Jumaat, 9 Oktober 20269 Okt 2026
Kronikel Dunia

Beli Pasu Berharga £1, Ternyata Ia Bernilai £80 000

Suatu hari, seorang lelaki berkunjung ke sebuah kedai kebajikan yang terletak di Hertfordshire, England. Lelaki yang namanya enggan didedahkan itu sememangnya merupakan seorang yang mempunyai minat terhadap barang-barang seni. Dalam kesempatan itu, beliau membeli sebuah pasu berwarna kuning yang berbentuk seperti buah pear.

Pasu ini sememangnya unik dan cantik – dihiasi kaligrafi Cina dan warna kuning sebagai warna utama benar-benar menghadirkan aura ala-ala kerabat diraja Cina; dekorasi bunganya pula halus terperinci; dan ciri reka bentuknya agak menarik terutama pada bahagian belakangnya yang didapati rata, tidak melengkung sepenuhnya seperti kebanyakan pasu lain.

Mungkin
disebabkan oleh faktor-faktor itu, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk
membeli pasu berkenaan. Sebut harga yang diberikan oleh kedai itu adalah £1 atau RM5.16. Setelah beberapa
tempoh masa berlalu, lelaki tersebut meletakkan pasu yang dibelinya itu ke
dalam senarai jualan di laman eBay.

Tanpa
disangka-sangka, tawaran demi tawaran untuk mendapatkan pasu itu menderu masuk.
Hal ini menghairankan lelaki tersebut. Justeru, beliau mengeluarkan semula pasu
itu dari senarai jualan di eBay lalu membawanya ke Sworders Fine Art
Auctioneers
di Stansted Mountfitchet, Essex untuk dijalankan penelitian.

Hasil penelitian
benar-benar mengejutkan rumah bidaan tersebut. Perasaan lelaki itu pula tak
usah dicakap, kagetnya bukan kepalang. Boleh digambarkan juga betapa besarnya
mulutnya terlopong apabila diberitahukan status dan harga sebenar pasu
berkenaan.

Menurut Yexue
Li, ketua jabatan barangan seni Asia di rumah bidaan Sworders pasu yang
berukuran lapan inci itu adalah relik berusia 300 tahun milik Maharaja Qianlong
dari Dinasti Qing. Hal tersebut dapat dilihat dan dibuktikan dengan jelas
menerusi ciri-ciri yang ada pada pasu berkenaan.

Pertama sekali,
dekorasi bunga yang menghiasi pasu tersebut merupakan tanda keluarga diraja.
Dekorasi itu juga menandakan bahawa pasu ini bukan dihasilkan untuk tujuan
jualan ataupun eksport, sebaliknya khusus untuk menjadi perhiasan di istana
maharaja. Di samping itu, warna utamanya iaitu kuning mengukuhkan lagi bahawa
ia merupakan relik milik Maharaja Cina.

Tidak cukup
dengan itu, pada pasu itu juga terdapat tulisan syair diraja yang dikenali
sebagai ‘kemenyan pujian’. Di samping itu, ada pula dua tanda mohor besi-merah
yang berbunyi ‘Qianlong chen han’ atau ‘Tanda Peribadi Maharaja
Qianlong’ yang juga boleh dibaca sebagai ‘Weijing weiyi’ yang bermaksud
‘yang tepat dan yang tidak goyah’. Menjelaskan tentang bentuk rata pada
bahagian belakang pasu itu, Yexue Li memberitahu bahawa ia bertujuan untuk
membolehkan pasu tersebut digantung pada dinding.

Setelah proses
penelitian dilakukan, rumah bidaan Sworders memaklumkan bahawa nilai
sebenar relik yang berusia 300 tahun itu mencecah £50 000 hingga £80 000 atau RM 258 115 hingga RM 412 984. Angka itu juga boleh
meningkat jauh lebih banyak berbanding yang dinyatakan. Justeru, relik
berkenaan diserahkan kepada rumah bidaan tersebut untuk dilelong pada acara
jualan akan datang, yang dijangka berlangsung pada tanggal 8 November ini.

Pandangan jarak dekat. Bahagian belakang pasu ini berbentuk rata untuk membolehkannya digantung pada dinding

Keadaan sebegini
mengingatkan kepada kejadian serupa yang berlaku pada tahun lalu, juga
melibatkan sebuah pasu dari Cina. Sebelum dilelong pada Julai 2018, sebut harga
bagi pasu tersebut adalah sekitar $590 000 – $825 000. Namun, rumah bidaan
Sotheby dikejutkan apabila harga tersebut mencecah 20 kali ganda berbanding
nilai asal, dan berjaya mengutip $19 juta!

Jika situasi
yang sama berlaku pada bidaan relik tahun ini di mana pembida memberikan harga
bidaan sebanyak 20 kali ganda berbanding sebut harga yang diberikan oleh rumah
bidaan, maka secara matematiknya pasu yang pada asalnya didapatkan dengan harga
£1 ini boleh mencapai harga bidaan
sehingga £1.6 juta atau RM 8 259 688!

Berbicara
tentang situasi sedemikian, Ashley Cowie daripada Ancient Origins menyelitkan
pada artikelnya dengan tulisan berunsur humor ini: “Dan akhir sekali, mari kita
bertafakur sejenak untuk mengenangkan nasib pekerja di kedai kebajikan yang
menjual pasu berkenaan kepada lelaki tidak dikenali itu dengan harga £1. Sudah tentu setelah pasu Maharaja
Qianlong ini mendapat liputan yang meluas, pekerja tersebut termangu sendirian
di kamarnya sambil memeluk tubuh, mengenangkan betapa kejamnya kehidupan ini.”

Sebelum
mengakhiri perkongsian kali ini, mari kita menyingkap sedikit pengetahuan
sejarah berkenaan Maharaja Qianlong. Beliau merupakan maharaja keenam dinasti
Qin yang lahir pada tahun 1711 dan mangkat pada tahun 1799M. Tempoh pemerintahannya
berlangsung selama 63 tahun, bermula dari tahun 1733M sehingga 1796M, antara
yang paling lama dalam kalangan maharaja-maharaja Cina yang lain. Sebelum
mangkat pada usia 88 tahun, Maharaja Qianlong sempat menyerahkan takhta kepada
puteranya yang memakai gelaran Maharaja Jiaqing.

Beliau yang
hidup sezaman dengan George Washington (1732-1799) merupakan salah seorang
maharaja Cina yang paling kaya. Bahkan dicatatkan bahawa makam maharaja Qing
yang paling besar adalah kepunyaan beliau. Makamnya sahaja berkeluasan setengah
kilometer persegi dan dihiasi dengan begitu banyak perhiasan dan patung.
Dicatatkan bahawa pembinaan makam  ini
telah pun dimulakan sejak beliau berusia 30 tahun dan dianggarkan sehingga 90
tan perak dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Beliau juga
dianggap sebagai maharaja hebat yang terakhir dalam sejarah Cina, lebih-lebih
lagi dengan kemahirannya dalam hal ketenteraan di samping kecintaannya terhadap
kesenian. Antara ucapannya yang paling masyhur adalah, “Pasukan tentera boleh dibiarkan
tanpa tugas selama seratus tahun, akan tetapi ia sama sekali tidak boleh
dibiarkan tidak bersiaga walau untuk sehari.”

Maharaja Qianlong

RUJUKAN

Ashley Cowie.
(31 Ogos 2019). Man Buys Vase for £1,
Finds Out it is £80,000 Treasure Belonging to Chinese Emperor. Ancient Origins.

https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/chinese-vase-0012515

Chris Ciaccia.
(3 September 2019). Chinese vase bought for $1 could be worth $100G. Fox News.

https://www.foxnews.com/science/chinese-vase-could-be-worth-100g

Facts and
Details. (November 2016). Qianlong Emperor.

http://factsanddetails.com/china/cat2/sub4/entry-5502.html

Ross Ibbetson.
(31 Ogos 2019). Chinese vase sold for just £1 in a charity shop is revealed to be a rare £80,000
treasure that was made for 18th century Emperor Qianlong.
Dailymail.co.uk.

https://www.dailymail.co.uk/news/article-7413773/Chinese-vase-sold-just-1-charity-shop-revealed-rare-80-000-Emperors-treasure.html

Tim Green. (31
Ogos 2019). Vase bought for £1
belonged to 18th century Chinese emperor. Metro.co.uk.

https://metro.co.uk/2019/08/31/vase-bought-for-1-belonged-to-18th-century-chinese-emperor-10662406/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet