Shambhala, perkataan Sanskrit yang membawa maksud ‘tempat aman’ atau ‘tempat sunyi’ merupakan sebuah syurga mitos yang disebutkan di dalam teks-teks purba, termasuklah Kalachakra Tantra dan lembaran-lembaran purba budaya Zhang Zhung usianya melangkaui ajaran Buddhisme Tibet di bahagian barat Tibet.
Menurut legenda, Shambhala merupakan wilayah di mana hanya insan-insan yang berhati suci sahaja boleh hidup di dalamnya. Di sana, cinta dan hikmah memenuhi segala inci kehidupan dan penghuninya pula kebal daripada sebarang bentuk penderitaan, nafsu mahupun penuaan.
Shambhala disebutkan sebagai wilayah yang memiliki seribu nama. Kadangkala ia dipanggil sebagai Tanah Larangan, Tanah Air Putih, Tanah Roh-Roh Yang Bersinar, Tanah Api Yang Hidup, Tanah Para Dewa dan Tanah Keajaiban.
Penganut Hindu memanggilnya sebagai Aryavartha (Tanah Mereka Yang Layak Mendudukinya); masyarakat Cina mengenalinya sebagai Hsi Tien, bermaksud Syurga Barat bagi Hsi Wang Mu; manakala penganut kepercayaan lama Russia pula menyebut Shambhala sebagai Belovoyde. Di seluruh Asia, wilayah ini paling masyhur dengan nama Sanskrit-nya, iaitu Shambhala, Shamballa atau Shangri-la.
Legenda Shambhala dikatakan berusia ribuan tahun, dan sebutan berkenaan wilayah mitos ini boleh ditemui di dalam pelbagai teks purba. Lembaran-lembaran Bon ada berbicara tentang wilayah yang berkait rapat (dengan Shambhala) yang bernama Olmolungring. Teks-teks Hindu seperti Vishnu Purana menyebutkan Shambhala sebagai tempat lahir Kalki, kelahiran semula terakhir Vishnu yang akan muncul di Zaman Emas baru. Mitos Shambhala bagi penganut agama Buddha merupakan adaptasi daripada mitos Hindu yang lahir lebih awal. Teks yang membincangkan Shambhala secara mendalam adalah Kalachakra.
Kalachakra merujuk kepada suatu ajaran dan amalan kompleks dan esoterik dalam Buddhisme-Tibet. Shakyamuni Buddha disebutkan pernah mengajarkan Kalachakra di atas permintaan Raja Suchandra dari Shambhala.
Sama seperti banyak konsep yang ada di dalam Kalachakra, idea tentang Shambhala dikatakan mempunyai maksud-maksud yang bersifat dalaman, luaran dan alternatif. Maksud luaran mentafsirkan Shambhala sebagai sebuah wilayah yang wujud di sebuah tempat fizikal, walaupun ia hanya boleh dimasuki dan dialami oleh individu yang memiliki karma yang sesuai.
Maksud dalaman dan alternatif bagi Shambhala pula merujuk kepada pemahaman yang lebih halus, berkisar tentang simbolisasi Shambhala pada tubuh dan minda seseorang serta semasa pengamalan meditasi. Dua jenis peneranan yang bersifat simbolik ini secara umumnya diwariskan secara lisan oleh seorang guru kepad murid.
Sebagaimana yang dinotakan oleh Dalai Lama ke-14 semasa permulaan Kalachakra 1985 di Bodhgaya, Shambhala bukanlah sebuah negara atau wilayah biasa:
“Walaupun mereka yang memiliki penggabungan (dalaman) yang istimewa boleh sampai ke sana (Shambhala) menerusi hubungan karma yang mereka punyai, ia (Shambhala) bukanlah sebuah tempat fizikal yang boleh kita jumpai.
Kita hanya boleh katakan bahawa ia merupakan sebuah wilayah suci, wilayah suci yang wujud dalam alam manusia. Melainkan seseorang itu mempunyai merit dan perkaitan karma yang hakiki, dia sama sekali tidak akan berupaya untuk sampai ke sana.”
RAMALAN SHAMBHALA
Konsep kewujudan Shambhala memainkan peranan penting dalam ajaran-ajaran agama di Tibet, dan ia mempunyai kaitan khusus dalam mitologi Tibet berkenaan masa depan. Kalachakra meramalkan keruduman (sahsiah) manusia secara bertahap berikutan penyebaran idealogi materialistik di muka bumi ini.
Apabila ‘kaum gasar’ yang mengikuti idealogi ini bersatu di bawah kepimpinan seorang raja jahat dan apabila mereka merasakan sudah tiada apa lagi untuk dikuasai, maka kabus akan diangkat lantas mendedahkan gunung-ganang Shambhala yang bersalji.
Kaum gasar ini kemudiannya akan menyerang Shambhala dengan sepasukan tentera yang dilengkapi dengan senjata-senjata yang menggerunkan. Kemudian, raja Shambhala pula akan muncul bersama sepasukan besar tentera untuk mengalahkan ‘kekuatan hitam’ itu dan muncul pada Zaman Emas yang meliputi dunia.
Walaupun Kalachakra meramalkan tentang sebuah pep3rangan yang bakal meletus di masa depan, hal ini ternyata berkonflik dengan ajaran-ajaran Buddha sendiri yang melarang sebarang bentuk keganasan.
Hal ini mendorong sebahagian ahli teologi untuk menafsirkan pep3rangan tersebut dengan pemahaman yang bersifat simbolik – iaitu Kalachakra tidaklah menganjurkan keganasan dalam bentuk memerangi individu.
Sebaliknya, ia merujuk kepada pertempuran dalaman yang dialami oleh pengamal agama dalam rangka memerangi kecenderungan kesyaitanan yang wujud dalam dirinya.
LOKASI RAHSIA SHAMBHALA
Merentas kurun, sejumlah pengembara dan penuntut hikmah rohani telah melakukan ekspedisi pencarian syurga mitos Shambhala ini. Walaupun ramai yang mendakwa berjaya tiba di sana, tiada seorang pun yang mampu memberikan sebarang bukti tentang kewujudannya, atau paling tidak, menunjukkan lokasi fizikalnya di peta dunia. Namun, banyak sebutan perihal Shambhala menudingkan lokasinya di wilayah pergunungan Eurasia.
Teks-teks purba Zhang Zhung menyebutkan bahawa Shambhala terletak di Lembah Sutlej di Punjab atau Himachal Pradesh di India. Masyarakat Monggolia pula meyakini bahawa Shambhala terletak di lembah-lembah tertentu di Siberia selatan. Dalam kisah rakyat Altai, Gunung Belukha dipercayai sebagai gerbang ke Shambhala.
Ilmuwan-ilmuwan Buddhisme moden menyimpulkan bahawa Shambhala terletak di puncak Himalaya, tepatnya di Pergunungan Dhauladhar moden, sekitar Mcleodgani. Sebahagian legenda menyebutkan bahawa gerbang ke Shambhala tersembunyi di sebuah biara terpencil dan terbiar di Tibet. Ia kononnya dikawal oleh makhluk-makhluk yang dikenali sebagai Pengawal Shambhala.
Walaupun ramai yang tidak begitu peduli tentang Shambhala lantaran menganggapnya sebagai khayalan atau dongengan mitos dan legenda, bagi sebahagian masyarakat, kepercayaan terhadap Shambhala berupaya melahirkan suatu keinginan atau gejolak dalaman yang mengharapkan agar pada suatu hari nanti, kerajaan ini dapat ditemui.Bagi sebilangan pihak, faktor yang membuatkan Shambhala tidak dapat ditemui adalah disebabkan oleh suatu penerangan yang sangat ringkas – iaitu mereka meyakini bahawa Shambhala terletak di hujung dunia realiti, berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan antara dunia realiti dan dunia yang melangkauinya.
TERJEMAHAN:
April Holloway. (5 April 2014). Mysteries of the Kingdom of Shambala. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysteries-kingdom-shambhala-001529
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih