Kalau selalunya ‘highlight’ kebanyakan diberikan hanya kepada atlet-atlet normal. Kurangnya pendedahan terhadap atlet-atlet paralimpik negara menunjukkan seakan wujud sebuah tembok sempadan di antara mereka dan atlet-atlet negara yang lain. Mungkinlah tumpuan baru disuluhkan kepada atlet-atlet paralimpik negara selepas mereka berjaya membawa pulang 3 pingat emas dan 1 pingat gangsa di temasya sukan Paralimpik Rio pada tahun 2016. Namun tumpuan yang diberikan kepada mereka itu sudah semakin berkurangan saban hari.

Kalau bagi yang mengikuti rapat perkembangan di temasya Sukan Asia Tenggara di Filipina tempoh hari, pasti akan mengetahui kehebatan seorang atlet paralimpik negara yang bertanding dan mampu mengatasi atlet-atlet normal yang lain dalam temasya tersebut. Hal ini menjadi faktor kenapa atlet-atlet paralimpik negara kita ini juga harus diberikan tumpuan yang setimpal seperti atlet-atlet negara yang lain. Janganlah menjadi seperti segelintir individu yang asal lihat individu yang ‘berlainan’ sedikit, terus ‘dibahannya’.

Oleh itu, siapakah gerangan yang hebat tersebut?

Kisah Ziyad Zolkefli

Ziyad Zolkefli atau nama sebenarnya Muhammad Ziyad Zolkefli dilahirkan dengan masalah pembelajaran dan berjaya dikesan masalahnya itu oleh ibu bapa beliau semasa beliau masih lagi berada di tadika. Ziyad yang merupakan anak sulung daripada keempat-empat adik beradiknya itu dikatakan merupakan seorang yang amat rajin dan terkenal dengan sikapnya yang berdikari sejak di usianya yang masih muda. Hal ini dapat dibuktikan dengan kerajinannya semasa di bangku sekolah yang bekerja sebagai tukang rumah apabila tibanya cuti persekolahan. Beliau juga telah menjual kuetiau di ibu kota sebelum menyertai Majlis Sukan Negara dan menjadi atlet kebangsaan.

Tahun 2008 merupakan tahun pertama keterlibatan Ziyad Zolkefli secara serius dalam sukan lontar peluru. Daripada situ, dengan bakat dan kudratnya yang tinggi, beliau telah menyertai temasya Sukan Paralimpik 2012 di London. Di sana, beliau telah memenangi pingat gangsa dengan catatan lontaran sejauh 15.21 meter di belakang atlet dari Sweden, Jeffrey Ige dan Todd Hodgetts yang masing-masing mencatat catatan lontaran sejauh 15.50 meter dan 16.29 meter. Walaupun begitu, kejayaan Ziyad Zolkefli tersebut sudah amat membanggakan  buat rakyat Malaysia yang setia menyokong dari tanah air. Ketiga-tiga atlet yang menaiki podium ini telah memadam rekod lama milik atlet Poland iaitu 13.10 meter dengan catatan yang jauh lebih baik dan membanggakan.

Tahun berikutnya menjadi saksi kejayaan Ziyad Zolkefli pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa. Pada kejohanan tersebut, beliau telah merampas pingat emas daripada atlet-atlet lain dengan catatan lontaran sejauh 15.23 meter sekaligus menobatkan beliau sebagai pemenang. Lebih manis lagi, beliau berjaya mempebaharui rekod peribadi yang telah diciptanya pada tahun sebelumnya.

Hasil daripada kejayaannya itu, beliau telah dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik dalam majlis Anugerah Sukan Negara di atas kejayaannya membawa pulang pingat emas pertama negara dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa itu. Tambahan pula, beliau merupakan satu-satunya pemenang pingat untuk negara dalam kejohanan tersebut. Tidak terhenti di situ, Ziyad turut memenangi pingat emas di Sukan Para Asia pada tahun 2014.

Sukan Paralimpik Rio 2016 & Rentetan Kejayaan

Tanggal 11 September 2016 merupakan detik paling bersejarah buat atlet paralimpik negara yang bermula daripada bawah ini. Beliau yang terbang ke Rio bersama atlet-atlet negara yang lain telah bertekad untuk merampas pingat emas dalam temasya Sukan Paralimpik Rio tersebut dalam usahanya untuk mengharumkan nama negara. Beliau berjaya merangkul pingat emas dengan catatan terbaiknya di mana beliau melakukan lontaran sejauh 16.84 meter dalam lontaran kelimanya. Lebih bermakna lagi, pingat emas yang dimenanginya tersebut merupakan hadiah hari jadi yang beliau janjikan buat Ayahandanya.

Pada temasya tersebut, Ziyad telah menjadi pemenang pingat emas negara yang kedua selepas pelari pecut , Mohamad Ridzuan bin Mohd Puzi yang memenangi pingat emas dalam acara 100m kategori T36. Hal ini mendorong Menteri Belia & Sukan pada ketika itu, YB Khairy Jamaluddin untuk menaikkan nilai ganjaran kepada atlet paralimpik kebangsaan setara dengan ganjaran yang diterima atlet normal. Hal ini telah menaikkan taraf atlet paralimpik setara dengan atlet normal yang di mana sebelum ini mereka kurang dipandang dan diberi perhatian oleh umum.

Tahun berikutnya pula, Ziyad Zolkefli telah menyertai temasya Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur. Pada temasya tersebut, beliau telah berjaya merangkul pingat gangsa setelah melakukan lontaran sejauh 17.12 meter di belakang dua orang pelontar yang kedua-duanya merupakan atlet daripada Thailand. Hal ini membuktikan bahawa atlet paralimpik juga mampu untuk bersaing rapat dengan atlet normal. Kekurangan diri daripada segi lain tidak harus dijadikan alasan kerana tiada apa yang mustahil apabila kita berusaha dengan tekun dan berterusan.

Pencapaian terkininya adalah pada Sukan Asia Tenggara tahun lalu di Filipina apabila beliau sekali membuktikan kehebatan beliau dengan memenangi pingat perak apabila berjaya melakukan lontaran sejauh 17.03 meter sekaligus meletakkan beliau di tempat kedua di belakang atlet tuan rumah, William III Edward Morrison yang berjaya mencatat lontaran sejauh 18.38 meter. Kejayaannya memenangi pingat perak sudah cukup untuk membuatkan kita rasa bangga sekaligus merubah mentaliti kita terhadap atlet-atlet paralimpik kebangsaan di mana mereka juga mampu untuk bersaing bersama-sama dengan atlet normal malahan juga mampu untuk menjadi yang lebih baik.

Akhir kata, tidak kira atlet normal atau atlet paralimpik, selagi perjuangan mereka adalah untuk menaikkan dan mengharumkan nama negara, ayuhlah kita memberi sokongan dan dukungan yang padu kepada mereka. Janganlah kita hanya mendukung tatkala mereka di atas dan apabila mereka di bawah, dicacinya mereka seperti mereka tidak mencuba sehabis baik. Kerana seperti yang saya selalu kata dalam artikel-artikel saya, tiada perkataan mustahil dalam kitab kejayaan Malaysia. “MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA”.

RUJUKAN :

  1. Alchetron (2018). Muhammad Ziyad Zolkefli. https://alchetron.com/Muhammad-Ziyad-Zolkefli
  2. Malaymail (2016). Muhamad Ziyad — from kuey teow man to Rio gold medallist. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2016/09/11/muhamad-ziyad-from-kuey-teow-man-to-rio-gold-medallist/1203451
  3. Borneo Post Online (2012). Muhammad Ziyad grabs bronze medal for M’sia. https://www.theborneopost.com/2012/09/09/muhammad-ziyad-grabs-bronze-medal-for-msia/
  4. Berita Harian Online (2017). Ziyad raih gangsa lontar peluru. https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2017/08/316221/ziyad-raih-gangsa-lontar-peluru
  5. Fox Sports (2019). #KamiLuarBiasa: Ziyad rangkul pingat perak di Sukan SEA, atasi pencapaian 2017. https://www.foxsports.com.my/sukan-sea-2019/127763/kamiluarbiasa-ziyad-rangkul-pingat-perak-di-sukan-sea-atasi-pencapaian-2017/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.