Jepun sememangnya masyhur dengan teknologi pembuatan pedang. Walaupun terdapat banyak jenis pedang yang dihasilkan sepanjang berdirinya sejarah mereka, pedang yang paling dikenali pada hari ini adalah katana. Kepopulariti katana banyak disumbangkan oleh budaya pop yang tidak lekang dari mempromosikan pedang tersebut menerusi karya-karya yang bertemakan samurai.
Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan jenis pedang lain yang pernah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Jepun. Antaranya adalah odachi (kanji 大太刀, ‘pedang besar’) atau turut dikenali sebagai nodachi (kanji野太刀, ‘pedang lapangan’). Pedang jenis odachi dicirikan menerusi bilahnya yang memiliki kelengkungan dan kepanjangan yang berbeza dengan katana. Walaupun kebiasaannya panjang bilah odachi adalah sekitar 90-100cm, terdapat juga sebilangan bilah pedang odachi yang mencecah 2 meter panjang.
Odachi dicatatkan sebagai salah satu senjata pilihan para pahlawan Jepun terutama pada era Nanboku-cho, sekitar hujung kurun ke-14 Masehi. Namun, tempoh penggunaannya tidak berlangsung lama dan antara faktor utama yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah bilahnya yang panjang – satu ciri yang kurang praktikal di medan tempur. Walau bagaimanapun, penggunaannya tidaklah lenyap sama sekali.
Dicatatkan bahawa odachi disandang buat kali terakhir oleh pahlawan Jepun pada tahun 1615, sejurus selepas berlakunya peristiwa Osaka Natsu no Jin (Pengepungan Osaka) di mana Keshogunan Tokugawa menghapuskan puak Toyotomi. Hal ini disebabkan oleh undang-undang keshogunan yang melarang penghasilan pedang melebihi piawai panjang yang telah ditetapkan. Oleh kerana itu, penempa-penempa pedang odachi terpaksa akur dan memendekkan pedang odachi, yang mana hal ini sama sekali menghilangkan ciri simbolik odachi.
Di zaman odachi masih lagi digunakan, ia menjadi senjata pilihan tentera-tentera pejalan kaki. Antara penulisan yang pernah menyebutkan tentang penggunaan odachi ini adalah Heike Monogatari (Hikayat Heike) dan juga Taiheki (Hikayat Keamanan Agung). Berikutan saiznya yang besar, tentera-tentera pejalan kaki yang menggunakan pedang odachi tidak menyandangnya di pinggang, sebaliknya di badan belakang.
Namun, keadaan ini menyukarkan proses menarik keluar pedang sekaligus melambatkan reaksi atau pergerakan mereka. Oleh kerana itu di era Muromachi (abad ke-14 hingga abad ke-16), lazimnya pahlawan yang menggunakan pedang odachi mempunyai seorang pembantu yang membawakan pedang tersebut untuknya.
Berikutan saiznya yang besar itu juga, sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa odachi sebenarnya bukanlah ditempa untuk tujuan pertempuran. Sebaliknya, pedang tersebut lebih cenderung digunakan untuk kefungsian yang bersifat lebih keagamaan, spiritual dan simbolik, di samping untuk memanifestasikan kemahiran si tukang tempa dan juga tanda kekayaan si tukang taja. Hal ini kerana penghasilan pedang odachi agak sukar berbanding pedang-pedang lain, dan kos penghasilannya pula amat mahal. Justeru, tidak hairanlah sekiranya kefungsian odachi lebih cenderung dihalakan sebagai alat kebesaran.
Di medan tempur, odachi bukan sahaja digunakan sebagai senjata. Dalam beberapa keadaan, ia turut digunakan sebagai panji pasukan, sama seperti fungsi bendera yang berupaya menaikkan semangat sesebuah pasukan tentera. Di sudut keagamaan dan spiritual pula, odachi lazim digunakan sebagai alat kebesaran semasa berlangsungnya sesebuah upacara, terutama di zaman Edo. Malah, ia turut dipersembahkan kepada para dewa di kuil-kuil Shinto.
Antara pedang odachi yang paling masyhur adalah Norimitsu Odachi. Pedang ini agak menonjol kerana saiznya yang teramat besar – 3.77 meter panjang dan beratnya pula mencecah 14.5kg. Berikutan saiznya yang sedemikian rupa, terdapat mitos dan legenda purba Jepun yang menyebutkan bahawa Norimitsu Odachi pernah disandang oleh seorang pahlawan gergasi.
Dakwaan tersebut mungkin hanya sekadar mitos, akan tetapi Norimitsu Odachi adalah realiti. “Ini bukan cubaan. Ini betul-betul,” bak kata Pendekar Mustar. Pedang yang ditempa pada kurun ke-15 Masehi itu boleh disaksikan pada hari ini di Kuil Kibitsu, Wilayah Okayama, Jepun.
RUJUKAN
Wu Mingren. (18
Mac 2019). Norimitsu Odachi: Who Could Have Possibly Wielded This Enormous 15th
Century Japanese Sword? Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/norimitsu-odachi-who-could-have-possibly-wielded-enormous-15th-century-021428
Conny Waters.
(22 Mac 2019). The Norimitsu Odachi – Giant Japanese Sword Remains An Enigma.
Ancient Pages.
http://www.ancientpages.com/2019/03/22/the-norimitsu-odachi-giant-japanese-sword-remains-an-enigma/
The Norimitsu
Odachi: Did Giants Wield This Legendary Samurai Sword?
https://www.wowamazing.com/trending/rare/norimitsu-odachi-giants-samurai/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih