier beliau.

Menurut pembantu peribadi P.Ramlee, Ramli Kecik, di rumah P.Ramlee, boleh dikatakan setiap hari di rumah beliau ada nasi, cuma ketika hari beliau meninggal dunia, beras tidak ada di rumahnya. Ini membuktikan bahawa isi rumah P.Ramlee tetap ada dan menyangkal dakwaan P.Ramlee jatuh miskin.

Tambahan pula, walaupun karier P.Ramlee agak suram di Kuala Lumpur, namun tidak bagi Saloma. Walaupun sudah berhijrah, Saloma seringkali mendapat undangan menyanyi di kelab-kelab dan kadangkala ke luar negara seperti Thailand dan Australia.

Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak boleh membantu bagi membetulkan persepsi yang P.Ramlee miskin di penghujung hayatnya. Semoga bermanfaat.

Sumber:

  1. Temubual bersama Datuk Seri Dr Ahmad Nawab
  2. Temubual bersama Sazali P.Ramlee.
  3. Ramli Ismail (1998), Kenangan Abadi P.Ramlee, Kuala Lumpur, AdiCipta Sdn Bhd.
  4. Datuk Aziz Sattar (2018), Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Kuala Lumpur,  Matin Energy Sdn Bhd.
  5. Ahmad Fauzee (2012), Biografi Saloma, Kuala Lumpur, AF Chendana Sdn Bhd.
  6. Hidir Ali Razali (2018), Di Sebalik Tirai Layar, Ampang, The Patriots Publication.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.