Terdapat mitos yang berterusan di kalangan sarjana barat dan dalam masyarakat Islam bahawa salah satu punca yang menyebabkan kemunduran tamadun Islam pada era Empayar Uthmaniyah adalah rasa takut yang melampau terhadap kemunculan teknologi terbaru ketika itu: mesin cetak.

Mesin cetak dianggap sebagai simbol keinginan manusia yang berlebihan terhadap ilmu. Dianggap sebagai ciptaan syaitan yang boleh membawa umat Islam menjauhi nilai moral keagamaan yang telah ditetapkan.

Tiada personaliti dalam mesin cetak. Ilmu pengetahuan disalin oleh objek tidak bernyawa yang tidak lagi menyerap wahyu ketuhanan semasa proses pembuatan. Dan lebih teruk lagi, mesin cetak dicipta oleh orang kafir, yang secara tak langsung mengancam akidah umat.

Dalam ketakutan dan kecurigaan sedemikian, satu titah telah dikeluarkan: mesin cetak adalah objek yang dilarang, dan sesiapa yang menggunakannya secara rahsia boleh dihukum ma.ti.

 “…Sultan Bayezid II tidak lama kemudian mengharamkan semua percetakan dan perintah itu telah diteruskan oleh Sultan Selim I pada 1515 — jenayah itu boleh dihukum ma.ti,” kata Caroline Finkel dalam Osman’s Dream: The Story of the Ottoman Empire (2005).

Teori radikal sedemikian, malangnya, tidak ada bukti kukuh. Ahli sejarah bergantung pada hujah mereka yang hampir tiada sumber primer. Salinan titah yang melarang mesin cetak yang dikeluarkan oleh Sultan Bayezid II dan Sultan Selim I tak pernah ditemui.

Kepercayaan ini, walau bagaimanapun, amat dalam tertanam dalam fikiran kebanyakan intelektual dan diterima secara meluas sebagai kebenaran umum.

Percetakan akhbar Showl, Beersheba, 1917

Penyelewengan

Dari segi sejarah, Uthmaniyah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghentikan penyelewengan teks agama. Kritikan Eropah terhadap Islam selalunya bersifat menghi.na, merendahkan dan memesongkan imej Rasulullah S.A.W. dan Islam. Kebanyakannya hanyalah propaganda dengan matlamat politik.

Nicetas Byzantios contohnya pada sekitar tahun 860 M dia menulis buku yang menolak al-Quran dengan alasan al-Quran adalah rekaan. Dia menulisnya atas perintah Kaisar Michael III yang merupakan Maharaja Byzantine dinasti Amorian.

Tidak lama selepas Penak.lukan Konstantinopel pada 1453, Islam kehilangan Sepanyol. Teknologi percetakan kini tersedia di mana apa sahaja boleh dicetak dalam pengeluaran besar-besaran.

Pada tahun 1537, mesin cetak Venice di bawah kuasa Paganino dan Alexandro Paganini mengubah ayat al-Quran. Mereka cuba menyebarkannya di kalangan orang Islam Uthmaniyah untuk mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.

Disebabkan oleh penyelewengan al-Quran di Venice, Uthmaniyah menjadi skeptikal terhadap mesin cetak dan melaksanakan dasar untuk menangani isu ini.

Ramai ahli fiqh Uthmaniyah mencadangkan pelbagai tindak balas dan mereka memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang mengehadkan pencetakan teks keagamaan melalui percetakan.

Salah tafsir sejarah Uthmaniyah yang berterusan telah menyebabkan kebenaran sukar dipastikan. Tetapi dengan pendekatan kritis, usaha memisahkan mitos, penyelewengan dan fakta sejarah untuk membina naratif sejarah yang tepat adalah tidak mustahil.

Asal usul Mitos

Sumber terawal yang mengesahkan peraturan mengenai penggunaan mesin cetak di Empayar Uthmaniyah berasal dari ensiklopedia yang ditulis perantau dan paderi Franciscan, André Thevet, bertajuk “Les vrais pourtraits et vies des hommes illustres grecz, latins et payens: recueilliz de leurs tableaux  , livres, médalles antiques et modernes” diterbitkan pada tahun 1584.

Dalam bab yang dikhaskan untuk Johannes Gutenberg, Thevet mendakwa terdapat larangan membaca buku bercetak di Empayar Uthmaniyah pada tahun 1483 ketika Sultan Beyezid II berkuasa dan keputusan itu dikekalkan oleh Sultan Selim I pada tahun 1515.

Walau bagaimanapun, catatan Thevet tidak mempunyai sumber primer atau ulasan komprehensif. Thevet menegaskan bahawa larangan itu hanya terpakai dalam konteks penggunaan buku bercetak, bukannya proses percetakan itu sendiri. Dua idea yang berbeza akhirnya disatukan untuk membentuk mitos yang bertahan ratusan tahun.

Persoalan mengenai bilangan tahun yang ditulis oleh Thevet juga turut muncul. Mesin cetak pertama di Empayar Uthmaniyah telah ditubuhkan pada tahun 1493 oleh komuniti pelarian Yahudi yang diusir dari Sepanyol semasa Inkuisisi.

Ini diikuti oleh mesin cetak keluarga Soncino pada tahun 1530, mesin cetak Armenia pada tahun 1567, mesin cetak Yunani pada tahun 1627, dan akhirnya mesin cetak Muslim yang pertama pada tahun 1727.

Dalam tempoh 32 tahun antara titah Bayezid II dan Selim I, sebuah mesin cetak beroperasi di Empayar Uthmaniyah. Nahmias Bersaudara menubuhkan rumah percetakan dan menerbitkan buku-buku keagamaan Yahudi. Buku pertama yang diterbitkan ialah kompilasi Halakha, Rabbi Jacob ben Asher, Arba’ah Turim.

Thevet sebaliknya, tidak menyebut hal-hal ini dan menegaskan kedua-dua dakwaan itu adalah muktamad, saling menyokong, tiada pengecualian, dan tidak berubah. Ini menimbulkan lebih banyak persoalan.

Count Luigi Ferdinando Marsigli, seorang sarjana Itali yang menyelidik tentang Asia Kecil mengesahkan dalam bukunya, L’état militaire de l’Empire Ottoman, ses progrès et sa décadence, bahawa Uthmaniyah tidak menghasilkan buku dengan mesin cetak tetapi dengan salinan tangan. Walau bagaimanapun ini tiada kaitan dengan larangan percetakan buku.

“Kenyataan Marsigli sepatutnya membawa kredibiliti yang ketara kerana kefasihannya dalam bahasa Uthmaniyah dan bibliophilanya yang kukuh. Dia mengumpul lebih daripada enam ratus manuskrip timur semasa pengembaraannya. Dan lebih-lebih lagi Marsigli sendiri adalah seorang pencetak yang bekerja dengan muka taip oriental Medici di akhbar yang ditubuhkannya di Bologna,” — Kathryn A. Schwartz  (Did Ottoman Sultans Ban Print?) – merujuk kepada lemahnya pendedahan Thevet kepada budaya Uthmaniyah.

Walaupun terdapat beberapa tentangan, tanggapan bahawa Uthmaniyah menolak kesusasteraan bercetak semakin popular dari masa ke semasa. Pada tahun 1765, Voltaire menerbitkan risalah bertajuk On the Horrible Danger Represented by Reading.

Risalah tersebut adalah parodi tentang bagaimana Uthmaniyah ketakutan menghadapi sains dan teknologi sambil berbangga dengan kejayaan mereka dalam projek “Eropahisasi” Medmed Said Effendi, diplomat Uthmaniyah yang memulakan projek mesin cetak bersama Ibrahim Müteferrika selepas pulang dari tugasannya di Kota Paris.

“…it has been deemed good for Muhammad and us to condemn, outlaw and render anathema the said invention of the printing press, for the reasons enunciated forthwith: This facility to communicate one’s thoughts tends evidently to dissipate ignorance, which is the custodian and the safeguard of well-policed States”.

Walaupun risalah itu tidaklah semata-mata sebagai kritikan terhadap Empayar Uthmaniyah, ia membayangkan sera.ngan terhadap budaya penapisan Perancis sendiri. Penulisan ini setidak-tidaknya menunjukkan bagaimana Eropah memandang Uthmaniyah: sebuah negara tak bertamadun yang hidup dalam kegelapan dan fanatik.

Manuskrip al-Quran Uthmaniyah milik Prabu Diraja Palembang

Banyak faktor yang menyebabkan Uthmaniyah terus membelakangkan mesin cetak. Kita mulakan dengan membincangkan sejarah tradisi literasi Islam yang telah mempengaruhi konsep penyebaran ilmu pada masa hadapan.

Islam muncul di rantau yang menyebarkan ilmu dan budaya secara lisan. Puisi, perumpamaan, hikayat, dan kata-kata hikmah diperturunkan dari generasi ke generasi melalui mulut ke mulut.

Walaupun tradisi penulisan telah berkembang di Semenanjung Arab, ia bukanlah satu kaedah paling utama untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan.

Al-Quran sendiri merupakan kesusasteraan panjang pertama yang ditulis dan dicatat dalam sejarah budaya Arab.

Al-Quran diturunkan antara 610 dan 632 M, ayat-ayatnya dipulihara terutamanya melalui hafalan oleh para Sahabat. Ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor budaya Arab tetapi juga kerana proses turunnya ayat-ayat al-Quran yang mengambil masa yang panjang.

Konsep menghafal atau hafazan itu sendiri masih diamalkan pada zaman moden hari ini dan para hafiz mempunyai tempat yang istimewa dalam budaya Islam.

‘Dokumentasi’ telah berlaku sejak wahyu mula diturunkan, tetapi setiap Sahabat melakukannya secara berasingan.

Pembukuan dan penyeragaman ayat-ayat Al-Quran hanya berlaku pada tahun 646 M (25 Hijriah) di bawah Khalifah Uthman Bin Affan sebagai tindak balas terhadap peningkatan kema.tian para hafiz Al-Quran dalam pelbagai peristiwa serta semakin meningkatnya kepelbagaian dialek bacaan ayat-ayat suci semasa Islam berkembang.

Maksudnya ialah warisan literasi dalam budaya Islam tidak boleh dibezakan daripada nilai samawi teks itu sendiri.

Masyarakat semasa awal kebangkitan Islam bukan sekadar menulis untuk mendokumentasikan pengalaman mereka secara peribadi atau kolektif, mereka menulis untuk mengekalkan realiti syurgawi yang turun ke bumi melalui Nabi.

Oleh itu, penulisan teks mestilah tak sekadar mengandungi ketepatan maksud dan takrifannya tetapi juga keindahan bentuknya. Hasilnya kemudian, kemunculan disiplin Islamik yang ditonjolkan dalam bentuk seni kaligrafi (khat) dan iluminasi.

Apabila mesin cetak dicipta, ia memperkenalkan paradigma yang baharu: kecekapan, kelajuan, ketepatan, jisim, dan demokrasi. Kita melihat teks sebagai tulisan dalam buku bercetak. Tiada keindahan, tiada kerohanian, tiada keperibadian, tiada identiti. Hanya tulisan semata-mata

Tak hairanlah apabila Paganino Paganini dan Abraham Hinckelman cuba memasarkan cetakan Al-Quran di Empayar Uthmaniyah, mereka menerima sambutan yang jauh berbeza daripada yang mereka jangkakan. Mereka mencetak Al-Quran di luar Empayar Uthmaniyah.

Bahkan ketika Ibrahim Müteferrika yang seorang Muslim mula menjual buku bercetak dengan sokongan Sultan Ahmed III, industri percetakan Uthmaniyah tidak berkembang maju.

Sejak mula beroperasi pada tahun 1729 sehingga 1745, mereka hanya menghasilkan 17 judul buku sebanyak 12 ribu naskhah. Dari tahun 1746 hingga 1802, jumlahnya hanya meningkat kepada 28 judul.

Semasa abad ke-18, kurang daripada 50,000 buku telah dicetak. Sebaliknya, pada abad yang sama, hampir 1 bilion buku dihasilkan di Eropah.

Ibrahim Müteferrika

Benar, konteks ini tak cukup nak menjelaskan mengapa Uthmaniyah berada kira-kira 250 tahun di belakang Eropah dalam menerima teknologi mesin cetak. Cabaran golongan ulama berstatus elit yang rasa terancam akan kehadiran mesin cetak harus dipertimbangkan juga.

Kewujudan standard pengetahuan dan estetika tertentu yang difikirkan sesuai dan betul melahirkan elitisme ilmu. Ulama memainkan peranan penting dalam Empayar Uthmaniyah dalam kapasiti ini.

Mesin cetak mempunyai potensi yang bukan sahaja memecahkan standard estetika karya media tetapi juga mendemokrasikan ilmu dalam karya itu sendiri. Sebagai penjaga tafsiran agama, situasi ini mungkin menggoyahkan autoriti mereka.

Walaupun mesin cetak mempunyai kesan yang besar terhadap pembaharuan agama dan pendemokrasian ilmu, projek itu pada asalnya direka untuk menjana keuntungan besar dalam tempoh yang singkat.

Gutenberg dan pelabur Johann Fust memandang perniagaan percetakan mempunyai potensi ekonomi yang besar. Kedua-duanya betul, walaupun hanya salah seorang saja yang berjaya dan seorang lagi ma.ti dalam kemiskinan.

Tidak seperti negeri-negeri Eropah Barat, Empayar Uthmaniyah tidak ada golongan pedagang yang berpengaruh yang boleh meraih keuntungan dari percetakan dan oleh itu menyokong penubuhan mesin cetak.

Walaupun percetakan dicipta pertama kali di China, mungkin 500 tahun sebelum kemunculannya di Eropah, ia tidak mempunyai kesan besar, apatah lagi revolusi. Ini jelas berpunca dari ketiadaan kapitalisme di sana.

Ketidakseimbangan kitaran sumber-sumber dalam industri percetakan menunjukkan keadaan ini. Sebagai gambaran, terdapat sekurang-kurangnya 80,000 orang yang bekerja dalam industri manuskrip, termasuk penyalin, kaligrafer, dan artis iluminasi.

Sementara itu, sehingga tahun 1630, dianggarkan perniagaan buku bercetak hanya menggaji seramai 300 orang.

Perbezaan angka ini hanya boleh diatasi oleh institusi Kesultanan kerana hanya mereka yang mempunyai banyak sumber dan pengaruh politik untuk menghadapi intelektual elit Uthmaniyah pada masa itu.

Oleh itu, apabila Mehmed Said Effendi mendapat inspirasi untuk menubuhkan mesin cetak berikutan tugasannya sebagai Setiausaha Sulit kepada Duta Uthmaniyah ke Perancis, beliau memerlukan kelulusan autoriti birokratik.

Bersama-sama dengan Müteferrika, kedua-duanya cuba meyakinkan Wazir Agung dan Sultan tentang manfaat besar yang boleh dihasilkan oleh mesin cetak.

Melalui proses percetakan, buku menjadi asas kepada kekuatan empayar. Tersebar di seluruh wilayah Uthmaniyah, buku-buku sains yang jadi buruan akan muncul lebih banyak di kota dan pekan, dan perpustakaan akan dipenuhi dengan buku.

Menurut Müteferrika dalam esei Tasheel at-Tıbaa, generasi muda yang belajar negara ini akan menjadi lebih berpendidikan, dan kawasan terpencil akan menjadi lebih meriah dan lebih teratur kerana mempunyai lebih banyak buku.

Müteferrika dan Said Effendi bagaimanapun sedar, konfrontasi terbuka dengan para ulama akan menjadikan usaha kerja mereka tidak produktif. Justeru, usaha untuk meyakinkan Sheikh ul-Islam Abdullah Rum Effendi diteruskan.

Sultan Ahmed III bersama duta Perancis

Dengan kelulusan Sheikh ul-Islam, disusuli dengan ferman Sultan Ahmed III, Empayar Uthmaniyah mula berlumba-lumba melahirkan golongan celik huruf di kalangan masyarakat Islam.

Malangnya, walaupun mengeluarkan ferman, Sultan Ahmed III sepertinya tidak menganggap usaha ini penting. Ini boleh dilihat sekurang-kurangnya dalam kedudukan Müteferrika dan Mehmed Said Effendi.

Kedua-duanya terus berkhidmat sebagai diplomat pada tahun-tahun berikutnya. Tumpuan mereka berpecah, dan sektor percetakan hanya berkembang pada kadar yang sederhana.

Pada Zaman Keemasan Islam terdapat banyak buku di perpustakaan Islam berbanding di Eropah. Pada akhir abad ke-19, situasi yang sebaliknya berlaku.

Menurut rekod tahunan statistik Uthmaniyah yang pertama, yang ditulis pada tahun 1897, terdapat 324 perpustakaan awam dengan jumlah hanya sebanyak 193,000 buku (74,000 manuskrip, 49,000 buku bercetak, dan selebihnya tidak dinyatakan).

Sebaliknya, di Perancis – negara yang mempunyai koleksi perpustakaan terbesar di Eropah – terdapat 7,298,000 buah buku di 505 perpustakaan pada tahun 1880.

RUJUKAN:

Kathryn A. Schwartz, Did Ottoman Sultans Ban Print? (2017).

Hidayet Y. Nuhoglu, Ottomans and the Printing Press: Answering Misconceptions.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply