Semua mengenali Imam al-Ghazali sebagai seorang ulama bukan saja dalam bidang tasawuf tetapi juga dalam bidang fiqh dan falsafah. Berikutan jasanya yang besar kepada umat Islam, beliau diberi gelaran Mujaddid dan Hujjatul Islam. Antara karyanya yang paling ulung ialah kitab Ihya Ulumuddin yang terus menjadi rujukan umat Islam hari ini. Namun, siapa sebenarnya Imam al-Ghazali pada pandangan sejarah?
Imam
al-Ghazali atau nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad al-Ghazali dilahirkan di
Tabaran/Ghazalah, Tus, Iran pada tahun 1056 (pandangan sejarawan moden) atau
1058 (pandangan Ibnu Jauzi rahimahullah). Beliau diberi gelaran al-Ghazali
kerana pertama, ia merujuk kepada tempat kelahirannya di Ghazalah atau merujuk
kepada pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun dan penjual kain tenun. Imam
al-Ghazali turut dikenali dengan nama Abu Hamid kerana pernah mempunyai seorang
anak lelaki bernama Hamid yang meninggal dunia semasa kecil.
Beliau
datang dari sebuah keluarga yang miskin dari segi material tetapi kaya dari
segi kasih sayang. Bapanya yang merupakan seorang ulama sufi yang warak
berharap putera-puteranya iaitu Muhammad dan Ahmad menjadi seorang ulama yang
arif dan soleh. Dan melihat kepada senarai guru yang didampingi Imam
al-Ghazali, nyatalah tahap ilmu beliau bukan calang-calang. Beliau pernah
berdamping dengan Dhiauddin Abdul Malik al-Juwaini semasa berada di Naysabur
sehinggalah gurunya meninggal dunia pada 20 Ogos 1085. Selepas pemergian
gurunya, Imam al-Ghazali dijemput oleh Nizam al-Mulk, seorang wazir terkemuka
dari kerajaan Saljuk ke Baghdad dan dilantik menjadi sebahagian daripada tenaga
pengajar Madrasah Nizamiyyah yang diasaskan oleh wazir berkenaan.
Pada satu
ketika dalam kehidupannya, Imam al-Ghazali berhadapan dengan isu keyakinan
sehingga memaksa beliau meletak jawatan dari Madrasah Nizamiyyah dan
meninggalkan Baghdad atas alasan mahu mengerjakan haji. Menurut penulis Duncan
B. Macdonald, beliau berbuat demikian kerana mahu mendapatkan pengalaman rohani
dan menginginkan pemahaman lebih mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah.
Semasa pengembaraan ini, beliau pernah singgah di Baitulmaqdis, Damsyik, Makkah
dan Madinah pada tahun 1096. Sekembalinya Imam al-Ghazali dari pengembaraannya,
beliau kembali ke kampung halamannya di Tus untuk beruzlah selama beberapa
tahun. Walaupun beliau menolak sebarang jemputan sebagai pengajar atau
pensyarah, itu tidak menghalangnya memberi syarahan, menerima kehadiran orang
ramai sebagai tamu dan mengajar di institusi-institusi tertentu.
Selepas
Nizam al-Mulk meninggal dunia akibat dibunuh kumpulan Hashashin pada tahun
1092, peranan wazir digalas oleh Fakhr al-Mulk dan perkara pertama yang
diingininya ialah kembalinya al-Ghazali ke Nizamiyyah di Naysabur. Bimbang akan
gangguan dan kontroversi yang tercetus sekiranya beliau menolak, al-Ghazali kembali ke Naysabur pada tahun
1106 dan menolak tawaran Dinasti Saljuk untuk kembali ke Baghdad atas jemputan
wazir Sultan Muhammad I dari dinasti berkenaan pada tahun 1110. Beliau
meninggal dunia pada 1111 di Tus.S
Imam al-Ghazali
berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat,
seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu
dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah s.w.t. Dan jasanya terhadap umat Islam
terlalu banyak di mana ia diterjemahkan dalam pelbagai bentuk karya. Tahafut
al-Falasifah ialah sebuah kitab yang dihasilkan pada abad ke-10 Masihi sebagai
satu bentuk kritikan terhadap pendukung falsafah Aristotle yang wujud dalam
kalangan pemikir dan cendekiawan Islam ketika itu termasuk Ibnu Sina.
Tetapi itu tidak boleh mengatasi karya ulungnya, Ihya Ulumuddin. Ia meliputi semua bidang yang menjadi teras agama iaitu teologi, fiqh dan sufisme. Kitab yang dihasilkan Imam al-Ghazali ini merupakan antara kitab yang paling banyak dipetik teksnya selepas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Ia dianggap karya ulung kerana berupaya menyatukan elemen sufisme dan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah dalam bentuk satu panduan yang bersifat menyeluruh dan berguna dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Ia juga menjadi rujukan ramai cendekiawan termasuk Imam Nawawi rahimahullah yang berpandangan, “Sekiranya semua kitab berkenaan Islam itu hilang kecuali kitab Ihya, maka itu sudah cukup untuk menggantikan semuanya.”
Menerusi
karya-karyanya termasuk Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali berjaya membetulkan
kesilapan ahli-ahli falsafah dan ahli kalam. Beliau menjelaskan kepada orang
Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung kepada hipotesis-hipotesis yang tidak rasional
tetapi mesti bersandarkan kepada
dasar-dasar yang teguh dan nyata. Beliau juga memberikan tafsiran yang bersifat
rasional tentang kepercayaan asas Islam sehingga kesahihannya atas dasar
rasionalisme tidak dapat dipersoalkan lagi sepanjang zaman. Selain itu, beliau
menerangkan hikmah setiap suruhan syariat dan memberikan konsep yang jelas
mengenai Islam sekaligus dapat menghilangkan segala keraguan mereka.
Imam
al-Ghazali juga turut meneliti kepercayaan semua kumpulan agama pada zaman itu
dan perbezaan antara mereka. Beliau menjelaskan had-had antara Islam dan kufur
dan had-had kebebasan pentafsiran. Usaha sebegini bukan saja mengurangkan
pertelingkahan antara kumpulan mazhab atau fahaman yang bertentangan, malah ia
turut membantu meluaskan pandangan alam rakyat pada sesebuah fahaman dan
kumpulan. Beliau juga menolak perbuatan taklid membabi-buta, menentang gejala
kejumudan dan menarik masyarakat kembali kepada Kitabullah da sunnah Rasul-Nya.
Imam al-Ghazali juga dilihat berjaya menghidupkan semula semangat ijtihad dan
mengkritik kumpulan-kumpulan yang membawa unsur yang bertentangan prinsip
akidah tauhid.
Beliau mengkritik
sistem pendidikan yang sedang merosot ketika itu dan mencadangkan sebuah sistem
yang baru sebagai ganti. Kurikulum yang
wujud ketika itu mempunyai beberapa kelemahan seperti memisahkan elemen agama
dari ilmu bersifat duniawi dan memasukkan perkara-perkara yang dianggap
bertentangan dengan syariat menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan.
Cadangan sistem sebegini pada awalnya ditentang oleh ulama kontemporari ketika
itu tetapi akhirnya menjadi antara legasi terhebat Imam al-Ghazali dalam dunia
pendidikan umat Islam hari ini.
Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap keadaan moral danagama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untukmembuat pembaharuan. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya seperti Ihya Ulumuddin mengkritik keadaan moral masyarakat ketika itu dan menjelaskan setiap hal itu berkait dengan sebab-sebab sosial, seterusnya memberi kriteria moral Islam yang sebenarnya. Beliau juga tidak teragak-agak mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud ketika itu dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk menahan dan mengkritik penindasan. Usaha–usaha pengislahan ini tidak terhad kepada pembaharuan moral masyarakat Islam semata-mata. Sebaliknya, kebanyakan falsafah dan idea yang dibawa beliau ini menjadi teras sebuah dinasti Islam di Andalusia iaitu kerajaan al-Muwahidun.
Rujukan:
Haji Yussof, Abdul Salam. (2005). Pujian dan kritikan terhadap Imam al-Ghazali. Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_06_2005/abdul_salam_2005.pdf




No comments yet