Dijangka siap pada tahun 2024, Malaysia akan mempunyai sebuah menara yang bakal menjadi mercu tanda baru dan dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Ketinggian menara yang bakal dibina ini akan menandingi ketinggian KLCC (451.2 meter) dan The Exchange 106 (492 meter) sekaligus meletakkannya sebagai menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara. Apabila siap pembinaannya kelak, ia mampu mempertingkatkan lagi kepesatan ekonomi negara.
Menara Warisan Merdeka atau juga dikenali dengan KL118 merupakan inisiatif Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk merangsang perkembangan ekonomi negara. Nama KL118 diambil bersempena dengan jumlah tingkat menara tersebut. Manakala, Menara Warisan Merdeka diberi nama atas kapasiti menara tersebut berada di tengah-tengah kawasan warisan sejarah sebelum kemerdekaan. Ketinggiannya bakal mencecah 630 meter (ada juga mengatakan sampai 645 meter), 200 meter lebih tinggi dari KLCC.
Namun, ketinggiannya masih tidak dapat ditetapkan lagi sehingga ianya siap sepenuhnya pada tahun 2024. KL118 terletak di Bukit Petaling di mana tapak asalnya adalah Taman Merdeka dan dikelilingi dengan bangunan bersejarah lain seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Institusi Victoria dan Sekolah Lelaki Methodist.
KL118 juga dihubungkan dengan jajaran ‘Mass Rapid Transit (MRT)’ iaitu berdekatan dengan Stesen MRT Merdeka. KL118 mempunyai 118 tingkat di mana 100 tingkat akan disewakan dan 80 tingkat daripadanya untuk ruang pejabat di mana 60 tingkat daripadanya akan diletakkan pejabat-pejabat syarikat di bawah naungan PNB, manakala 20 lagi tingkat akan disewakan kepada syarikat-syarikat tempatan yang bertaraf antarabangsa. 20 tingkat lagi akan disewakan untuk kegunaan ruang hotel yang akan dikendalikan oleh hotel yang bertaraf antarabangsa. Selebihnya akan digunakan untuk ruang perniagaan, taman rekreasi, pusat konvensyen dan fasiliti-fasiliti yang lain termasuk ruang parkir yang memuatkan sehingga 5000 kenderaan.
Konsep seni bina KL118 diilhamkan daripada genggaman tangan kanan Tunku Abdul Rahman apabila melaungkan ‘Merdeka’ pada tahun 1957. Ia melambangkan keharmonian yang digunapakai oleh negara dalam mencapai kemerdekaan suatu ketika dahulu. Bentuk rekaan yang moden pula untuk mencerminkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan moden. Kalau dalam ilmu senibina, konsep menara yang moden ini digambarkan sebagai ‘dominant architecture’ kerana menara ini akan kelihatan seperti dominan dikelilingi bangunan-bangunan bersejarah lain.
Arkitek Australia, Fender Katsalidis adalah arkitek yang memberikan idea mengenai konsep rekabentuk ini. Walaubagaimanapun, segala penghasilan lukisan dan pengurusan projek diserahkan kepada arkitek tempatan iaitu RSP Architect. PNB telah mengumumkan pelantikan UEM Group Bhd dengan kerjasama South Korea’s Samsung C&T sebagai kontraktor utama dalam membangunkan KL118. Kerja-kerja tanah pula diuruskan oleh Pintaras Geotechnic Sdn Bhd. Kini, kerja-kerja penanaman cerucuk (piling works) sedang giat dijalankan sejak akhir tahun 2017.
Dengan pembinaan menara ini, maka Malaysia mampu mengekalkan ‘title’ negara yang mempunyai menara tertinggi di Asia Tenggara. Ini disebabkan terdapat 2 buah negara yang bakal membina menara yang bakal menandingi KLCC dan The Exchange 106 iaitu Indonesia dengan pembinaan Jakarta Signature Tower dan Thailand dengan pembinaan Rama IX Super Tower. Kedua-dua menara ini juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.
Sungguhpun begitu, terdapat juga ura-ura yang mengatakan bahawa Malaysia juga sedang dalam perancangan membina sebuah menara yang mencapai ketinggian sehingga 775 meter yang akan dimiliki oleh syarikat Tradewinds Corp Sdn Bhd pegangan Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang dikenali sebagai Tradewinds Square. Namun, ia masih dalam peringkat perbincangan.
Kos keseluruhan pembinaan KL118 dijangka mencecah RM5 billions. Kos pembinaan yang tinggi ini telah mendapat kecaman daripada sesetengah pihak kerana ianya dianggap membazir dan bakal meningkatkan hutang negara. Walaubagaimanapun, PNB telah menjangkakan apabila KL118 siap sepenuhnya, ia mampu memberi pulangan sehingga RM6 billions pada 5 tahun akan datang seperti yang diumumkan oleh Presiden dan GCEO PNB. Pembinaan KL118 adalah inisiatif PNB sendiri dan bukan cadangan daripada kerajaan. Dana yang diperoleh di dalam pembinaan KL118 adalah kebanyakan melalui pelaburan-pelaburan rakyat Malaysia.
Jadi, pulangan keuntungan yang terhasil daripada pembinaan KL118 ini juga akan turut dirasai oleh rakyat Malaysia. Kecaman dan kritikan ke atas pembinaan projek mega ini bukanlah satu perkara yang pelik bahkan ianya pernah juga berlaku terhadap projek-projek mega di Malaysia yang lain seperti KLCC, Putrajaya dan Jambatan Pulan Pinang. Tidak kiralah siapa yang memerintah ketika pembinaan projek-projek mega ini, sudah pasti ianya akan dipolitikkan.
Sebagai rakyat Malaysia, seharusnya kita lebih berfikiran terbuka dan mengambil kira projek-projek mega ini sebagai pemangkin ekonomi negara. Dengan pembinaan menara ini, ia dapat memberi peluang pekerjaan yang luas kepada golongan profesional seperti Arkitek dan Jurutera tempatan ketika pembinaan menara ini manakala apabila siap kelak ia mampu memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai bidang.
Nota Editor: Ini ialah artikel info mengenai Warisan Merdeka. Sebarang komentar berbaur politik kepartian dan membanding-bandingkan setiap monumen dan binaan dengan niat politik di Malaysia akan membawa kepada hukuman ban seumur hidup. Layan artikel ini sebagai artikel ilmiah, bukannya artikel politik murahan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih