Lebih seribu tahun sebelum pengembara Eropah buat kali pertamanya tiba di pantai Korea, Empayar Parsi telah pun menulis kisah cinta berkenaan puteri Korea.
Ia merupakan sebuah kitah yang jarang diketahui namun memiliki potensi yang mampu mengubah cara pandang kita terhadap sejarah. Kebelakangan ini, para sejarahwan meneliti semula epik lama Parsi yang ditulis sekitar tahun 500M itu dan menyedari bahawa di bahagian tengah cerita, terdapat sebuah kisah berkenaan seorang putera Parsi yang berkahwin dengan seorang puteri Korea.
Hakikat ini merupakan suatu penemuan yang menakjubkan. Sehingga ke hari ini, kita pun tidak dapat tahu secara pasti adakah masyarakat Parsi pada masa itu mengetahui kewujudan Korea ataupun tidak. Hal ini menunjukkan bahawa Parsi bukan hanya menjalinkan hubungan dengan Korea – malah dua kekuasaan tersebut sangat akrab sekaligus memungkinkan penulisan semula sejarah.
KUSHNAMEH: EPIK PARSI BERUSIA 1500 TAHUN PERIHAL KOREA
Kisah yang dibicarakan ini bernama Kushnameh. Ia merupakan salah satu kisah dari Empayar Parsi yang paling masyhur – diceritakan berulang kali sejak ia ditulis pada 1500 tahun yang lalu.
Kushnameh merupakan epik puisi yang panjang, memerihalkan seekor makhluk jahat yang memiliki belalai gajah, bernama Kus. Kus ini digeruni oleh masyarakat Parsi sejak bergenerasi lagi. Keseluruhan kisah ini menjangkau tempoh masa ratusan tahun, meliputi ribuan rangkap – namun bahagian yang benar-benar menarik terletak di bahagian tengah kisah. Di bahagian tersebut, penulis mendedikasikan seribu rangkap puisi yang indah, menceritakan tentang kehidupan di Korea pada zaman pemerintahan Silla.
SURAT CINTA KEPADA KOREA
Korea mula tampil di dalam kisah tersebut apabila penceritaan menumpu pada seorang putera Parsi yang bernama Abtin. Sepanjang hidupnya, Abtin terpaksa menetap di dalam hutan – bersembunyi dari si Kus yang jahat. Hanya ada satu benda yang membuatkannya kekal selamat dari makhluk tersebut, iaitu sebuah buku magis yang meramalkan masa depan untuknya.
Buku magis tersebut berfungsi dengan begitu ajaib – Abtin seakan-akan memiliki naskhah buku yang sama yang kita baca, dan beliau menyelak beberapa helaian untuk melihat bagaimana pengakhiran buku tersebut. Dan itulah apa yang dilakukan olehnya.
Beliau membaca helaian-helaian lanjut dan mendapati bahawa beliau perlu berkelana ke Kerajaan Silla di Korea dan – setelah sempat tersalah faham hingga membawanya pergi ke Cina – beliau disambut dengan tangan terbuka oleh raja Silla.
Setibanya di sana, helaian demi helaian epik berkenaan memerihalkan perincian tentang betapa indahnya suasana di Korea. Secara peribadi, sebahagian daripada penerangan tersebut bersifat agak berlebih-lebihan. Misalnya, ia mengataan bahawa Korea sangat mewah dengan emas hinggakan anjing-anjing mereka turut diikat dengan tali leher emas.
Namun secara keseluruhan, perincian yang diberikan di dalam epik tersebut adalah sangat tepat hinggakan para sejarahwan moden mengandaikan bahawa penulis pernah melawat Korea.
Abtin berasa terpukau dengan keindahan kerajaan itu… begitu juga dengan kejelitaan puterinya, Frarang. Beliau jatuh hati pada puteri Korea itu lalu merayu kepada raja agar menyatukan mereka dalam perkahwinan. Maka, Frarang pun menjadi isteri Abtin.
KISAH SEORANG PAHLAWAN KOREA
Sudah tentu, tidak semua penceritaan yang dikisahkan pada epik tersebut benar-benar berlaku. Misalnya, terdapat bukti yang terhad untuk mendakwa kononnya Parsi menghabiskan masa selama 1500 tahun dengan ketakutan terhadap makhluk jahat Kus. Apatah lagi kewujudan buku magis yang mampu meramalkan masa depan yang dimiliki oleh putera Parsi.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa wujud nilai simbolik di sebalik kisah putera Parsi yang mencari perlindungan di Korea lalu jatuh cinta dengan puteri Korea. Penceritaan itu membuktikan bahawa masyarakat Parsi bukan hanya mengetahui kewujudan Korea pada 1500 tahun yang lalu, namun mereka turut menyimpan kekaguman yang mendalam terhadap kerajaan tersebut.
Tetapi, apa yang berlaku di dalam penceritaan selanjutnya memang menakjubkan. Putera kepada Frarang dan Abtin bukan satu karakter yang kecil. Kelahirannya menjadi titik pengubah kepada keseluruhan cerita.
Abtin si putera Parsi meluangkan seluruh hidupnya di dalam persembunyian dan semasa beliau pada akhirnya kembali ke tanah air, beliau dibunuh oleh orang-orang bawahan Kus. Namun, keadaan dipulihkan oleh puteranya yang berdarah separuh Korea.
Putera kepada Frarang dan Abtin ini pada akhirnya menghimpunkan sebuah tentera dan mengetuai serangan ke atas Kus. Dalam kisah ini, Parsi dihuru-harakan oleh raksasa penjahat selama berabad-abad. Hanya di bawah kepemimpinan seorang pemuda berdarah separuh-Korea serta bantuan ibunya, barulah Parsi meraih kebebasan.
SUATU RAHSIA YANG TERSEMBUNYI
Selama 1500 tahun, ramai yang membaca kisah ini tanpa mengetahui dengan sebenarnya apa yang sedang mereka ikuti. Untuk tempoh masa yang agak lama, kita semua menduga bahawa kisah itu hanya berkisar berkenaan Cina sahaja.
Di dalam kisah itu, Kerajaan Silla-Korea dirujuk sebagai ‘Chin’, nama yang boleh dirujuk sama ada kepada Cina mahupun Korea. Kekeliruan ini bukan sahaja dialami oleh kita, malah oleh watak di dalam plot itu sendiri. Pada mulanya, Abtin, sama seperti kebanyakan sejarahwan, tersalah anggap bahawa ‘Chin’ yang disebutkan di dalam buku magisnya itu sebagai Cia. Persis sejarahwan moden lagi, beliau mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum menyedari bahawa ‘Chin’ yang dimaksudkan itu adalah Korea.
Apapun kebelakangan ini, para sejarahwan melakukan penelitian semula ke atas epik tersebut dan menyedari bahawa perincian-perincian yang diberikan di dalamnya sangat mirip dengan Korea, bukan Cina. Lebih tepat, penerangannya jelas mengisyaratkan keadaan Korea pada abad ke-6 Masihi – masa dan tempat yang, percaya ataupun tidak, mereka benar-benar membela dan memakaikan tali pengikat leher daripada emas tulen pada anjing-anjing mereka.
PENULISAN SEMULA SEJARAH
Hal ini mungkin mampu mengubah sepenuhnya pandangan kita terhadap sejarah. Untuk tempoh masa yang agak lama, Korea dilihat sebagai sebuah tempat yang jauh dan terasing dari dunia barat. Namun, kisah ini membuktikan bahawa timur dan barat berkemungkinan langsung tidak pernah terpisah.
Para pengembara Eropah mengambil masa sehingga tahun 1653M untuk buat kali pertamanya tiba di Korea – lebih 1100 tahun selepas epik Kushnemeh ditulis. Kita sememangnya mengetahui bahawa Parsi menjalinkan hubungan dengan Korea rentetan lokasi mereka yang berpengaruh ke atas Laluan Sutera. Kita turut mengetahui bahawa barangan daripada Parsi telah pun tiba di Korea. Namun, anggapan terhadap hubungan tersebut tidak menjangkaui hubungan sebagai rakan dagang.
Di dalam penceritaan ini, Korea bukan sekadar rakan dagang kepada Parsi. Mereka ialah sekutu yang dipercayai dan mereka sangat penting buat Parsi hinggakan masyarakat Parsi tidak dapat mengatasi kuasa jahat hinggalah mereka menyerahkan kepercayaan dan kepemimpinan kepada seorang putera yang berdarah separuh Korea dan separuh Parsi. Hubungan ini boleh dianggap sebagai sebuah perkahwinan budaya yang amat simbolik.
Selain itu, epik ini turut membuatkan beberapa buah relik bersejarah dilihat menerusi kacamata baru. Di dalam sebuah permakaman purba di Gyeongju misalnya, terdapat monumen pahlawan perang Korea yang rupa parasnya lebih mirip kepada Parsi berbanding Korea. Kini, timbul spekulasi kononnya monumen tersebut benar-benar merujuk kepada seorang pahlawan Parsi yang berjuang untuk Korea.
Sejauh mana hipotesis ini boleh mengubah sejarah, masih lagi belum jelas. Apapun, ia membawa kebarangkalian untuk kita memandang sejarah negara berkenaan dengan kacamata baru. Epik ini tidak hanya sekadar kisah cinta di antara dua insan, sebaliknya ia adalah kisah cinta di antara dua buah negara.
SUMBER:
Mark Oliver. (8 Mei 2018). The 1500-Year-Old Love Story Between a Persian Prince and a Korean Princess that Could Rewrite History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/1500-year-old-love-story-between-persian-prince-and-korean-princess-could-rewrite-021896
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih