Di tengah-tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur, berdiri megah Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, salah satu masjid tertua di ibu negara.

Namun, tahukah anda bahawa tapak masjid ini asalnya merupakan tanah perkuburan?

Ya, sebelum masjid ini wujud, kawasan ini adalah tempat persemadian masyarakat Melayu, lengkap dengan batu nesan berusia ratusan tahun.

[Kisah Bermula: Tanah Perkuburan di Tengah Kuala Lumpur]

Sejarah Masjid Jamek bermula jauh sebelum ia dibina pada tahun 1909. Ketika itu, kawasan pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak ini merupakan tanah perkuburan Islam yang tertua di Kuala Lumpur.

Kawasan ini dipercayai sudah digunakan sejak awal abad ke-18 ketika penempatan Melayu pertama mula muncul di kawasan lembah ini.

Malah, rekod lama menunjukkan bahawa tapak ini sudah menjadi sebahagian daripada sejarah Islam tempatan sebelum nama “Kuala Lumpur” diabadikan sebagai bandar.

Namun, ketika era kolonial British menyaksikan Kuala Lumpur berkembang pesat sebagai pusat pentadbiran, keperluan untuk sebuah masjid utama semakin mendesak.

Maka, Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah memperkenankan kawasan ini sebagai tapak masjid.

[Penemuan Batu Nisan Lama: Bukti Sejarah Islam Kuala Lumpur]

Ketika proses pembinaan Masjid Jamek bermula, pekerja binaan menemui beberapa batu nesan lama, termasuk yang dikenali sebagai batu nesan Aceh.

Penemuan ini menggemparkan kerana batu nisan Aceh biasanya hanya digunakan oleh golongan bangsawan, ulama atau raja-raja Melayu.

Ini menunjukkan kawasan ini bukan sekadar kampung biasa, tetapi mungkin pernah menjadi pusat komuniti yang penting.

Pada tahun 2016, ketika kerja-kerja menaik taraf kawasan masjid dilakukan, beberapa lagi batu nisan lama ditemui.

Penemuan batu nisan Aceh yang dipercayai berasal dari tahun 1700 hingga 1800 Masihi. Batu nisan tersebut ditemui di pelbagai lokasi sekitar masjid, antaranya di kawasan hadapan masjid (tapak kolam wuduk lama) dan berdekatan pangkal pokok kelapa yang menjadi satu-satunya pokok kelapa yang kekal di kawasan masjid hingga kini.

Antara batu nisan yang ditemui, ada yang mempunyai ukiran tulisan Arab. Salah satu inskripsi mencatatkan

1 Sya’ban, Malam Isnin
Sayyid Abdullah bin Sayyid Abbas

Kewujudan batu nisan Aceh ini menjadi bukti bahawa komuniti Islam di Kuala Lumpur sudah lama wujud, bahkan sebelum kedatangan Yap Ah Loy yang sering dikaitkan sebagai “pengasas” Kuala Lumpur.

Bagi pengkaji sejarah seperti Profesor Dato’ Dr Abdullah Zakaria, penemuan ini juga menjadi bukti bahawa Raja Abdullah, seorang pembesar Melayu, sebenarnya memainkan peranan utama dalam pembukaan Kuala Lumpur dan bukan Yap Ah Loy seperti yang sering ditulis dalam sejarah versi kolonial.

[Langkah Awal: Penetapan Tanah dan Batu Asas]

Idea membina Masjid Jamek bermula sekitar tahun 1907 apabila Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah memperkenankan sebidang tanah kerajaan di pertemuan sungai itu dijadikan tapak pembinaan masjid.

Proses pemerolehan tanah termasuk membeli enam lot tanah di kawasan tersebut dengan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan sumbangan umat Islam tempatan.

Pada 23 Mac 1908, batu asas masjid diletakkan oleh Sultan Selangor dalam satu majlis bersejarah.

Turut hadir ialah Residen British, H.C. Belfield, arkitek masjid, Arthur Benison Hubback dan pegawai-pegawai kerajaan lain. Batu asas tersebut diperbuat daripada marmar putih dengan ukiran Jawi yang menandakan permulaan pembinaan masjid ini.

[Proses Pembinaan]

Masjid Jamek direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback yang mendapat inspirasi daripada seni bina Islam Mughal di India Utara.

Reka bentuk ini termasuk kubah bebawang, menara bergaya Indo-Saracenic dan laman tertutup atau “sahn” yang memberikan keindahan serta keselesaan kepada jemaah.

Kos pembinaan masjid ini dianggarkan sebanyak $32,625 Straits Dollars dengan sebahagian besar dana disumbangkan oleh masyarakat Islam setempat.

Kerajaan negeri Selangor juga menyumbang dana, manakala kontrak pembinaan diberikan kepada Towkay Ang Seng, seorang kontraktor terkenal yang juga membina Bangunan Sultan Abdul Samad. Dalam pembinaan ini, besi dan bahan lain diimport khas dari London, England.

Semasa proses pembinaan, tanggungjawab besar diberikan kepada Haji Abdullah Hukum, seorang tokoh Melayu tempatan untuk memastikan kerja-kerja dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat Islam.

[Cabaran Awal: Banjir dan Perubahan Landskap]

Tapak Masjid Jamek sering terdedah kepada banjir kerana kedudukannya yang rendah. Banjir besar pada tahun 1914 dan 1917 menjadi cabaran awal kepada masjid ini memaksa usaha menaikkan aras tanah dan membina tangga menuju sungai bagi memudahkan jemaah mengambil wuduk.

Pada masa itu, umat Islam yang datang ke masjid ini menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama.

Selain itu, terdapat rungutan bahawa tangga ke sungai sering digunakan oleh orang Tamil untuk mandi menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah. Isu ini diselesaikan dengan membina kolam wuduk khas di dalam kawasan masjid.

[Majlis Perasmian: 23 Disember 1909]

Masjid Jamek akhirnya siap pada penghujung tahun 1909 dan dirasmikan secara rasmi pada 23 Disember 1909 oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah.

Perasmian dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Sultan diiringi Residen British. Sultan menyampaikan ucapan penuh harapan bahawa masjid ini akan menjadi pusat keagamaan dan perpaduan umat Islam di Kuala Lumpur.

Selepas ucapan, Sultan menyerahkan kunci masjid kepada Nazir yang pertama, Raja Mahmud.

[Peranan Sebagai Pusat Komuniti]

Sejak awal pembinaannya, Masjid Jamek berfungsi sebagai masjid utama Kuala Lumpur sehingga pembukaan Masjid Negara pada tahun 1965.

Ia menjadi tempat solat Jumaat, kelas agama dan pusat aktiviti masyarakat. Masjid ini juga menjadi tempat perlindungan semasa banjir dan bencana lain.

[Cabaran Zaman Moden]

Dengan perkembangan pesat Kuala Lumpur, Masjid Jamek menghadapi cabaran baru. Projek pembangunan seperti pembinaan stesen LRT dan bangunan komersial di sekelilingnya mengehadkan ruang masjid.

Selain itu, banjir kilat pada tahun 2007 dan 2021 menyebabkan kerosakan besar kepada kawasan masjid.

Walaupun begitu, usaha restorasi dan projek River of Life memberi nafas baru kepada masjid ini. Masjid Jamek kini dilengkapi dengan landskap moden, pencahayaan LED, dan kawasan riadah yang menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

[Lambang Keimanan dan Perpaduan]

Kisah Masjid Jamek adalah cerminan sejarah perjuangan dan perpaduan umat Islam di Malaysia. Ia bukan sahaja sebuah tempat ibadat, tetapi juga simbol identiti dan keagungan Islam di tengah kesibukan kota.

Sempena Israk Mikraj ini, kita diingatkan bahawa seperti pembinaan masjid ini, kejayaan umat Islam hanya dapat dicapai melalui kerjasama, pengorbanan dan keimanan yang teguh.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.