Sejak beberapa hari ini telah tular kisah mengenai adik Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan liputan internet jalur lebar yang lebih baik untuk mengambil peperiksaan di atas talian.

Beliau merupakan pelajar Asasi Sains dari sebuah IPT Awam, atau lebih tepat nya Universiti Malaysia Sabah seperti yang difahamkan kepada penulis.

Bahkan beliau sebenarnya pernah menuntut di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Negeri di Bawah Bayu.

Anak kelahiran Pitas ini berasal dari kampung Sapatalang. Masih muda, baru berusia 18 tahun. Seorang perempuan. Namun apa yang membuatkan penulis lebih kagum dalam usia semuda itu beliau telah menunjukkan sifat kematangan dan kecekalan menghadapi ujian hidup yang barangkali tidak dimiliki oleh gadis seusia dengan nya.

Adik Veveonah Mosibin

BAGAIMANA SEGALANYA BERMULA

Kisah gadis muda ini bermula susulan keizinan yang diberikan pihak Universiti untuk kembali ke kampung halaman akibat pandemik Covid-19.

Menerusi paltform saluran YouTube yang dimiliki olehnya, gadis ini kerap mengemas kini aktiviti rutin yang beliau jalani sewaktu berada di kampung halaman.

Lahir dari latar belakang etnik yang mahir bertani, semestinya keluarga gadis ini turut memiliki ladang atau kebun yang diusahakan sendiri.

Menerusi perkongsian beliau di youtube, pada asalnya dia memang ada membina sebuah pondok kecil di atas sebuah bukit demi keselesaan beliau untuk mengambil peperiksaan secara atas talian ini. Kerana antara masalah utama yang beliau hadapi di kampung halaman beliau ini, liputan internet tidak selancar seperti di kawasan-kawasan lain.

Malangnya disebabkan sibuk membantu keluarga di kebun, mungkin mengurus tagad (padi huma) atau jagung mereka, selain juga menolong menoreh getah, membuatkan beliau tidak memiliki waktu untuk menjenguk pondok kecil yang telah siap dibina.

Hanya mampu merenung hampa pondok kecil yang telah musnah penangan cuaca tidak menentu

Beberapa hari sebelum itu pula keadaan cuaca agak tidak menentu diiringi angin kuat dan hujan yang sangat lebat, malang tidak berbau, disebabkan itu pondok yang telah dibina musnah sekelip mata.

Disebabkan pada sebelah pagi dia akan mengambil peperiksaan kimia dan di sebelah petang pula Pengajian Malaysia secara atas talian, ditambah dia terpaksa mengulang kaji lagi apa yang patut, mahu tak mahu gadis muda ini terpaksa memanjat salah satu pokok yang terdapat di kawasan bukit berkenan untuk memastikan dia mendapat liputan internet jalur lebar yang baik.

CABARAN SELAMA 24 JAM DIATAS POKOK

Hanya berbekalkan kelambu, pengecas mudah alih (power bank), bekalan air dan bungkusan nasi tradisi atau dikenali sebagai nasi linopot yang dibawa beliau menggagahkan diri untuk terus mengambil peperiksaan berkenaan.

Sebaik peperiksaan di atas talian yang beliau jalani tamat, gadis ini tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya memilih untuk tidur sepanjang malam di atas pokok  berkenaan dan hanya pulang keesokan pagi nya.

Tidak mudah patah semangat. Adik Veveonah Mosibin mengambil keputusan untuk memanjat pokok bagi mendapatkan liputan internt sekaligus permulaan pada cabaran 24 jam beliau di atas pokok

Masih muda! Baru berusia 18 tahun! Seorang perempuan!! Menghabiskan waktu selama 24 jam seorang diri di kawasan bukit dan tidur sepanjang malam di kawasan belukar di atas sebatang pokok!!

Bayangkan!!

Bahkan gadis ini turut mengalami detik-detik mencemaskan apabila seekor tebuan tanah tersesat masuk ke dalam kelambu yang beliau pasang.  Sungguh ketabahan dan kecekalan gadis muda ini merupakan sebuah kisah inspirasi.

NASI LINOPOT

Nasi linopot. Boleh jadi hanya terdiri daripada nasi kosong atau nasi yang digaul dengan gu’ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubi kayu) atau kasou (keledek).

Saat menonton video gadis ini, ada satu benda yang menarik perhatian penulis. Nasi linopot yang di bawa oleh beliau. Dalam bahasa Dusun “linopot” bermaksud bungkusan. Berasal dari kata ‘lopot’ yang bermaksud bungkus.

Kalau ikut tradisi betul-betul untuk menghasilkan linopot bahan utama yang mesti kita gunakan adalah padi huma/padi bukit. Warna nasi linopot adalah asli kerana beras dari padi huma apabila dimasak akan menghasilkan warna yang unik.

Nasi yang dimasak untuk linopot tidak boleh terlalu lembik atau keras. Linopot boleh terdiri dari nasi semata-mata, atau kadangkala nasi yang digaul dengan gu’ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubi kayu) atau kasou (keledek).

Daun yang digunakan untuk membungkus juga tidak hanya satu. Lazimnya terdiri daripada 7 jenis  iaitu wonihan, punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tintap, longkobung dan toropoi.

Setiap satu helai daun mencipta aroma tersendiri. Sekaligus menjadikan rasa linopot unik dan tersendiri bergantung pada aroma daun yang digunakan.

Nasi linopot kebiasaannya akan dihidang bersama dengan rinukut, iaitu kombinasi sinamai atau panganas (lauk pauk) tradisional yang pelbagai.

Mengikut kepercayaan lama etnik Dusun, jumlah lauk-pauk yang dihidangkan wajib dalam bilangan yang ganjil seperti turu rinukut (tujuh jenis lauk) atau siam rinukut (sembilan). Minimum lauk yang dihidangkan mesti tolu rinukut (tiga).

Kebiasaannya akan dihidang bersama dengan rinukut, iaitu kombinasi sinamai atau panganas (lauk pauk) tradisional yang pelbagai dalam jumlah yang ganjil.

Namun kebanyakan masa nasi linopot akan dimakan begitu saja dan sering dijadikan bekal ketika menjalankan pekerjaan di kebun atau ketika memburu binatang di dalam hutan.

Penulis cukup tertarik dengan huraian sebuah laman berkaitan makanan tradisi yang satu ini. “Menghasilkan linopot ibarat satu ritual. Ia dilakukan dengan sangat cermat dan cukup teliti”. Kira-kira seperti itu lah.

Untuk melihat cabaran 24 jam di atas pokok adik Veveonah Mosibin, boleh melihat video berkenaan di pautan berikut :

https://m.youtube.com/watch?v=-qxTyBWVLIU&t=1s

PENUTUP

Daripada kesukaran yang ditempuhi dalam hidup, penulis yakin ia ibarat satu proses untuk menghasilkan berlian yang sangat berkualiti. Semoga adik Veveonah Mosibin lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan yang diambil beliau. Kesukaran dalam hidup bukan lah batu penghalang untuk mencapai kejayaan.

Walahualam.

BACAAN LANJUT :

Panjat pokok sebab nak jawab peperiksaan Online, 14 Jun 2020, Sinar Harian. https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/87788)

Linopot Om Rinukut, Kulinari Misali Momogun Dusn, 08 Januari 2020, Astro Awani. https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/gaya-hidup/linopot-om-rinukut-kulinari-misali-momogun-dusun-195391%3famp=1


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar orang biasa yang mencintai sejarah dan seni budaya negara. Terutama sekali yang berkaitan dengan Negeri Di Bawah Bayu. Merupakan graduan lepasan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech Mara. Peluang menulis bersama TP dilihat sebagai antara salah satu platform terbaik berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan lebih ramai orang-orang hebat di luar sana

Comments are closed.