Pulau Easter atau juga lebih dikenali sebagai Rapa Nui adalah sebuah pulau terpencil di Selatan Lautan Pasifik. Pada tahun 1888 Chile telah mengilhak pulau tersebut kemudiannya memberi hak kerakyatan Chile kepada penduduk pulau Easter pada 1996. Dari segi linguistik, orang Rapa Nui adalah penutur bahasa keluarga Austronesia. Bermakna dari segi bahasa mereka serumpun dengan diaspora penutur bahasa Austronesia dari Madagascar di Timur Afrika sehingga di benua kepulauan Oceania.

Pulau Easter disifatkan sebagai ‘Archeology of Disneyland’, pulau ini di-imaginasikan sebagai taman tema popular itu kerana penemuan 887 patung monolitik gergasi bernama Moai yang telah membingungkan ramai sarjana sejak pertama kali ia ditemui oleh penjelajah Eropah.

Malah misteri yang mengelilingi Pulau Easter dengan budaya uniknya telah menarik minat ramai saintis, ahli arkeologi dan pelancong untuk melawat ke pulau tersebut.

Keunikan seni bina gergasi dan monumental Taman Negara Rapa Nui, yang meliputi lebih 40% pulau itu telah dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1994.

Disebalik keindahan Pulau Easter dengan pelbagai warisan dan budaya, faktor geografi dan keluasan pulau itu merumitkan manusia biasa untuk menjalani kehidupan kerana pulaunya kecil dan terpencil jauh dari ketamadunan manusia di benua daratan.  ia cuma meliputi kawasan seluas hanya 163.6 km2, Pulau Easter terletak di Lautan Pasifik yang luas 3,512 km dari pantai Amerika Selatan dan 1,900 km  dari Pulau Pitcairn.

Apabila penjelajah menemui patung Moai gergasi, yang merupakan penemuan menakjubkan, ia membawa kepada persoalan tentang macam mana dan mengapa ia dicipta.

Patung Moai Gergasi Pulau Easter

Ahli arkeologi Jo Anne Van Tilburg mengkaji patung gergasi Moai  selama bertahun-tahun pada kesemua 887 patung batu monolitik yang ditemui di pulau itu. Daripada jumlah ini 32% (288 patung) telah dipindah ke lokasi Ahu Tongariki yang merupakan tapak di mana ia didirikan. 397 ditemui di kawasan kuari gunung berapi Rano Raraku, manakala 92 ditemui di antara keduanya, seolah-olah mereka hentikan operasi pemindahan semasa dalam perjalanan.

Ahu Tongariki Di Mana Kebanyakan Patung Moai Ditempatkan

Agak sukar untuk melebih-lebihkan spekulasi peninggalan yang membingungkan, patung-patung gergasi ini yang berbeza ketinggian antara 1.13 m (3.7 kaki) hingga 21.6 meter (71.93 kaki). Patung Moai ini dikenali sebagai El Gigante ditemui di Kuari Rano Raraku dan dianggarkan seberat 145 hingga 165 tan metrik (160 hingga 182 tan).

Sementara itu, patung Moai terbesar dikenali sebagai Paro berketinggian 9.9 meter (32.63 kaki). Dengan anggaran berat kira-kira 74.39 tan metrik (82 tan), dapat difahami bahawa begitu banyak persoalan misteri  yang cuba difikirkan ramai orang termasuk sarjana tentang bagaimana orang Rapa Nui memindahkan patung-patung seberat ini dari kuari ke destinasi terakhir mereka di sekitar pulau itu. Sedangkan masa tu pengangkutan logistik moden masih belum wujud untuk memindahkan batu seberat bertan-tan apatah lagi mengangkatnya.  Kebanyakan kepala dan badan patung Moai menghadap jauh dari arah lautan, seolah-olah mereka sedang mengawasi penduduk asal Rapa Nui.

Patung-patung Moai itu sendiri adalah diukir mengikut wajah manusia dan badan mereka diperbuat daripada batu gunung berapi, ukiran besar dengan struktur seakan-akan topi Pukao diperbuat daripada batu scoria merah. Kebanyakan Moai Pulau Easter dibuat daripada batu-batu gunung berapi yang besar dan mudah diukir dan diperolehi dari kuari Rano Raraku.

Rano Raraku hari ini sebagai salah satu destinasi yang menarik terutamanya disebabkan oleh banyak patung yang ditinggalkan memberikan petunjuk yang sangat diperlukan tentang bagaimana patung-patung itu dibuat. Bukti ini adalah bantahan bagi mereka yang percaya bahawa bahagian kepala Moai dicipta oleh makhluk asing!

Ekskavasi Moai Membawa Kepada Penemuan Bahagian Badan

Siapa Mencipta Patung Moai Dan Apa Tujuan Ia Diciptakan?

Persoalan yang jelas ialah siapa yang membina patung-patung besar di pulau terpencil ini dan mengapa ia diletakkan di sana? Kebanyakan ahli arkeologi percaya Pulau Easter telah didiami oleh orang Polinesia antara 300 dan 1200 Masihi, dengan kajian yang lebih terkini memihak kepada tarikh itu.

Sejarah lisan Rapa Nui mendakwa pulau itu mula-mula didiami oleh gelombang pertama ekspedisi orang Polinesia yang diketuai oleh Hotu Matu ‘a, yang berasal dari Marae Renga. Sementara itu, analisis DNA menunjukkan bahawa peneroka pertama memang berasal dari Polinesia, walaupun terdapat perdebatan akademik mengenai perkara ini. Namun begitu, sesetengah pakar berpendapat bahawa penjelajah awal mungkin tiba dari Amerika Selatan kerana bukti pertanian ubi keledek di pulau itu yang merupakan tanaman ruji di Polinesia.

Moai Dengan Ukiran Struktur Topi Pukao

Patung Moai Pulau Easter dipercayai mewakili nenek moyang yang dituhankan. Hampir serupa dengan kepercayaan Animisme yang di pegang oleh majoriti seluruh bangsa Austronesia. Kebanyakan sarjana mengesyaki bahawa Moai dicipta untuk menghormati nenek moyang, ketua atau tokoh penting lain. Bagaimanapun tiada sejarah bertulis dan sedikit lisan wujud di pulau itu, jadi mustahil untuk dipastikan.

Pada tahun 2012, dunia alam maya tiba-tiba ‘meletup’ dengan dakwaan bahawa kepala patung di Pulau Easter  mempunyai badan, Selama ini umum hanya mengetahui imej patung tersebut hanya mempunyai kepala sahaja. Namun patung-patung itu sebenarnya mempunyai badan tertimbus jauh ke dalam bawah tanah dengan ukiran petroglif purba yang aneh.

Walaupun pelancong sering percaya bahawa terdapat hanya patung kepala di pulau itu, ahli arkeologi mengetahui bahawa terdapat rangka mayat tersembunyi di bawah tanah sejak penggalian bermula pada 1914, jelas Jo Anne Van Tilburg dalam LiveScience. Pada tahun 2010, EISP memulakan penggalian untuk mendokumentasikan ukiran kompleks pada badan Moai yang telah dilindungi daripada luluh hawa atau proses pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan kerana berada di bawah tanah.

Penggalian ini mendedahkan maklumat yang tidak ternilai tentang bagaimana patung-patung itu dipindahkan ke lokasi semasa mereka. Ini adalah aspek yang telah memeningkan ramai pakar selama beberapa dekad, dengan pelbagai teori kejuruteraan diperagakan termasuk penggunaan kereta luncur, tali, gerakan goyang, penggelek kayu, dan juga teori melibatkan makhluk asing!

Lukisan Oleh William Hodges Tahun 1775 – 1776 Menunjukkan Monumen Di Pulau Easter

Menjelang 1877 terdapat hanya 111 orang penduduk Rapa Nui yang tinggal di Pulau Easter dan pada tahun 1888 Chile telah mengilhakkan pulau itu. Sebahagian besar tanah telah diswastakan untuk penternakan biri-biri, sementara yang lain ia diuruskan oleh Tentera Laut Chile.

Namun begitu, sejak 2010 orang asli Rapa Nui telah memulakan usaha yang diselaraskan untuk memperjuangkan hak mereka. Berdasarkan dakwaan bahawa tanah mereka diambil secara haram, mereka menuntut Chile mengiktiraf perjanjian wasiat yang ditandatangani pada 1888 untuk menerima hak mereka dalam pemilikan kolektif tanah itu.

Tahun 2017 menyaksikan langkah pertama yang penting untuk orang Rapa Nui kerana mereka akhirnya diberi pengurusan Taman Negara Rapa Nui. Mereka juga telah berusaha untuk memastikan menuntut penghantaran semula patung Moai, seperti patung Moai Basalt yang dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada tahun 1869 di mana ia diletakkan di Muzium British.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

“A bookstore is one of the only pieces of evidence we have that people are still thinking.” — Jerry Seinfeld

Leave A Reply