Satu kebimbangan masyarakat global hari ini ialah kemunculan mikroplastik di lautan dunia hari ini. Semua ini berlaku apabila sampah dari sungai-sungai dibawa ke laut. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk membersihkan sampai daripada sungai-sungai terutama membabitkan sungai yang berstatus mistik dan suci mengikut kepercayaan penduduk India: Sungai Ganges.

Secara ringkas, Sungai Ganges merupakan antara sungai terbesar di dunia. Bagi penganut agama Hindu, di sinilah Dewi Ganga (dewi penyucian dan kemaafan) bersemayam. Lantas bagi mereka, air sungai ini dikatakan mampu menyucikan jiwa mereka dan berupaya membersihkan sungai secara sendirinya.

Penganut Hindu percaya Sungai Ganges mempunyai kelebihan mistik termasuk menyucikan jiwa orang yang mandi atau minum air sungai berkenaan.

Sungai Ganges dikatakan bermula dari Glasier Gangotri di sebelah barat Pergunungan Himalaya – beberapa batu dari Tibet. Dari situ, ia akan menuruni kawasan lembah gunung menuju ke kawasan lembah utara India yang subur.

Ia kemudiannya menghala ke timur menuju ke Bangladesh di mana ia menerima aliran air dari 10 buah anak sungai. Selepas sungai ini bergabung dengan Sungai Brahmaputra, air akan mengalir ke laut di Teluk Bengal.

Sungai Ganges merupakan sungai air tawar ketiga terbesar di dunia selepas Sungai Amazon dan Sungai Nil. Dan ia menjadi nadi kehidupan seluruh penduduk Nepal, sebahagian penduduk Bangladesh dan suku daripada 1.4 bilion warga India hari ini.

Dari segi pencemaran, ia sudah menjadi saksi pelbagai kerosakan manusia terutama berskala industri – ada yang bermula sejak era penjajahan British lagi. Bukan sedikit elemen memudaratkan muncul dalam analisis sampel air sungai seperti arsenik, kromium dan merkuri. Plastik? Itu merupakan komponen pencemaran terbaru. Ini belum dicampur dengan aliran sampah termasuk najis manusia dan haiwan yang ditolak masuk ke sungai berkenaan.

Dan menjelang musim banjir yang berlaku pada musim panas, ia boleh saja bertukar menjadi ganas dan membanjiri petempatan manusia. Antara yang kerap terjejas ialah negeri Bihar di mana kebanyakan penduduknya menetap di luar bandar. Selepas banjir surut, bukan sedikit sampah plastik yang ditemui – diburukkan lagi dengan sikap penduduk yang membuang sampah dalam sungai.

Setiap pembelian buku The Patriots di bulan Ramadan akan didermakan kepada Persatuan Cinta Gaza. Beli di: http://bit.ly/KisahKlasikShopee

Jadi, mengapa India berdepan masalah plastik yang kronik? Semua ini bermula pada tahun 1990-an seiring dengan proses liberalisasi ekonomi negara itu. Plastik pada harga berpatutan dianggap memudahkan kehidupan setiap lapisan masyarakat dari golongan kaya hinggalah golongan miskin.

Beg plastik, bekas makanan dan pembungkus makanan membantu makanan lebih tahan lama. Pakaian dan kasut sintetik dapat dinikmati oleh golongan kanak-kanak pada harga murah. Sementara plastik kecil membantu penduduk membeli barang mengikut kemampuan mereka.

Tetapi sebelum dekad 1990-an berakhir, ia mencetuskan krisis alam sekitar yang kronik. Di Mumbai, lambakan beg plastik yang dikeluarkan peruncit-peruncit menyebabkan kerajaan tempatan tidak dapat mengendalikan jumlah sampah yang banyak. Di Delhi, tapak-tapak pelupusan sampah dianggap bom jangka bencana alam sekitar.

Ia turut tersebar ke kawasan luar bandar dan rizab-rizab alam berstatus taman negara. Menurut renjer Taman Negara Rajaji, Mohammad Yusuf, beliau pernah melihat gajah makan plastik di tapak pembuangan sampah. Malah, sudah ada laporan haiwan-haiwan lain dari burung hinggalah harimau kumbang turut memakan sampah plastik.

Di negara lain, isu ini mungkin dipandang sepi kerana masih wujud sistem pengambilan dan pelupusan sampah yang sistematik. Tetapi di India, sistem ini tidak cekap dengan kadar kutipan dan pelupusan yang rendah. Dan ia hanya wujud di bandar-bandar besar. Bagi penduduk luar bandar, pilihan mereka ialah meletakkan sampah di tepi sungai dan mengharapkan ia diambil begitu saja.

Dengan pengurusan sampah yang buruk dan kecenderungan penduduk India menjadikan sungai mereka sebagai tempat pembuangan sampah, ia merupakan satu realiti yang menyedihkan. Tetapi dengan sampah berskala begini, bolehkah ia diatasi dengan meletakkan mesin-mesin yang mengutip sampah seperti yang diperjuangkan seorang pemuda Belanda bernama Boyan Slat?

Slat, 27, merupakan pengasas pertubuhan bukan kerajaan Ocean Cleanup. Beliau dikenali kerana mahu memperkenalkan mesin yang dapat mengumpul sampah sekitar utara Lautan Pasifik iaitu Mr. Trash Wheel. Pada awalnya, skim ini dianggap tidak berjaya kerana ia memerlukan mesin mengutip sampah secara berterusan dan mustahil untuk membuang mikroplastik.

Tetapi Slat tetap meneruskan usahanya itu dan hari ini, mesinnya masih lagi beroperasi. Malah, saintis-saintis marin turut memuji usahanya itu. Kemudian, Slat merancang untuk mengembangkan Mr. Trash Wheel di peringkat sungai dan berharap dapat membersihkan ribuan sungai yang tercemar dalam tempoh lima tahun.

Namun begitu, rancangan ini terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Tetapi kini, ia sedang berjalan di Republik Dominica, Malaysia, Indonesia dan Vietnam. Jika digabungkan kutipan sampah dari Pasifik, mereka berjaya mengumpul lebih 2.4 juta tan sampah.

Tetapi Slat sendiri mengakui menggunakan mesinnya bagi sungai seperti Ganges, ia merupakan satu cabaran berbeza. Lebih baik mesinnya itu dibawa ke bandar-bandar tertentu seperti Dhaka dan Kolkata serta diletakkan di anak sungai yang mengalir di kota-kota ini. Ia dilihat jauh lebih baik bagi mengekang sampah daripada masuk ke Sungai Ganges.

Setiap pembelian buku The Patriots di bulan Ramadan akan didermakan kepada Persatuan Cinta Gaza. Beli di: http://bit.ly/TerhempasnyaShopee

Isu ini boleh saja menjadi lebih buruk jika tidak kerana kesungguhan sektor bukan formal India. Sektor ini banyak mengitar semula botol-botol plastik dengan kadar setinggi 60% – lebih tinggi daripada Amerika Syarikat. Tetapi untuk sampah lain, ia tidak menawarkan insentif kewangan seperti botol-botol plastik. Ini mengakibatkan sampah seperti plastik pembungkus makanan terus bertambah di jalanan dan sungai India termasuk Ganges.

Bukan tidak ada polisi membabitkan kebersihan di India. Malangnya, wujud jurang yang besar bukan saja di peringkat kerajaan pusat tetapi juga di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Hendak realisasikan sasaran yang rendah pun sudah gagal dari awal lagi.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai yang menggesa hal ini diberi perhatian segera. Suka atau tidak, ia akan terus bertambah dan bakal menyusahkan generasi akan datang. Akan tetapi, dengan India masih teragak-agak dalam soal menghentikan penggunaan arang batu sebagai bahan api, mengharapkan negara itu bertindak lebih pantas untuk menyelamatkan Sungai Ganges ibarat menunggu kucing bertanduk.

RUJUKAN

Parker, L. (2022, 17 Mac). Can India clean up its holiest river? It will take a village. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply