Selama berdekad-dekad lamanya, bau busuk Sungai Seine bukan sesuatu yang baru bagi penduduk Paris. Sejak diisytiharkan mati secara biologi oleh saintis pada 1960-an, ia dipandang sepi oleh mereka kecuali sekiranya air sungai berpotensi membasahi kawasan pejalan kaki mereka. Tetapi mengapa pada upacara penutup Sukan Olimpik 2020, Perancis mengumumkan sungai ini sebagai lokasi upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024?

Pengumuman yang dibuat oleh Presiden Emmanuel Macron itu seolah-olah menunjukkan Sungai Seine ialah khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Tidak seperti upacara pembukaan Sukan Olimpik yang biasanya diadakan di stadium, kontinjen atlet dan pegawai Olimpik akan berarak menggunakan bot merentasi sungai itu sambil disaksikan oleh 600,000 penonton dari Jambatan Austerlitz hinggalah Menara Eiffel.

Selain menjadi lokasi upacara pembukaan dan penutupan temasya Olimpik 2024, ia juga bakal digunakan untuk acara triatlon dan renang maraton. Selepas temasya Olimpik tamat, ia akan dibuka kepada orang ramai. Tetapi dengan temasya tinggal dua tahun saja lagi, kerja-kerja pemulihan Sungai Seine masih berjalan. Dijangkakan lebih £1 bilion (RM5.7 bilion) diperlukan untuk memastikan sungai ini selamat digunakan oleh orang ramai.

Transformasi sungai-sungai ibu kota dunia bukan sesuatu yang baru. Di Britain, Sungai Thames yang dianggap mati bertahun-tahun sebelumnya kini menjadi saksi kemunculan anjing laut, jerung dan kuda laut. Sementara di Berlin, aktivis-aktivis alam sekitar meminta sebahagian kawasan Sungai Spree dibuka kepada orang ramai untuk tujuan riadah.

Paris menerusi datuk bandarnya Anne Hidalgo berharap dengan pemulihan Seine, sebahagian kawasan dapat dijadikan sebagai kawasan renang awam. Ia bukan saja merangkumi kawasan sungai sekitar Notre Dame, Menara Eiffel dan Muzium Louvre tetapi kawasan-kawasan pinggir bandar. Ini merealisasikan tradisi berenang di Seine yang bermula pada abad ke-20.

Semasa Sukan Olimpik 1900 diadakan di Paris, ramai atlet mengambil kesempatan berenang di sungai berkenaan. Mereka sama ada terjun dari platform terjun yang disediakan atau terapung menggunakan tilam lama. Tetapi aktiviti perindustrian dan pertumbuhan penduduk yang pesat mengakibatkan sungai tersebut tercemar teruk. Satu-satunya kelebihan tinggal yang dimiliki Sungai Seine ialah pantulan imej ikonik Menara Eiffel dan Notre Dame.

Bukan sekali usaha membersihkan sungai ini cuba dibuat. Pada tahun 1990-an, datuk bandar Paris dan bakal presiden Jacques Chirac berjanji akan memulihkan Sungai Seine dalam tempoh tiga tahun dan bersedia berenang di sungai itu sebagai bukti ia selamat untuk orang ramai. Bagaimanapun, janji beliau menjadi bahan ketawa warga Paris pada ketika itu.

Tetapi 30 tahun selepas itu, usaha ini mula dipandang serius menerusi beberapa petanda barometer. Tidak ramai tahu di sungai ini, pihak berkuasa memasang barometer yang mengukur tahap karbon dioksida dan bakteria E-coli. Sejak kebelakangan ini, semua barometer bertukar menjadi hijau – petanda kehidupan kembali wujud di Sungai Seine.

Semua ini berlaku bukan saja akibat perubahan polisi Kesatuan Eropah (EU) berkenaan kualiti air tetapi usaha penduduk Paris yang tidak tahan dengan bau busuk sungai berkenaan. Pada tahun 70-an, hanya 4% sungai yang dirawat oleh loji rawatan air. Menjelang 80-an, fokus rawatan air tertumpu kepada sisa domestik tanpa mengambil kira bahan-bahan kimia yang menyekat oksigen seperti fosforus.

Tetapi semua itu berubah pada 90-an apabila loji-loji rawatan baru dibina. Ia bukan saja merawat air sungai dalam kuantiti yang lebih tinggi tetapi turut menapis lebih banyak bahan pencemar. Hari ini, lebih 99% air sungai dirawat dengan kebanyakan hari menyaksikan sungai itu berada di bawah paras selamat untuk orang ramai berenang.

Begitupun, pihak berkuasa Paris tidak mahu berhenti di situ saja. Ketika ini, fokus mereka ialah menambah keberkesanan loji rawatan air dan mengekang lebih banyak sisa daripada dibuang dalam sungai. Mereka juga merancang membina tangki air banjir yang berupaya menyimpan lebih 12 juta gelen air dan menghalang bahan pencemar daripada memasuki sungai.

Di sebalik semua usaha ini, ramai bimbang semakan peraturan EU yang seterusnya mengakibatkan impian berenang di Sungai Seine sekadar angan-angan. Tetapi datuk bandar Paris Anne Hidalgo memberi jaminan ia masih boleh direalisasikan. Ini kerana peraturan renang untuk pertandingan berbeza dengan peraturan renang harian. Kelonggaran ini digunakan untuk temasya Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Tokyo 2020. Tetapi pada akhirnya, Perancis berharap kualiti Sungai Seine akan mencapai piawaian yang ditetapkan EU.

RUJUKAN

Noack, R. (2022, 1 Januari). Will we be able to once again swim in the Seine?. The Independent.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply