Dalam dunia astronomi, terdapat ‘perlumbaan’ antara planet terbesar dan tercantik dalam Sistem Suria, sistem planet di mana tempat Bumi berada, iaitu tempat tinggal kita. ‘Perlumbaan’ yang dimaksudkan ialah planet manakah mempunyai paling banyak satelit semula jadi, atau panggilan mudah ialah bulan. Planet Zuhal dan Musytari ialah dua buah planet yang hanya mempunyai bulan terbanyak berbanding planet-planet lain.
Mengikut rekod, planet Zuhal mendapat gelaran planet mempunyai bulan terbanyak dengan jumlah 83 buah bulan. Tapi, pada awal bulan Februari 2023, planet Musytari merampas gelaran dari Zuhal sejak penemuan 12 bulan baru, menjadikan bilangan 92 bulan mengalahkan Zuhal!
Apa yang berlaku sebenarnya, sampai planet Musytari ‘melahirkan’ lebih sepuluh buah satelit semula jadi ini? Adakah berlaku fenomena alam yang biasa terjadi di planet tersebut sehingga terciptanya bulan-bulan baru?
Mari kita fahamkan dulu tentang kedua-dua planet terbesar dalam Sistem Suria ini. Planet Musytari ialah planet kelima selepas planet Marikh dan satu-satunya planet terbesar. Planet ini tidak seperti Bumi kerana kadungannya hanya gas dan teras planet saja. Jadi, planet Musytari dikategorikan sebagai ‘planet bergas’. Sejarah mencatatkan ahli astronomi terkenal bernama Galileo Galilei menemui 4 buah bulan terawal pada tahun 1610. 4 bulan Musyari tersebut ialah Io, Europa, Ganymede, Callisto.
Planet Zuhal pula ialah planet keenam selepas planet Musytari dan planet kedua terbesar dalam Sistem Suria. Yang uniknya tentang planet bergas ini ialah cincin yang ketara mengelilingi Zuhal (jika dilihat menggunakan teleskop). Cincin Zuhal ini terdiri daripada zarah-zarah ais, batu-batuan, dan habuk angkasa yang mengorbit Zuhal. Kerana cincin inilah Zuhal mendapat gelaran ‘planet tercantik’. Bulan terbesar yang mengorbit Zuhal ialah Titan yang saiznya lebih besar dari planet Utarid, planet pertama mendekati Matahari dan terkecil dalam Sistem Suria.
Kajian ini dilaksanakan oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh ahli astronomi bernama Scott Sheppard dari Carnegie Institution for Science. Pada asalnya, mereka mencari Planet X atau planet kesembilan yang mereka percaya wujud di Sistem Suria menggunakan khidmat Minor Planet Center, iaitu organisasi yang bertugas untuk mengesan asteroid, meteor, atau planet kerdil dalam Sistem Suria.
Sepanjang pencarian Planet X, kebetulan planet Musytari berada dalam kawasan pemerhatian kumpulan Sheppard dan secara tak sengaja terkesan 12 buah bulan baru yang biasa saintis panggil dengan nama Bulan-Bulan Jovian. Menurut laporan dari laman web sains astronomi bernama Sky & Telescope, 9 dari 12 buah bulan mendapati jaraknya jauh dari planet Musytari dan mengorbit melawan putaran Musytari.
Pergerakan orbit planet atau bulan yang melawan putaran matahari atau planet induk dipanggil dengan nama ‘pergerakan retrograde’. Pergerakan ini biasa terjadi kebanyakan bulan-bulan planet Musytari. Manakala tiga buah Bulan-Bulan Jovian baru berada dekat dengan Musytari dan mengorbit mengikut putaran Musytari.
Sheppard percaya bahawa kewujudan bulan-bulan baru ini disebabkan perlanggaran batu-batuan angkasa di kawasan Planet-Planet Jovian (kumpulan planet-planet gergasi Sistem Suria selepas Marikh), kemudian batu-batuan tersebut tertarik oleh daya graviti Musytari dan menjadi bulan baru.
Mereka belum mengambil keputusan untuk memberikan nama kepada kesemua bulan-bulan Musytari yang baru ini kerana mereka perlu pemerhatian lagi selama setahun, bagi memerhati pergerakan bulan-bulan ini sama ada masih mengorbit planet induk itu atau terkeluar.
Mungkin pada masa akan datang, planet Zuhal merampas kembali gelaran planet mempunyai paling banyak satelit semula jadi, jika saintis menemui bulan baru mengalahkan bilangan bulan Musytari. Beginilah fenomena ‘perlumbaan’ bulan terbanyak antara kedua-dua planet terbesar Sistem Suria ini.
______
Kalau korang berminat dengan topik-topik sains seperti ini, kami nak cadangkan korang beli buku kami, SEMOGA TUHAN MERAHMATI SAINS DALAM KEHIDUPAN. Jom beli sekarang: https://bit.ly/3Nws0Ja
RUJUKAN:
Michelle Starr. 6 February 2023. Jupiter Overtakes Saturn as The Planet With The Most Known Moons. Science Alert.
Jeff Hecht. 31 January 2023. Astronomers Find A Dozen More Moons For Jupiter. Sky and Telescope.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih