Lembu sudah lama dijinakkan untuk manfaat manusia. Dijangka 10,500 tahun lalu, manusia mula mengembala kawanan lembu dalam lingkungan 80 ekor untuk mengimbangi jaminan makanan (University College London, 2012).

Namun tempoh ini mungkin berdasarkan dapatan saintifik terkini. Tidak mustahil yang satu hari nanti, saintis menemui DNA daripada lembu jauh lebih lama.

Tetapi ini tidak menghalang hujah bahawa lembu banyak berjasa pada manusia, bukan setakat daging dan susu – juga memudahkan kerja buruh (Oregon State University, 2020).

Zaman moden walau bagaimanapun membuka dimensi lebih meluas tentang daging lembu. Sekarang terdapat dua pihak yang mempunyai pendapat khusus mengenai daging lembu.

Satu pihak menentang sebarang pemakanan daging, kerana perusahaan penternakan terlalu mencari keuntungan sampai menggadaikan tanggungjawab pada alam sekitar.

Pihak utama pula ialah penggiat-penggiat daging, yang berabad mevariasikan kaedah masakan. Kemudian tabur garam…

Barat mempunyai pembawaan tersendiri. Perapan daging dibiar lama sebelum masuk dalam ketuhar panas. Suhu memainkan peranan ketika ini. Mereka mengekalkan suhu di antara 52ºC hingga 60ºC untuk rare atau medium rare.

Segelintir lebih suka daging yang lebih lama dalam ketuhar. Jadi mereka meletakkan suhu 60ºC hingga 69ºC pula untuk medium atau medium well.

Semuanya terbukti selamat dimakan (BBC, 2004), asalkan bukan daging putih seperti ayam.

Medium rare kesukaan ramai.

Tetapi Asia Tenggara pula mempunyai cara tersendiri untuk masak daging. Suea rong hai ialah hidangan Thailand yang sangat popular.

Masakan ini meggunakan daging bahagian dada lembu, yang kaya dengan tisu penghubung.

Kalau di Texas, penggiat daging menggunakan kaedah barbeku asap yang memakan masa sangat lama untuk masak… tetapi apabila siap, hidangan daging akan sangat lembut.

Thailand tidak menggunakan kaedah asap. Mereka masih memanggang tetapi kemudian dιhιrιs nipis. Daging ini sesuai bersama apa-apa jua makanan, seperti nasi bersup atau sayur-sayuran.

Pengaruh Suea rong hai tersebar secara meluas, hingga ke luar Thailand. Hidangan ini sangat laku di Malaysia. Cuma mungkin orang ramai lebih mengenalinya sebagai “harimau menangis”.

Namanya agak pelik, kerana harimau yang memakan lembu tentu sekali takkan menangis.

Seekor lembu saja mempunyai berat ratusan kilogram. Harimau pula boleh makan berpuluh kilogram sekali jalan, kemudian berpuasa selama beberapa hari.

Jadi tentu sekali ada rahsia di sebalik asal-usul nama hidangan daging harimau menangis ini. Jika dilihat secara logik, bahagian dada ini mempunyai lemak seperti belang seekor harimau.

Apabila diletakkan pada pemanggang panas, lemak ini akan cair seperti air mata. Jadi belang mencair jadilah harimau menangis.

Selain teori ini, ada satu pendapat arus perdana. Kononnya satu hari, seekor harimau kelaparan terjumpa lembu kampung yang berada dalam kandang. Ia tidak membuang masa.

Setelah puas menjamah daging lembu hingga bahagian dada, harimau tersebut terlalu kenyang.

Mencuba sikit daging dada, harimau tersebut sangat terkilan. Kerana bahagian tersebut sungguh lembut dan sedap. Tetapi akibat kekenyangan, harimau tersebut menitis air mata kerana tidak mampu makan lagi.

Seorang tukang masak Thailand berkongsi tiga mitos lain di sebalik nama harimau menangis (Punyaratabandhu, 2012).

Suatu masa dahulu, hidangan ini menggunakan daging lembu yang murah. Harga rendah bermakna daging tersebut kurang berkualiti dan sangat liat sampai harimau pun belum tentu mahu.

Sudahlah tidak mampu mengunyah, harimau menjadi sedih dan kemudian menangislah.

Itu kalau mitos daging kurang berkualiti. Ada yang cakap bahagian daging ini sangat lembut, sampai orang ramai akan ambil dulu tanpa meninggalkan secebis kepada harimau.

Satu lagi teori, sos pencicah hidangan harimau menangis terlalu pedas sampai harimau boleh menitik air mata.

Apa-apa pun asal-usulnya, harimau tetap menangis. Sama ada harimau Thailand sedikit sentimental, itu tidak boleh disahihkan.

Entahnya kisah sebenar, seekor harimau terlalu kebuluran diberi makan dada lembu – ia makan dan menangis.

Namun nama harimau menangis memberikan gambaran kebudayaan sangat tinggi tentang dunia masakan Thailand.

Tidak kisahlah kenapa namanya begitu. Kadangkala asal-usul tidak begitu penting… kerana entahnya selama ini ada yang buat harimau menangis menggunakan daging kanggaru.

RUJUKAN:

BBC. (2004, Mei 25). Rare steak ‘is safe to eat’.

Oregon State University. (2020, Disember 25). Cattle 101: History, Breeds, Fun Facts, Terms.

Punyaratabandhu, L. (2012, Julai 9). My Thai: Crying Tiger (suea rong hai). Serious Eats.

University College London. (2012, Mac 27). DNA traces cattle back to a small herd domesticated around 10,500 years ago.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.