Murasaki Shikibu (紫 式部), atau Lady Murasaki adalah penulis novel, pemuisi, dan pembantu peribadi diraja (lady-in-waiting) di istana pada fasa Heian, iaitu Zaman Kebudayaan dan Kesusasteraan Jepun (794 – 1185 Masihi). Nama sebenar Murasaki adalah Fujiwara no Kaoruko (藤原 香子) tetapi nama Murasaki digunakan semasa beliau berkhidmat sebagai pembantu peribadi diraja
Murasaki adalah tokoh wanita terpenting dalam bidang sastera Jepun kerana beliau menghasilkan novel tertua di dunia iaitu The Tale of Genji (Genji Monogatari) yang diterbitkan pada 1000.
ZAMAN AWAL MURASAKI
Murasaki lahir pada 973 di kota Heian, Jepun dan pewaris keluarga Fujiwara (keluarga samurai berpengaruh) yang diturunkan oleh pewaris pertama pada kurun ke-9 Masihi, Fujiwara no Yoshifusa. Sebelum kelahirannya, keluarga Fujiwara menguasai politik Jepun fasa Heian melalui perkahwinan anak-anak perempuan dengan para putera diraja. Datuk Murasaki iaitu Fujiwara no Kanesuke adalah ketua puak Fujiwara yang membawa keluarganya ke kelas tertinggi dalam kalangan kerabat diraja. Selepas kelahiran Murasaki, keluarga Fujimura mulai hilang pengaruh dan kelas keluarga itu turun kepada kelas gabenor daerah.
Walaupun keluarga Fujimura hilang kekuasaan politiknya, namun mereka mempunyai reputasi dalam kalangan sasterawan kerana moyang dan datuk Murasaki adalah pemuisi disegani ramai. Moyangnya, Fujiwara no Kanesuke mempunyai 56 buah puisi termasuk 13 buah puisinya dalam Twenty-one Imperial Anthologie, Collection of Thirty-six Poets dan Yamato Monogatari. Ayahnya, Fujiwara no Tametoki belajar di Akademi Kerajaan (Daigaku-ryo) dan menjadi ahli akademik klasik Cina dan pemuisi yang terkenal. Tametoki juga pernah menjawat jawatankerajaan dari 996 hingga 1080. Ibu Murasaki telah meninggal dunia ketika baru saja Murasaki dilahirkan. Maka, dia tinggal bersama ayahnya dan adik lelaki bernama Nobunori bersama adik perempuan yang Murasaki rapat.
Nama Murasaki sebenarnya unik jika kita mengkaji lebih mendalam tentang sistem gelaran penjawat dalam istana pada fasa Heian. Pembantu peribadi diraja diberi nama yang merujuk kepada pangkat atau gelaran dari saudara lelaki. Jadi, Murasaki merujuk kepada ‘Shikibu-shō’, gelaran bapa Murasaki ketika beliau berkhidmat sebagai Menteri Upacara. Nama Murasaki juga merujuk kepada warna violet yang hadir dari pohon wisteria.
Sedang Murasaki membesar, Jepun pada fasa ini mengalami proses pengasingan setelah Jepun menerima pengaruh China dari Dinasti Tang. Pada abad ke-9 dan ke-10 Masihi, Jepun telah menghasilkan sistem abjad baru iaitu Kana, berevolusi dari bahasa Cina namun sistem ini hanya golongan wanita saja yang mengamalkannya, manakala golongan lelaki meneruskan penggunaan bahasa Cina kerana lelaki diperlukan untuk menjawat sebarang jawatan di istana. Jadi tidak hairanlah pada zaman itu Kana dipanggil sebagai ‘bahasa wanita’.
Maka adik lelaki Murasaki harus mempelajari bahasa Cina untuk memperoleh jawatan tersebut tetapi Murasaki secara tidak sengaja mendengar pembelajaran adiknya dan serta-merta menjadi mahir mengamalkan bahasa klasik China. Murasaki sendiri mengaku bahawa dia menjadi mahir dengan hanya mendengar adiknya berbahasa Cina tapi ayahnya berkata Murasaki cuma ‘bernasib baik’ dan merasa sesal mengapa Murasaki tidak dilahirkan sebagai lelaki. Dari sini, Murasaki belajar kesusasteraan Cina bersama adiknya serta belajar muzik, kaligrafi, dan puisi Jepun.
MURASAKI DI ALAM DEWASA
Bangsawan wanita Heian ketika dewasa mengalami kehidupan yang ketat dengan undang-undang sosial, iaitu dilarang bergaul dengan golongan lelaki selain saudara terdekat dan keluarga sendiri. Begitu juga dengan Murasaki, hanya berbual dengan sesiapa yang berjantina wanita, ayah dan adik lelakinya. Dikatakan dia pernah bertukar puisi dengan rakan wanitanya. Biasanya bangsawan wanita apabila mencapai umur baligh harus berkahwin tetapi tidak bagi Murasaki. Dia tetap tinggal di kediaman ayahnya sehingga berumur 25 tahun atau (berkemungkinan) mencapai umur 30 tahun.
Tahun 998 barulah Murasaki berkahwin dengan kawan ayahnya bernama Fujiwara no Nobutaka. Nobutaka bekerja sebagai ahli birokrasi dalam Kementeria Upacara dan dia mempunyai reputasi dengan berpakaian menjolok mata dan pandai menari. Walaupun Nobutaka menjadi suami Murasaki, perwatakannya yang kuat bersosial menjadikan dia mempunyai hubungan intim dengan ramai wanita selain Murasaki.
Tidak pasti apakah status sebenar perkahwinan mereka namun ada dua pendapat dari dua orang sasterawan bernama Richard Bowring dan Haruo Shirane. Menurut Bowring, perkahwinan Murasaki bahagia kerana suaminya mendapat kekayaan setelah berkahwin walaupun jawatannya cukup untuk bahagiakan pasangan ini. Manakala pendapat Haruo Shirane berbeza melalui kajian ke atas puisi Murasaki. Ada sesetengah puisi menunjukan secara tidak langsung Murasaki membenci suaminya yang kaki perempuan.
Hasil perkahwinan mereka, lahirnya anak perempuan bernama Kenshi pada 999. Dua tahun kemudian suaminya meninggal dunia kerana penyaki cholera. Murasaki kemudian menjaga anak tunggalnya dengan bantuan para pembantu rumah. Di sini Murasaki banyak meluangkan masa membaca kisah-kisah romantic seperti The Tale of the Bamboo Cutter dan The Tale of Ise. Para sejarahwan berpendapat tempoh Murasaki sebagai balu adalah tempoh yang tepat di mana dia menulis novel pertamanya, The Tale of Genji.
Mengikut lagenda, Murasaki pergi ke Ishiyama-dera di sekitar kawasan Tasik Biwa. Tempat yang dia pergi ini memberikan inspirasi kepadanya untuk menulis novel sambil memandang keindahan bulan. Bagi sejarahwan pemergian Murasaki ini tidak benar namunartis Jepun tetap ingin menggambarkan kebenaran pemergian Murasaki dengan membayangkan Murasaki berada di Kuil Ishiyama dan merenung bulan untuk mencari idea penulisannya.
Bab demi bab novel telah Murasaki siapkan dan berkongsi kepada kawan wanitanya. Rakannya itu kemudian membuat salinan baru kisah Murasaki dan sebarkan kepada warga lain. Dari penyebaran salinan bab novel inilah Murasaki mendapat reputasi sebagai penulis novel. Masuk unur 35 tahun, Murasaki mendapat jawatan sebagai pembantu peribadi diraja (nyōbō).
KEHIDUPAN SEBAGAI PEMBANTU PERIBADI DIRAJA
Ketika Murasaki berkhidmat sebagai pembantu peribadi diraja, Jepun mencapai fasa Heian yang kemuncak pada abad ke-11 Masihi. Populasi Kyoto iaitu ibu kota Jepun ketika itu mencapai 100,000 orang. Dalam kesusasteraan, emosi pengkarya diluahkan melalui pengunaan seni tekstil, wangian, kaligrafi, kertas berwarna, puisi, dan kombinasi warna pakaian mengikut mood dan musim.
Pengkarya yang tidak berbuat demikian akan hilang kepopulariti terutamanya mereka yang berkhidmat di istana. Bangsawan wanita Heian ketika itu terkenal dengan cara mereka bermekap: memanjangkan rambut hingga ke lantai, memutihkan kulit, dan menghitamkan gigi – termasuk mempunyai hubungan intim, menulis puisi dan diari. Lambakan puisi dan diari milik bangsawan wanita inilah menjadi manuskrip sastera Jepun terpenting yang pernah mereka miliki.
Murasaki berkhidmat di bawah ratu Shōshi, salah satu harem Maharaja Ichijō. Sepanjang beliau berkhidmat, dia pernah mencatatkan tentang ‘budaya’ yang diamalkan oleh pembantu peribadi diraja dari diarinya. ‘Budaya’ itu adalah bersaing sesama mereka demi mendapat pengiktirafan yang seseorang itu adalah penulis terbaik dalam kalangan pembantu peribadi diraja.
Murasaki juga mempunyai pesaing iaitu Sei Shōnagon, pembantu peribadi diraja ratu Teishi, isteri sah Maharaja Ichijō dan pernah menulis buku The Pillow Book, buku tentang kehidupannya berkhidmat di bawah ratu Teishi. Persaingan yang mereka amalkan ini sebenarnya sihat. Ia tidak menunjukan siapakah penulis yang menang menulis bahasa yang menyentuh hati. Sebenarnya persaingan ini mendekatkan diri mereka untuk mengenali perwatakan masing-masing.
Murasaki pernah mengajar ratu Shōshi bahasa Cina kerana minatnya terhadap seni lukis dan puisi China. Murasaki tiada masalah mengajar kerana kecerdikannya memahami bahasa dari tanah besar namun mereka harus belajar secara sembunyi kerana belajar bahasa Cina dalah kalangan wanita di istana adalah taboo kerana bahasa ini adalah ‘bahasa lelaki’, lebih mudah bahasa untuk lelaki menjawat jawatan kerajaan. Walaupun Murasaki tidak kisah mengajar dan menulis dalam bahasa Cina, namun pendiriannya bahasa Cina harus tidak diamalkan dalam urusan rasmi kerajaan kerana dia ingin mengutamakan budaya Jepun dengan mengamalkan bahasa Kana (Jepun) secara umum.
Sepanjang Murasaki berada di istana, dia tidak berapa suka dengan kehidupan sebagai pembantu peribadi diraja ini. Dia sentiasa bermuka muram dan tidak ingin bergaul dengan sesiapa melainkan ratu yang dia berkhidmat dan seorang pembantu peribadi diraja yang menjadi kawan rapat Murasaki, Lady Saishō.
Tambahan pula, Murasaki tidak suka kebanyakan pegawai istana lelaki yang berwatakan lembab dan sentiasa mabuk setiap malam. Pernah Michinaga iaitu ketua Fujiwara yang berpengaruh di istana mengusik Murasaki dan ingin mengadakan hubungan intim dengannya tapi Murasaki menolak dengan menyindir Michinaga melalui puisi yang dia tulis kepadanya : You have neither read my book, nor won my love.
Murasaki lebih selesa berseorangan dan menulis sebanyak mungkin diari tentang kerjanya.Pernah dia menulis tentang ketidakselesaan berada dalam suasana di istana tempat dia tinggal. Tambahan lagi, dia menulis tentang perlumbaan para pegawai berdarah Fujiwara untuk memperoleh pangkat tertinggi dalam istana. Tapi Murasaki tidak berminat walaupun dia juga berdarah Fujiwara. Tulisan-tulisan Murasaki tentang kehidupannya yang membosankan ini dikumpul menjadi bab-bab baru novelnya yang dia mula tulis selepas kematian suaminya.
AKHIR HIDUP MURASAKI
Setelah Maharaja Ichijō mangkat pada 1011, ratu Shōshi keluar dari istana dan tinggal di kediaman Fujiwara yang bertempat di Biwa. Murasaki juga tetap setiap bersama ratu tersebut berada di sana.
Murasaki kemudian meninggal dunia pada 1014 ketika berumur 41 tahun, walaupun sejarahwan masih berdebat akan tarikh sebenar kematiannya. Berita ini mengejutkan ayahnya dan kemudian terpaksa balik ke Kyoto dari tempat tugasannya di daerah Echigo. Anak perempuan Murasaki pula berkhidmat di istana pada tahun 1025 sebagai ‘wet nurse’ iaitu jururawat yang bertugas menyusu dan menjaga anak diraja di bawah pemerintahan Maharaja Go-Reizei. Dia juga menjadi terkenal sebagai pemuisi yang menggunakan nama Daini no Sanmi.
KARYA-KARYA MURASAKI
Murasaki menulis diari sejak pertama kali berkhidmat di istana. Pengetahuan kita terhadap dirinya dan pengalaman kerjanya ditulis dalam diari tersebut dalam tempoh 1008 hingga 1010. Isi kandungan diarinya adalah mengenai hubungannya dengan pembantu peribadi diraja lain, gangguan Michinaga, peristiwa kelahiran anak lelaki ratu Shōshi. Kemudian diari tersebut diserap dalam bab-bab baru The Tale of Genji.
Karya seterusnya adalah Poetic Memoirs, iaitu kumpulan puisi Murasaki sebanyak 128 buah puisi. Karya asalnya telah hilang namun puisi-puisinya disebar melalui mulut rakyat kemudian dikumpulkan bersama. Sesetengah puisi berkonsepkan cinta, berkemungkinan luahan Murasaki kepada suaminya namun puisi ini cumalah suatu percubaan Murasaki untuk menulis bait-bait cinta. Ada juga puisi mengenai kematian adik perempuannya, lawatan ke daerah Echizen bersama ayahnya, dan puisi untuk ratu Shōshi. Orang yang bertanggungjawab membukukan puisi-puisi ini adalah Fujiwara no Teika dan diterbit pada 1206. Ini saja buku yang boleh dikatakan asli dalam koleksi tulisan Murasaki.
Karya seterusnya yang terkenal adalah The Tale of Genji, 3 bahagian novel sebanyak 1100 helai muka surat dan 54 buah bab yang mengambil masa berdekad untuk siapkannya. Novel ini mengisahkan tentang anak maharaja Jepun purba bernama Hikaru Genji yang mengalami kehidupan perit selepas dia ‘dibebaskan’ ayahandanya dari istana kerana masalah politik. Sebenarnya kisah Genji ini secara tidak langsung merujuk kepada kehidupan Murasaki.
Bab-bab terawal ditulis semasa Murasaki berkeluarga dan selepas kematian suaminya. Kemudian bab seterusnya diteruskan ketika Murasaki tinggal di istana sebagai pembantu peribadi diraja sehingga tamat. Michinaga yang melihat potensi Murasaki sebagai penulis sastera, membekalkan berus dan dakwat kepada Murasaki, beserta ahli kaligrafi yang membantu Murasaki menyiapkan novelnya.
Helen McCullough, ahli Akademis US yang mengkaji sejarah Jepun menyifatkan novel Murasaki sebagai karya yang agung kerana novel ini adalah novel pertama yang menjelaskan secara mendalam mengenai hubungan sesama manusia, budaya yang hadir dalam istana pada fasa pertengahan Heian, cinta dan kebahagiaan. Kepekaan perasaan orang lain dalam hubungan menjadikan novel ini menarik dibaca menurut McCullough.
Kini, karya-karya Murasaki menjadi rujukan terpenting bagi sejarahwan dan sasterawan bagi memahami evolusi bahasa Jepun semasa fasa Heian yang diusahakan oleh pengkarya-pengkarya sastera Heian. Murasaki juga menjadi kenangan orang Jepun sebagai novelis pertama dunia. Dalam mobile game FGO, watak Murasaki muncul sebagai Servant kelas Caster. Murasaki dalam FGO memakai pakaian tradisional rasmi fasa Heian iaitu Jūnihitoe, kimono kompleks yang mempunyai 15 – 20 helai lapisan kimono yang hanya bangsawan wanita Heian memakainya. Watak ini juga mempunyai rambut yang panjang hingga ke lantai, sesuai dengan karakter Murasaki sebagai bangsawan Heian.
RUJUKAN:
Adolphson, Mikhael; Kamens, Edward and Matsumoto, Stacie. Heian Japan: Centers and Peripheries. (2007). Honolulu: Hawaii UP.
Bowring, Richard John (ed). “Introduction”. in The Diary of Lady Murasaki. (1996). London: Penguin.
Mason, R.H.P. and Caiger, John Godwin. A History of Japan. (1997). North Clarendon, VT: Tuttle Publishing.
McCullough, Helen. Classical Japanese Prose: An Anthology. (1990). Stanford CA: Stanford UP.
Mulhern, Chieko Irie. Japanese Women Writers: a Bio-critical Sourcebook. (1994). Westport CT: Greenwood Press.
Waley, Arthur. “Introduction”. in Shikibu, Murasaki, The Tale of Genji: A Novel in Six Parts. translated by Arthur Waley. (1960). New York: Modern Library.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih