Di Korea Selatan, bendera kebangsaannya dikenali sebagai Taegeukgi, manakala bagi Korea Utara, bendera kebangsaannya disebut sebagai Ramhongsaek Konghwagukgi. Sebelum pemisahan kedua-dua tanah Korea ini, sejarah penghasilan bendera ini sebenarnya berasaskan kepada kisah yang sama.

Rekod pertama mengenai bendera kebangsaan Korea ini telah ditemui dalam sebuah buku yang bertajuk Perjanjian Perdagangan apabila bendera rasmi Dinasti Goryeo, yang mempunyai simbol biru dan merah taegeuk (simbol tradisional Korea) bersama mata/titik berwarna putih dan triagram (kwae) berwarna biru telah dicatatkan di dalamnya.

Buku ini telah merekodkan gambaran bendera rasmi Dinasti Goryeo bersama perjanjian serta surat-surat rasmi dengan Dinasti Ching serta diplomat asing yang lain. Buku ini telah ditemui semula oleh pihak Perpustakaan Akademi Pegawai Tentera Laut Korea pada tahun 1991.

Bendera kebangsaaan Goryeo

Sebelum tahun 1876, tiada bendera rasmi yang direkodkan, kecuali yang ditemui dalam buku Perjanjian Perdagangan dan raja-raja juga mempunyai bendera tersendiri. Dalam misi diplomatik bersama Jepun yang berlangsung sebanyak 12 kali antara tahun 1607 hingga 1811, Dinasti Joseon telah menggunakan bendera berasaskan negara China yang mempunyai simbol serta huruf Cina.

Pada tahun 1856, pihak Dinasti Joseon telah menggunakan bendera berwarna kuning dengan garisan tepi berwarna merah yang mempunyai imej naga oriental hitam bersama awan. Pada tahun 1876 pula, bendera yang digunakan berwarna biru dengan garisan tepi berwarna merah dengan imej naga oriental berwarna kuning. Kesemua bendera ini mempunyai pengaruh kuat daripada China dan hanya menunjukkan kekuasaan raja berbanding imej negara itu sendiri.

Pada tahun 1875, pihak Jepun telah menghantar angkatan Unkei-maru ke perairan berhampiran Korea (Joseon), yang menyebabkan pihak tentera Joseon melepaskan tembakan terhadap angkatan ini berhampiran Pulau Kanghwa. Pihak Jepun menyatakan bahawa pasukan pengawal Joseon terlebih dahulu menyerang Unkei-maru dan akhirnya membawa kepada Perjanjian Kanghwa 1876, yang mana pihak Joseon membenarkan operasi pelabuhan serta pembukaan pelabuhan.

Pihak China yang mengetahui mengenai insiden ini telah meminta Joseon untuk menggunakan bendera naga China sebagai bendera negara. Joseon telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas berkaitan bendera negara bagi membincangkan penggunaan bendera naga tersebut tetapi ia menemui jalan buntu. Pada masa inilah, Joseon sedar bahawa negara mereka benar-benar memerlukan sebuah bendera kebangsaan dengan ciri bangsa mereka sendiri.

Joseon telah menghapuskan polisi pengasingan negara mereka dan melakukan rundingan perjanjian komersil bersama Jepun, Britain, Russia, Jerman, Perancis dan beberapa negara yang lain dan sekaligus menjadikan ia adalah satu keperluan untuk memiliki bendera kebangsaan sendiri bagi mewakili negara. Pada September, 1882, pihak Joseon telah menghantar satu misi ke Jepun yang diketuai oleh Park Yong Hyo.

Dalam perjalanan ke Jepun, Park telah berbincang dengan dua konsulat British, W.G.Atson dan Kapten James mengenai kebarangkalian menghasilkan bendera negara Korea yang pertama yang mempunyai simbol taegeuk dan kwae. Mereka akhirnya menghasilkan bendera tersebut dengan simbol taegeuk, dan empat kwae serta mengibarkannya sebagai bendera Korea di rumah penginapan Kobe. Bendera ini juga telah dikibarkan bersama bendera kebangsaan yang lain di Congratulatory Hall di Tokyo pada 2 Oktober, 1882.

Bendera Korea tahun 1882

Imej bendera taegeuk yang dikibarkan di Jepun ini telah dimuatkan di dalam suratkhabar harian Jepun, Jiji-Shinpo yang bertarikh 2 Oktober, 1882. Berdasarkan artikel dalam akhbar berkenaan, Park Yong Hyo telah menerima arahan terus daripada Raja Gojong bahawa bendera kebangsaan Korea perlu memiliki empat kwae yang menunjukkan utara, selatan, timur dan barat di empat penjurunya. Berbanding bendera Korea pada hari ini, bendera yang dikibarkan di Jepun ini mempunyai simbo taegeuk merah dan biru yang lebih besar dengan empat kwae hitam dalam bentuk berbeza.

Walaupun Raja Gojong telah mengisytiharkan keputusan baginda untuk menggunakan bendera taegeuk sebagai bendera kebangsaan, pada 6 Mac 1883, apabila rombongan Park kembali, pelbagai jenis bendera taegeuk telah dihasilkan kerana tiada spesifikasi khas dalam pembuatan bendera negara.

Bendera taegeuk tertua yang wujud di Korea adalah bendera yang dihadiahkan oleh Raja Gojong kepada penasihat diplomatik Amerika, O.M. Denny pada tahun 1890. Bendera kebangsaan Korea telah dikibarkan di Konsulat Korea di Hamburg, Jerman pada tahun 1893, dan ia mempunyai simbol taeguk biru merah pada bahagian tengah dengan lapan kwae emas di sekeliling simbol taegeuk tersebut.

Bendera Korea tahun 1893

Bendera taegeuk ini telah muncul pertama kalinya pada cop Kerajaan Korea pada Julai, 1895, yang mana ia mempunyai kwae berwarna hitam bersama simbol taegeuk yang agak berbeza. Pada tahun 1897, Empayar Korea telah dibentuk dan bendera kebangsaan yang dikibarkan di Pavilion Diraja Korea pada Pameran Dunia Paris pada tahun 1900 mempunyai simbol taegeuk dengan empat kwae hitam yang disusun dalam bentuk melintang serta menegak.

Bendera Korea tahun 1900

Pada tahun 1900 jugalah, Undang-Undang Bendera Taegeuk telah dilaksanakan. Berdasarkan undang-undang ini, panjang bendera adalah sebanyak 2 kaki Jepun (60cm), lebar sepanjang 1.8 kaki Jepun 954) dan saiz taegeuk merah dan biru adalah sebanyak 21 cm.

Pada tahun 1906, pasukan Tentera Keadilan di Cheollanam-do yang diketuai oleh Kho Kwang Soon telah menggunakan bendera taegeuk yang bertulis “Kami akan memulihkan semula kemerdekaan negara” sebagai satu simbol menentang angkatan Jepun. Rekabentuk bendera ini kemudiannya telah digunakan sebagai bendera perang oleh Pasukan Tentera Pemulihan dalam menentang Jepun serta mengembalikan kemerdekaan negara.

Selepas Jepun menduduki Korea, bendera ini telah dihapuskan pada Ogos 1910 dan bendera kebangsaan Jepun (hinomaru) telah digunakan di Korea. Sewaktu era penjajahan Jepun antara tahun 1910 hingga 1945 ini, bendera taegeuk telah digunakan sebagai satu simbol pergerakan kemerdekaan Korea, sama ada di dalam negara mahupun di luar Korea. Dalam Pergerakan 1 Mac 1919, bendera taegeuk ini telah digunakan sebagai simbol untuk menaikkan semangat mereka yang terlibat dan ia juga telah dikibarkan di Pyongyang.

Pada 29 Jun 1942, kerajaan sementara telah mengeluarkan satu panduan berkaitan rekabentuk bendera kebangsaan bagi memastikan bendera-bendera ini dapat dihasilkan dalam gaya yang sama. Selepas penubuhan Republik Korea pada 15 Ogos 1945, pihak kerajaan merasakan bahawa ia adalah satu keperluan untuk memiliki satu standard khusus dalam penghasilan bendera negara.

Disebabkan inilah pada Januari 1949, Jawatankuasa Pembetulan Bendera Kebangsaan telah ditubuhkan, yang mengumumkan Panduan Penghasilan Bendera Kebangsaan pada 15 Oktober tahun yang sama.

Beberapa undang-undang telah dilaksanakan selepas itu, yang memberikan panduan serta pengurusan sistematik dalam penghasilan bendera, contohnya seperti Akta Bendera Republik Korea yang dilaksanakan pada Januari 2007; Penguatkuasaan Undang-Undang mengenai Bendera Republik Korea, pada bulan Julai 2007; dan Peraturan Mengibarkan, Pengurusan, dan Promosi Bendera Kebangsaan pada bulan September 2009 (dengan arahan daripada Perdana Menteri).

Bendera Korea Selatan dan Korea Utara

Selepas tamatnya era penjajahan Jepun, pihak Soviet Union telah memerintah Korea Utara dengan proksi mereka, iaitu Kim Il-Sung, manakala Amerika Syarikat pula menguasai Korea Selatan dengan Syngman Rhee sebagai proksi mereka. Pada waktu ini, kedua-duanya masih menggunakan bendera taegeuk yang sama. Apabila Republik Korea (Korea Selatan) ditubuhkan pada tahun 1948, bendera taegeuk ini telah menjadi bendera rasminya setahun selepas itu.

Di bahagian utara pula, pihak Soviet mengadakan perbincangan sama ada ingin mengekalkan penggunaan bendera taegeuk ataupun tidak. Kim Tu Bong, iaitu Naib Pengerusi bagi Jawatankuasa Rakyat untuk Pemerintahan Sementara Korea Utara adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengubah bendera bagi negara Korea Utara.

Walaupun pada awalnya, dia memberi penjelasan untuk mengekalkan penggunaan bendera taegeuk, namun begitu, pada Julai 1948, Kim Tu Bong secara peribadinya telah menurunkan bendera taegeuk dan mengibarkan bendera Korea Utara yang baharu.

Sepuluh hari selepas bendera baharu diisytiharkan, Kim Tu Bong telah mengadakan sidang akhbar bagi menerangkan keputusannya, dan pada Ogos 1948, beliau telah menghasilkan sebuah buku bertajuk On the Establishing of the New National Flag and the Abolition of the Flag of the Great Extremes (Taegeuk).

Simbolik di sebalik bendera kebangsaan

Bendera Korea Selatan pada hari ini

Taegeukgi ini terdiri daripada latar belakang putih, bulatan taegeuk merah dan biru di tengahnya, dan empat trigram hitam (disebut geongongamri), satu di setiap sudut/penjuru bendera. Latar belakang putih ini memberi simbolik sesuatu yang cerah, kemurnian dan kedamaian, iaitu nilai utama yang dihargai oleh masyarakat.

Simbol Taegeuk, yang telah lama menjadi motif bagi rakyat Korea menunjukkan keharmonian antara daya kosmik negatif (yin: bahagian biru) dan daya kosmik positif (yang: bahagian merah), yang menggambarkan kebenaran alam bahawa semua benda diciptakan dan berkembang melalui interaksi yin dan yang. Keempat-empat trigram hitam adalah simbolik khusus pergerakan dan keharmonian bagi daya ini.

Secara terperinci, geon () melambangkan langit, gon () mewakili bumi, gam () mewakili air dan ri () pula menunjukkan api. Empat trigram ini mewujudkan keharmonian di sekitar simbol taegeuk. Ringkasnya, bendera Taegeukgi merangkumi visi besar yang ingin dicapai oleh orang Korea seperti mana luasnya alam semesta, iaitu penciptaan dan memperkayakan diri secara berterusan. Dengan menegakkan semangat dan kepentingan Taegeukgi, masyarakat Korea berusaha untuk mewujudkan perpaduan dan penyatuan serta menyumbang kepada kebahagiaan dan kedamaian sesama manusia.

Bendera Korea Utara

Bagi bendera Korea Utara,  simbol utamanya adalah bintang merah, iaitu simbol universal bagi komunis dan sosialisme. Bintang berwarna merah ini juga dikatakan menunjukkan revolusi dalam tradisi dan panel merah pula mewakili semangat patriotik dan keazaman masyarakat Korea. Warna putih melambangkan kesatuan dalam bangsa Korea serta kemurnian budaya. Warna biru pula adalah simbolik kepada keinginan untuk berjuang demi kemerdekaan, keamanan, persahabatan serta kesatuan antarabangsa. Seperti mana yang pernah disebutkan oleh Kim Il Sung mengenai maksud di sebalik elemen dalam bendera ini, iaitu:

“Warna merah pada bendera melambangkan sentimen anti-Jepun, dan merupakan warna darah yang ditumpahkan oleh para pejuang Korea serta kekuatan padu rakyat kita yang bersatu untuk menyokong Republik. Putih melambangkan satu garis keturunan, satu tanah, satu bahasa, satu budaya bagi negara monoetnik kita, yang hidup dalam kesucian. Dan warna biru pula bermaksud wajah orang-orang kita yang gagah berani dan melambangkan semangat rakyat Korea yang memperjuangkan keamanan dan kemajuan dunia.”

Kesimpulan

Walaupun kedua-dua negara kini menggunakan bendera kebangsaan yang berbeza, namun asas mereka dalam menghasilkan bendera ini adalah sama, iaitu bagi menunjukkan semangat perjuangan serta penyatuan dalam kalangan masyarakat Korea.

RUJUKAN:

Kariyasu, N. (2012). The History of Taegeuk Flags. Retrieved from http://internationalcongressesofvexillology-proceedingsandreports.yolasite.com/resources/23rd/Kariyasu-TheHistoryofTaegeukFlags.pdf

Ministry of the Interior of Korea. (2017). National Symbols of the Republic of Korea: Uniting People and Elevating National Pride. Seoul, South Korea.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.