Dalam lipatan sejarah Rom, ia sentiasa dipenuhi dengan tempoh-tempoh yang menguji kestabilan empayar berkenaan. Tetapi wujud satu era yang dinamakan Lima Maharaja Yang Baik (Five Good Emperors) yang menyaksikan rakyat hidup aman dan makmur di bawah lima maharaja berkenaan. Berbeza dengan maharaja yang menaiki takhta atas sebab pewarisan, lima maharaja ini dipilih dan dilatih oleh maharaja-maharaja sebelumnya demi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar. Dan dalam kalangan mereka, Trajanlah yang terbaik.

Pemilihan Trajan sebagai pewaris takhta oleh ayahanda angkatnya, Nerva kemudiannya akan menjadi ikutan para pemerintah Rom selepasnya. Seorang komander tentera yang hebat berdarah Sepanyol, Trajan merupakan maharaja pertama yang lahir di luar Itali. Mesej pemilihannya sangat jelas: mana-mana lelaki yang berkelayakan dan berpendidikan di sepanjang empayar berupaya mengisi kedudukan tertinggi empayar itu termasuk sebagai maharaja.

Sebagai maharaja, Trajan meneruskan tradisi maharaja-maharaja Rom meluaskan jajahan takluk empayar itu. Empayar itu bukan saja berkuasa di Eropah dan Afrika Utara tetapi juga di Mesopotamia dan sejauh Teluk Parsi. Tetapi satu kempen baginda yang paling diingati ialah kempen ketenteraannya terhadap orang Dacia di Romania moden hari ini. Sepanjang sejarah empayar berkenaan, Dacia menjadi duri dalam daging kepada Rom dengan menyerang dan merompak bandar-bandar sempadan empayar itu.

Pada mulanya, semua itu berakhir dengan Trajan memeterai perjanjian damai dengan Raja Dacia, Decebalus pada tahun 103 Masihi. Perjanjian itu dilihat dapat menghentikan pertelagahan yang berlaku antara kedua-dua kerajaan. Tetapi jika Dacia merasakan tindakan mereka tidak akan dibalas oleh Rom, ternyata percaturan mereka silap sama sekali. Dua tahun selepas itu, Dacia memilih mencabuli perjanjian yang dimeterai dan akibatnya, Trajan membalas dendam.

Kempen ketenteraan ke atas Dacia dilancarkan pada tahun 105 Masihi dan kemusnahan yang dibawa Rom terhadap Dacia boleh disaksikan pada Kolum Trajan di Rom hari ini.

Rajah 1: Tentera Rom mengejar tentera Dacia seperti dipaparkan pada Kolum Trajan.
Rajah 2: Tentera-tentera Rom mem3nggal kepala tentera-tentera Dacia.

Selepas Dacia jatuh ke tangan Rom, Trajan kembali ke Rome dengan membawa rampasan p3rang yang banyak. Dikatakan semasa baginda pulang, tentera Rom membawa emas seberat 500,000 paun dan perak seberat sejuta paun. Hasil rampasan ini kemudiannya digunakan untuk membiayai projek-projek awam sekitar empayar. Baginda membina jalan-jalan, jambatan, akueduk dan pelabuhan-pelabuhan dari Sepanyol hingga ke Balkan dan Afrika Utara. Di Rome, akueduk yang membekalkan air kepada bandaraya berkenaan datang dari sebelah utara. Manakala Kolum Trajan yang setinggi 126 kaki menjadi mercu tanda baru sambil diselangi dengan sebuah bangunan forum baru yang terdiri daripada dua buah perpustakaan, sebuah ruangan awam dan dan sebuah plaza.

Rajah 3: Kolum Trajan di tengah-tengah runtuhan Forum Trajan.

Selain meneruskan tradisi maharaja-maharaja Rom membina monumen-monumen yang dapat mengharumkan namanya, Trajan juga bersikap pemurah terutama dalam soal pemberian sosial. Baginda mengarahkan sumbangan bijirin yang diberi kepada penduduk miskin ditambah dan tidak teragak-agak menghulurkan pemberian tunai. Dan lari daripada kebiasaan, Trajan turut memberi kebenaran kepada wilayah-wilayah menyimpan pemberian emas yang seharusnya dipersembahkan kepada baginda dan mengurangkan cukai ke atas rakyat.

Kebanyakan tindakan mulia baginda ini dikatakan meniru sikap rakan baiknya yang juga penulis dan sejarawan Rom terkenal, Pliny the Younger. Salah satu tindakan Trajan yang meniru Pliny ialah menubuhkan satu dana awam khas untuk membiayai kanak-kanak yang miskin yang dipanggil alimenta. Malah Pliny jugalah yang menyimpulkan kehebatan tempoh pemerintahan Trajan menerusi koresponden surat antaranya dengan baginda yang berbunyi, “Semoga engkau dan dunia melalui keupayaan engkau, menikmati setiap nilai kemakmuran setaraf dengan pemerintahan engkau.” Trajan kemudiannya mangkat pada 9 Ogos 117 Masihi akibat masalah strok.

RUJUKAN

Baird Rattini, Kristin. This warrior was the best of ancient Rome’s ‘Five Good Emperors’. National Geographic. https://www.nationalgeographic.com/culture/people/reference/trajan/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.