Selama bertahun-tahun, orientalis dan sejarawan Barat menggambarkan tamadun-tamadun di luar Eropah sebagai tidak bertamadun dan mundur. Dengan tanggapan sebegini, ada menyangka tamadun-tamadun luar ini sebagai pengotor. Hakikatnya, tamadun luar seperti tamadun Aztec sebenarnya lebih pembersih daripada ‘orang gasar seberang laut’ itu seperti dibuktikan dalam banyak catatan Conquistador.

Bagi orang Aztec, air merupakan elemen penting dalam setiap aspek kehidupan mereka. Hal ini menyumbang kepada pembinaan sistem terusan di kota-kota utama kerajaan itu. Di Tenochtitlan misalnya, terusan bukan sekadar membekalkan air bersih kepada penduduk tetapi sebagai kaedah pengangkutan penduduk. Ini diakui sendiri Conquistador yang paling terkenal, Hernan Cortes yang menggambarkan jalan-jalan orang Aztec sebagai panjang dan lebar sepanjang sebahagian terusan yang dimudiki mereka dengan kanu.

Dalam catatan yang sama, Cortes turut mendedahkan terusan yang membawa air bersih dilapisi dengan plaster dan dipadankan dengan rangkaian terusan yang membawa sisa najis dan kotoran keluar dari sesebuah kota. Akueduk-akueduk dan terusan-terusan sentiasa diselenggara dan tidak bercampur dengan air masin bagi memastikan ia berguna untuk kegunaan isi rumah dan mengairi tanaman.

Kebiasannya, sisa najis dikumpul dari setiap kota sebelum dibawa ke chinampas atau plot tanah pertanian orang Aztec menggunakan kanu. Kerja ini dilakukan bagi mengelakkan sisa-sisa ini termasuk dalam terusan dan tasik serta membolehkan ia digunakan sebagai baja organik.

Rajah 1: Sisa najis diangkut menggunakan kanu sebelum dibawa ke chinampas untuk dijadikan baja organik.

Disebabkan kota-kota Aztec mempunyai rangkaian terusan yang banyak, ia sebenarnya memudahkan kerja pembersihan harian. Pembersihan seperti menyapu mempunyai makna tersendiri bagi setiap kelompok Aztec. Bagi golongan wanita, dengan membersih dan menyapu rumah mereka, ia ibarat memberi penghormatan kepada ruang domestik mereka.

Bagi golongan pendeta yang bertanggungjawab menguruskan kuil-kuil dan sekolah-sekolah, pembersihan bertujuan menghalau mana-mana kuasa yang berpotensi mengancam keharmonian harian kawasan-kawasan ini. Kota-kota Aztec turut mempunyai tandas awam dengan sisa najis dikutip dan digunakan sebagai baja di chinampas.

Di setiap kediaman orang Aztec, mereka dilengkapi kelengkapan mandian wap yang dipanggil temazcal. Orang Aztec masih mandi seperti biasa tetapi untuk temazcal, ia biasanya digunakan untuk tujuan ritual. Temazcal tidak mempunyai tingkap dengan lantainya dipanaskan dan dijirus dengan air sejuk. Ia selalunya digunakan untuk memulihkan badan bagi yang pulang dari konflik fizikal, mengubati penyakit atau sebagai tapak untuk membesarkan kanak-kanak.

Rajah 2: Contoh temazcal orang Aztec

Dewi mandian wap orang Aztec ialah Temazcalteci dengan imejnya dipamerkan berhampiran temazcal. Dewi kekotoran orang Aztec, Tlazoteotl bertanggungjawab mengawal pintu masuk temazcal dan memantau proses di mana pengguna temaszcal membersihkan diri mereka daripada kekotoran fizikal dan spiritual.

Sabun tidak wujud dalam kamus orang Aztec. Tetapi mereka tahu jenis tumbuhan yang boleh digunakan untuk membersihkan diri. Misalnya, akar dan buah pokok copalxocotl atau digelar pokok sabun oleh Conquistador menghasilkan sabun berbuih yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan mandian atau mencuci pakaian. Sementara akar pokok amolli boleh digunakan untuk membuang bulu (jika menggunakan akar yang tebal dan besar) atau sebagai sabun (jika menggunakan akar yang kecil).

Rajah 3: Contoh pokok copalxocotl yang direkodkan dalam Florentine Codex. Pokok ini dijadikan sebagai sabun pembersih oleh orang Aztec.

Antara aspek mandian utama orang Aztec ialah membersihkan ketiak mereka. Semasa mandi, mereka akan menggunakan campuran pokok chiyavaxihuitl yang telah dilumatkan, tulang manusia dan anjing, jus bunga-bungaan dan tumbuhan yang berbau wangi pada ketiak. Mengikut teks Badianus Manuscript yang diterbitkan pada 1552, ia berupaya menghilangkan bau pada ketiak.

Untuk wangian pula, golongan lelaki Aztec gemar menggunakan getah kopal, minyak ambar dan minyak balsam sebagai wangian pilihan mereka. Sementara golongan wanita pula memakai wangian di mana komposisi bahannya ialah daun pokok pain, bunga-bungaan dan buah-buahan. Wangian sama juga digunakan untuk pemulihan pesakit yang lemah atau mengalami kecederaan. Untuk ritual keagamaan pula, setanggi sentiasa dibakar oleh pendeta-pendeta Aztec.

Rajah 4: Contoh lakaran Florentine Codex pendeta Aztec membakar setanggi bagi menjadikan kawasan kuil wangi.

Bagi para wanita Aztec, kebersihan sentiasa dititikberatkan kerana ia ciri seorang isteri yang baik. Ini berdasarkan teks Florentine Codex yang dikarang Friar Bernardino de Sahagun pada abad ke-16. Dalam teks sama, para wanita sentiasa diingatkan agar tidak mengenakan solekan kerana ia dianggap merendahkan maruah mereka mengikut kepercayaan Aztec.

Tetapi berdasarkan bukti arkeologi, wanita Aztec masih memakai solekan tetapi secara bersederhana. Antara solekan yang dikenakan ialah tecozauitl, sejenis lumpur kuning yang diletakkan pada kulit atau axin, campuran serangga yang dilumatkan sebelum disapu pada kulit.

Untuk kebersihan gigi pula, usah terkejut orang Aztec menggunakan garam dan air kencing sebagai cara membersihkan gigi mereka. Jika tidak menggunakan campuran tersebut, bahan lain seperti abu, madu, akar dan kulit pokok digunakan sebagai ubat gigi. Sementara golongan wanita pula mengunyah campuran chicle yang diambil dari pokok ciku dan bitumen bagi membantu mulut mereka berbau wangi.

Sekiranya ada penduduk mengalami sakit gigi, kebiasaannya mereka mencampurkan arang pada gigi mereka. Tetapi jika ia bertambah kronik dan memerlukan gigi yang bermasalah itu dicabut, doktor gigi akan meletakkan campuran cuka dan bisa ular pada gigi berkenaan. Ini memudahkan mereka mengeluarkan gigi bermasalah tanpa sebarang kesakitan sebelum campuran herba diletakkan pada luka tempat gigi dicabut.

Sebagai ganti kepada gigi yang dicabut, para doktor gigi meletakkan logam berharga atau barang kemas pada tempat gigi yang dicabut. Bagi golongan wanita Aztec pula, mereka mewarnakan gigi mereka dengan warna merah atau hitam bagi membezakan mereka dengan wanita-wanita lain.

Dari segi kebersihan rambut, penduduk Aztec selalunya mendapatkan cucian dan potongan rambut di kedai-kedai gunting berdasarkan pemerhatian Cortes. Gaya rambut mereka berbeza-beza dengan golongan pendeta suka menyimpan rambut panjang. Sementara bagi golongan lelaki biasa, potongan rambut pendek menjadi pilihan.

Bagi kanak-kanak lelaki, rambut mereka dipotong sehingga berusia 10 tahun. Selepas mencecah usia berkenaan, satu bahagian rambut dibiarkan panjang pada bahagian belakang kepala. Bahagian tersebut hanya akan dipotong apabila mereka membuktikan bahawa mereka berjaya sebagai pahlawan Aztec.

Bagi golongan Hawa pula, mereka mewarnakan rambut mereka dengan lumpur hitam atau sejenis herba yang dipanggil xiuhquilitl. Ada juga yang memilih mencukur rambut mereka sehingga botak. Bagi golongan wanita yang lebih berusia, rambut panjang mereka akan dibahagikan pada bahagian tengkuk dengan dua bahagian rambut berkenaan diikat dengan tali.

Apabila orang Aztec mendapatkan cucian rambut, mereka juga berdepan masalah seperti kelemumur dan kutu. Bagi masalah kelemumur, rambut si polan akan dilumur dengan tanah liat sebelum ia dibersihkan dengan air kencing dan avokado yang telah dihancurkan. Ini bertujuan mengembalikan warna rambut si polan dan menjadikan ia lebih cantik.

Jika si polan mengalami masalah kutu, rambut si polan – baik lelaki mahupun wanita akan dicukur sehingga botak. Selepas itu, kepalanya akan dibasuh menggunakan campuran air kencing dan campuran herba kayu pain, biji kapas dan avokado bagi memastikan masalah ini tidak berulang.

Dalam teks yang sama, de Sahagun turut mendedahkan kebersihan tetap diutamakan oleh orang Aztec walaupun semasa berada di medan perang. Misalnya, bagi individu yang mengalami kecederaan patah anggota, tulang anggota yang patah akan dibetulkan dengan sebatang kayu sebelum diikat dengan tali.

Plaster kemudiannya akan diletakkan pada bahagian anggota yang patah. Komposisi plaster Aztec terdiri daripada damar pokok ocozotl, resin dan bulu pelepah. Bahagian anggota badan yang patah dan tempat pengikatnya akan dilapis buat kali kedua menggunakan getah persis damar.

Yang pasti, tumbuhan herba memainkan peranan penting dari segi pemulihan dan kesihatan orang Aztec. Contohnya, jus buah kaktus nopal atau dipanggil tuna oleh penduduk tempatan digunakan untuk meredakan bengkak pada anggota badan. Sementara kulit pokok ylin yang dicampur dengan lilin, telur dan tumbuhan herba lain membantu meredakan demam dan keradangan.

Dari segi etika makanan dan minuman, mencuci tangan sebelum dan selepas makan merupakan satu perkara yang wajib dilakukan. Kebiasaannya, rutin cucian tangan dibuat dalam jamuan dan keraian Aztec bersifat besar-besaran. Selepas hadirin selesai makan dan mencuci tangan, mereka akan diberi koko dan paip untuk bersenang-lenang.

Rajah 5: Contoh persiapan jamuan Aztec yang direkodkan dalam Florentine Codex.

Antara contoh terkenal orang Aztec dalam bab sebegini ialah pemerintah terakhir mereka, Moctezuma. Mengikut riwayat, baginda dan para tetamu diberi air untuk mencuci tangan oleh empat orang wanita jelita yang diambil dari sebuah besen yang dipanggil xicales.

RUJUKAN

Sartore, M. (2021, 24 Mei). What Was Hygiene Like In The Aztec Empire?. Ranker.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply