Selepas berjaya keluar dari Mesir, Nabi Musa a.s memimpin Bani Israel untuk membawa mereka ke Palestin. Bagaimanapun, pada ketika itu, wilayah itu diduduki oleh orang Kanaan yang dikatakan mempunyai tubuh yang besar dan gagah di medan perang. Bagi Bani Israel, prospek berperang dengan kaum tersebut merupakan satu prospek yang menggentarkan.
Dan ini mendorong mereka mengeluarkan kata-kata ini seperti disebut dalam firman-Nya menerusi ayat 24, Surah al-Maidah, Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu.”
Kecewa dengan sikap kaumnya sendiri, lantas Nabi Musa a.s berdoa menerusi ayat ke-25, surah yang sama, Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu.” Akibatnya, Bani Israel disesatkan dalam Padang Pasir Tih selama 40 tahun sebelum generasi seterusnya pimpinan Nabi Yusha’ bin Nun a.s berjaya menakluk wilayah itu.
Siapa sebenarnya orang Kanaan ini? Orang Kanaan berkemungkinan imigran dari kawasan Pergunungan Caucasus dan bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk menghasilkan budaya mereka yang unik. Mereka mendominasi wilayah antara Mesir dengan Mesopotamia sepanjang Zaman Gangsa iaitu sekitar 3500 SM hingga 1200 SM.
Apa bukti orang Kanaan ada kaitan dengan Pergunungan Caucasus? Pertama, artifak serpihan seramik berwarna merah dan hitam di sebuah tapak Kanaan hampir sama dengan serpihan seramik yang ditemui di situ. Kedua, walaupun orang Kanaan menggunakan Bahasa Semitik, kebanyakan nama mereka diambil daripada Bahasa Hurrian, sejenis bahasa bukan Semitik yang berasal dari wilayah sama.
Tidak diketahui sama ada ini terhasil akibat aktiviti perdagangan jarak jauh atau migrasi. Tetapi ini menunjukkan orang dan barang dagangan sudah mula bergerak pada era pertama pembentukan negara kota dan empayar. Gen orang Kanaan terbukti sebagai campuran gen orang Neolitik dan migran dari Pergunungan Caucasus yang muncul di wilayah berkenaan pada awal Zaman Gangsa.
Nama mereka mula muncul dalam rekod sejarah sekitar 1800 SM selepas disebut oleh pemerintah negara kota Mari. Negara kota yang terletak di timur Syria itu merungut tentang perihal mereka sama seperti pencuri dalam koresponden surat diplomatik dengan negara kota lain.
Lima abad kemudian, koresponden surat memperlihatkan mereka sebagai sebuah wilayah yang berusaha mengekalkan kemerdekaannya daripada Mesir. Dalam satu koresponden surat antara pemerintah Babylon dengan Firaun Akhenaten, mereka melihat Kanaan sebagai jajahan takluk Mesir Purba dan rajanya sebagai khadam baginda.
Seperti dinyatakan oleh salafus soleh, Palestin akhirnya jatuh ke tangan generasi baru Bani Israel yang dipimpin Nabi Yusha’ bin Nun a.s selepas berjaya menewaskan golongan Kanaan. Mengikut rekod sejarah, Bani Israel bukan satu-satunya pihak yang berjaya menewaskan mereka. Kekuatan mereka turut dihakis oleh pihak lain seperti Philistine, Yunani dan Rom.
Menariknya, satu kajian dalam jurnal penerbitan Cell mendedahkan orang Arab dan Yahudi yang menghuni tanah Palestin dan Israel hari ini berkongsi warisan genetik orang Kanaan. Kajian ini dibuat selepas mengambil sampel DNA 73 rangka tulang yang ditemui di lima tapak arkeologi Kanaan di Israel dan Jordan. Kajian ini turut mengambil kira data yang diambil daripada sampel DNA 20 rangka tulang dari empat tapak yang dilaporkan sebelum ini.
Kajian mereka mendapati kesemua sampel berkongsi genetik dan budaya yang sama. Dan bila dibandingkan dengan populasi moden orang Arab dan Yahudi di wilayah berkenaan, lebih separuh daripada DNA mereka datang dari orang Kanaan dan puak-puak yang pernah menghuni Syria, Palestin, Iraq, Iran dan Pergunungan Caucasus.
Kajian ini turut menyokong satu kajian lain yang dibuat ahli genetik Marc Haber dari Wellcome Trust’s Sanger Institute pada 2017. Selepas mengambil sampel DNA dari lima buah rangka tulang yang ditemui di Sidon, Lubnan, pasukan pengkaji mendapati lebih 90% penduduk Lubnan mempunyai DNA orang Kanaan. Kajian tersebut turut menambah di sebalik pergolakan yang berlaku sejak Zaman Gangsa, kebanyakan penghuninya berasal dari keturunan purba yang sama.
RUJUKAN:
Lawler, Andrew. (2020). DNA from the Bible’s Canaanites lives on in modern Arabs and Jews. National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih