“Mortal Kombat” merupakan sebuah francais permainan video yang dibangunkan dengan memasukkan beberapa elemen mitologi yang luas. Elemen ini tidak hanya berupa legenda rekaan, akan tetapi ianya bersumber dari mitologi pelbagai bangsa di dunia. Artikel ini akan meninjau elemen-elemen dari mitos sebenar dan mengaitkannya dengan aspek yang paling relevan yang terdapat di dalam Mortal Kombat.
KEPELBAGAIAN ALAM
Mortal Kombat mengetengahkan idea tentang kepelbagaian alam. Wakil dari setiap alam kemudiannya berlawan dengan petarung-petarung dari Dunia Asing (Outworld) yang mahu menakluk dan menundukkan kesemua alam yang wujud dalam semesta Mortal Kombat. Dalam permainan video ini, Alam Dunia dianggao sebagai alam yang paling berharga digelari ‘Permata Semesta’.
Idea tentang kepelbagaian alam ini bukanlah suatu idea yang baharu. Pada hakikatnya, ia berasal-usul sejak zaman purba lagi. Masyarakat Norse purba membicarakan tentang 9 alam asas di dalam mitologi mereka. Di antara kesemua alam ini, Midgard atau Alam Bumi adalah tempat di mana manusia hidup.
Bagi penghuni alam-alam yang lain pula, sebahagian daripada mereka bersifat mesra kepada manusia (seperti dewa-dewa Asgard) manakala sebahagian yang lain pula memusuhi manusia (seperti gergasi ais di Jotunheim).
Kesemua sembilan alam dalam mitologi Norse ini dihubungkan dengan dahan-dahan pokok semesta yang bernama Yggdrasil.
Walau bagaimanapun, mitologi Norse bukanlah satu-satunya sistem kepercayaan yang berbicara tentang kewujudan alam-alam lain. Kebudayaan dan kepercayaan lain juga ada mengungkapkan tentang kisah para dewa menziarahi bumi dari alam-alam lain.
REPTILIA DAN JEMBALANG BANSHEE
Bagaimana sekiranya wujud makhluk mirip-manusia yang berevolusi dari repitilia (atau dinosaur) di planet-planet lain yang tidak ditimpa bencana alam seperti bumi (bencana yang mengakibatkan kepupusan dinosaur?). Premis inilah yang digunakan bagi membina imej Reptile di dalam Mortal Kombat.
Di alam hunian Reptile, makhluk reptilian menjalani kehidupan yang mewah dan mereka berevolusi menjadi makhluk mirip-manusia yang bijak sehingga berupaya membangunkan sebuah ketamadunan.Walaupun mereka merupakan makhluk yang gagah, alam hunian reptilian ini akhirnya dikuasai oleh Dunia Asing. Apapun,teori tentang makhluk mirip-manusia dari spesis reptilian ini kekal menjadi suatu premis penceritaan yang menarik perhatian. Premis sebegini juga hadir dalam francais Super Mario Bros.
Di dalam Mortal Kombat, Queen Sindel dikenali sebagai warga Eden. Namun, teriakan lantangnya yang unik itu merupakan ciri tipikal bagi seekor jembalang Banshee. Banshee adalah makhluk mitologi dari Ireland. Makhluk ini dikatakan berteriak dengan sangat lantang ketika berlakunya kematian dalam kalangan ahli keluarga.
Banshee dirincikan sebagai wanita berambut panjang dan bermata merah. Queen Sindel pula sememangnya dikenali kerana teriakan lantangnya yang unik di samping rambutnya yang juga panjang – rambut yang boleh digerak-gerakkan sebagai alat tempur dalam pertarungan melawan musuhnya.
SIHIR DAN PENGAMBIL JIWA
Kebiasaannya, sihir dianggap sebagai satu istilah lain bagi magis. Namun dalam bahasa Latin, sihir dikaitkan dengan istilah ‘maleficium’ yang merujuk kepada magis yang berbahaya dan membawa konotasi ‘salah laku’ dan ‘kerosakan’.
Dalam Mortal Kombat, elemen sihir sangat terkait dengan magis jahat (ilmu hitam). Pemahir sihir dari Dunia Asing dikenali sebagai Shang Tsung. Beliau sinonim dengan cirinya yang sering mengambil jiwa dari musuh-musuhnya yang telah kalah tarung menerusi gerakan mautnya (gerakan penyudah).
Sebelum itu, Shang Tsung pernah menjadi seorang manusia.
Namun, beliau mempelajari magis jahat daripada maharaja Shao Kahn. Sebaik sahaja Shang Tsung mengambil jiwa yang begitu banyak selama berkurun-kurun, kekuatannya dirincikan oleh Raiden menerusi ungkapan beliau, “Menghadapi Shang Tsung bukanlah menghadapi seorang musuh, sebaliknya sebatalion musuh.” Idea tentang mengambil atau merampas jiwa ini memiliki asal-usul yang cukup purba. Para syaitan dikatakan mengambil jiwa manusia menerusi permeteraian janji-janji neraka.
Satu lagi perkara yang boleh diselitkan di sini adalah idea merampas atau mengambil Chi atau semangat dalaman pihak lawan. Dalam mitologi Cina, terdapat makhluk pontianak yang memakan semangat dalaman manusia dengan menyerapnya persis sepertimana Shang Tsung menyerap jiwa orang-orang yang telah beliau tewaskan dalam pertarungan. Makhluk ini dikenali sebagai Jiang Shi.
MAYAT HIDUP
Dikatakan bahawa dengan hanya melawat Neraka, perwatakan seseorang itu boleh berubah sama sekali. Dalam Mortal Kombat, hal ini berlaku ke atas orang-orang yang melawat Alam Neraka yang diperintah oleh Quan Chi. Sebagai kesan akibat daripada campur tangan Quan Chi, beberapa orang petarung Mortal Kombat bertukar menjadi mayat hidup.
Mayat-mayat hidup ini dipercayai dibangkitkan semula dengan tujuan untuk menghantui orang-orang yang masih hidup. Kepercayaan terhadap mayat hidup ini masih wujud dalam kalangan masyarakat di pedalaman Romania moden. Mereka memanggil makhluk ini sebagai ‘strigoi’. Strigoi dipercayai bangkit daripada kubur untuk menghantui kaum kerabatnya yang masih hidup, ataupun orang yang berbuat aniaya terhadapnya.
RAIJIN DAN FUUJIN
Dalam Mortal Kombat, Raiden merupakan ‘dewa kilat dan petir’ manakal Fujin pula adalah pengawal angin. Raiden disifatkan sebagai pelindung Alam Bumi dan peranannya diumpamakan bagai mentor kepada petarung-petarung dari Bumi yang bakal dan harus bertarung menentang Dunia Asing.
Dalam mitologi Jepun, Raiden (Raijin) adalah dewa kilat dan petir. Asal-usul mitologi ini boleh dijejak sehingga zaman permulaan agama Shinto. Raijin sering digandingkan dengan Fuujin, dewa angin. Kedua-dua dewa ini sering digambarkan bersama. Fujin (Futen) adalah salah satu dewa tertua Shinto dan ia digambarkan di dalam mitologi sebagai syaitan yang rupa parasnya mirip tukang sihir.
Demikianlah serba-sedikit contoh utama dari sekalian luasnya mitologi yang membentuk semesta (universe) francais Mortal Kombat. Hakikatnya, penceritaan Mortal Kombat jauh lebih kompleks dan memerlukan penyelidikan dan perbincangan yang lebih terperinci.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih