Zaman Asuka (Asuka Jidai) dalam sejarah Jepun purba meliputi tempoh yang bermula dari tahun 538 M hingga 710 M, menyusuli Zaman Kofun (sekitar 250-538 M) sekaligus membentuk bahagian lewat bagi Zaman Yamato (sekitar 250-710 M). Bagi sebilangan sejarahwan, tempoh ini didakwa bermula pada tahun 593 M, dan bagi sejarahwan seni pula menyebutkan penamat Zaman Asuka adalah pada tahun 645 M.

Zaman ini menyaksikan beberapa perkara seperti berlangsungnya interaksi antara Jepun dan kuasa-kuasa serantau lain, era pemerintahan figura-figura masyhur seperti Putera Shotoku, penubuhan pengaruh klan Fujiwara, dan penerapan ajaran Buddhisme. Zaman ini kemudiannya disusuli oleh Zaman Nara (710-794 M).

TINJAUAN SEJARAH

Nama Zaman Asuka diambil daripada nama ibu kota pada masa itu, iaitu Asuka, yang terletak di bahagian utara wilayah Nara. Pada tahun 645 M, ibu kota dipindahkan ke Naniwa, dan pada tempoh antara 694 dan 710 M, ia berpindah pula ke Fujiwarakyo. Pada penghujung zaman ini, tepatnya pada tahun 710 M, ibu kota sekali lagi dipindahkan, kali ini ke Heijokyo (atau Nara).

Zaman ini menyaksikan penubuhan kuasa maharaja secara bersejarah buat kali pertama (berbeza dengan pemerintah mitos atau legenda), iaitu Maharaja Kimmei yang merupakan maharaja ke-29 dalam jalur keturunan diraja dan memerintah pada tahun 531 atau 539 M hingga tahun 571 M. Namun, pemerintah yang paling signifikan dalam zaman ini ialah Maharani Suiko dan pemangkunya, Putera Shotoku. Putera itu adalah putera kedua Maharaja Yomei (memerintah 585-587 M), dan beliau memerintah bagi pihak Suiko pada tahun 594 M sehinggalah tahun kemangkatannya, 622 M.

Shotoku, atau juga dikenali sebagai Umayado no Miko, diberikan kredit atas jasanya memperbaharui pentadbiran, mencantas korupsi, membasmi sistem pelantikan pegawai yang hanya berteraskan pewarisan, dan menggalakkan hubungan yang lebih mesra dengan China. Menurut Nihon Shoki (‘Hikayat Jepun’ atau juga dikenali sebagai Nihongi), yang ditulis pada tahun 720 M, masyarakat Jepun dilanda kesedihan yang besar tatkala kemangkatan putera itu:

Matahari dan bulan hilang sinarnya; langit dan bumi habis runtuh musnah: justeru, pada siapa lagi patut kami letakkan kepercayaan? (Mason, 40)

Peristiwa politik penting yang seterusnya dalam Zaman Asuka berlaku pada tahun 645 M, di mana pengasas klan Fujiwara (Fujiwara-Shi), Fujiwara no Kamatari (ketika itu dikenali sebagai Nakatomi), melakukan rampasan kuasa yang mengambil-alih pemerintahan daripada klan Soga (Soga-Shi) yang berpengaruh pada waktu itu . Klan Soga berasal-usul daripada Korea dan mereka mempengaruhi pentadbiran sejak tahun 587 M lagi.

Pentadbiran baru kemudiannya disusun semula mengikut model China terutama dalam sebuah siri reformasi yang dikenali sebagai Reformasi Taika (Taika no Kaishin), di mana menerusi reformasi inilah negara diteraskan sebagai negara-bangsa, cukai dibayar sebagai kebajikan dan bukannya kerahan tenaga, kelas-kelas sosial dirombak semula, peperiksaan bagi memasuki perkhidmatan awam diperkenalkan, kod perundangan digubal, dan autoriti mutlak maharaja ditegakkan.

Putera Naka no Oe ditabalkan sebagai Maharaja Tenjin, dan Kamatari dilantik sebagai menteri senior beliau dan diberikan nama keluarga Fujiwara. Peristiwa ini merupakan permulaan bagi sejarah salah sebuah klan paling berkuasa di Jepun yang kelak memonopoli pentadbiran pada Zaman Heian (794-1185 M).

Patung Putera Shotoku

Pada tahun 685 M, Temmu juga memberikan jawatan-jawatan penting kepada para penyokongnya sendiri, membentuk pasukan tentera kerahan, dan melarang rakyat daripada memikul senjata. Fujiwarakyo dipilih sebagai ibu kota Jepun yang pertama mempunyai istana bergaya China. Rangkaian jalan rayanya pula dibangunkan dalam corak grid lazim. Penghujung zaman ini menyaksikan matawang pertama Jepun, Wado kaiho diperkenalkan pada tahun 708 M.

Insiden Jinshin yang berlaku pada 671-672 M merupakan sebuah pertelagahan dalaman yang pendek namun cukup berdarah, melibatkan kelas-kelas memerintah yang saling berbalah tentang hak pewarisan takhta berikutan kemangkatan Maharaja Tenjin. Susulannya, maharaja Temmu (memerintah 672-686 M) mengambil peluang untuk mencantas kebanyakan kerabat diraja lain supaya keluarga beliau dan isterinya, Jito (memerintah 686-697 M) sahaja yang boleh menuntut sebarang hak ke atas takhta.

HUBUNGAN DENGAN CHINA & KOREA

Pada Zaman Asuka ini juga, hubungan-hubungan kebudayaan yang signifikan dikekalkan terutama dengan kerajaan Baekje (Paekche) di Korea, di mana interaksi dengan semenanjung Korea sudah pun dilakukan sejak kurun ke-4 M lagi khususnya dengan konfederasi Gaya di Korea. Kemajuan budaya Baekje dieksport melalui guru-guru, ilmuwan dan pelukis-pelukis mereka yang mengembara ke Jepun. Mereka ini turut membawa elemen-elemen kebudayaan China seperti teks-teks klasik Konfucian. Begitu juga dengan elemen-elemen kebudayaan Korea, seperti yang dapat dilihat pada bangunan-bangunan kayu yang dibina di sana oleh jurutera-jurutera Korea.

Keadaan sebenar hubungan antara Korea dan Jepun pada zaman ini agak kontroversi. Namun, sejarahwan mendapati para pegawai dari Baekje berupaya menyandang kedudukan yang penting dalam pentadbiran Yamato dan bahkan mungkin bercampur-gaul dengan jalur keturunan diraja, khususnya klan Soga. Pengaruh China juga dapat dilihat menerusi penggubalan sebuah konstitusi pada tahun 604 M, iaitu Konstitusi Tujuh Belas Artikel (Jushichijo-kenpo) yang bertanggungjawab memusatkan pentadbiran dan menekankan prinsip-prinsip Buddhisme dan Konfucian terutama tentang kepentingan keharmonian (wa). Putera Shotoku diberikan kredit sebagai penggubal konstitusi ini.

Mungkin hal yang paling signifikan antara semua, dan tentunya pengaruh budaya luar yang paling bertahan, adalah kemasukan Buddhisme ke Jepun sekitar kurun ke-6 M, atau sumber tradisional lazim menyebutnya sebagai tahun 552 M. Ajaran ini diamalkan secara rasmi oleh Maharaja Yomei dan disebarkan secara lebih meluas oleh Putera Shotoku yang bertanggungjawab membina sejumlah kuil, membentuk sebuah badan kesenian untuk menghasilkan imej-imej Buddha, dan beliau sendiri merupakan pelajar ajaran ini.

Buddhisme secara umum diterima oleh elit Jepun (kecuali penentangan awal oleh klan Mononobe dan Nakatomi yang pro-Shinto) memandangkan ia membantu dalam mengangkat kedudukan tamadun Jepun sebagai bangsa yang membangun di mata jiran-jiran mereka, iaitu Korea dan China. Shotoku juga sempat menghantar perutusan-perutusan rasmi ke istana Sui di China sekitar tahun 607 M dan sepanjang kurun ke-7 M.

Jubin bumbung Zaman Asuka


Namun, pasukan tentera gabungan ini ditewaskan dalam Pertempuran Baekgang (Hakusonko) yang berlangsung di mulut Sungai Geum/Paekchon pada tahun 663 M. Kemenangan Kerajaan Silla Bersatu ini mendorong kepada wujudnya gelombong imigran baru yang memasuki Jepun dari kerajaan Baekje dan Goguryeo yang telah tumbang.

Hubungan Jepun dengan jiran-jirannya tidaklah sentiasa berlangsung mesra dan lancar. Kerajaan Silla, iaitu seteru lama Baekje di semenanjung Korea pada akhirnya berjaya memenangi pergelutan pada tahun 660 M dengan bantuan armada China-Tang. Pasukan penentang Baekje berupaya menghasut Jepun agar menghantar 800 buah kapal yang dipimpin oleh Abe no Hirafu demi membantu Baekje merebut semula kerajaan mereka.

KESENIAN & SENI BINA

Bidang kesenian mengalami kepesatan pada Zaman Asuka sekaligus melahirkan nama lain bagi zaman tersebut, iaitu Zaman Suiko (552-645 M) yang diambil bersempena nama Maharani Suiko (memerintah 592-628 M). Kesusasteraan dan seni muzik yang mengikut model China dipromosikan secara aktif oleh pegawai istana dan golongan artis diberikan pelepasan cukai.

Pengukir-pengukir patung pula menghasilkan sejumlah besar figura Buddha dengan menggunakan kayu dan gangsa bersepuh. Puisi-puisi dikarang dan dihimpun ke dalam Manyoshu atau ‘Koleksi 10 000 Daun’, yang disusun sekitar 760 M sekaligus menjadikannya antologi puisi terawal dalam kesusasteraan Jepun.

Semasa era pemerintahan Shotoku, sebanyak 46 buah biara dan kuil Buddha dibina. Antara kuil yang paling penting ialah Shitennoji (593 M), Hokoji (596 M), dan Horyuji. Kuil terakhir ini siap dibina pada tahun 607 M, namun terbakar pada tahun 670 M lalu dibina semula: ia merupakan satu-satunya kuil dari Zaman Asuka yang terselamat dalam bentuknya yang asli. Kompleks ini terdiri daripada 48 buah bangunan, termasuklah sebuah pagoda lima tingkat dan ia menyimpan bangunan-bangunan kayu paling tua di Jepun.

TERJEMAHAN:

Mark Cartwright. (14 April 2017). Asuka Period. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Asuka_Period/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.