Halau musuh yang mengepung guna periuk? Sekali pandang, panduan sebegini tidak masuk akal. Tetapi itulah yang dikongsikan bekas jeneral terkenal Yunani, Aeneas Tacticus dalam bukunya yang bertajuk How to Survive Under Siege. Dan menariknya, buku ini tidak ditujukan kepada golongan pemerintah dan tentera tetapi kepada orang awam.

Dengan menghasilkan buku sebegini pada abad keempat SM, Aeneas berharap ini dapat memberi pemahaman kepada orang awam bagaimana sesebuah pengepungan berlaku dan cara mengatasinya. Lebih menarik, semua taktik yang dikongsikan beliau boleh dilakukan oleh sesebuah kota sama ada mereka mempunyai tentera atau tidak.

Secara ringkas, pengepungan berlaku apabila pihak musuh mendapati pihak lawan berada pada kedudukan pertahanan yang kukuh atau enggan menyerah kalah. Justeru, bagi memaksa pihak lawan tunduk, kepungan dibuat ke atas kedudukan lawan dengan harapan si polan kehabisan bekalan makanan dan air atau berdepan jangkitan penyakit. Apabila itu berlaku, si polan terpaksa akur dan menyerah diri kepada pihak yang menyerang.

Secara teori, itu yang sepatutnya berlaku. Tetapi berdasarkan rekod sejarah, pengepungan masa lama dengan tempohnya boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Ini disebabkan pihak lawan mempunyai bekalan makanan dan air mencukupi atau pihak yang dikepung mempunyai kelebihan dari segi diplomatik.

Tipu helah banyak menyumbang kepada penamatan kepungan seperti helah kuda Trojan dalam Perang Trojan.

Tetapi sejarah turut menunjukkan pengepungan  boleh berakhir akibat tipu helah seperti kuda Trojan (Perang Trojan) atau keberanian pahlawan seperti ditampilkan Ali bin Abi Talib r.a dalam Perang Khaibar. Apabila pintu kota yang dikepung berjaya dibuka, pihak penyerang akan membunuh populasi awam dan menjarah semua barang berharga di situ.

Buku yang dikarang Aeneas ini memang unik tetapi ia dilihat tidak selari dengan realiti dunianya pada ketika itu. Ini kerana kebanyakan negara kota Yunani lebih suka membawa masuk tentera upahan untuk mempertahankan kota-kota mereka. Tentera-tentera upahan ini lebih terlatih dan profesional jika dibandingkan dengan militia tempatan. Kali terakhir militia tempatan digerakkan oleh negara-negara kota Yunani ialah sekitar dua abad sebelumnya – ironinya tempoh sama Perang Trojan tercetus.

Orang Yunani dan Rom sememangnya dikenali kerana menghasilkan banyak manual dalam pelbagai tajuk. Antara tajuk-tajuk yang disentuh dua tamadun ini ialah pertanian, seni bina. tafsir mimpi, penternakan dan penjagaan haiwan serta memasak. Tetapi subjek peperangan yang sentiasa menjadi tumpuan pengkaji sejarah sehingga hari ini.

Aeneas bukan satu-satunya bekas jeneral yang berkongsi pengalaman menerusi How to Survive Under Siege. Selain beliau, Asclepiodotus, Frontinus, Aelian dan Vegetius turut berkongsi pengalaman mereka dalam buku masing-masing.

Cuma dalam kes Asclepiodotus, Frontinus, Aelian dan Vegetius, perkongsian mereka berkenaan topik-topik peperangan dibuat secara umum. Jika dibaca sekalipun, yang tahu manfaat semua ini hanyalah golongan pemerintah dan pemimpin tentera. Atas sebab itu, ada juga manual yang bersifat khusus seperti On Horsemanship yang dikarang Xenophon dan sezaman dengan Aeneas.

On Horsemanship yang dikarang Xenophon amat berguna kepada pemilik-pemilik kuda termasuk yang terlibat dengan perlumbaan kereta kuda. Sumber: LBM1948-CC BY-SA 4.0

Dalam manual tersebut, beliau bercerita perihal kuda perang yang baik. Xenophon turut menyentuh setiap langkah bukan saja dalam mendapatkan tetapi menjaga seekor kuda itu agar dapat menjadi kuda perang yang baik. Walaupun manual ini lebih ditujukan kepada tentera kavalri tetapi ia juga amat berguna kepada orang awam terutama bagi pemilik ladang atau yang terlibat dengan perlumbaan kereta kuda.

Bukan tidak ada yang menulis topik pengepungan seperti Aeneas. Selain beliau, Philo of Byzantium dan Apollodorus Mechanicus turut menyentuh topik sama. Bezanya di sini buku mereka lebih kepada panduan buat tentera yang masih aktif. Sementara bagi Aeneas, How to Survive Under Siege ditujukan khusus kepada orang awam.

Antara perkara yang ditekankan ialah isu kepercayaan dalam kalangan penduduk semasa kepungan berlaku. Aeneas mengingatkan semua orang tidak boleh dipercayai atas sebab pada masa terdesak, orang akan melakukan apa saja untuk kembali menikmati kesenangan. Ini sebagai tukaran untuk menamatkan pengepungan di sesebuah kota. Justeru, beliau menasihatkan pertahanan sesebuah kota yang dikepung perlu diatur dengan rapi.

Aeneas mencadangkan kaum wanita memakai periuk sebagai perisai sebagai cara memperbodohkan pihak yang mengepung. Sumber: Giovanni Dall’Orto.

Seterusnya, beliau turut berkongsi helah untuk menakutkan pihak musuh seperti dinyatakan dalam perenggan pertama. Caranya ialah dengan memakaikan kaum Hawa dengan periuk agar kelihatan seperti perisai. Setelah itu, mereka akan diminta bergerak di atas dinding kota agar dapat dilihat oleh pihak musuh.

Kononnya dengan helah sebegini, ia akan memperlihatkan bilangan tentera dalam kota yang dikepung lebih ramai daripada apa yang disangka. Ini sekaligus mendorong pihak yang mengepung membatalkan kepungan dan berundur. Tetapi Aeneas turut mengingatkan golongan wanita agar tidak membaling apa-apa semasa berjalan di atas dinding kota. Jika mereka berbuat demikian, maka pihak musuh akan mengetahui itu sekadar tipu helah.

Taktik lembu mabuk turut dibangkitkan Aeneas dalam How to Survive Under Siege sebagai cara melepaskan sesebuah kota daripada kepungan. Sumber: Kim Hansen-CC BY-SA 3.0

Selain periuk, satu lagi taktik gila Aeneas untuk menakutkan pihak musuh ialah lembu mabuk. Pihak yang dikepung akan memberi minum lembu-lembu mereka dengan arak sehingga mabuk. Setelah itu, lembu-lembu yang mabuk akan dipasangkan dengan loceng sebelum dilepaskan berkeliaran dalam kem-kem musuh. Apabila itu berlaku, ia akan mencetuskan huru-hara dalam kalangan mereka dan memaksa pihak musuh berundur.

Semua tips yang dikongsikan beliau sememangnya berguna. Tetapi ironinya, lebih sedekad selepas How to Survive Under Siege diterbitkan, negara-negara kota Yunani dikalahkan dan disatukan di bawah pemerintahan Raja Macedon, Philip. Penyatuan ini menjadi batu asas kepada kempen penaklukan yang digerakkan oleh putera Philip, Alexander the Great.

RUJUKAN

Bellshaw, L. (2021). Siege Warfare in Fifth-Century Greece. Academia Letters,  Artikel 833. 

Williams, N. (2022). No Army? No Problem. History Today. Jilid Ke-72. Isu Keenam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply