Makanan berasal daripada Itali ini tergolong sebagai salah satu makanan segera paling popular di dunia. Di Amerika Syarikat sahaja, 350 keping piza dijamah per saat, manakala 40 peratus rakyat Amerika makan satu piza per minggu. Tak cukup itu saja, industri piza global juga menjana jualan mencecah $160 bilion pada 2020.
Barangkali, dah dikira lumrah budaya popular untuk wujud polemik walau hal tampak remeh sekalipun. Kalau pembaca kerap melayari internet, mesti pembaca perasan akan perang budaya piza Hawaii ini — wajar ke nanas ditambah ke atas pizza. Malah wujud faksi pro-piza Hawaii dan anti-piza Hawaii di dunia realiti.
Tahu tak? Piza Hawaii bukanlah dicipta oleh orang Hawaii, tetapi orang Kanada (migrasi dari Greece) — Sam Panopoulus.
Pencipta Piza Hawaii
Bermigrasi dari Greece ke Canada pada 1954 ketika umur baru 20 tahun, Sam Panopoulus makan piza di tempat lahir pizza di Naples, Itali. Hanya pada 1962, barulah Panopoulus terinspirasi untuk menambah nanas di atas piza di salah satu restoran beliau.
Panopoulus bersama 2 beradiknya merupakan pemilik Satellite Restaurant di Chatham.
Terma ‘Hawaii’ pada menu piza itu datang daripada jenama tin nanas yang digunakan. Asalnya niat sekadar untuk bereksperimen, tak sangka beliau ia begitu popular. Lalu tersebar laju menu piza Hawaii ke seluruh dunia sebab beliau memang tak mempatenkan piza Hawaii sebagai milik beliau daripada awal.
Justin Trudeau, PM Kanada adalah tim piza Hawaii manakala Gordon Ramsay, cef selebriti benci pizza Hawaii. Lebih ekstrem Gudni Thorlacius Johannesson, Presiden Iceland yang ‘cadang’ nak sekat penjualan piza Hawaii. Ohoo~
*Penjelasan: Gurauan presiden Iceland siap meletuskan protes dan sokongan global akan polemik piza Hawaii. Lantas beliau menjelaskan perihal gurauannya melalui hantaran di FB:
“I like pineapples, just not on pizza. I do not have the power to make laws which forbid people to put pineapples on their pizza. I am glad that I do not hold such power. Presidents should not have unlimited power.”
Berhenti sekejap. Sampai sini, pembaca ada rasa sesuatu yang janggal tak? Macam mana nanas berkait rapat dengan Hawaii? Sedangkan nanas berasal dari Amerika Selatan (berdekatan wilayah Brazil moden); iaitu ribuan batu jauh daripada Hawaii.
Bagaimana nanas bisa sinonim dengan Hawaii?
Komersial & perdagangan nanas
Lama sebelum ‘penemuan’ nanas oleh Christopher Columbus pada 4 November 1493, nanas sudahpun lama menjadi komponen tanaman dan diet pemakanan orang asal Amerika. Nanas sudah tersebar meluas di Amerika (Orinoco, Amazon, pantai Brazil di sekitar Rio de Janeiro) dan Caribbean sebelum Columbus datang lagi.
Nanas menjadi rebutan bangsawan di Eropah ekoran kejanggalan rupa dan rasa eksotiknya. Buah janggal ini melambangkan kemewahan ulung di Dunia Lama (Old World) dan Dunia Baharu (New World). Nanas dianggarkan masuk Hawaii pada 1770.
“Raja Nanas” adalah nama jolokan tak asing bagi James Drummond Dole — pengasas Hawaiian Pineapple Company (kemudian distruktur semula sebagai Dole Food Company). Beliau mahu nenas bertin melengkapi rak2 jualan di semua kedai di Hawaii. Impian beliau tampak cerah sejurus sepupu beliau, taikun gula Sanford B. Dole menjalankan kudeta terhadap Permaisuri Lili‘uokalani (1893) dan diangkat sebagai presiden kerajaan wilayah baharu itu.
Kronologi kudeta di Hawaii panjang sebenarnya kalau nak dihuraikan di artikel ini. Pembaca boleh buat bacaan ringkas lanjutan akan kudeta terhadap Permaisuri Lili‘uokalani itu di sini, https://thepatriots.asia/bagaimana-hawaii-menjadi-jajahan-amerika-syarikat/
James Dole lantas membeli homestead seluas 60 ekar dan menjadikan nanas sebagai tanaman utama (itupun selepas berkali-kali menguji cuba tanaman lain). Ditambah pula dengan kemunculan mesin Ginaca pada 1919, nanas menjadi tanaman komersial utama Hawaii. Sejurus menjadi pusat pengetinan terbesar dunia, Hawaii sohor sebagai kuasa pertanian pada 1930-an dan menduduki takhta peneraju pengeluaran nanas global.
WW2 meruntuhkan tatanan perdagangan antarabangsa dan ia beri kelebihan buat Hawaii untuk kekal menerajui pengeluaran nanas global lebih lama hinggalah kemunculan pesaing baharu (Côte d’Ivoire dan Filipina, diikuti Thailand) menjelang 1950-an ke 1960-an.
**Fakta tambahan; Industri pengetinan penting giat beroperasi di Asia dan Asia Tenggara (Malaysia sejak 1888, Taiwan sejak 1902, Filipina sejak 1920), Australia, Caribbean, Afrika Selatan dan Kenya.
Kemasyhuran nanas di Hawaii beransur pudar masuk 1980-an selepas Dole Food Company dan Del Monte menutup rangkaian kedai dan berpindah keluar Hawaii. Penutupan operasi Maui Land & Operations pada 2009 ibarat menyediakan batu nisan di atas kubur industri nanas di Hawaii. Kini, negeri itu hanya menghasilkan 10 peratus pengeluaran nanas global, malah banyak kilang pengetinan diubah suai menjadi muzium dan pusat membeli belah.
Hari ini, pengeluaran nanas besar-besaran dah berpindah ke Asia dan Amerika Tengah lantaran kos murah pengeluaran buah di sana.
Harga globalisasi piza
Amerika ibarat rumah kedua buat piza selepas Itali. Seawal penghujung abad ke-19, pendatang Itali memasuki pantai timur dan restoran piza pertama (Lombardi’s) dibuka ni Bandar New York pada 1905.
Ramai pengusaha restoran (tipikal tidak berlatarbelakang Itali) memilih untuk menyesuaikan menu mengikut cita rasa, identiti dan keperluan semasa demi mengejar urbanisasi. Pasca 1950-an, kadar perubahan ekonomi dan teknologi mendorong transformasi radikal berlaku terhadap piza. Ada dua fasa transformasi yang wajar difokuskan; domestication dan commercialisation.
Fasa pertama, domestification. Berikutan peti ais semakin mampu milik dikalangan orang ramai, lantas mendorong pengusaha membuat piza sejuk beku. Dibuat untuk dimasak di rumah, bermaksud perlu ada perubahan pada resipi asal. Pes tomato menggantikan hirisan tomato, turut diambil kira keju yang boleh tahan suhu beku.
Fasa kedua, commercialisation. Bila bilangan kereta dan motor makin banyak di jalan raya, bermaksud makanan panas boleh dihantar terus ke pintu rumah dan piza adalah makanan sesuai dalam segmen ini. Tom dan James Monaghan menubuhkan Dominik’s di Michigan pada 1960 dengan reputasi penghantaran makanan laju cemerlang — sebelum ia dijenamakan semula kepada Domino’s.
Transformasi piza ini menyebabkan makanan ini diseragamkan seantero dunia dan lebih terdedah kepada citarasa yang pelbagai. Piza makanan segera memang banyak perbezaan kalau dibandingkan bersebelahan dengan piza di Naples; lebih-lebih lagi kewujudan topping yang penuh variasi. Namun demikian, orang ramai masih merujuk ia sebagai piza tanpa mengira kelas sosial, ekonomi dan bangsa.
Natijahnya, piza Hawaii ni layak digelar piza ke? Mestilah layak. Walaupun topping nanas di atas piza Hawaii masih boleh terus diperdebatkan, tapi jangan sampai tahap benci peminat piza Hawaii sudah. Penulis takde lah masuk tahap pro atau anti piza Hawaii.
Kalau ada piza Hawaii, jamah. Kalau takde, cari menu piza lain. Apa susah. Takde ribut, nak dicari ribut buat apa, kan? Kata orang lama, bersederhana dan tenang2 saja.
RUJUKAN:
- Miller, Jeffrey. “Why Do People Love to Eat Pizza? The Answer Is Chemistry.” Washington Post, 4 Nov. 2019, washingtonpost.com/lifestyle/kidspost/why-do-people-love-to-eat-pizza-part-of-the-explanation-is-chemistry/2019/11/03/5196171c-fc07-11e9-8906-ab6b60de9124_story.html.
- Bartholomew, D., et al. The Pineapple: Botany, Production and Uses. First, e-book, Oxford University Press, 2003.
- Ruppenthal, Sarah. “The Sweet and Sour History of Pineapple in Hawai‘i.” FLUX, 26 July 2020, fluxhawaii.com/hawaii-pineapple-the-sweet-and-sour-history-of-the-island-fruit.
- “The real story behind the world’s most controversial type of pizza is an inspirational tale of international triumph.” Business Insider Nederland, 10 June 2017, businessinsider.nl/the-real-story-of-hawaiian-pizza-2017-6?international=true&r=US.
- “A History of Pizza.” History Today, historytoday.com/archive/historians-cookbook/history-pizza. Accessed 31 Dec. 2021.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih