Hampir setiap agama mempunyai sambutan kecil yang bersampingan dengan perayaan utama. Islam mempunyai Awal Muharram. Kristian pula menyambut Good Friday. Judaisme pula meraikan Sukkot diantara Rosh Hashanah dan Hanukkah. Begitu juga dengan salah satu agama di Malaysia ini. Senang kata dimana agama Hinduisme diamalkan, disitulah adanya sambutan Ponggal. Dan perkara sebegini sememangnya biasa.
Namun pada 13 Januari 2020, suatu pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan Negara untuk makluman semua pengetua sekolah. Dalam pekeliling tersebut, nama Jabatan Agama Islam dipetik dengan pengisytiharan bahawa sambutan Ponggal adalah haram untuk umat Islam, terutamanya perbuatan mendidihkan susu (Predeep, 2020).
Pekeliling ini telah menjadi perbualan seluruh negara apabila Mujahid Yusof Rawa menggesa tindakan tegas diambil ke atas penulisnya. Penegasan beliau boleh dirumuskan:
- Ponggal tidak haram dan boleh disambut jika akhlak Islam dipatuhi.
- Isterinya seorang guru di sebuah sekolah Nibong Tebal. Sekolahnya telah lama mengambil bahagian dalam Ponggal dengan sambutan pro-Islam.
- Jakim tidak pernah mengisytiharnya haram. Jadi orang buta-buta salahkan Jakim (kerana pekeliling ini).
- ‘Kasihanilah saya dan Jakim’.
Perkara ini tidak mengejut pun kerana Mujahid memang telah sebati dengan tanggapan sosial sebagai penyokong kesamarataan. Dari awal lagi beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Islam telah sepentas dengan Nisha Ayub. Jadi apalah sangat dengan kenyataan mengecam pekeliling ini.
Sejarah dan Sambutan Ponggal
Ponggal merupakan sebuah pesta menuai di Selatan India yang diutamakan bangsa Tamil. Ia menandakan permulaan kepada kalendar Tamil (sempena Tahun Baharu Tamil) yang biasanya bermula pada 14 Januari. Dan perayaan ini diasaskan sempena dewa suria Hindu bernama Surya sendiri (Ganeshram & Bhavani, 2011). Dan perayaan Ponggal ini selalunya berselingan dengan Makar Sakranti yang disambut dengan hiasan berwarna-warni, mengutip duit raya (mudah kata) dan kenduri (Kapila, 1987). Mereka juga bermain dengan layang-layang sempena perayaan ini.
Perayaan Ponggal pun bukanlah sehari. Sebaliknya penganut Hindu menyambutnya selama empat hari berturut-turut:
- Hari Pertama (Boghi Pongal)
Perayaan Ponggal itu sendiri dimulakan dengan pembuangan barang-barangan lama. Komuniti sedemikian mengumpulkan semua barangan tersebut dan menyalakan api yang besar. Rumah masing-masing pun dibersihkan semula, dicat dan dihias supaya nampaklah semangat perayaan. Tanduk lembu dan kerbau pun turut dicat juga. Dan biasanya mereka akan mengenakan pakaian baharu. Unsur spiritual pula melibatkan Indhra, seorang dewa alam yang Hindu akan berdoa supaya menurunkan hujan sepanjang tahun baharu.
- Hari Kedua (Surya Pongal)
Sempena dewa Surya, perayaan ini bermula apabila matahari memasuki rumah ke-10 dalam buruj Makara (Capricorn). Penganut-penganut Hindu digalakkan bersama dengan kaum keluarga serta sahabat andai, menghiasi rumah dengan daun pisang serta melukis corak geometri menggunakan beras bewarna.
Mereka akan membuat masakan khas dalam periuk tanah liat berhiasan kunyit di tempat terbuka supaya boleh mereka nampak Matahari pun.
Biasanya mereka mendidihkan susu dalam kumpulan. Apabila susu ini mula berbuih, mereka pun memasukkan beras dan gula tebu. Susu yang mencapai takat didih pun mula melimpah. Dan salah seorang daripada mereka sekurang-kurangnya meniup trompet sanggu (dibuat daripada cangkerang) dan mengisytiharkan: “Pongalo pongal!”
Amalan ini sebenarnya ialah doa supaya rezeki dimurahkan (Pravin & Shanthini, 2017). Semasa sanggu ditiupkan, tidak pelik pun jika kaum wanita menyanyi lagu-lagu tradisi. Namun selepas makanan tersebut siap, mereka akan hidangkannya kepada dewa-dewi dianuti, kadangkala lembu juga sebelum dikongsikan dengan kejiranan terdekat. Sekali lagi mereka panjangkan doa kepada matahari dengan posisi namaskaram (Gough, 2008).
- Hari Ketiga (Maattu Pongal)
Hari ketiga pula dikhususkan kepada lembu. Kaum Hindu akan meraikan kewujudan lembu yang dianggap sumber rezeki. Dari segi fizikal, lembu memang banyak membantu mereka. Kalau tidak kerana lembu, takkan mungkin mereka boleh mendapat susu, baja, pengangkutan dan pembajak tanah (kerbau). Jadi Maattu Ponggal dikhaskan untuk lembu yang dihiaskan dengan bunga dan cat dibuat dengan air kunyit dan minyak.
Sempena hari ini lembu akan kekenyangan menikmati pisang, sebelum disembah (Gough, 2008). Selain pisang, lembu juga menikmati madu, gula tebu dan buah-buahan lain.
Ada juga yang berlumba-lumba lembu sambil melukis kolam berbentuk lembu pula.
- Hari Keempat (Kaanum Pongal)
Pada hari keempat juga terakhir, kaum Hindu akan ziarah-menziarah. Inilah masa keluarga membuat reunion sesama sendiri. Mana-mana sengketa didamaikan dengan permohonan maaf. Kali ini gagak pula akan kekenyangan dengan semua makanan berbaki ponggal dari Surya Pongal.
Kekeliruan Malaysia Atas Nama Kesamarataan
Kadangkala apa yang rakyat berkata pun benar juga. Jemaah menteri tidak mempunyai kumpulan WhatsApp, sekaligus mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain. Pekeliling daripada Kementerian Pendidikan boleh pula disanggah Kementerian Agama, padahal jarak antara induk Kompleks Jakim dan Pejabat Utama Kementerian Pendidikan hanyalah tujuh kilometer sahaja. Kalau kata sepakat pun menyimpang, apatah lagi prestasi kerja.
Berdasarkan sejarah dan sambutan Ponggal, jelas sekali ia haram disertai umat Islam. Sebarang garis panduan jika dihadkan kepada ucapan baik sahaja boleh diterima akal lagi. Namun untuk mempertikaikan sambutan itu sendiri, tidak pelik jika satu hari masyarakat liberal cenderung untuk sambut apa sahaja yang bukan daripada Islam.
Anehnya, apabila disuruh bukan Islam berpuasa, bunyinya tentu sekali lain pula. Apabila disuruh bukan Islam patuh kepada hukum syariah, lagilah panas anginnya. Mujahid Yusof Rawa sekarang ini merupakan manifestasi kepada semua perkara yang tidak betul dalam negara ini – apabila majoriti perlu bertoleransi pada tahap tidak diperlukan daripada minoriti.
Sumber:
Ganeshram, S. & Bhavani, C. (2011). History of People and their Environs. Bharathi Puthakalayam. Pp. 751-752. ISBN 978-93-80325-91-0.
Kapila, V. (1987). Traditions of Indian folk dance. Clarion Books. Pp. 192-193. ISBN 978-0-85655-253-3.
Gough, K. (2008). Rural Society in Southeast India. Cambridge University Press. Pp. 230-231. ISBN 978-0-521-04019-8.
Pravin, P. & Shanthini, S. (2017). Singapore Ethnic Mosaic, The: Many Cultures, One People. World Scientific Publishing Company, Singapore. Pp. 207-2011. ISBN 978-981-323-475-8.
Preedep, N. (2020, January 17). Mujahid gesa tindakan tegas ke atas pekeliling ‘haram’ Ponggal di sekolah. Retrieved from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/01/17/mujahid-gesa-tindakan-tegas-ke-atas-pekeliling-haram-ponggal-di-sekolah/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih