Roda kehidupan sentiasa berputar; ke atas dan ke bawah, pasang dan surut, lapang dan kusut. Justeru, manusia tidak akan luput dari mengharungi masa-masa sukar dan mencabar. Sebahagiannya malah datang dengan luka yang besar dan parutnya sukar dicabut.

Lumrah sebegini tidak terkecuali buat sesiapa pun. Termasuklah Malala Yousafzai (12 Julai 1997 – kini). Pengalamannya ditem.bak oleh Taliban sembilan tahun lepas cukup menghantui, dan ia mendorong beliau untuk meminta perdana menteri Pakistan, Imran Khan, supaya “buka sempadan, bawa masuk pela.rian (dari negara jiran), dan berikan pendidikan.”

Kerisauannya berikutan pengambil-alihan Taliban ke atas Afghanistan baru-baru ini bukanlah tanpa sebab. Ia lantaran pengalaman beliau sendiri. Namun, ini tidak menggugat hakikat bahawa penem.bak Malala bukanlah Taliban sama sebaliknya adalah entiti berbeza iaitu Tehrik-i Taliban Pakistan (TTP).

Walaupun berkongsi nama dan saling mengambil kepentingan dari satu sama lain, secara intisarinya, mereka adalah entiti berbeza dengan haluan berbeza. Jadi, apa-apa pun se.rangan yang berlaku di Pakistan, Taliban Afghani tidak campur tangan.

Mereka mengambil sikap berkecuali sepanjang se.rangan-se.rangan TTP di Pakistan sejak penubuhan rasminya pada 2007. Sampaikan pernah pada 2009, jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid menyatakan: “Kami tidak suka dikaitkan dengan mereka (TTP) kerana kami menolak sebarang gabungan dengan mereka. Kami bersimpati dengan mereka sebagai saudara se-Muslim. Namun selain daripada itu, tiada apa-apa antara kami.”

Bau-bau bacang antara keduanya wujud rentetan masing-masing memerlukan sokongan halus antara satu sama lain. Taliban Afghani misalnya memerlukan TTP untuk secara tidak langsung menjaga kepentingan mereka di daerah-daerah persukuan. Taliban Pakistan pula perlu menggunakan sentimen di Afghan untuk menambah keanggotaan.

Pergerakan kedua-duanya bagaimana pun bersifat tempatan tanpa banyak campur tangan. Bahkan sama ada perkembangan di Afghanistan ini bakal mempengaruhi Taliban Pakistan secara baik (jadi lebih pragmatik) atau buruk (meningkatkan se.rangan), ia masih menjadi persoalan.

Jadi, mari berbalik kepada Malala. Sepanjang sepuluh tahun awal hidupnya, Malala mengenali bandar kelahirannya, Mingora, sebagai bandar yang ceria. Mingora adalah bandar paling besar di Daerah Swat, daerah yang dijuluki sebagai Switzerland of Pakistan lantaran cantiknya pemandangan di sana.

Sepanjang sepuluh tahun awal itu juga, Malala bersama beberapa rakan – perempuan terutamanya – berpeluang mendapatkan pendidikan. Malala sendiri bersekolah di institusi milik ayahnya, Ziauddin Yousafzai. Ia merupakan nikmat besar buat Malala yang hidup di negara yang amat keciciran dalam soal pendidikan.

Menurut laporan tahun 2014, seramai 5.5 juta kanak-kanak Pakistan tidak bersekolah. Dua per tiga daripadanya adalah kanak-kanak perempuan. Di wilayah kelahiran Malala sahaja, iaitu Khuber Pakhtunkhwa, kadar buta huruf dalam kalangan penduduknya adalah setinggi 60% bagi tahun 2012.

Hal ini disumbangkan oleh banyak faktor. Antaranya kos pendidikan yang tinggi, kesempitan hidup yang memerlukan kanak-kanak keluar bekerja, dan norma masyarakat yang kurang mementingkan pendidikan.

Faktor tambahan hadir apabila Tehrik-i-Taliban mengawal barat laut Pakistan pada 2007. Semenjak itu, kanak-kanak perempuan seperti Malala semakin menghadapi kesukaran untuk bersekolah. Malah sehingga penghujung 2008, sebanyak 400 buah sekolah dimus.nahkan, terutama sekolah perempuan.

Antara sekolah yang dimus.nahkan di Swat

Justeru pada tahun tersebut, Malala bersama bapanya yang memang seorang aktivis pendidikan mula mempergiatkan kempen. Suaranya diberikan liputan. Pada September 2008, Malala yang baru berusia sebelas tahun berucap di Pakistani TV dan antara dialognya yang paling diingati adalah, “How dare the Taliban take away my basic right to education?” Dialog ini berlaku sebelas tahun sebelum ungkapan yang hampir sama diulangi oleh Greta Thunberg dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019.

Kemudian pada awal 2009, Malala menerusi nama pena Gul Makai mengirim penulisan kepada BBC Urdu tentang keadaan di Swat sepanjang kekuasaan TTP. Suaranya lantang sepanjang tiga tahun berikutnya, sampaikan Malala memenangi Hadiah Keamanan Belia Kebangsaan Pakistan 2011 dan tercalon dalam Hadiah Keamanan Kanak-Kanak Antarabangsa bagi tahun sama.

Pengiktirafan yang diterimanya bagaimana pun mengundang pe.taka. Hari Selasa tanggal 9 Oktober 2012, Malala pulang dari sekolah seperti biasa (dengan seboleh mungkin berselindung dari pengetahuan Taliban). Namun ketika dalam perjalanan, trak yang dinaikinya ditahan oleh dua lelaki bertopeng. Salah seorang daripadanya memasuki perut trak lalu bertanya, “Mana satu Malala?” Semua mata terus menoleh ke arah si pemilik nama.

Lantas, tiga das tem.bakan dilepaskan – sebutir pelu.ru memba.ham bahagian kiri kepala Malala manakala dua yang lain menced.erakan rakan-rakannya. Di saat dan tempat itu juga, Malala… rebah.

Beliau segera diterbangkan ke sebuah hospital ten.tera di Peshawar bagi menjalani pembedahan awal. Setelah itu, Malala dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, England. Di sana, beliau menjalani pembedahan implan titanium serta implan koklea bagi membaiki kerosakan pada bahagian tengkorak dan pendengaran telinga kirinya.

Malala di Hospital Queen Elizabeth. Rajah di bawah menggambarkan di bahagian mana ditem.bak dan pembedahan implan yang diterimanya

Selepas berminggu-minggu menjalani rawatan dan terapi, Malala akhirnya dikeluarkan dari hospital pada Mac 2013 dan menyambung sesi persekolahannya di Birmingham. Kisahnya mendapat liputan dunia dan menggamit sokongan antarabangsa.

Sembilan bulan selepas ditem.bak dan tepat pada hari kelahirannya yang ke-16, Malala dijemput untuk memberikan ucapan dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Dalam ucapan 18 minit panjang yang didengari oleh Setiausaha PBB, Ban Ki-moon serta 1,000 hadirin lain, Malala berkata:

“Saya tidak berada di sini untuk bercakap soal den.dam saya terhadap Taliban atau mana-mana kumpulan mili.tan lain. Saya di sini bercakap tentang hak pendidikan bagi setiap kanak-kanak, termasuklah anak-anak Taliban. Saya tidak membenci Talib yang menem.bak saya. Kalau sekarang ini dia berdiri di hadapan saya dan di tangan saya ada pis.tol, saya tidak akan tem.bak dia.

Ini adalah ajaran yang saya pelajari dari (Nabi) Muhammad, Jesus, dan Buddha. Inilah pusaka yang saya warisi dari Martin Luther King, Nelson Mandela, dan Muhammad Ali Jinnah. Ini juga filusufi keamanan yang saya ambil dari Gandhi Jee, Bacha Khan, dan Ibu Teresa. Dan, inilah didikan yang saya dapatkan daripada ibu ayah saya.”

Dalam kesempatan itu juga, Malala menyerahkan petisyen yang ditandatangani oleh 4 juta orang kepada Ban Ki-moon bagi menggesa PBB untuk membela nasib 57 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak berpeluang bersekolah. Petisyen itu juga menuntut supaya pemburuhan, perkahwinan, dan pemerdagangan kanak-kanak dihentikan.

Matlamat sama turut diperjuangkan olehnya menerusi penubuhan Dana Malala (Malala Fund) pada tahun sama. Ia bertujuan memberi akses pendidikan asas (selama 12 tahun) yang berkualiti dan selamat secara percuma kepada kanak-kanak wanita di seluruh dunia, terutama negara-negara yang paling keciciran dalam soal pendidikan seperti Pakistan, Afghanistan, India, Nigeria, Lebanon, dan Brazil.

Lewat tahun tersebut (8 Oktober 2013), beliau menerbitkan autobiografi pertamanya yang ditulis bersama Christina Lamb, berjudul ‘I am Malala: The Girl Who Stood Up for Education and Shot by the Taliban.’ Menjelang 2016, buku tersebut terjual sebanyak hampir 2 juta naskhah dengan nilai jualan di Britain sahaja mencapai sehingga 2.2 juta pound.

Dua hari selepas menerbitkan buku tersebut, Malala dianugerahi Sakharov’s Prize for Freedom of Thought. Setahun kemudian pada tarikh yang sama (10 Oktober 2014), beliau memenangi pula Anugerah Keamanan Nobel yang dikongsi bersama seorang pejuang hak kanak-kanak dari India, Kailash Satyarthi. Penghormatan serupa turut diberikan oleh negaranya menerusi Anugerah Keamanan Kebangsaan yang pertama kali diperkenalkan pada tahun tersebut, khusus buat Malala.

Malala ketika memenangi Hadiah Keamanan Nobel 2014 (kiri) dan ketika berucap di Mesyuarat PBB 2013 (kanan)

Beberapa bulan sebelum itu, Malala menyambut hari lahirnya yang ke-17 dengan melawat Nigeria. Dalam kesempatan itu juga Malala mengunjungi kanak-kanak perempuan yang menjadi mang.sa pencu.likan Boko Haram. Saat itu, seramai 10.5 juta kanak-kanak Nigeria tiada akses terhadap pendidikan dan kira-kira 400 orang kanak-kanak perempuan dicu.lik.

Justeru, Malala bertemu dan menggesa presiden Goodluck Jonathan supaya mempercepat usaha menyelamat. Dalam masa sama, beliau turut mensohorkan tagar #StrongerThan sebagai kempen kesedaran buat kanak-kanak perempuan bahawa mereka lebih besar daripada apapun mu.sibah yang menimpa; wa ima kemiskinan, penin.dasan, mahupun ketakutan.

Pada hari lahirnya yang ke-18 pula, Malala terbang ke Jordan bagi membuka sekolah perempuan buat hampir 200 remaja di kem pelarian Syria di sana. Pada hari sama, beliau menulis di laman sesawangnya:

“Kalau diikutkan, pemimpin-pemimpin dunia sudah pun mempunyai peruntukan untuk mendanai sepenuhnya pendidikan asas dan pertengahan buat seluruh populasi dunia. Namun, peruntukan tersebut disalurkan ke hal-hal lain. Keten.teraan misalnya. Kalaulah seluruh dunia berhenti berbelanja dalam sektor keten.teraan untuk hanya lapan hari, kita akan mampu mendapatkan $39 billion yang diperlukan bagi memberi pendidikan penuh (12 tahun) buat seluruh kanak-kanak di dunia.”

Konsistensi dan kelantangan Malala membuatkan beliau dilantik sebagai Duta Keamanan PBB pada 2017 dan pada tahun sama, beliau melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Falsafah, Politik, dan Ekonomi di Oxford University dan menjadi graduan pada Jun tahun lepas.

Pada Mac lalu, Malala menandatangani kerjasama dengan Apple TV+ bagi menghasilkan drama dan dokumentari berkaitan wanita dan kanak-kanak. Ke depan nanti bolehlah kita saksikan bagaimana perkembangannya.

Malala di kem pelarian Syria

Cuma sebulan sebelum itu, ada satu cerita. Malala menerima mesej an.caman di Twitter. Ia berbunyi, “Balik sini ke Swat. Kami belum selesai dengan kamu dan ayah kamu.” Ia datang dari pengguna yang memakai nama sama dengan penem.baknya sembilan tahun lepas; Ehsanullah Ehsan. Setelah diteliti, ternyata ia akaun palsu. Cuma, Ehsan memang sudah bebas sejak Januari 2020 selepas ditahan pada 2017. Jadi, Malala ada asas untuk berasa bimbang.

Namun seperti kata Malala sendiri, beliau tidak mahu diingati sebagai budak perempuan yang ditem.bak oleh Tehrik-i Taliban. Sebaliknya, beliau mahu dikenali sebagai budak perempuan yang memperjuangkan hak pendidikan.

Kisah beliau bukan tentang baik buruk Taliban atau serampang lidah media. Tetapi, ia tentang pendidikan dan hak manusia. Kisah Malala memang bermula dengan Taliban, tapi gagasannya mengajak semua untuk menumpu pada makna ṭālibān (penuntut ilmu).

Justeru sebagai penutup, artikel menitipkan kata-kata daripadanya; “Pendidikan adalah pendidikan. Kita perlu pelajari apa sahaja dan kemudian pilih jalan mana yang harus dilalui. Pendidikan bukan tentang timur atau barat. Ia tentang kemanusiaan. Kerana, hidup ini bukan tentang menghirup oksigen dan melepaskan karbon dioksida. Dengan senjata, iya, kita boleh te.waskan pengga.nas. Tetapi dengan pendidikan, kita boleh te.waskan idea kega.nasan. Dunia boleh diubah; oleh seorang belia, seorang guru, senaskhah buku, dan sebatang pena.”

RUJUKAN

Dawn. (2021). Former TTP spokesman Ehsanullah Ehsan allegedly (ditapiskan) Malala on Twitter.

Gall, Carlotta. (2009). Pakistan and Afghan Taliban Close Ranks. New York Times.

Khattak, Daud. (2012). The Complicated Relationship Between the Afghan and Pakistani Taliban. Combating (ditapiskan) Center.

Rakyat, Daily. (n.d). Malala Yousafzai, Remaja Wanita Pakistan (ditapiskan) Taliban.

Sganzetta, Lorenza. (2021). Malala Yousafzai, a life spent (ditapiskan) for the right to education. Life Gate.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.