Orang tua-tua banyak berpesan yang perkahwinan adalah seperti bahtera membelah lautan. Betul juga kalau fikir balik. Lagi jauh kita pergi, lagi banyak rintangan dan halangan.

Juga lagi dalam kita masuk, lagi pelik jadinya. Berdasarkan anggaran kasar, lebih daripada 80 peratus daripada lautan masih belum diterokai… apatah lagi dibuat peta untuk pemerhatian.

Ini bermakna masih banyak spesis laut yang belum ditemui. Saintis menganggar kita baru mengenal pasti sembilan peratus spesis dalam alam lautan. Dalam kalangan sembilan ini pun, sudah ada 226,000 spesis. Kalau dalam kalangan 91 peratus yang belum ditemui?

Ternyata, lautan yang sangat luas tentu sekali menyimpan seribu satu misteri. Salah satu misteri adalah seekor ikan yang ditemui baru-baru ini.

Jika kita lihat betul-betul, ikan ini nampak seperti jerung yang bermain kayu tiga dengan sotong sebelum kena sumpahan isteri derhaka.

Kepelikan yang ditemui.

Ikan ini ditemui di laut dalam tidak jauh dari South Island yang terletak dalam sempadan New Zealand. Kerajaan New Zealand setiap tahun memberi dana kepada Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Kebangsaan (NIWA).

Baru-baru ini pihak NIWA menjalani program penyelaman. Mereka turun sedalam 1,200 meter.

Dan mereka menemui ikan tersebut yang baru menetas. Kalau ikut bahasa kampung, ikan ini adalah “ghost shark” (jerung hantu). Tetapi mereka tiada kena mengena langsung dengan ikan jerung.

Klasifikasi Saintifik

Kategori jerung hantu adalah chimaera, iaitu ikan yang rangkanya hanya rawan (cartilage)… bukannya tulang.

Memang zon 1,000 hingga 1,600 meter adalah kawasan jerung hantu. Pada tahun 2016, pihak Institut Penyelidikan Akuarium Teluk Monterey (MBARI) turun dalam laut California dan terserempak dengan seekor jerung hantu dewasa (Geggel, 2016).

Jerung hantu dewasa (MBARI)

Penemuan MBARI ternyata berbeza untuk dibandingkan dengan NIWA, yang lebih mengujakan kerana jerung hantu masih bayi.

Penemuan NIWA membolehkan saintis faham macam mana jerung hantu menetas. Semasa dalam proses kejadian, jerung hantu berada dalam sejenis kapsul mirip telur.

Embrio ini akan makan “kuning telur” sampailah tiba masa untuk menetas. Saiznya sangat halus mulus, sekali gus sangat sukar ditemui. Tengok dalam gambar bayi jerung hantu, boleh nampak jelas dalam perutnya kembung dengan kuning telur.

Jerung hantu ini dikeluarkan daripada habitat untuk tujuan penyelidikan. Saintis ingin menjalankan ujian genetik untuk mengenal pasti spesisnya.

Setakat ini saintis sudah temui 50 spesis jerung hantu yang berbeza antara satu sama lain.

Sememangnya pengenal pastian adalah langkah saintifik yang pertama, kerana ia akan menjelaskan warna, saiz dan pemakanan jerung hantu terutamanya jika spesis bayi itu sudah ditemui (Specktor, 2022).

Ciri-Ciri Jerung Hantu

Jerung hantu boleh membesar sampai 150 sentimeter, kerana ekornya sama panjang daripada badan. Ikut kiraan “badan” adalah mulut hingga rongga dubur.

Tanpa tulang, ikan ini terdedah pada segala bahaya… cuma bergantung pada sirip belakang dan sisi yang berbisa. Jerung hantu juga menggunakan sirip-sirip ini untuk “terbang” dalam air.

Contoh terbang.

Proses pembiakan mereka pun agak rumit. Jerung hantu jantan mempunyai organ syahwat pada dahi yang akan berhubung dengan organ betina (Madrigal, 2009).

Sementara jerung mempunyai satu liang untuk buang air kecil dan besar, jerung hantu adalah sama seperti manusia dengan dua liang berbeza. Dan jerung hantu hanya lengkap dengan enam batang gigi sahaja; itu pun berbentuk geraham, cukup untuk mengunyah haiwan-haiwan bercangkerang.

RUJUKAN:

Geggel, L. (2016, Disember 21). Mysterious ‘Ghost Shark’ Found For 1st Time in Northern Hemisphere. Live Science.

Madrigal, A. (2009, September 22). Freaky New Ghostshark ID’d Off California Coast. Wired.

Specktor, B. (2022, Februari 18). Rare, alien-like baby ‘ghost shark’ discovered off New Zealand coast. Live Science.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply