Setiap tahun, pemenang Hadiah Nobel diraikan atas pencapaian mereka dalam pelbagai disiplin. Tetapi bagi seorang pemenang Hadiah Nobel ini, beliau mendapatnya kerana menjangkitkan orang dengan malaria!
Tetapi itulah sebab yang diberi jawatankuasa anugerah semasa menganugerahkan Hadiah Nobel Perubatan 1927 kepada pakar psikiatri Julius Wagner-Jauregg. Beliau merupakan seorang daripada dua pakar psikiatri yang menggondol hadiah berprestij itu. Lebih 73 tahun selepas itu, Profesor Eric Kandel menggondol anugerah sama atas hasil kerjanya berkenaan asas fisiologi simpanan memori dalam neuron.
Jadi, apa yang mendorong Wagner-Jauregg sanggup bereksperimen dengan penyakit berjangkit itu? Semua ini terjadi menerusi pemerhatian pesakit-pesakit lumpuh yang dirawat di Klinik Neuro-Psikiatri, Universiti Graz, Austria. Beliau mendapati pesakit-pesakit ini menunjukkan pemulihan menakjubkan selepas mereka mengalami demam.
Lantas, Wagner-Jauregg mula bereksperimen terhadap para pesakitnya atas kapasiti sebagai profesor psikiatri di Universiti Graz dan pengarah klinik berkenaan. Ini kerana beliau berharap sekiranya ia boleh mengurangkan simptom mental pesakit lumpuh, maka ia juga berguna untuk merawat pesakit yang menderita penyakit-penyakit lain.
Kepercayaan bahawa demam mampu mengurangkan atau menghapuskan terus simptom penyakit mental telah lama wujud sejak berabad-abad lamanya. Tetapi ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik. Selepas menguji beberapa cara untuk membuatkan pesakitnya demam, Wagner-Jauregg berpaling kepada malaria sebagai kaedah yang paling berkesan.
Mungkin bagi sesetengah orang, malaria merupakan penyakit biasa. Tetapi ia berpotensi membawa maut dengan kadar kematian pesakit antara tiga hingga 20%. Bagi Wagner-Jauregg, ia satu pertaruhan yang berisiko tetapi berbaloi bagi menyelamatkan pesakit sifilis yang menderita kelumpuhan.
Kebanyakan pesakit lumpuh dalam eksperimen ini ialah pesakit sifilis tahap akhir. Kelumpuhan terjadi apabila jangkitan penyakit yang tersebar melalui hubungan seks (STD) ini menyerang otak pesakit. Ini mengakibatkan pesakit merasa letih sebelum menjadi lumpuh – akhirnya membawa kepada kematian.
Atas sebab itu, Wagner-Jauregg melihat sekiranya mereka mengalami malaria, ia boleh dirawat dengan kuinina. Ia jauh lebih baik daripada melihat mereka mengalami kemerosotan dari segi fizikal sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Dalam tempoh setahun, pesakit yang dijangkiti malaria mula menunjukkan tindak balas positif dari segi pemulihan. Kejayaan rawatan radikal dan gila Wagner-Jauregg ini mendorong pakar-pakar perubatan ketika itu menggunakan cara sama untuk menyelamatkan nyawa pesakit mereka.
Menariknya, strain malaria yang digunakan beliau iaitu Plasmodium vivax terus digunakan berdekad-dekad selepas itu. Pesakit sifilis terus dirawat menggunakan malaria sebelum amalan tersebut dihentikan pada 1950-an. Ini selepas penemuan penisilin yang dilihat berkesan merawat STD berkenaan.
RUJUKAN
Felton, J. (2022, 23 Mac). The Man Who Won A Nobel Prize For Giving People Malaria. IFLScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih