Jika anda
penghidap arthritis, semestinya anda telah dinasihatkan untuk mengambil
suntikan steroid. Dari ubat sapuan ekzema, pengambilan tablet untuk alahan,
mahupun ubat sedut untuk pesakit asma, penggunaan steroid untuk merawat
pelbagai jenis penyakit samada akut mahupun kronik sememangnya perkara biasa. Hampir
semua manusia pernah menggunakan ubat steroid sekurang-kurangnya sekali seumur
hidup. Namun, sejauh manakah penggunaan steroid ini membawa lebih manfaat
daripada bahaya? Apakah peranan steroid serta komponen utamanya?
Sejarah penggunaan steroid boleh dikesan seawal 1930-an di mana ekstrak tisu adrenokortikal seekor haiwan digunakan untuk merawat kegagalan kalenjar adrenal manusia. Steroid akhirnya digunakan buat pertama kali untuk merawat pesakit arthritis selepas melakukan ujian dan kajian selama lebih dari sedekad. Setelah mendapat hasil yang memberangsangkan, ubat steroid kemudiannya dipreskripsikan kepada pesakit-pesakit arthritis yang lain.
Formulasi ubat oral dan intra-artikular (sendi) yang pertama telahpun digunakan pada tahun 1950. Hari ini, steroid boleh diambil dengan pelbagai cara; samada krim, salap, oral mahupun suntikan. Sejak zaman 1960-an, protokol pemberhentian mula diformulasi kerana pelbagai jenis kesan toksik serta kesan pemberhentian sudah dikenalpasti.
Perkataan
steroid mempunyai beberapa makna, salah satunya merupakan bahan kimia, lazimnya
hormon, yang dihasilkan oleh badan manusia secara semulajadi. Ianya membantu
organ, tisu serta sel-sel badan berfungsi dengan baik. Segala proses tumbesaran
mahupun pembiakan manusia memerlukan steroid dalam kuantiti yang tertentu.
Steroid boleh juga merujuk kepada ubat-ubatan yang dihasilkan di dalam makmal.
Dua kumpulan utama steroid ialah steroid anabolik dan katabolik
(kortikosteroid).
Steroid katabolik, atau lebih dikenali sebagai kortikosteroid merupakan ubat-ubatan yang meredakan keradangan di dalam badan dan pada permukaan kulit. Ianya berfungsi sama seperti hormon kortisol yang kelenjar adrenal manusia hasilkan. Fungsi hormon ini adalah untuk menyekat sistem imun daripada menghasilkan bahan-bahan kimia yang mengakibatkan keradangan.
Ubat-ubatan kortikosteroid seperti prednisone bertindak dengan cara yang sama iaitu mengurangkan keradangan dengan memperlahankan atau menghentikan proses-proses sistem imun badan. Selain ekzema, alahan, dan penyakit arthritis, kortikosteroid juga digunakan dalam rawatan untuk asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Steroid
anabolik pula merupakan hormon testosteron buatan manusia. Hormon ini membantu
membina tisu otot supaya ia lebih besar. Doktor boleh mempriskripsikan ubat ini
dan kemudian memberikannya dalam bentuk pil ataupun suntikan ke dalam otot jika
badan pesakit tidak menghasilkan testosteron dengan cukup. Contohnya, untuk
remaja lelaki yang lambat baligh. Steroid anabolik juga boleh digunakan oleh
pesakit yang kekurangan sel otot disebabkan penyakit-penyakit tertentu seperti
kanser, AIDS dan lain-lain.
Antara steroid
anabolik dan kortikosteroid, yang manakah lebih biasa digunakan oleh masyarakat
umum? Semestinya kortikosteroid. Oleh yang demikian, bahagian seterusnya dalam
artikel ini memfokuskan tentang akibat penggunaan kortikosteroid untuk jangka
masa panjang dan pendek.
Sejauh
mana kesan sampingan kortikosteroid bergantung kepada dos serta durasi
pengambilannya. Antara kesan jangka masa pendek termasuklah peningkatan berat
badan, muka yang sembab, rasa mual, perubahan emosi, dan kesukaran untuk tidur.
Bahkan, pesakit juga berisiko mendapat kulit yang menipis, jerawat, kadar
pertumbuhan rambut yang tidak normal, peningkatan tahap gula dalam darah serta
tekanan darah tinggi. Di samping itu, ia juga akan memberi kesan jangka masa
panjang yang lebih dahsyat seperti osteoporosis, iaitu tulang rapuh, tumbesaran
yang terbantut di kalangan kanak-kanak, dan penyakit merbahaya iaitu kekurangan
adrenal teruk atau lebih dikenali sebagai Addison’s disease, di mana tubuh
tidak mampu memberikan respon kepada stres seperti pembedahan mahupun penyakit.
Kesan sampingan yang lain termasuklah lemah otot, penyakit-penyakit berkaitan
dengan mata (termasuk katarak) dan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap
diabetes.
Risiko Tinggi Dengan Pengambilan Jangka Masa Pendek
Berdasarkan sebuah kajian yang diterbit di dalam The BMJ pada tahun 2017 mendedahkan kesan yang merisaukan. Di dalam kajian ini, data dari lebih 1.5 juta orang yang sudah mendaftar dengan insurans kesihatan seluruh negara telahpun dianalisa.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa sebahagian pesakit mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat darah beku dan sepsis; semuanya berlaku setelah mereka mengambil steroid dalam dos yang tinggi untuk jangka masa pendek. Dos ini kemudiannya dikurangkan secara berperingkat demi merawat pelbagai penyakit seperti sakit belakang, alahan dan jangkitan kuman di paru-paru. Keadaan ini berterusan selama 90 hari selepas penggunaan steroid tersebut diberhentikan.
Satu Suntikan Steroid Boleh Mengakibatkan Kehilangan Tulang Yang Banyak
Dalam sebuah artikel The Atlantic bertarikh Oktober 2019, Dr. James Hamblin menceritakan tentang kisah tragis seorang wanita yang masih muda, di mana wanita tersebut mengadu kesakitan pinggul selepas bersalin. Hasil X-ray menunjukkan bahawa terdapat sedikit cecair di dalam sendinya yang disyaki disebabkan oleh keradangan. Dia kemudiannya diberikan suntikan steroid untuk menghilangkan rasa sakit tersebut.
Enam bulan kemudian, wanita tersebut kembali mendapatkan rawatan susulan dengan doktor yang sama, cuma kali ini dia tidak lagi mampu berjalan. Setelah diperiksa, bahagian kepala tulang femurnya didapati sudahpun hilang, maka wanita itu terpaksa menjalani pembedahan untuk mengganti tulang pinggul. Doktor wanita tersebut, Dr. Ali Guerrmazi dari Boston Medical Center, bingung dengan fenomena tersebut dan seterusnya mengesyaki bahawa ia berlaku kerana suntikan steroid yang diberikan.
Suntikan Steroid Boleh Menyebabkan Keadaan Sendi Semakin Teruk
Baru-baru ini, Guermazi serta rakan-rakan sekerjanya menerbitkan sebuah kajian. Kajian tersebut adalah berkenaan hasil yang dinilai daripada 459 orang pesakit Osteoarthritis (OA); dia mana kesakitan mereka terletak sama ada di bahagian pinggul ataupun lutut. Kesemua pesakit ini mendapatkan rawatan menggunakan ubat steroid melalui kaedah suntikan intra-artikular.
Berdasarkan pemerhatian, 8% peratus daripada kes-kes tersebut menunjukkan bahawa suntikan steroid menyebabkan keadaan sendi mereka bertambah teruk. Tulang pinggul juga berisiko lebih tinggi untuk rosak berbanding lutut. Selain itu, 6% daripada jumlah kes menunjukkan bahawa penyakit OA tersebut bertambah teruk, dan dengan kadar yang pantas. Selain itu, mereka juga memetik kajian lain yang menunjukkan bahawa suntikan steroid intra-artikular mengakibatkan kehilangan tulang rawan sebanyak dua kali ganda berbanding placebo setelah rawatan susulan selama dua tahun.
Justeru,
daripada kesemua kes terbabit, kita dapat simpulkan bahawa tujuan pengambilan
steroid sebenarnya untuk mengurangkan keradangan dan seterusnya simptom-simptom
penyakit ataupun kecederaan. Steroid mungkin bukanlah satu-satunya pilihan yang
wujud, namun untuk sesetengah kes atau senario, ianya merupakan pilihan yang
paling ekonomikal dan mempunyai keberkesanan jangka masa pendek. Selain itu,
penggunaan steroid, seperti ubat-ubatan yang lain, memerlukan pertimbangan yang
teliti oleh para professional dalam bidang perubatan bagi memastikan pencapaian
keseimbangan antara manfaat dan risiko dalam rawatan.
RUJUKAN
1.
Mercola, J. (2019, November
6). Why Steroids Are Best Avoided. Retrieved November 13, 2019, from
https://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2019/11/06/side-effects-of-steroids.aspx.
2.
Bulk Up Your Steroid Smarts.
(n.d.). Retrieved November 13, 2019, from
https://www.webmd.com/a-to-z-guides/ss/slideshow-steroids-101.




No comments yet